Bikesrepublic

Berita Terkini

Kebelakangan ini terdapat khabar angin bahawa jenama MV Agusta akan kembali ke Malaysia menerusi pengedar baharu.

Meskipun pada waktu itu siapakah pengedar dilantik masih kekal menjadi tanda tanya namun perkembangan terbaru beri bayangan bahawa AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI) merupakan pihak yang bertanggungjawab membawa jenama itu semula ke Malaysia.

Ini kerana baru-baru ini AMI telah memeterai kerjasama dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membangunkan projek AM-2, iaitu projek pembangunan motosikal tempatan yang akan dilancarkan pada suku ketiga 2023.

Sewaktu perasmian kerjasama tersebut, tetamu kehormat yang hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama-sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan AMI Ahmad Faez Yahaya telah bergambar dengan dua jentera MV Agusta, MV Agusta Turismo Veloce 800 dan MV Agusta F3.

Ini secara tidak langsung menguatkan dakwaan bahawa jenama motosikal dari Varese, Itali itu akan kembali bertapak di Malaysia. 

Walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi setakat ini namun ternyata perkembangan ini amat menarik untuk segmen motosikal premium di Malaysia yang ketika ini di dominasi Ducati dan BMW. 

Pada masa sama, sekiranya benar, kemasukan semula jenama MV Agusta menerusi pengedar baharu pastinya akan menggembirakan pemilik jenama Itali itu di Malaysia kerana adanya rangkaian pengedar dan servis selepas jualan yang kukuh selepas ini.

AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memeterai kerjasama untuk membangunkan projek motosikal tempatan.

Dikenali sebagai Projek AM-2, antara motosikal yang akan diperkenalkan terlebih dahulu babitkan kapasiti kecil.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan AMI, Ahmad Faez Yahaya, tahun pertama akan beri fokus pada motosikal jenis kapcai dan skuter.

Menariknya, projek motosikal tersebut akan dikuasai enjin 100 peratus dibangunkan anak tempatan. 

“Ia adalah pembangunan motosikal daripada tahap konsep sehingga pengeluaran produk yang dibangunkan oleh syarikat tempatan iaitu 100 peratus Bumiputera dan dijayakan dengan tenaga kerja mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang berkaitan.

“AMI mempunyai 16 jurutera dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bersama membangunkan motosikal jenis kapcai dan skuter untuk pasaran tempatan dan juga Asia Tenggara.

“Kita sudah memulakan projek ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, sekarang kita hampir tamat,” Ahmad Faez memberitahu HMetro. – HM

Sebanyak tujuh kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok di lapan lokasi sekitar ibu kota susulan angin kencang dan hujan lebat yang berlaku kira-kira 4 hingga 6 petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kejadian kereta rosak akibat pokok tumbang dilaporkan di hadapan sebuah kondominium di Bukit Kiara melibatkan dua buah kereta.

“Kejadian di Bukit Tunku dan Jalan Kuang masing-masing melibatkan sebuah kereta, di Kampung Kasipillay pula melibatkan sebuah kereta yang dinaiki oleh dua individu, mereka bagaimanapun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Selain itu, kejadian di Damansara Height pula melibatkan sebuah kereta manakala di Stesen Bas Jalan Duta sebuah kereta dan tiga buah motosikal rosak ditimpa pokok tumbang,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang sama di Taman Duta dan di Hadapan Kompleks KDN di Jalan Duta tidak melibatkan apa-apa kerosakan kenderaan.

Yayasan Metamorphosis menyasarkan seramai 1,000 anak muda menyertai konvoi bermotosikal dari Kuala Lumpur ke Perak sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 27 Ogos ini.

Presidennya, Datuk Razalif Zain berkata, ia susulan program turun padang dan mendekati golongan mat rempit pada Sabtu agar mereka tidak terkecuali dalam sambutan Hari Kemerdekaan negara.

“Konvoi itu akan diadakan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dari Jalan Duta di sini, menuju ke Tambun, Perak dengan beberapa intipati program termasuk beramah mesra dengan anak muda yang turut serta.

“Kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk mengawal keselamatan konvoi berkenaan,” katanya.

Pada Sabtu malam, Yayasan Metamorphosis mengadakan program santai bersama kira-kira 300 hingga 400 anak muda bermotosikal di sekitar Lembah Klang di sebuah restoran di Jalan Ipoh di ibu negara.

Razalif berkata, program ini adalah sebagai kesedaran kepada mat rempit agar tidak melakukan aktiviti yang membabitkan kesalahan jalan raya, namun dalam masa yang sama ruang tetap diberi kepada golongan berkenaan dengan cara lebih tepat.

“Kita mahu mereka sedar terhadap kesalahan yang dilakukan dan mahu mengelak mereka berada di jalan raya untuk merempit melalui penganjuran program-program terbabit.

“Sebelum ini, kita ada adakan program-program sebegini, namun ini adalah kali pertama kita adakan selepas dua tahun penularan wabak Covid-19,” katanya.

Suzuki telah pun memperkenalkan Hayabusa generasi ketiga tahun lalu yang hadir dengan pelbagai naik taraf terkini termasuk reka bentuk berbeza. 

Bagaimanapun, rata-rata peminat Busa berpendapat generasi ketiga itu “terlalu selamat” dan tidak lagi gila seperti model terdahulu.

Kami sendiri sukar mempercayai dakwaan itu kerana selepas menguji kemampun Suzuki Hayabusa 2021 yang ditawarkan Suzuki Malaysia, kami mendapati Hayabusa generasi terbaru itu masih lagi mengekalkan DNA sama.

Bagi yang mengikuti perkembangan Hayabusa, pastinya pernah dengar nama TTS Performance, sebuah syarikat yang berpangkalan di UK.

TTS Performance sudah sinonim dengan Hayabusa apabila berpengalaman menghasilkan Busa versi ‘supercharge’ lebih 20 tahun. 

TTS Performance dalam satu projek terbaru telah menjalinkan kerjasama dengan Kardesign bagi membangunkan jentera ‘supercharge’ terbaru dengan menggunakan Suzuki Hayabusa generasi terkini yang dilancarkan tahun lalu. 

Hasil dari kerjasama itu, TTS Performance X Kardesign memperkenalkan SuperBusa.

Menurut TTS Performance, SuperBusa itu menawarkan 372hp dan 250Nm! Kuasa tersebut dicapai dengan menyumbat enjin ‘supercharge’ Rotrex C30-94.

Antara ciri lain ditawarkan adalah rim gentian karbon Rotobox, ‘swingarm’ jenis ‘single-sided’, cakera brek lebih besar, suspensi serba baharu, komponen enjin yang telah diperkuat, serta pilihan warna istimewa. 

Menariknya, SuperBusa juga tampil dengan ‘winglet’, komponen yang kini cukup popular dikalangan jentera ‘superbike’ antaranya Ducati Panigale V4 S dan BMW S 1000 RR.

Bagi yang berminat, TTS Performance akan menghasilkan 40 unit SuperBusa – mengikut tempahan – dan ditawarkan pada harga GBP45,999 (RM243k). 

Santai Anak Utara (SAU) mensasarkan kehadiran lebih 100,000 peserta dalam karnival yang bakal berlangsung pada bulan depan.

Angka tersebut sekaligus akan mengatasi rekod SAU 5.0 pada 2017 apabila 80,000 peserta membanjiri Amanjaya Mall, Sungai Petani.

Bagi memastikan terdapat ruang mencukupi untuk menampung ketibaan himpunan motosikal yang besar, SAU 2022 akan berlangsung di MAEPS, Serdang, pada 3 September ini. 

Ini juga kali pertam SAU akan diadakan di luar wilayah utara.

SAU 2022 akan berlangsung dengan pelbagai aktviti termasuk kaedah menungang dengan selamat, pameran kerjaya, sembang bersama ikon permotoran dan banyak lagi.

Menurut pengasas SAU, Mohd Safiuddin Elias (Acai) dan Mohd Syauqi Ismail, objektif SAU kali ini bukan setakat menjadi tapak pertemuan kelab permotoran tempatan tetapi juga meningkatkan tahap kesedaran tentang keselamatan jalan raya.

“Dari segi usia, berdasar karnival sebelum ini, sebahagian besar peserta yang hadir adalah mereka berumur antara 15 hingga 30 tahun. 

“Malah, kami pernah menerima kehadiran peserta semuda 12 tahun yang datang dari Kuala Lumpur, meskipun ketika itu acara diadakan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Di sini saya ingin menasihatkan, tungganglah dengan selamat. 

“Jika mereka ingin hadir dengan menunggang motosikal mahupun kereta, maka perlulah ada lesen dan cukai jalan serta mematuhi peraturan dan undang-undang. 

“Bagi mereka yang muda dan belum layak mengambil lesen, maka tumpanglah dengan rakan yang mempunyai lesen. 

“Kami ingin menerapkan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat kepada pengunjung pada kali ini,” jelasnya. – BH

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube