Varian Proton X70 kini diperkembangkan dengan edisi Special Edition yang terhad kepada 2,000 unit sahaja untuk pasaran tempatan.
Proton X70 SE ini dikuasakan enjin 1.8L TGDi dengan transmisi 7-kelajuan sama seperti varian Premium 2WD.
Bagaimanapun, perbezaan ketara tampil menerusi rekaan luar dan kemasan di ruang dalam yang menonjolkan lagi rupa X70 SE ini terutamanya pemilihan warna hitam bagi bahagian bumbung, spoiler dan cermin sisi serta penggunaan rim 19 inci.
Lencana SE juga dipaparkan di bahagian belakang.
Sementara itu, ruang dalam juga tampil dengan kemasan serba hitam termasuklah penggunaan kerusi kulit Nappa dan karpet SE.
Antara ciri lain ditawarkan:
Proton Intelligent Air Purification System (P-IAPS)
6 beg udara SRS
Advanced Driver Assistance System (ADAS)
Tyre Pressure Monitoring System (TPMS)
kamera 360
Proton X70 SE ini datang dengan pilihan warna Ocean Blue dan Ruby Red dan ditawarkan pada harga OTR RM123,800 (sebelum insurans). Tempahan kini boleh dibuat dengan bayaran serendah RM99.
Suzuki dan MV Agusta bakal menghangatkan EICMA edisi ke-78 tahun ini dengan masing-masing telah pun mengesahkan penyertaan.
Suzuki bakal sertai dua pengeluar motosikal gergasi Jepun lain, Yamaha dan Honda yang sebelum ini telah pun mengesahkan penglibatan lebih awal.
Menariknya, Suzuki akan menggunakan pendekatan teknologi bagi membenarkan pengunjung mengakses model 2022 dengan lebih terperinci di samping melihat dengan lebih dekat model baharu dengan jarak yang lebih selamat.
“EICMA merupakan pameran yang menakjubkan untuk semua yang terlibat dalam industri motosikal.
“Acara di Milan ini merupakan platform tepat untuk setiap pengeluar, terutamanya dalam tempoh sekarang,” jelas Pengarah Divisyen Motosikal dan Marin Suzuki Itali, Paolo Ilariuzzi.
Turut mengesahkan penglibatan adalah MV Agusta yang akan turut serta mengujakan pengunjung dengan model baharu sepertimana didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Timur Sardarov.
“Pameran di Milan adalah peluang yang kami tidak akan lepaskan.
“Ini adalah pameran yang membenarkan kami berkongsi gaya dan kekuatan jentera buatan Itali, yang menggabungkan teknologi dan kejuruteraan ‘avant-garde’ serta pengalaman lebih 75 tahun.
“Tahun ini kami tidak akan gagal dalam membuat kejutan untuk semua peminat,” ujarnya.
EICMA 2021 dijadualkan akan berlangsung di Milan pada 23 hingga 28 November ini.
FIM, IRTA dan Dorna Sports dengan dukacita mengumumkan pembatalan GP Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober ini.
Keputusan itu diambil susulan situasi Covid-19 serta sekatan pergerakan yang melanda negara itu ketika ini.
Menurut kenyataan, MotoGP ketika ini sedang mempertimbangkan beberapa litar lain sebagai pengganti dengan perkembangan baharu akan dikemas kini kemudian.
Litar Buriram sepatutnya menjadi tuan rumah MotoGP tahun ini seminggu sebelum GP Malaysia yang djadualkan berlangsung pada 24 Oktober.
Bagaimanapun, mengambil kira pembatalan GP Thailand dan Australia sebelum ini, Dorna juga dijangka mengumumkan pembatalan GP Malaysia atas faktor logistik dan situasi semasa Covid-19.
Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan bertanding di Sukan Olimpik Tokyo dengan basikal WX-R Vorteq.
Menurut Azizulhasni, basikal tersebut merupakan hasil daripada projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang telah menelan belanja RM13 juta hasil pelaburan besar Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama TOTALISM Ltd sejak empat tahun lalu.
Basikal tersebut akan turut digunakan seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dengan masing-masing dibekalkan tiga basikal setiap seorang.
Berdasarkan laporan media tempatan, basikal tersebut merupakan versi akhir dan tampil dengan warna hitam dan perak menggantikan model sebelum ini yang berwarna hitam rata.
“Sebenarnya dari segi rangka yang digunakan dalam latihan (versi lama) dan yang akan dibawa ke Olimpik adalah sama. Cuma versi terakhir mungkin beza dari segi warna dan kualiti lebih mantap.
“Ia tidak lagi akan dilengkapi dengan power meter kerana dalam perlumbaan sebenar kita tidak perlu mengukur kelajuan dan memperoleh data seperti latihan, hanya tumpu kepada tujuan untuk memenangi perlumbaan,” jelas Azizul.
Difahamkan, kos bagi seunit basikal WX-R Vorteq tersebut dianggarkan sekitar RM300,000. – BH
Beberapa hari setelah memuat naik ‘teaser’ di media sosial, KTM akhirnya merasmikan RC 8C , jentera khas litar lumba edisi terhad.
Terhad kepada 100 unit sahaja seluruh dunia dengan harga GBP30,999 (RM178 ribu), KTM RC 8C ini menawarkan peluang kepada pelumba baharu untuk mendapat jentera yang mirip dengan mesin perlumbaan tanpa perlunya pasukan khas untuk aspek penyelenggaraan dan talaan.
Dibangunkan bersama Kramer Motorcycles, RC 8C ini mendapat inspirasi dari jentera MotoGP KTM RC16 terutamanya panel badan yang menggunakan bahan jenis gentian kaca ringan yang diperkuat dengan karbon dan Kevlar.
Hasilnya, KTM RC 8C ini hanya seberat 140 kilogram, 26 kilogram lebih ringan berbanding Yamaha YZF-R25!
KTM RC 8C ini dihidupkan dengan enjin parallel-twin LC8 889cc DOHC dengan 8-valve (diambil dari 890 Duke R) yang menjana 128hp.
Menariknya, enjin ini disokong dengan kerangka jenis tubular steel 25CrMo4 yang telah direka khas.
Bagi memwujudkan jentera litar lumba yang ‘sempurna’, RC 8C ini dilengkapi dengan komponen suspension WP Pro tahap tertinggi menerusi fork depan WP APEX PRo 7543 43mm dengan katrij tertutup buatan tangan.
Menurut KTM, fork tersebut merupakan komponen yang dibangunkan pasukan sama yang bertanggungjawab dalam menyelenggara RC16.
Manakala kuasa enjin LC8 yang disalurkan ke bahagian belakang dikendalikan monoshock WP APEX PRO 7746 dengan fungsi compression dan reboud boleh laras mengikut kesesuaian penunggang dan keadaan litar.
Antara ciri menarik lain ditawarkan adalah:
tangki 16L
rim ‘forged’ Dymag dengan tayar jenis Pirelli SC1 (slick)
kaliper brek Brembo Stylema
cakera brek depan jenis terapung 290mm
cakera brek belakang jenis terapung 230mm
pam brek radia Brembo 19RCS Corsa Corta
ekzos titanium Akrapovic
KTM RC 8C ini juga didatangkan dengan sistem AIM MXS 1.2 RACE yang membolehkan rakaman data dan analisis dengan fungsi GPS diakses secara mudah dengan perisian AIM Race Studio.
Sejujurnya walaupun dengan harga yang agak keras namun dengan spesifikasi bercirikan RC16 di MotoGP, kami jangka RC 8C ini akan habis terjual dalam tempoh singkat.
Dani Pedrosa, akan kembali beraksi secara ‘one-off’ selaku pelumba wild-card Red Bull KTM Factory Racing di GP Styria yang akan berlangsung pada Ogos ini.
Mesra dengan jolokan ‘Little Samurai’, Pedrosa merupakan antara pesaing hebat di MotoGP sebelum bersara pada 2018 dengan 31 kemenangan di kelas premier dan 112 podium.
Selepas bersara, Pedrosa berkhidmat selaku pelumba uji KTM dan dengan inputnya sebagai pelumba berpengalaman telah berjaya membangunkan jentera RC16 yang berdaya saing untuk Brad Binder dan Miguel Oliveira.
Pedrosa undur diri pada 2018 ketika di Valencia dan selepas itu dia hanya terlibat dalam ujian tertutup bersama KTM.
Meskipun akui teruja untuk kembali dari persaraan selaku pelumba ‘wild-card’ secara ‘one-off’ namun fokus utama adalah terus membangunkan jentera RC16, khususnya memahami permintaan pelumba terhadap ciri teknikal dan sesi berbeza.
“Sememangnya cukup menarik untuk menjadi sebahagian daripada projek ini dari perngkat awal bersama KTM di MotoGP dan berkongsi pengalaman saya.
“Langkah demi langkah kami telah berikan yang terbaik dan kali ini cukup mengujakan untuk kembali berlumba kerana ini akan memberikan perspektif berbeza berbanding ujian biasa.
“Mentaliti yang diperlukan untuk perlumbaan GP sangat berbeza dengan sesi ujian. Tetapi fokus saya adalah menguji ciri yang ada pada jentera dalam situasi perlumbaan.
“Sukar untuk bercakap tentang jangkaan saya tetapi kami akan cuba menikmati hujung minggu itu seboleh mungkin,” jelas Pedrosa.
Kini telah mencapai usia 31 tahun, karier Pedrosa sememangnya cukup menyerlah apatah lagi bersaing dalam era yang kompetitif dengan barisan juara dunia antaranya, Jorge Lorenzo, Casey Stoner dan (rakan sepasukan di Repsol Honda) Marq Marquez.
Peluang muncul juara dunia tiba pada 2012, apabila Pedrosa memenangi enam daripada baki lapan pusingan namun kegagalan menamatkan aksi di GP Australia sudah cukup menghadiahkan Lorenzo kejuaraan dunia ketiganya.