Bikesrepublic

Berita Terkini

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai untuk tidak melarikan diri daripada sekatan jalan raya kerana boleh mencetuskan kemalangan yang boleh menggugat nyawa sendiri dan orang lain termasuk polis yang bertugas.

Peringatan itu disampaikan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim.

“Sekatan jalan raya adalah bagi memeriksa kesalahan oleh pengguna jalan raya. Rutin tersebut tidak melibatkan kes jenayah jadi tidak perlu melarikan diri.

“Kami bimbang jika mereka cuba larikan diri, mereka akan berdepan risiko yang lebih tinggi termasuk dilanggar kenderaan lain,” jelasnya.

Mat Kasim membuat kenyataan tersebut susulan insiden terbaru apabila seorang anggota polis cedera selepas dilanggar sebuah motosikal yang ditunggang remaja 22 tahun yang cuba melarikan diri sewaktu ‘snap check’ di jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan.

Jelas Mat Kasim, penunggang motosikal terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Polis 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan ekoran menghalang penjawat awam melakukan tugas. – SH

Seorang remaja lelaki telah ditahan polis Sibu gara-gara mempamerkan nombor pendaftaran ‘JANDA’ pada motosikal jenis Yamaha Y15ZR miliknya.

Remaja tersebut telah ditahan anggota peronda Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sibu.

Menurut laporan, remaja tersebut ditahan di Lorong Lanang 4, Sibu kerana kelihatan mencurigakan sebelum didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Penggunaan nombor pendaftaran palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 108 akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pelaku berdepan denda RM5,000 dan penjara tidak lebih setahun sekiranya didapati bersalah.

Penggunaan nombor plat palsu dan ‘fancy’ merupakan satu kesalahan dan pihak polis menasihati orang ramai untuk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya. – IPD Sibu

Baru-baru ini tular satu rakaman ‘dashcam’ yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi meletakkan kenderaan masing-masing di lorong kecemasan di Jalan Temiang-Pantai.

Bagaimanapun, salah seorang daripada penunggang motosikal tersebut jelas dirakam berdiri di jalan raya dan bertindak agresif sebaik di hon kereta yang melalui jalan tersebut.

Kejadian tersebut kemudiannya sampai ke perhatian polis Seremban yang cuba mengesan individu terbabit.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof.

“Siasatan awal mendapati kejadian tular itu berlaku semalam, anggaran waktu sekitar tengah hari yang mana terdapat sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti dan meletak kenderaan di laluan kecemasan di lokasi kejadian.

“Dalam pada masa yang sama, rakaman video daripada papan pemuka kereta itu turut memaparkan seorang individu seakan-akan cuba untuk membaling objek ke arah kenderaan perakam,” jelasnya.

Susulan rakaman berdurasi 11 saat itu, satu siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu berkenaan. – Kosmo

Gara-gara dua kali mengalami kemalangan motosikal berkuasa tinggi, ayah kepada pelakon lelaki Raja Atiq telah meminta anaknya itu untuk menjual motosikal jenis Kawasaki Z1000 miliknya.

Raja Atiq yang terkenal dengan lakonan dalam drama siri Nur, terlibat dalam dua kemalangan bersama motosikal berkuasa tinggi tersebut.

Dia bingkas membaiki motosikal tersebut selepas kemalangan pertama namun selepas kemalangan kedua yang dialami di Bukit Fraser, Pahang pada 11 Mac lalu, motosikal tersebut masih tersadai.

“Abi (bapa) kata sudah dua kali kemalangan dengan motosikal yang sama, lebih baik saya jual sahaja.

“Lagipun saya baru berusia 22 tahun. Bagi Abi, saya masih terlalu muda untuk membawa motosikal berkuasa tinggi, lebih baik tunggu apabila lebih matang.

“Selepas kemalangan terbaharu ini, saya masih berfikir sama ada untuk membaiki semula atau menjualnya. Orang kata, jangan gunakan lagi kerana badi bimbang akan kemalangan sekali lagi,” jelasnya kepada Kosmo.

Menurut pelakon tersebut, sepanjang hidupnya, dia telah kemalangan sebanyak tujuh kali dengan satu daripadanya babitkan kereta.

Namun, dia akui belum muncul rasa serik.

“Kalau kata trauma dan fobia, memang masih ada kerana selepas dua bulan kemalangan sakit pada bahagian bahu masih belum pulih sepenuhnya.

“Tetapi saya tidak serik untuk menunggang motosikal kerana sudah minat,” tambahnya.

Kawasaki Z1000 (2012) milik Raja Atiq merupakan motosikal jenis ‘naked’ yang dikuasakan enjin 1,043cc yang mampu menghasilkan 136.1hp. – Kosmo

Prinsipal pasukan Monster Energy Yamaha, Lin Jarvis akui terkilan dengan keputusan RNF Racing apabila disahkan menjadi pasukan satelit Aprilia bermula musim 2023.

Pengumuman terbaru RNF Racing dan Aprilia itu sekaligus menyaksikan kerjasama antara pasukan kendalian Datuk Razlan Razali dan Yamaha berakhir selepas empat tahun.

“Kami menghormati keputusan RNF Racing, tetapi saya sedikit terkilan kerana pengumuman itu dibuat ketika kami sedang bermesyuarat untuk mendengar keputusan mereka, jadi situasi itu agak luar biasa.

“Tetapi kami hormati keputusan mereka dan kami akan bergerak dari situ,” jelas Jarvis.

Sementara itu, Razlan dalam satu kenyataan rasmi sebaik pengumuman kerjasama dengan Aprilia dibuat mengakui pelan yang dikemukakan pasukan Itali itu cukup meyakinkan sekaligus antara faktor persetujuan tersebut dicapai.

Selain itu, antara semua pasukan satelit di MotoGP, hanya RNF Racign yang masih ketiadaan kontrak menjelang musim 2023 sekaligus keputusan untuk menjadi pasukan satelit Aprilia adalah satu langkah yang relevan.

Ini bermakna, Aprilia akan menurunkan empat jentera RS-GP musim depan.

Jalan Temiang-Pantai sememangnya menjadi tumpuan kelab kereta dan geng motosikal di Malaysia.

Sebelum ini, sekumpulan kelab kereta Honda mencetuskan rasa kurang senang pengguna jalan raya lain apabila bertindak meletak kereta di lorong kecemasan untuk tujuan berkumpul dan bergambar.

Terbaru, beberapa penunggang motosikal telah dirakam ‘dashcam’ meletakkan motosikal di lorong kecemasan jalan raya berkenaan.

Bagaimanapun, salah seorang daripada penunggang motosikal tersebut dilihat berdiri di jalan raya sewaktu kedatangan kereta yang merakam insiden tersebut.

Pemandu kereta terbabit kemudiannya bertindak membunyikan hon sebagai tanda amaran kedatangan kereta. Namun, tindakan itu mencetuskan rasa tidak puas hati lelaki tersebut yang bertindak menghayunkan tangannya sambil memegang sesuatu objek (yang tidak dapat dikenal pasti) ke arah kereta terbabit.

Meskipun rakaman ‘dashcam’ itu terhenti namun jelas insiden tersebut tidak seharusnya berlaku apatah lagi tindakan berdiri jalan raya di samping motosikal diletakkan di lorong kecemasan bukan sahaja membahayakan malah boleh menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube