Bikesrepublic

Berita Terkini

Kawasaki semakin hampir untuk memperkenalkan motosikal elektrik sulung menerusi Ninja E-1 dan Z E-1 selepas kedua-dua model itu mendapat homologasi di Australia. 

Kemunculan motosikal elektrik sulung dari Team Green itu sudah pun dijangka selepas membuat pengumuman besar itu di EICMA, November tahun lalu. Berdasarkan data homologasi yang difailkan di Australia, kini boleh disahkan bahawa ‘streetbike’ elektrik dari Jepun itu akan diperkenalkan tidak lama lagi dan akan dipasarkan sebagai Ninja e-1 dan Z e-1. 

Menariknya, dokumen tersebut juga disertakan dengan gambar e-1 dan Z e-1 dengan masing-masing menyerupai Ninja 400 dan Z400. Meskipun begitu, kedua-dua model elektrik ini tampil dengan kuasa lebih rendah dengan dokumen tersebut menyatakan 9kw atau 12.1hp. 

Dokumen tersebut juga menyatakan berat e-1 diletakkan pada 140kg sementara Z e-1 adalah 5kg lebih ringan. Bagaimanapun, tidak dipastikan sama angka tersebut termasuk dengan bateri. 

Kawaski sebelum ini menyatakan bahawa e-1 dan Z e-1 akan dilengkapi dua bateri (boleh tanggal) dengan masing-masing seberat 12kg dan menawarkan 3.0kWj. 

*Kawasaki bakal melancarkan model hibrid pada 2024.

Mengambil kira perkembangan Kawasaki sebelum ini, pengeluar motosikal Jepun itu juga sedang membangunkan model hibrid yang telah dipertontonkan kepada umum ketika Suzuka 8 Hours tahun lalu. 

KTM antara pengeluar yang giat menguji beberapa jentera baharu yang akan dipasarkan dalam tempoh setahun dua ini. 

Sebelum ini, pengeluar motosikal Austria itu dilihat menguji beberapa jentera prototaip antaranya RC 990 dan 990 Duke. 

Tidak cukup dengan itu, KTM juga didapati sedang giat menguji jentera berkapasiti kecil di India yang didakwa sebagai RC 390 generasi terbaru. 

Berdasarkan gambar ‘spy shot’ dikongsikan, ternyata RC 390 akan datang itu tampil dengan rekaan serba baharu berbeza dengan generasi sedia ada. 

Bermula di bahagian depan, penggunaan lampu berbentuk bujur telah digantikan dengan lampu jensi projektor tunggal sementara panel depan juga lebih melengkung berbanding bersegi. 

Fender, tangki, panel sisi juga berbeza dan tampak lebih tajam berbanding model sedia ada. Bahagian lampu belakang juga kini ditempatkan pada fender dan tidak lagi di bahagian ekor seperti model sedia ada. Konsep sama itu turut diguna pakai BMW pada S 1000 RR. 

Turut kelihatan kerangka trellis baharu yang melangkui sproket depan berbanding sebelum ini dan dipadankan bersama subframe berlainan. Kedudukan monoshock juga berbeza namun masih lagi dibekalkan WP. 

Susun atur enjin juga kelihatan berbeza, dengan ‘header’ baharu, ekzos ‘underbelly’ yang berlainan dan ‘catalytic converter’ baharu. Kelainan ini dilaksanakan bagi mencapai standard Euro 5 terkini. 

Namun sejauh mana perubahan itu akan memberi kesan pada kuasa 43hp dan 36Nm sedia ada hanya akan diketahui pada hari pelancaran nanti yang dijangka berlaku pada 2024.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah mengumumkan ‘product recall’ (panggilan semula) beberapa motosikal 250cc. 

Berdasarkan perkongsian terbaru di media sosial, JPJ mengeluarkan ‘product recall’ bagi motosikal jenis Yamaha YZF-R25, MT-25 dan Honda CB250R. 

Notis panggilan semula bagi dua model Yamaha itu telah pun dikeluarkan pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada bulan Mei lalu namun disebabkan terdapat kesukaran menghubungi pemilik – susulan maklumat tidak dikemas kini – memaksa JPJ mengeluarkan notis siri kedua. 

Notis siri kedua ini juga menyaksikan, Boon Siew Honda (BSH) mengeluarkan notis ‘product recall’ babitkan Honda CBF250NAP. Nama model tersebut merujuk kepada CB250R.

Menurut Boon Siew Honda, panggilan semula ini bagi menggantikan penutup ‘crankcase’ sebelah kanan disebabkan kerosakan ‘cone plug’ yang boleh menyebabkan kebocoran. Panggilan semula ini babitkan CB250R yang dihasilkan antara 22 Julai 2022 hingga 3 Ogos 2022 dengan nombor casis dari MLHMC5293P5100007 hingga MLHMC5295P5100008.

Pemilik yang terkesan diminta menghubungi pusat servis rasmi untuk tujuan penggantian yang akan ditanggung sepenuhnya Boon Siew Honda.

Dalam pada itu, JPJ juga menggesa pemilik untuk lebih bertanggungjawab dengan mengemas kini maklumat maklumat peribadi di pusat servis rasmi sekiranya motosikal telah bertukar hak milik. 

Prototaip KTM RC 990 mula jalani ujian jalan raya sekitar Disember tahun lalu dan tidak banyak yang boleh diceritakan daripada imej ‘spy shot’ yang dikongsikan. 

*imej prototaip KTM RC 990 pada 2022

Pada waktu itu, apa yang kelihatan adalah reka bentuk ‘supersport’, fairing penuh, lampu depan LED tunggal, fork USD, brek Brembo serta subframe yang terdedah. 

