Bikesrepublic

Berita Terkini

Tidak dinafikan pasaran motosikal berkuasa tinggi semakin meningkat naik di Malaysia namun realitinya rata-rata model baharu datang dengan tanda harga yang tinggi.

Namun, itu tidak bermakna harapan untuk memiliki jentera berkuasa tinggi harus terkubur. 

Bagi yang merancang untuk memiliki sebuah motosikal berkuasa pada harga yang tidak terlalu membakar poket, kami senaraikan tujuh (7) motosikal terpakai bawah RM30,000 yang masiih berbaloi untuk dibeli hingga ke hari ini. 

1. Kawasaki Z800 – (RM25,000 hingga RM28,000)

Walaupun sudah berusia 10 tahun – diperkenalkan pada 2012 – Z800 masih lagi popular dikalangan peminat jentera berkuasa tinggi. 

Manakan tidak, enjin 806cc 4-silinder itu berupaya menghasilkan 113hp dan 83Nm dan mampu merekodkan kelajuan lebih 262km/j (atas kertas). 

Ketika diperkenalkan pada 2013, Z800 dijual pada harga sekitar RM47,000 namun kini model terpakai boleh didapati pada harga sekitar RM25,000 hingga RM28,000 sahaja. 

2. Yamaha MT-09 V1 – (RM27,000 hingga RM29,000)

Yamaha MT-09 (V1) merupakan antara motosikal yang masih lagi popular sehingga hari ini. 

Walaupun MT-09 sudah memasuki generasi ketiga dengan enjin yang lebih besar dan berkuasa namun model V1 (keluaran 2014) masih tampak cantik dan relevan.

Pada masa sama dengan 114.9hp dan 88Nm, model ini masih sangat pantas dan berkuasa. 

3. Honda CBR650F/CB650F 2014 – (sekitar RM26,000)

Honda CBR650F dan CB650F juga antara model yang cukup popular sewaktu diperkenalkan sekitar 2014.

Enjin empat silinder 649cc itu masih lagi menjadi daya penarik utama. 

Ketika dilancarkan pada 2014, kedua-dua model ini datang dengan harga sekitar RM46 ribu namun kini sudah boleh dimiliki pada harga jualan (terpakai) sekitar RM26,000 sahaja. 

4. Yamaha XJ6 – (RM16,000 hingga RM27,500)

Tahun 2014 sememangnya didominasi jentera empat silinder apabila Yamaha turut memperkenalkan XJ6 dan XJ6 Diversion. 

Tampil sebagai lawan kepada CBR650F dan CB650F, Yamaha XJ6/XJ6 Diversion ini menawarkan 77hp dan 59.7Nm. 

Kuasa yang tidak terlalu tinggi itu menjadikan XJ6 model yang cukup sesuai bagi mereka yang mahu menjinakkan diri dengan motosikal berkuasa tinggi. 

Tinjaun di Mudah.my mendapati model ini dijual pada harga antara RM16,000 hingga RM27,500 (bergantung pada tahun keluaran). 

5. Aprilia Shiver 750 (RM14,000 hingga RM20,000)

Aprilia mungkin sudah menghentikan keluaran Shiver 750 namun tidak dinafikan jentera naked ini merupakan motosikal Itali yang paling mampu milik ketika ini. 

Digerakkan enjin V-Twin 750cc yang menjana 94hp dan 81Nm, Aprilia Shiver 750 merupakan motosikal yang cukup ikonik terutamanya di Malaysia kerana pernah ditawarkan secara CKD oleh NAZA. 

Sebagai pengguna Shiver 750 keluaran 2016, motosikal ini sememangnya menawarkan pengalaman menunggang yang mengujakan meskipun agak berat, sekitar 220kg (berat basah). 

6. Kawasaki Ninja ZX6R 2008 (sekitar RM27,000)

Bagi yang mahukan jentera berkuasa tinggi yang mampu berikan prestasi terbaik terutamanya di litar, Kawasaki ZX6R (2008) ini wajar dipertimbangkan.

Walaupun agak berusia namun model ini masih mampu mengejar sebahagian besar jentera 600cc generasi baharu di litar lumba dengan bantuan 125hp dan 66Nm. 

Atas kertas, jentera ikonik ini mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 265km/j. 

Tinjauan di Mudah.my mendapati model ini sudah boleh didapati pada harga sekitar RM27,000 sahaja.l 

7. Honda VFR800 2007 – (sekitar RM25,000)

Jika mahukan sesuatu yang unik, Honda VFR800 wajar dipertimbangkan. 

Meskipun dah berusia 15 tahun namun konfigurasi enjin V4 782cc tersebut mampu menghasilkan 108hp dan 75.1Nm.

Sebagai sebuah jentera ‘sports tourer’, VFR800 ini bukan sahaja berkuasa malah praktikal untuk tunggangan jarak jauh.

Menariknya, model ini sudah boleh didapati pada harga sekitar RM25,000 sahaja. 

Demikian antara motosikal berkuasa tinggi (terpakai) yang dijual pada harga bawah RM30,000 yang wajib dipertimbangkan bagi yang mencari jentera berkuasa pada harga mampu milik.

Walaupun terdapat banyak model baharu ditawarkan ketika ini namun penting untuk mengambil kira faktor kewangan agar tidak menyusahkan di kemudian hari apatah lagi dengan krisis ekonomi yang bakal melanda pada 2023.

Selain daripada yang kami senaraikan di atas, apakah model lain (bawah RM30k) yang wajar dipertimbangkan? 

Pengedar rasmi jenama Triumph Motorcycles, Fast Bikes Sdn Bhd dengan rasminya menghentikan operasi selaku pengedar jenama itu bermula 14 Januari ini. 

Pengumuman itu dibuat Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes, Dato Razak Al Malique Hussain ketika sesi ‘Triumph Ratpack Gathering & High Tea’ di pusat pameran Triumph Motorcycles, Petaling Jaya.

Pada masa sama, pengedar Triumph Motorcycles di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu turut sama menghentikan operasi selaku pengedar jenama motosikal Britain itu. 

Bagaimanapun, Fast Bikes Sdn Bhd dibawah kendalian Dato’ Razal Al-Malique bersama kakitangan sedia ada akan pikul tugas baharu bermula Januari sebagai pengedar Honda Big Wing. 

Lebih menarik, pusat pameran Triumph Motorcycles sedia ada di Petaling Jaya itu akan turut menjalani renovasi besar-besaran selama dua bulan untuk ditukarkan kepada Honda Big Wing baharu. 

MForce Bike Holdings Sdn Bhd dengan rasminya melancarkan skuter urban adventure WMOTO XDV 250i untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan dari RM18,888 (Standard) dan RM21,888 (Project-X)

Menariknya, terdapat dua varian XDV 250i untuk pasaran tempatan melibatkan Standard dan ‘Project-X’ yang disertakan dengan top box, side panniers, rim jenis spoke (tubeless) dan penghadang angin lebih tinggi.

Berdasarkan info yang dikongsikan, model tersebut membawa nama WMOTO XDV 250i dan merupakan versi lebih besar berbanding WMOTO Xtreme 150i sedia ada.

Namun, ketika Xtreme 150i dijenamakan semula dari model Lifan KPV 150, model 250cc itu pula dijenamakan semula daripada Longjia XDV 250Si dan dipasang sepenuhnya di Malaysia. 

WMOTO XDV 250i ini dikuasakan enjin satu silinder 244.3cc SOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 24.13hp pada 9,750rpm dan 22.5Nm pada 6,750rpm. 

Sistem suspensi pula hadir dengan fork depan Kayaba 37mm dan monoshock berkembar belakang juga dari Kayaba. Sistem brek pula dikawal fungsi ABS dwi-saluran dengan kaliper brek jenis radial J.Juan yang dipadankan bersama cakera brek 240mm depan dan 220mm belakang.

Ruang letak barang – dibawah tempat duduk – juga boleh memuatkan sebuah helmet ‘fullface’.

Selain itu, XDV 250i itu juga dilengkapi tangki 13.5L dengan berat sekitar 168kg, fungsi ‘smartkey’, slot pengecas USB dan port 12V, paparan skrin digital LCD serta penghadang angin boleh laras.

Menurut MForce, WMOTO XDV 250i didatangkan dengan waranti dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dahulu). 

Nama Massimo Tamburini pastinya terlintas dalam minda apabila terfikirkan pereka motosikal legenda. 

Sebagai penghargaan kepada ikon dunia dua roda itu, MV Agusta akan melancarkan MV Agusta Tamburini Corse F43 sempena ulang tahun ke-25 model F4.

Melihat kepada beberapa imej dikongsikan, model khas yang terhad kepada 25 unit itu menampakkan reka bentuk sama dengan jentera F4. 

Disebabkan syarikat Itali itu tidak lagi menghasilkan F4 ketika ini mungkin ramai yang menganggap bahawa model istimewa ini dibina berasaskan MV Agusta F3. 

Bagaimanapun, terdapat beberapa sebab yang membuktikan bahawa MV Agusta Tamburini Corse F43 ini dibangunkan dari model F4.

Pertamanya, empat ekzos yang dipaparkan sememangnya mirip dengan yang terdapat pada MV F4. Keduanya, bahagian kerangka juga  jelas diambil daripada model F4. 

Namun, klu terakhir melibatkan legasi Tamburini bersama MV Agusta sendiri kerana mendiang pernah menghasilkan sebuah jentera halo berasaskan F4. 

Jadi, pasti anaknya, Andrea Tamburini, mahu menyambung legasi dengan sebuah jentera yang mempunyai hubungan istimewa dengan ayahnya sekaligus menafikan dakwaan bahawa model tersebut adalah sebuah F3.

Ketika ini, tiada pengumuman rasmi mengenai ketersediaan model khas tersebut namun pihak yang berminat sudah boleh menghubungi MV Agusta untuk membuat permohonan. 

Sebelum ini, dunia ‘sneakers’ dan dua roda tidak pernah ada sebarang hubungan antara satu sama lain apatah lagi pemakaian ‘sneakers’ bukanlah pilihan yang selamat terutamanya sewaktu menunggang motosikal.

Bagaimanapun, jenama kasut seperti Vans mula sinonim dengan penunggang motosikal jenis Harley-Davidson, retro klasik seperti Triumph dan geng skuter.

Namun, Adidas mengorak langkah berbeza apabila menjalinkan kerjasama dengan pengeluar motosikal Jepun, Kawasaki bagi menghasilkan kasut model ZX khas. 

Berkolaborasi buat kali ketiga, Kawasaki dan Adidas memperkenalkan kasut Adidas ZX22 KAWASAKI selepas melancarkan ZX800 dan ZX 5K BOOST.

Kasut ZX22 KAWASAKI tersebut menggabungkan pilihan warna Silver Metallic/Core Black dengan hijau ikonik Kawasaki yang terdapat pada bahagian lidah, dan midsole. 

Pemakaian juga tambah selesa dengan kehadiran midsole BOOST. 

Menariknya, kasut ZX22 KAWASAKI ini dihasilkan dengan penggunaan bahan kitar semula sekaligus mesra alam sekitar. Selain itu, kasut tersebut juga menawarkan ciri reflektif (3M).

Di Jepun, Adidas ZX22 KAWASAKI ini dijual pada harga JPY20,900 (RM671). 

KTM mungkin melakar nama di pentas kejuaraan dunia MotoGP kebelakangan ini terutamanya bagi kategori Moto2 dan Moto3. 

Meskipun begitu, pengeluar motosikal dari Austria itu masih ketandusan motosikal jenis ‘sportsbike’ berkuasa tinggi untuk pasaran global selepas terhentinya pengeluaran KTM RC8 pada 2015.

Walaupun KTM memperkenalkan RC 8C yang meminjam teknologi jenama itu di pentas MotoGP namun model tersebut hanyalah untuk kegunaan di litar lumba sahaja. 

Bagaimanapun, situasi itu akan berakhir tidak lama lagi selepas KTM dilihat sedang menguji jentera yang disebut sebagai RC990 baru-baru ini.

Ketika ini KTM tidak mempunyai enjin berkapasiti 990cc namun meninjau laporan media Eropah, KTM telah mengguna pakai enjin parallel-twin LC8c 889cc – yang terdapat pada KTM 890 Duke – lalu membesarkan ‘bore’ dan ‘stroke’ untuk mencapai kapasiti tersebut.

Ini bukanlah kali pertama jentera akan datang ini didedahkan namun perkembangan terbaru ini memberitahu bahawa model itu kini berada dalam keadaan siap berbanding sebelum ini. 

Melihat kepada reka bentuk keseluruhan model prototaip RC990 ini jelas menampakkan rekaan yang diilhamkan daripada KTM RC 8C. 

Selain itu, model prototaip itu juga menampakkan kerangka serba baharu seperti yang terdapat pada prototaip 990 Duke sebelum ini dan suspensi dari WP serta brek Brembo. 

Meskipun info lebih terperinci belum didedahkan setakat ini namun kami menjangkakan KTM RC990 ini mungkin akan membuat penampilan sekitar lewat tahun 2023. 

Apatah lagi melihat kepada kejayaan KTM menjual kesemua 200 unit KTM RC 8C 2023 dalam tempoh dua minit baru-baru ini, kedatangan RC990 pastinya akan mencipta impak sama. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube