Bikesrepublic

Berita Terkini

Motosikal yang ditunggang seorang peniaga telah merempuh sebuah Perodua Myvi yang membuat pusingan U di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Melekek, menyebabkan peniaga itu maut. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa Mazlan Mohamed, 57, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Simpang Ampat. 

“Hasil siasatan, kemalangan dipercayai berlaku ketika Myvi tersebut yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun sedang membuat pusingan U ke Simpang Ampat. 

“Mangsa yang menuju arah sama bagaimanapun gagal mengelak kereta berkenaan dan telah merempuh bahagian kiri pintu belakang kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, akibat rempuhan itu mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan. 

Mengulas lanjut beliau memberitahu, pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi bagaimanapun mendapati kawasan itu adalah dibenarkan untuk membuat pusingan U.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi kembali menyertai saingan Suzuka 8 Hours selepas dua tahun ia tidak dianjurkan disebabkan wabak COVID-19 yang melanda dunia.

Zaqhwan yang baru selesai menjalani ujian dua hari di Litar Suzuka, Jepun berkata, dia berpuas hati dengan keputusannya, lagi-lagi ini merupakan kali pertama pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA menguji jentera.

“Selesai dua hari ujian Suzuka 8 Hours,” kata Zaqhwan. “Gembira dapat kembali ke sini selepas dua tahun tidak berlumba di Suzuka. Terima kasih Honda Asia-Dream Racing with SHOWA kerana usaha gigih dilakukan.

“Ia bukan mudah buat kami kerana ini adalah motosikal baharu yang belum pernah kami uji sebelum ini tetapi saya percaya kami boleh menjadi lebih kuat pada minggu perlumbaan 8 jam nanti.”

Perlumbaan Suzuka 8 Hours 2022 kembali berada dalam kaledar FIM EWC dari 5 hingga 7 Ogos ini.

Pertandingan ini pernah menyaksikan nama besar sukan permotoran dua roda memenanginya seperti Wayne Rainey pada 1988, Eddie Lawson (1990), Mick Doohan (1991) dan Valentino Rossi (2001).

Dalam sesi ujian, Honda Asia-Dream Racing with SHOWA yang disertai Zaqhwan dan Gerry Salim menamatkan sesi ketiga dengan berada di kedudukan ke-14 sebelum ke-18 terpantas pada sebelah malam.

Nama Haqiem Stopa tak asing lagi bagi mereka yang sentiasa mengikuti “influencer” media sosial tempatan.

Beliau yang henti persekolahan pada Tingkatan Dua mengatakan walaupun persekolahannya tidak lengkap, dia masih berusaha untuk mengubah hidupnya.

“Saya tidak boleh tutup mulut orang tetapi cuba berusaha mengubah hidup walaupun hanya bersekolah setakat di Tingkatan Dua saja,” katanya.

Haqiem, 22, sebelum ini menerima kecaman hebat netizen selepas Timbalan Menteri Perpaduan Negara Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengangkatnya sebagai ikon permotoran anak muda.

Kemudian, dia sekali lagi dikecam netizen yang mempersoalkan kelayakannya diundang sebagai penceramah program motivasi sebuah sekolah menengah di sini (Kuala Lumpur) untuk berkongsi kisah hidupnya bersama pelajar.

Bagaimanapun, Haqiem menerusi ruangan Instagram (IG) Story memaklumkan kehadirannya bukan untuk mengajar pelajar membawa motosikal sebagaimana yang didakwa tetapi lebih kepada berkongsi latar belakang dirinya sendiri yang bangkit daripada kegagalan.

Pemuda berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu berkata, dia adalah anak bongsu daripada 12 beradik dan tinggal berjauhan dengan keluarga sejak berhijrah ke ibu kota enam tahun lalu.

“Ikutkan, emak dan ayah marah apabila saya ambil keputusan berhenti sekolah. Mereka ambil masa untuk terima dan saya faham emak serta ayah mahu yang terbaik juga berjaya seperti adik-beradik lain.

“Berulang kali juga saya terangkan pada keluarga dan selepas kemalangan hingga patah kaki pada awal 2020, baru keluarga merestui apa yang saya lakukan,” katanya dalam laporan oleh Harian Metro.

Bermula dengan bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kelantan, Haqiem kemudian mengambil keputusan tuntuk cuba mencari rezeki di ibu kota.

Sejak menjejakkan kaki ke sini, pelbagai pekerjaan pernah dilakukan Haqim antaranya pembantu di kedai telefon bimbit selain bekerja di golf resort.

Bagaimanapun, minat terhadap motosikal menyebabkannya mengumpul wang bagi membeli motosikal dan rutin menunggang sekadar hobi walaupun ramai mengaitkannya dengan kegiatan merempit.

Menyedari peluang untuk mencari rezeki, Haqiem menjalankan perniagaan minyak hitam berbekalkan wang simpanannya.