Namun, berdasarkan ‘spy shot’ terbaru, jelas menampakkan rupa RC990 yang jauh berbeza berbanding yang dikongsikan sebelum ini. 

Imej ‘spy shot’ terbaru itu menunjukkan kehadiran panel badan yang lebih agresif dan bersegi sementara bahagian depan pula menampakkan kehadiran ‘winglet’ yang diinspirasikan daripada jentera KTM RC16 di MotoGP. 

Penghadang angin juga lebih kecil dan melengkung berbanding prototaip awal. Selain itu, bahagian ‘subframe’ yang sebelum ini terdedah juga kelihatan lebih kemas. 

Menariknya, melihat kepada perkembangan semasa, jentera yang dijangka membuat penampilan rasmi pada 2025 itu tampak mirip dengan jentera KTM RC 8C yang dikhaskan untuk litar lumba. 

Untuk rekod, RC 990 ini akan dikuasakan enjin LC8c terbaru dibangunkan KTM yang turut akan menggerakan 990 Duke yang juga sedang menjalani ujian ketika ini. Laporan media antarabangsa mendakwa platform terbaru itu akan menyumbang sekitar 140hp dengan tork yang belum dikenalpasti. 

Pada masa sama, melihat kepada rupa RC 990 terbaru itu berbeza dengan prototaip 2022 kami jangkakan akan berlaku beberapa perubahan lagi termasuk pakej suspensi dan brek. 

Apa pun kami jangkakan akan lebih banyak maklumat mengenai RC 990 ini akan timbul dalam masa akan datang. 

Art Of Speed (AOS) 2023 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang telah pun melabuhkan tirai pada Ahad yang menyaksikan 65,000 pengunjung hadir meraikan acara ‘custom culture’ terbesar di Malaysia itu. 

Seperti edisi sebelumnya, tahun 2023 juga menyaksikan pameran kenderaan kustom dari dalam dan luar negara sebagai tumpuan utama antaranya; Wild Road Choppers dari Jepun yang mempamerkan Harley-Davidson Chopper Show Bike 1941, Cosmic Chopper City (Jepun) dengan Harley-davidson Chopper Show Bike 2020 dan Side Yakotani (Jepun) yang membawa Volkswagen Type2 Safari Custom 1959. 

Seperti kebiasaan, beberapa nama besar turut mewarnai edisi kali ini antaranya Sunny Yano dan Hiro ‘Wildman’ Ishii dari Mooneyes, Rough Craft, Kustomstyle, Joinst Custom Show, 2 Percenter, Vibes Magazine, Weller Magazine, Old Coin Company dan ramai lagi.

Bagaimanapun, kehadiran Hot Wheels juga turut mencuri tumpuan dengan penganjuran ‘Official Hot Wheels Collector Convention’ pertama dianjurkan di Asia Tenggara. Turut menghangatkan program julung kalinya itu adalah pereka Hot Wheels sendiri, Matt Gabe dari Amerika Syarikat. 

Dalam pada itu, saudara Mohd Shahlan Mohd Nasir juga dinobatkan pemenang bagi Hot Wheels Legends Tour Malaysia yang mempertaruhkan Proton Arena yang telah dikustom. 

Tidak cukup dengan itu, AOS bersama Hot Wheels juga mengumumkan Saw Jane Harn, 9 tahun mencul pemenang peraduan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition 2023. Karya pereka cilik tersebut akan dicetak pada kad HotWheels Proton Saga edisi khas yang akan mula dijual pada 2024.

Sementara itu, pengunjung juga disajikan dengan previu khas Royal Enfield Super Meteor 650 yang akan dilancarkan secara rasmi pada lewat September ini oleh Royal Enfield Malaysia. 

Seperti kebiasaan, beberapa pemenang cabutan bertuah telah berpeluang membawa pulang hadiah istimewa. Pada Sabtu, Norilah Mohd Norzi memenangi sebuah basikal elektrik dari Zeus sementara hari Ahad pula menyaksikan Rizal Azman bawa pulang kereta Toyota Celica 1979 milik AOS sendiri. Ketika sesi cabutan bertuah atas talian, Nor Adila Nor Hashimi berjaya memenangi sebuah motosikal elektrik Honda e-DAX. 

GALERI: ART OF SPEED 2023

Ducati membuka tirai episod pertama Ducati World Premier 2024 dengan mendedahkan Ducati Monster 30th Anniversario edisi terhad. 

Terhad kepada 500 unit, Monster 30th Anniversario ini meraikan ulang tahun ke-30 model Monster sejak diperkenalkan kali pertama pada 1993.

Monster merupakan model yang cukup ikonik pada sejarah Ducati kerana bukan sahaja berjaya menyelamatkan jenama itu malah muncul antara model paling popular sehingga kini. 

Ducati Monster 30th Anniversario ini tampil dengan gabungan warna ‘tricolour’ yang cukup menonjol termasuk rim bewarna emas dan fork dan monoshock dari Öhlins. Selain itu, versi Anniversario ini juga dilengkapi dengan ekzos Termignoni yang sebelum ini hanya didapati pada varian SP sahaja. 

Gabungan beberapa kompoen gentian karbon juga menyaksikan Monster 30th Anniversario ini 4kg lebih ringan sekaligus menyumbang kepada berat keseluruhan hanya 164kg. 

Bagaimanapun, versi Anniversario ini masih lagi dikuasakan enjin Testastretta 937cc yang menghasilkan 111hp pada 9,250rpm dan 93Nm. 

Sebagai model edisi terhad, pastinya jentera ini wajib dimiliki terutamanya bagi mereka yang menghargai jentera Ducati terutamanya Monster. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube