Baru-baru ini kami dijemput menghadiri sesi menguji motosikal moped terbaru keluaran Aveta Malaysia, Aveta SVR 180.
Awalnya kami sendiri agak skeptikal dengan kemampuan SVR 180 tersebut namun setelah diberi kesempatan, ini antara rumusan yang kami boleh kongsikan.
Reka bentuk
Tak dinafikan, Aveta SVR 180 menawarkan reka bentuk yang menarik dengan bahagian depan yang tampak agresif ala Kawasaki Z1000.
Ciri lampu LED depan dan belakang serta penggunaan skrin digital LCD berwarna juga menyerlahkan imej sebuah kapcai moden.
Kuasa
Aveta SVR 180 menghasilkan 16.7hp pada 8,500rpm dan 15.5Nm pada 7,000rpm. Apa yang kami boleh katakan, kuasa yang dihasilkan enjin 175cc DOHC dengan penyejukan cecair itu sememangnya cukup baik.
Namun, prestasi penuh enjin satu silinder itu hanya akan hadir atas 4,000rpm. Lebih menarik, bunyi enjin yang dihasilkan ekzos stok juga agak agresif.
Transmisi 6-kelajuan juga beroperasi dengan lancar namun dengan hanya menunggang selama 10 minit tak cukup untuk berikan konklusi yang tepat.
Keselesaan
Reka bentuk tempat duduk SVR 180 menyamai model ‘supermoped’ lain dalam pasaran. Ini menjadikan SVR 180 sesuai untuk kegunaan harian.
Namun, untuk tunggangan jarak jauh, bahagian pinggul mungkin akan terasa kebas kerana kusyen SVR 180 agak keras.
Praktikal
Sebagai sebuah supermoped, SVR 180 menawarkan ciri praktikal antaranya kehadiran port pengecas USB. Ciri tersebut memudahkan penunggang untuk mengecas telefon pintar sewaktu menunggang. Ini secara tidak langsung juga menjadikan SVR 180 sesuai untuk membuat kerja-kerja penghantaran (delivery).
Selain itu, motosikal tersebut juga jimat minyak di samping didatangkan dengan tangki 6.6 – kedua terbesar dalam segmen ‘supermoped selepas SYM VF3i -, lebih besar dari Yamaha Y16 (5.6L) dan Honda RSX (4.5L).
Kualiti
Sebagai jenama baharu, kualiti sesebuah motosikal itu paling menjadi keutamaan.
Namun, Aveta sebenarnya menjenamakan semula motosikal Rato dari China dan dipasang di sini.
Rato merupakan sebahagian daripada Chongqin Rato Group dan bertanggungjawab menghasilkan motosikal sejak tahun 2007 lagi.
Walaupun masih baru, Aveta menjual antara 1,000 hingga 1,500 unit motosikal setiap bulan. Bagi syarikat yang baru bertapak sejak 2019, angka itu agak mengagumkan.
Kami juga diberi jaminan bahawa selain komponen berkualiti dan tahan lasak, servis selepas jualan dan alat ganti juga tersedia sekiranya diperlukan pelanggan.
Harga
Sebagai sebuah jenama baharu, halangan utama adalah memecah dominasi jenama yang lebih terkemuka.
Atas faktor itu, harga memainkan peranan besar jika mahu beri saingan.
Namun, Aveta SVR 180 ditawarkan pada harga RM9,998, lebih mahal dari Honda RSX (RM8,688) dan Yamaha Y15ZR (RM8,498).
Namun, berbanding Y15ZR yang kemungkinan besar lebih mahal di kedai motosikal, SVR 180 pula kekal dijual pada harga sama.
Malah, pengguna tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan motosikal baharu kerana rata-rata SVR 180 memang tersedia (readystock) di pasaran.
Rumusan
Aveta SVR 180 tidak dinafikan sebuah motosikal kapcai yang dibina dan dipasang dengan baik dan tidak rasa seperti sebuah motosikal rendah kualiti.
Untuk betul-betul rasa tertarik, perlu rasai sendiri kemampuan Aveta SVR 180 tersebut.
Kami sendiri skeptikal pada awalnya namun setelah merasai sendiri, pandangan kami juga mula beralih.