“Tengok orang ada, saya juga mahu jadi kumpul duit dan beli motosikal dengan wang simpanan. Cuma, saya nampak minat itu boleh menjana pendapatan jadi cuba usahakan perniagaan minyak hitam kerana melihatnya satu keperluan.

“Alhamdulillah, sambutannya semakin baik jadi ia beri semangat untuk merealisasikan perancangan bagi kembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Menurut Haqiem, dia sudah lali dengan tanggapan negatif orang ramai terhadapnya terutama sejak dirinya aktif dan dikenali di laman sosial.

“Bagaimanapun, saya berusaha ubah persepsi dan pandangan masyarakat dengan jadikan perniagaan sebagai satu kerjaya.

“Niat saya adalah cari rezeki halal dan tunjuk kepada orang luar yang individu suka bermain motosikal bukan boleh dipandang rendah. Terpulang kepada masyarakat jika mahu terus ada tanggapan sebegitu,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan akan menyiasat tindakan sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur memanggil pempengaruh media sosial, Haqiem Stopa sebagai penceramah dalam program mereka.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana perlu meneliti dari segi konteks mengapa Haqiem dipanggil.

Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan lembaga berambut panjang mengurai dan berpakaian serba putih sedang duduk di atas bumbung sebuah kereta, lapor laman berita Suara.com semalam.

Berdasarkan rakaman dikongsikan di laman Instagram itu, sebuah kereta dilihat sedang bergerak di sebatang jalan pada waktu malam.

Video itu dirakam dari sebuah kereta lain yang mengekori kenderaan tersebut. Ia jelas menunjukkan lembaga tersebut  sedang duduk di atas bumbung kereta itu.

Menyangka bahawa ia mungkin badan penumpang yang berdiri menggunakan tingkap pada bahagian bumbung, perakam bertindak mengekori dengan lebih rapat bagi mendapatkan imej lebih jelas.

Namun, setelah didekati, tiada sebarang tubuh badan manusia dilihat sedang berdiri di dalam kereta itu.

Video tersebut menjadi tular dengan netizen cuba meneka ‘objek’ sebenar yang berada di atas kereta itu.

“Itu ialah seorang wanita bertudung hitam yang sedang duduk. Di hadapannya kelihatan seperti ada seorang kanak-kanak lelaki. Apa yang pasti bukan hantu,” kata seorang netizen.

“Boleh tak sesiapa jelaskan mengapa rambutnya tidak terbang walau ditiup angin?” kata netizen lain.

Umum mengetahui bahawa Honda bakal memperkenalkan beberapa model bernadikan enjin 750cc tidak lama lagi.

Model dimaksudkan itu adalah Transalp 750 serta Hornet 750 dengan kedua-duanya telah pun disahkan menerusi dokumen dan tanda nama yang telah pun difailkan Honda di beberapa negara di Eropah dan Asia.

Bagaimanapun, laporan terkini daripada majalah motosikal Jepun, Young-Machine mendakwa Honda tidak akan berhenti disitu malah akan memperkenalkan dua lagi model 750cc.

Menurut laporan, Honda juga akan memperkenalkan CBR750RR dan Hawk 75.

Keempat-empat model ini akan dikuasakan enjin 750cc serba baharu dan bukannya platform sama yang digunakan pada X-ADV 750, Forza 750 serta NC750X.

Jika Transalp 750 mengisi ruang antara CB500X dan CRF1100L maka relevan jika Hawk 75 menjadi tawaran lebih mampu milik bagi Hawk 11 yang telah diperkenalkan awal tahun ini.

Sementara itu, CBR750RR juga mungkin menjadi jawapan Honda bagi menyaingi Yamaha R7 serta Aprilia RS660.

Apa yang boleh disahkan ketika ini adalah Honda akan memperkenalkan Hornet dan Transalp 750 hujung tahun ini sementara status CBR750RR dan Hawk 75 masih lagi samar.

Namun, mengambil kira Young-Machine tidak pernah lagi salah dalam membuat laporan mengenai kedatangan model baharu maka kami juga berasakan Honda akan membuat kejutan tidak lama lagi.

Cemburu terhadap hubungan bekas isteri dengan salah seorang pemilik motosikal disyaki punca  suspek bertindak membakar motosikal milik mangsa yang diparkir di bawah Blok G, PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil.

Tindakan membakar salah sebuah motosikal itu menyebabkan 34 buah motosikal pelbagai jenis yang berada di lokasi turut hangus terbakar. 

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, bertindak atas maklumat, lebih kurang pukul 2.30 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) daerah telah membuat risikan dan tangkapan ke atas tiga lelaki tempatan. 

“Kesemua suspek yang berusia antara 31 hingga 43 tahun diberkas di kawasan perumahan PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini. 

“Semakan mendapati kesemua suspek memiliki beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan kes dadah,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi. 

Jelas beliau, reman ke atas suspek telah dibenarkan selama enam hari bermula hari ini sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube