Bikesrepublic

Berita Terkini

Umum sedia maklum bahawa Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) bertanggungjawab memasang dan mengedar jenama motosikal Kawasaki di Malaysia dengan segala proses pemasangan berlangsung di kilang Modenas yang terletak di Gurun, Kedah. 

Bagaimanapun pemasangan motosikal Kawasaki di Gurun oleh Modenas itu hanya melibatkan motosikal 250cc hingga 650cc dengan kesemuanya dijual dibawah lencana Modenas (Ninja 250, Z250, Vulcan S 650, Z650, Ninja 650 dan Versys 650) sementara  model atas 650cc pula (Ninja 1000SX, Ninja ZX-10R, Versys 1000 dan Z900RS) dijual di Malaysia sebagai model CBU (complete built unit). 

Namun, pada bulan Jun lalu, EMOS telah melancarkan Kawasaki Z900 dan Z900 SE dengan kedua-duanya merupakan model pemasangan tempatan (CKD).

Ketika program Green Mania yang berlangsung di Gamuda Cove baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Modenas, Roslan Roskan mendedahkan walaupun persetujuan awal pemasangan tempatan hanya babitkan model 250 hingga 650cc namun berdasarkan penilaian oleh Kawasaki Jepun, mereka mengakui Modenas mempunyai keupayaan memasang jentera yang lebih besar daripada dinyatakan sebelum ini. 

Untuk rekod, Modenas mempunyai dua baris pemasangan di Gurun ketika ini dengan baris ketiga akan siap tahun ini juga. Lawatan kami di Gurun sebelum ini juga mendapati Modenas bukan sahaja mengikut standard operasi Jepun malah turut menjadi kilang pertama di Asia Tenggara yang memiliki mesin ujian khas. 

Pengeluar motosikal China, CFMoto telah memperkenalkan beberapa model baharu yang akan menembusi pasaran global ketika di Beijing Motor Show yang berlangsung Jun lalu. 

Antara model yang mencuri perhatian adalah motosikal jenis ‘cruiser’ yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

450CL-C itu merupakan model serba baharu dan percubaan sulung CFMoto dalam bersaing dengan segmen cruiser lain antaranya Kawasaki Eliminator 450 dan Honda Rebel 500. 

Bagaimanapun, ketika itu CFMoto tidak mendedahkan sebarang maklumat terperinci mengenai model terbabit kecuali aspek rekaan yang jelas menampilkan reka bentuk cruiser retro klasik. 

Namun, dalam perkembangan terbaru beberapa info penting mengenai CFMoto 450CL-C itu berjaya diperolehi daripada dokumen kelulusan aplikasi yang difailkan di China. 

*gambar 450CL-C yang dilampirkan bersama dokumen kelulusan aplikasi difailkan di China.

Berdasarkan dokumen berkenan, 450CL-C dikuasakan enjin parallel-twin 449cc dengan kod 272MQ. Kod enjin tersebut secara langsung memberitahu kami bahawa 450CL-C dikuasakan enjin sama yang terdapat pada 450SR dan 450NK. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan. 

Bagaimanapun, enjin 272MQ itu telah ditala semula bagi menghasilkan 40hp berbanding 50hp yang ditawarkan 450SR dan 450NK. Talaan semula enjin itu berkemungkinan bagi memfokuskan pada tork yang lebih baik pada rpm rendah dan pertengahan. 

Dokumen tersebut juga memaklumkan 450CL-C dilengkapi dengan fork jenis USD (upside/down) di depan dan monoshock di belakang. Aspek lain yang kami boleh sahkan adalah penggunaan kaliper brek radial 4-pot dari J.Juan dengan ABS yang dipadankan bersama cakera 300mm di bahagain depan. 

Kami difahamkan CFMoto akan memperkenalkan 450CL-C untuk pasaran global secara rasmi ketika di EICMA 2023 nanti. 

Suzuki dalam satu pengumuman rasmi mengesahkan bahawa motosikal adventure segmen 250cc, Suzuki V-Strom 250 SX akan turut dipasarkan di Jepun selepas kejayaan model itu di pasaran India, Filipina dan Indonesia. 

Menurut Suzuki, V-Strom 250 SX itu akan mula dipasarkan di negara matahari terbit itu bermula 24 Ogos ini. 

Untuk rekod, V-Strom 250 SX dikuasakan enjin satu silinder 250cc dengan penyejukan minyak, SOCH 4-valve F1 yang berupaya menghasilkan 26hp pada 9,300rpm dan 22.2Nm pada 7,300rpm. Kuasa enjiin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan.

Antara ciri lain ditawarkan:

  • fork depan teleskopik
  • suspensi bekalang tungga
  • cakera brek depan dan belakang
  • tayar 100/90-19 depan
  • tayar 140/7-17 belakan
  • ketinggian tempat duduk 835mm
  • jarak kelegaan tanah 205mm
  • berat 167kg
  • lampu LED penuh

Selain tampil dengan ciri yang menarik perhatian, rekaan keseluruhan V-Strom 250 SX ini juga jelas mengikut acuan sama dengan versi yang lebih besar, V-Strom 1050 DE. 

Dalam pada itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem elektronik menarik antaranya Suzuki Ride Connect Edition dengan fungsi ‘Bluetooth’ serta Suzuki Easy Start System yag memudahkan enjin dihidupkan.

Mengambil kira Suzuki V-Strom 250 SX ini akan turut dipasarkan di Jepun – meskipun India menjadi pengeluar utama – membuktikan populariti motosikal tersebut terutamanya bagi pasaran Asia. 

Atas faktor tersebut, kami tidak terkejut jika Suzuki Malaysia turut mempertimbangkan V-Strom 250 SX untuk pasaran tempatan tidak lama lagi. 

Umum sedia maklum bahawa BMW Motorrad bakal memperkenalkan BMW R 1300 GS serba baharu bagi menggantikan R 1250 GS sedia ada. Pelancaran R 1300 GS itu telah pun dijadualkan berlangsung pada 28 September ini. 

Dalam pada itu, perkembangan terbaru di Eropah mengesahkan pelancaran R 1300 GS pada September nanti bakal menjadi permulaan pertama kepada beberapa barisan model yang akan dikuaskaan enjin boxer 1300cc tersebut.

Memetik laporan media antarabangsa, BMW akan turut memperkenalkan R 1300 R, R 1300 RS dan R 1300 RT. Mengambil kira kesemuanya dikuasakan enjin baharu, maka tidak hairan setiap model 1300cc itu akan turut didatangkan dengan kerangka baharu. 

Selain itu, media antarabangsa juga mendakwa R 1300 R dan RS akan tampil lebih sporty berbanding model sedia ada dengan panel badan yang lebih terdedah serta reka bentuk yang lebih agresif dan minimal. 

Dalam pada itu, BMW juga dijangka memperkenalkan teknologi sistem radar kepada kesemua model 1300 sekaligus menawarkan fungsi ‘adaptive cruise control’ dan blind spot detection. 

Ketika tiada info rasmi didedahkan BMW Motorrad membabitkan kesemua model baharu yang diperkatakan namun berdasarkan dokumen yang difailkan di Eropah sebelum ini, BMW R 1300 GS yang akan dilancarkan tidak lama lagi itu menawarkan 145.5hp pada 7,750rpm dan 149Nm pada 6,500rpm. 

Apa pun, kami jangkakan lebih banyak info menarik akan diterbitkan sebaik BMW melancarkan R 1300 GS pada 28 September ini. 

Jenama motosikal Itali, Moto Morini dalam satu temu bual bersama Moto.it mendedahkan syarikat itu merancang untuk memperkenalkan beberapa model baharu – 12 model kesemuanya – menjelang 2025. 

Menariknya, Ketua Pegawai Eksekutif Moto Morini, Alberto Monni mendedahkan syarikat itu akan terus mempertaruhkan enjin V-Twin pada masa akan datang ketika pengeluar lain telah beralih ke platform  parallel-twin yang lebih kompak dan jimat untuk dihasilkan. 

Dalam pada itu, Moto Morini turut berkongsi perancangan syarikat itu sehingga 2025 yang memaparkan pelancaran  model baharu. 

*Gambar model akan datang dari Moto Morini.

Sebelum ini, telah pun didedahkan bahawa Moto Morini bakal memperkenalkan jentera adventure tourer terbaru menerusi X-Cape 1200 di EICMA 2023. Menariknya, portfolio dikongsikan itu juga memberitahu bebeerapa motosikal 750cc akan turut diperkenalkan yang merangkumi motosikal adventure dan naked. 

*Moto Morini Milano

Laporan antarabangsa juga mendakwa Moto Morini akan memperkenalkan sebuah motosikal retro moden yang dikuasakan enjin 1200cc. Kami jangkakan model tersebut merupakan penyambung generasi baharu Moto Morini Milano yang dijual sebelum ini. 

*Moto Morini X-Cape 1200 antara yang akan diperkenalkan di EICMA 2023.

Pada masa sama, Moto Morini juga akan memperkenalkan beberapa model V-Twin 925cc. Melihat kepada gambar dikongsikan, terdapat tiga model akan diperkenalkan termasuk sebuah sports tourer, naked dan sebuah lagi yang kelihatan seperti jentera sportbike. 

Meskipun perkembangan semasa ini cukup menarik namun segalanya hanya boleh disahkan ketika tibanya hari pelancaran rasmi. Apa yang pasti Moto Morini ada beberapa kejutan untuk pasaran global di EICMA, November ini.  

Honda telah mendedahkan CBR600RR terbaru ketika di Suzuka 8 Hours beberapa hari lalu.

Model keluaran 2024 itu telah dinaik taraf bagi mematuhi standard emisi di Jepun (bersamaan Euro 5) yang dikuatkuasa tiga tahun lalu. 

Selain daripada naik taraf bagi mencapai emisi terkini, CBR600RR 2024 itu juga dilengkapi dengan ‘winglet’ dan lampu LED penuh.

Walaupun perubahan yang diumumkan itu tidak terlalu signifikan jika dibandingkan dengan model terdahulu namun berdasarkan gambar di bawah jelas terdapat beberapa perbezaan. 

Gambar di atas merujuk pada susun atur aliran ekzos antara model sedia ada (kiri) dan model 2024 (kanan). Jelas terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Perubahan tersebut dilaksanakan agar model 2024 ini berjaya mematuhi peraturan emisi semasa berbanding model sebelumnya. 

Selain itu, kami difahamkan CBR600RR terbaru ini juga dilengkapi dengan sistem ‘quickshifter’ secara standard berbanding sebelum ini yang hanya ditawarkan sebagai opsyen tambahan. 

Untuk rekod, pengedar rasmi jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda (BSH) menawarkan CBR600RR keluaran 2021 dengan harga jualan RM98,888. Sekiranya model 2024 ini dipasarkan disini kami jangkakan akan berlakunya kenaikan harga ekoran naik taraf terbaru yang dilaksanakan. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube