Bikesrepublic

Berita Terkini

Moto Guzzi V100 Mandello merupakan model yang paling mencuri tumpuan pernah dihasilkan jenama motosikal Itali itu. Ini kerana, V100 Mandello merupakan titik permulaan Moto Guzzi melangkau ke era moden dengan jentera berteknologi tinggi. 

Selepas mendapat pujian melambung di Eropah, motosikal jenis ‘sports tourer’ itu akhirnya akan dipasarkan di Malaysia.

Berdasarkan info terbaru yang diperolehi, Moto Guzzi V100 Mandello akan dilancarkan di Malaysia pada 22 Jun ini oleh pengedar rasmi, DIDI Group. 

Moto Guzzi V100 Mandello dikuasakan enjin jenis ‘transverse’ V-Twin 1,042cc yang berupaya menghasilkan 115hp dan 105Nm pada 3,500rpm. Meskipun bersesaran lebih besar berbanding platform yang diguna pakai pada V85 TT, namun enjin V100 Mandello itu 103mm lebih pendek.

Buat masa ini, info terperinci terutamanya harga masih belum didedahkan namun kami beri jaminan segalanya akan terjawab pada 22 Jun ini. 

Ini bukan kali pertama laporan tentang Zontes sedang membangunkan enjin tiga silinder 800cc diterbitkan. Ini kerana hampir tiga tahun Zontes telah mencanangkan projek tersebut.

Bulan lalu juga timbul rakaman video yang memaparkan sebuah motosikal jenis adventure sedang menjalani ujian dan bunyi dihasilkan jelas merujuk kepada enjin tiga silinder. 

Namun, perkembangan terbaru mendapati Zontes bercadang untuk menggunakan platform terbaru itu bagi membangunkan tiga model berlainan yang merangkumi sebuah sportbike, naked dan adventure. 

Apa yang menarik, Motorrad Online berjaya mendapatkan gambar enjin tiga silinder daripada Zontes dan membandingkan dengan enjin tiga silinder CP3 milik Yamaha. Berdasarkan pemantauan, kedua-duanya tampak sama sekaligus memberi bayangan enjin Zontes itu mengambil ‘inspirasi’ daripada CP3 Yamaha. 

*Perbandingan antara enjin tiga silinder Zontes dan CP3 Yamaha.

Teknik ‘reverse engineering’ ini bukanlah perkara baru kerana satu lagi pengeluar China, Loncin, turut melakukan perkara sama dengan enjin Honda CB500X. 

Walaupun tiada maklumat terperinci ketika ini namun kami menjangkakan ketiga-tiga model Zontes tersebut akan tampil dengan reka bentuk moden dan futuristik seperti model sedia ada. 

Imej render yang dikongsikan sebelum ini juga memberi bayangan kasar akan reka bentuk yang akan dihasilkan. 

Apa yang pasti, pengeluar motosikal China sudah mula mengorak langkah dalam penghasilan jentera berkuasa tinggi. Jenama lain seperti CFMoto dan QJ Motor juga telah memulakan langkah lebih awal dengan masing-masing turut mendapat kepercayaan daripada jenama Barat  seperti KTM dan Harley-Davidson. 

Jadi tidak hairanlah Zontes bakal menjadi pengeluar China seterusnya yang akan turut memperkenalkan barisan motosikal berkuasa tinggi tidak lama lagi. Kami juga tidak terkejut jika beberapa model ini akan membuat penampilan di EICMA, November ini. 

Triumph Motorcycles Malaysia telah pun merasmikan pembukaan pusat pameran perdana Triumph Motorcycles Petaling Jaya, hari ini. 

Turut hadir ketika perasmian tersebut adalah Ketua Jualan Eksport Triumph Motorcycles, Cees De Rooij. Ketika ucapannya dia mendedahkan pasaran Malaysia merupakan antara daripada destinasi utama Triumph terutamanya bagi model berkapasiti kecil. 

Model yang dimaksudkan itu merujuk kepada kerjasama antara Triumph dan pengeluar India, Bajaj Auto yang akan memperkenalkan model bersesaran 400cc tidak lama lagi. 

Jelas De Rooij, model tersebut akan memasuki peringkat pengeluaran pada musim panas ini dan akan datang dengan dua varian seperti yang dilaporkan sebelum ini. 

Namun, menariknya De Rooij mendedahkan bahawa model tersebut akan turut dipasarkan di Malaysia.

“Model 400cc itu cukup sesuai untuk pasaran ini (Malaysia) dan beberapa pasaran lain di Asia. 

“Ini adalah usaha kami bagi menjadikan jenama Triumph lebih mampu milik berbanding model sedia ada,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pembangunan model baharu itu tidak akan hanya berlaku di India malah akan turut dipasang di kilang Triumph Motorcycles yang terletak di Ranong, Thailand. 

Triumph Motorcycles dijadualkan akan memperkenalkan model serba baharu itu pada 5 Julai ini dan dijangka menembusi pasaran global pada hujung 2023. 

Platform jualan alat ganti atas talian dari Malaysia, SpareXHub akan mengadakan jualan gudang besar-besaran pada 16 hingga 18 Jun ini yang menawarkan diskaun sehingga 80 peratus bagi barangan alat ganti tulen BMW, Mini dan BMW Motorrad termasuk aksesori dan minyak pelincir. 

Diskaun besar-besaran itu akan melibatkan pelbagai barangan BMW, MINI dan BMW Motorrad termasuk tawaran istimewa bagi alat ganti dengan permintaan tinggi. 

Bagi pelanggan yang hadir, anda akan disambut dengan kakitangan yang berpengalaman yang akan membantu dalam mengenal pasti produk dan alat ganti. Pada masa sama, orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat perundingan dan nasihat secara percuma daripada pakar.

Jualan gudang tersebut akan berjalan dari jam 9.30 pagi hingga 4 petang bertempat di DPF Global Logistic Sdn Bhd, Subang Jaya. 

Pengedar baharu jenama Triumph Motorcycles Di Malaysia, Didi Group, dengan rasminya melancarkan Triumph Street Triple 765 2023 untuk pasaran tempatan. 

Bagi pasaran Malaysia, tiga varian ditawarkan menerusi varian Street Triple 765 R, RS dan Moto2 Edition. Menurut Triumph Motorcycles Malaysia, varian R dijual dengan harga RM59,900 manakala RS pula ditawarkan dengan harga RM73,900. 

Apa yang baharu?

Pertamanya, Triumph membawakan teknologi Moto2 kepada Street Triple 765 2023 sekaligus tampil dengan kuasa lebih tinggi dan aspek menunggang lebih baik.

Hasilnya, varian standard (R) kini menghasilkan 118hp, naik 2hp berbanding model terdahulu sementara varian RS pula menawarkan 128hp. Kenaikan kuasa ini disumbang oleh nisbah mampatan yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Antara kemas kini yang dilaksanakan pada bahagian dalaman enjin termasuk piston baharu, con-rod baharu, serta ruang pembakaran yang telah direka semula sekaligus menyumbang kepada peningkatan kuasa. 

Spesifikasi dinaik taraf

Model 2023 juga telah didatangkan dengan pelbagai ciri baharu termasuk brek Brembo M4 dan suspensi Showa boleh laras bagi varian R.

Varian RS pula mendapat suspensi Showa SFF-BP 41mm di depan dan penyerap hentakan Ohlins di belakang sementara varian Moto2 Edition pula dilengkapi dengan suspensi Ohlins depan dan belakang. 

Pakej elektronik

Ketiga-tiga varian juga didatangkan dengan pakej elektronik baharu yang merangkumi Cornering ABS, Traction Control dan empat mod menunggang; Road, Rain, Sport dan Rider. 

Namun varian RS dan Moto2 Edition pula mendapat mod tambahan (Track). 

Dalam perkembangan sama, Triumph Motorcycles Malaysia turut merasmikan pembukaan pusat pameran perdana Triumph Motorcycles Petaling Jaya yang bertempat bersebelahan dengan Gasket Alley, Petaling Jaya. 

Pusat pameran itu merupakan yang kedua di Malaysia selepas Batu Caves dan menawarkan barisan model yang serba lengkap dan terkini. 

Bagi yang gemar melancong, Stelvio merupakan gunung popular di Itali dengan ketinggian 2,757 meter dari aras laut tetapi bagi yang menggemari jenama Moto Guzzi, Stelvio merujuk kepada motosikal ‘adventure’ yang dihasilkan dari 2007 hingga 2017. 

Jika anda merupakan peminat motosikal tersebut, Moto Guzzi ada berita baik kerana Stelvio bakal dihidupkan semula. Ini kerana syarikat induk, Piaggio Group telah memfailkan paten nama Stelvio sekaligus mengesahkan motosikal ADV itu akan diperkenalkan kembali. 

*Moto Guzzi V100 Mandello

Difahamkan, Moto Guzzi membangunkan semula Stelvio dengan menggunakan V100 Mandello sebagai asas utama. Perkara ini juga disahkan menerusi gambar ‘spy shot’ yang dikongsikan baru-baru ini. 

Berdasarkan imej tersebut, jelas menampakkan reka bentuk V100 Mandello namun dengan beberapa perbezaan ketara antaranya fork yang lebih panjang dan penggunaan rim jenis spoke (lidi) berbanding aloi. Turut kelihatan penghadang angin yang lebih tinggi bagi melengkapkan imej ADV. 

Selain itu, turut kelihatan komponen ‘handguard’, bashplate dan kedudukan lampu isyarat yang lebih tinggi berbanding yang ada pada V100 Mandello. 

Meskipun tiada info terperinci ketika ini namun mengambil kira generasi terbaru Stelvio ini mengguna pakai platform sama seperti V100 Mandello maka kami menjangkakan model baharu ini akan turut menawarkan kuasa sekitar 115hp dan 105Nm. 

Pada masa sama, kami menjangkakan Moto Guzzi akan mendedahkan model tersebut secara rasmi di EICMA 2023 yang akan berlangsung di Milan, November ini. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube