Bikesrepublic

Berita Terkini

Hong Leong Yamaha Motor telah memperkenalkan pilihan warna baharu bagi Yamaha Tracer 9 GT 2023. 

Menurut pihak HLYM, motosikal segmen ‘sports tourer’ itu kini datang dengan warna Pure White dan Midnight Black dengan masing-masing memberi kesegaran baharu pada jentera tersebut. 

Pilihan warna baharu ini sudah boleh didapati di pengedar rasmi Yamaha bermula hari ini (16 Jun) dengan harga jualan rasmi RM69,998 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Seperti kebiasaan, setiap pembelian model Yamaha disertakan dengan kunci cakera brek Yamaha bernilai RM100. 

Untuk rekod, Yamaha Tracer 9 GT ini dilengkapi enjin CP3 889cc DOHC terbaru yang menawarkan 115hp pada 10,000rpm dan 93Nm pada 7,000rpm. Antara ciri lain ditawarkan termasuk fungsi quickshifter, panel meter TFT, cruise control dan penghadang angin boleh laras. 

PROLINTAS menerusi anak syarikat, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd telah merasmikan pembukaan Fasa 2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE). 

Difahamkan, laluan sepanjang 7.8km itu akan dibuka kepada orang ramai pada 16 Jun ini bermula 12.01 tengah malam. Menariknya, sempena pembukaan laluan tersebut, orang ramai akan menikmati tol percuma selama dua minggu sehingga 29 Jun. Untuk makluman, Fasa 2 Lebuhraya SUKE hanya mempunyai satu plaza tol sahaja (Plaza Tol Alam Damai). 

Menurut pihak PROLINTAS kadar tol bagi laluan tersebut adalah RM2.30 sahaja. 

Untuk rekod, Fasa 2 Lebuhraya SUKE ini bermula dari Sri Petaling dan menghubungkan laluan Sri Petaling dan Bukit Jalil ke persimpangan Cheras-Kajang. Fasa 2 ini juga bersambugn dengan Lebuhraya KL-Seremban.

Pada masa sama, pembukaan Fasa 2 ini juga menyaksikan SUKE kini sudah 99.54 peratus lengkap dengan jalan susur Jalan Alam Dami masih dalam pembinaan dan dijangka siap tahun ini juga. 

Perodua dengan rasminya memperkenalkan varian terendah Perodua Axia E untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM22,000 sahaja. 

Menurut Perodua, meskipun varian E ini hanya datang dengan ciri asas namun masih lagi menawarkan ciri keselamatan yang baik termasuk diperakui edngan penarafan 4-bintang Asean NCAP oleh MIROS. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk dua beg udara, sistem peringatan tali pinggang keledar (pemandu). Model ini juga didatangkan dengan jaminan 5 tahun dan pelanggan boleh memilih warna; Ivory White, Glittering Silver dan Granite Grey. 

“Perodua Axia E ini adalah sebahagian daripada objektif Perodua untuk menawarkan mobiliti mampu milik dan berkualiti untuk rakyat Malaysia,” jelas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato Sri Zainal Abidin Ahmad. 

Menariknya, menurut Dato Sri Zainal, hanya RM300 diperlukan untuk bayaran kos sewa beli setiap bulan untuk memiliki Perodua Axia E tersebut. 

Untuk rekod, Axia E ini dikuasakan enjin 1.0L 3-silinder VVT-i DOHC dengan sistem suntikan bahan api yang menawarkan 67hp dan 91Nm pada 4,400rpm. Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi klac manual 5-kelajuan. 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mencari penunggang motosikal yang didapati bukan sahaja melawan arus malah turut menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi dalam satu kejadian yang berlaku di susur Hulu Klang, Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), hari ini. 

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Ducati, hilang kawalan ekoran berselisih dengan seorang penunggang motosikal yang melawan arus lalu terbabas sebelum melanggar penghadang jalan sebelah kiri dan tercampak ke bawah. 

Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian ekoran daripada kecederaan serius. 

“Secara tiba-tiba, di hadapan mangsa didatangi sebuah motosikal dari arah bertentang di bahu sebelah kanan jalan. 

“Justeru, penunggang motosikal Ducati yang cuba untuk mengelak kenderaan dari arah bertentangan berkenaan terus melanggar penghadang sebelah kiri jalan,” jelasnya. 

Akibat daripada perlanggaran tersebut, mangsa telah terhumban ke bawah pada ketinggian 30 meter. 

Dalam pada itu, rakaman kejadian tersebut turut tular di media sosial dan mencetuskan rasa marah orang ramai terhadap penunggang motosikal yang melawan arus tersebut. – Kosmo

Umum sedia maklum bahawa Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) merupakan pengedar rasmi bagi jenama Kawasaki di Malaysia. 

Kerjasama itu menyaksikan Modenas akan menjenamakan semula model 650cc ke bawah dan dibuktikan menerusi pelancaran beberapa model sulung antaranya Modenas Ninja 250 dan Z250. 

Dalam perkembangan terbaru, kami difahamkan bahawa EMOS akan mula memasarkan jentera 650cc di bawah payung Modenas tidak lama lagi. 

Berdasarkan info terbaru, kami diberitahu bahawa EMOS akan memperkenalkan Modenas Versys 650 pada bulan Julai ini. Perkembangan itu pastinya menggembirakan peminat motosikal di Malaysia yang menanti ketibaan model itu. 

Ini kerana setiap model yang dijenamakan Modenas dipasang sepenuhnya di Gurun, Kedah sekaligus menjaminkan harga yang lebih rendah berbanding ketika dipasarkan dahulu sebagai model CBU di bawah pengurusan lama. 

Menariknya, model yang akan diperkenalkan itu adalah generasi terkini yang dilengkapi dengan panel meter TFT dan enjin yang lebih efisien ekoran mencapai standard Euro 5. Pada masa sama, model terkini itu juga menawarkan fungsi KTRC (Kawasaki Traction Control) dan ABS. 

Untuk rekod, Versys 650 dikuasakan enjin parallel-twin 649cc 4-stroke DOHC, 8-valves dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 65hp dan 64Nm pada 7,000rpm

Moto Guzzi V100 Mandello merupakan model yang paling mencuri tumpuan pernah dihasilkan jenama motosikal Itali itu. Ini kerana, V100 Mandello merupakan titik permulaan Moto Guzzi melangkau ke era moden dengan jentera berteknologi tinggi. 

Selepas mendapat pujian melambung di Eropah, motosikal jenis ‘sports tourer’ itu akhirnya akan dipasarkan di Malaysia.

Berdasarkan info terbaru yang diperolehi, Moto Guzzi V100 Mandello akan dilancarkan di Malaysia pada 22 Jun ini oleh pengedar rasmi, DIDI Group. 

Moto Guzzi V100 Mandello dikuasakan enjin jenis ‘transverse’ V-Twin 1,042cc yang berupaya menghasilkan 115hp dan 105Nm pada 3,500rpm. Meskipun bersesaran lebih besar berbanding platform yang diguna pakai pada V85 TT, namun enjin V100 Mandello itu 103mm lebih pendek.

Buat masa ini, info terperinci terutamanya harga masih belum didedahkan namun kami beri jaminan segalanya akan terjawab pada 22 Jun ini. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube