Suzuki mula mengorak langkah ke era moden dengan pelancaran beberapa model serba baharu antarnaya GSX-S1000, GSX-S1000GT dan terbaru menerusi GSX-8S dan V-Strom 800DE.
Ketika GSX-S1000 mengisi segmen motosikal ‘hypernaked’, GSX-S1000GT pula menyaingi segmen ‘grand tourer’. Walaupun kedua-duanya tergolong dalam kumpuan berbeza namun GSX-S1000 dan GSX-S1000GT dikuasakan enjin 999cc 4-inline yang sama.
Dalam perkembangan terbaru, Suzuki akan terus meluaskan langkah mereka kali ini bakal mencabar segmen ‘sport tourer’ yang didominasi motosikal seperti Kawasaki Versys 1000, Yamaha Tracer 9 GT dan BMW F 1000 XR.
Berdasarkan gambar ‘spy shot’ terbaru, Suzuki dilihat sedang menjalani ujian terhadap sebuah motosikal serba baharu.
Walaupun motosikal tersebut dibalut dengan ‘wrap’ serba hitam namun beberapa ciri yang kelihatan jelas merujuk kepada motosikal Suzuki. Pertamanya susun atur lampu LED depan yang mirip Suzuki GSX-S1000 dan GSX-8S malah lampu belakang juga adalah sama dengan yang terdapat pada V-Strom 1050 DE. Kemudian bahagian enjin yang jelas merujuk kepada platform 999cc empat in-line yang diambil daripada GSX-R1000 K5 (2005-2008).
Juga kelihatan pakej brek premium dari Brembo dengan sistem ABS dwi-saluran.
Buat masa ini tiada maklumat rasmi mengenai model serba baharu ini namun apa yang pasti GSX-S1000T ini berkemungkinan besar akan membuat penampilan rasmi lewat tahun ini dengan EICMA 2023 dijangka menjadi acara pilihan.
Cardo System dalam satu kenyataan mengumumkan kemas kini terbaru membolehkan unit Cardo kini boleh disambungkan kepada peranti Bluetoothjenama lain.
Perisian terbaru tersebut membolehkan peranti Cardo antaranya Packtalk Edge, Packtalk Neo dan Packtalk Spirit dihubungkan ke peranti jenama terkemuka lain seperti Sena, Midland dan Uclear.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Cardo Systems, Dan Emodi, antara permintaan paling popular dikemukakan pelanggan adalah mencadangkan agar unit Cardo boleh dihubungkan kepada jenama lain.
“Dengan kemas kini terbaru ini kami boleh menawarkan kebebasan kepada pengguna untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan yang menggunakan jenama lain.” jelasnya.
Bagi membolehkan unit Cardo disambungkan kepada peranti jenama lain, pengguna hanya perlu melakukan kemas kini (update) secara Over-The-Air bagi semua produk keluaran 2023 (kecuali Packtalk Slim). Kemas kini terbaru itu membolehkan produk Cardo disambung kepada jenama lain menerusi fungsi Bluetooth sahaja.
Namun, ciri perkongsian muzik antara jenama berbeza masih tidak disokong kemas kini terbaru ini.
CFMoto terus mengembangkan tawaran model untuk pasaran global kali ini menerusi pelancaran CFMoto 700MT.
CFMoto telah pun mula mencapai populariti tersendiri terutamanya sejak memperkenalkan 800MT, CL-X 700 dan 450SR. Kini ketibaan 700MT bakal mengukuhkan lagi kedudukan jenama dari China itu di pasaran dunia termasuk Malaysia.
CFMoto 700MT merupakan naik taraf daripada 650MT yang telah diperkenalkan sebelum ini. Menurut CFMoto, 700MT dikuasakan enjin parallel-twin 693cc yang sama terdapat pada model 700CL-X namun telah ditala semula bagi menghasilkan 65hp dan 57Nm berbanding 69hp dan 61Nm pada 700CL-X.
Meskipun begitu, rekaan keseluruhan 700MT masih lagi mirip 650MT termasuk rim 17-inci depan dan belakang, fork 43mm depan dan monoshock dengan preload dan rebound boleh laras.
Bagaimanapun, 700MT ini lebih berat berbanding generasi 650MT dengan 218kg ketika isian minyak penuh.
Namun, CFMoto 700MT dilengkapi dengan pelbagai ciri moden termasuk panel meter TFT berwarna, dua port pengecas UBS dengan penyambung Type-A dan Type-C serta pencahayaan LED penuh.
Berdasarkan harga di Eropah, CFMoto 700MT ini ditawarkan pada harga EUR6,490 (RM33.2k).
Pengeluar mainan terkemuka dunia, Lego dengan rasminya memperkenalkan Lego Technic Yamaha MT-10 SP untuk pasaran tempatan.
Replika motosikal ikonik Yamaha itu membolehkan peminat Lego menikmati projek Lego Technic baharu yang berupa Yamaha MT-10 SP. Direka dengan perincian terbaik, produk terbaru ini mencerminkan ketelitian motosikal Yamaha.
Setiap aspek model ini telah dihasilkan bagi menyamai pengalaman yang ditawarkan motosikal Yamaha termasuk enjin 4-silinder 998cc 16-valve DOHC dengan sistem ‘crossplane’.
Selain itu, peminat juga akan disajikan dengan peluang memasang shift drum, shift fork, gear shift ring dan ‘ratchet’ drum’ menyamai komponen sama yang terdapat pada model sebenar.
Menurut pihak Lego, Lego Technic Yamaha MT-10 SP ini akan mula dijual pada 1 Ogos 2023 dengan harga jualan rasmi RM999. Produk ini boleh didapati di semua penjual rasmi Lego termasuk Lego Official Store di Lazada, Shopee dan LEGOLAND.
Sejak pelancaran sulung di Indonesia, ramai yang masih ternanti-nanti akan ketibaan model itu disini.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), Roslan Roskan, telah pun memaklumkan bahawa Ninja ZX-25R akan dipasang di Malaysia dan akan dijenamakan sebagai Modenas.
Untuk rekod, EMOS telah beberapa kali mempamerkan Ninja ZX-25R kepada umum ketika di MotoGP Malaysia 2022 dan terbaru di Malaysia Autoshow 2023.
Ketika itu, kami diberitahu Ninja ZX-25R akan dipasarkan sekitar pertengahan tahun ini. Terbaru, kami difahamkan bahawa Ninja ZX-25R itu akan dilancarkan secara rasmi sekitar September tahun ini.
Sebelum ini juga kami dimaklumkan bahawa Ninja ZX-25R akan datang dengan dua varian, ZX-25R SE dan ZX-25RR dan akan dijual pada harga antara RM33k dan RM40k.
Apa pun, nantikan pengumuman rasmi dari pihak EMOS sendiri.
Honda Malaysia bakal melancarkan model terbaru, Honda WR-V untuk pasaran tempatan tidak lama lagi. Secara tak langsung, WR-V (Winsome Runabout Vehicle) bakal menjadi pesaing terbaru dalam segmen SUV kompak sekaligus akan berdepan Perodua Ativa.
Bos kami telah pun berpeluang menguji WR-V di Thailand baru-baru ini jadi ini lima benda yang perlu tahu tentang Honda WR-V.
1. Enjin
WR-V dikuasakan enjin 1.5L (NA) yang menawarkan 121PS dan 145Nm. Walaupun angka tersebut tidaklah terlalu mengagumkan tetapi mengambil kira faktor saiz yang kecil, kuasa dihasilkan cukup sesuai untuk bergerak ke sana sini. Berbanding Ativa, WR-V mempunyai ekstra 23PS dan 5Nm.
Untuk rekod, ini adalah enjin sama yang terdapat pada Honda City jadi jangkakan sebuah enjin yang jimat minyak dan tahan lasak. Penggunaan bahan api diletakkan pada 14.6km bagi setiap liter dan bagi tangki sebear 35L, WR-V boleh berjalan sejauh 510km.
2. Rekaan
Sekali imbas, rekaan depan WR-V tampak seperti CR-V namun ia adalah gabungan antara HR-V dan CR-V. Sebagai contoh, kedudukan pemegang pintu belakang sama seperti HR-V.
Dalam pada itu, varian RS dijangka tampil sama dengan model yang dipandu di Thailand iaitu hadir dengan gril depan berwarna krom dan rim dua-tona 17-inci. Selain itu, turut ditawarkan lampu LED automatk dengan lampu isyarat ’sequential’, dan ;ampu DRL (lampu nyalaan siang).
3. Dimensi
Ukuran penuh Honda WR-V adalah seperti berikut; 4,060mm panjang, 1,780mm lebar dan 1,608mm tinggi. Menariknya, walaupun lebih lebar dari Perodua Ativa tetapi jika dilihat depan mata, WR-V ini tampak kecil. Ativa adalah 5mm lebih panjang serta 27mm lebih tinggi. Meskipun begitu, WR-V adalah 70mm lebih lebar jadi menghasilkan ilusi lebih ‘besar’ daripada Ativa.
Ruang depan pula cukup luas untuk kaki penumpang dan pemandu sementara tempat duduk belakang juga mempunyai ruang yang memadai. Namun mereka yang berketinggian 6-kaki mungkin mengharapkan ruang ekstra. Namun sebagai sebuah SUV kompak, kami tidak boleh mengharapkan sesuatu yang lebih dari itu.
Sementara itu, ruang storan belakang pula adalah 380L dan tempat duduk pula boleh dibahagi 60:40.
4. Rekaan dalaman dan ciri
Bahagian papan pemuka (dashboard) mengguna pakai bahan jenis ‘faux’ leather sementara pintu pula adalah jenis plastik keras. Seperti kebiasaan varian RS menawarkan sulaman berwarna merah yang menimbulkan lagi elemen ‘premium’.
Sementara itu, turut ditawarkan sistem infotainmen dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu juga terdapat dua port pengecas USB di bahagian depan tetapi sayangnya tempat duduk belakang hanya menawarkan soket 12V. Pemandu pula disajikan dengan panel meter analog dengan skirn kecil 4.2-inci yang menawarkan maklumat standard.
Varian RS juga dilengkapi dengan enam pembesar suara disekitar kabin manakala varian standard hanya dilengkapi empat pembesar suara. Namun ciri ini mungkin berbeza bagi pasaran Malaysia.
5. Ciri keselamatan
Honda semenangnya tidak pernah berkompromi soal keselamatan maka tidak hairanlah WR-V juga dilengkapi ciri keselamatan terbaik termasuk Honda Sensing yang merangkumi:
Lead Car Departure Notification
Adaptive Cruise Control
Collision Mitigation Braking System
Forward Collision Warning
Lane Keep Assist System
Road Departure Mitigation
Lane Departure Warning
Auto High Beam
LaneWatch Camera (left side for blind spot assist)
Juga ditawarkan termasuk enam beg udara, ABS dengan EBD, VSA dan ISOFIX.
Buat masa ini kami tidak diberitahu apakah varian yang akan ditawarkan di sini namun mengambil kira pelancaran rasmi akan berlangsung minggu ini, jawapan kepada persoalan itu akan terjawab tidak lama lagi.