Bikesrepublic

Berita Terkini

Meskipun pasaran motosikal dunia terjejas dengan isu semikonduktor yang sekaligus memberi impak terhadap aspek pengeluaran dan harga, namun permintaan terhadap motosikal Ducati terus meningkat di Malaysia.

Bukan itu sahaja, ketika negara berada dalam tempoh pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ducati Malaysia, dibawah kendalian Dennis Michael berjaya memastikan permintaan terhadap motosikal jenama Itali itu terus meningkat.

Bukan itu sahaja, Ducati Malaysia juga berjaya memastikan permintaan pelanggan berjaya dipenuhi walaupun pusat jualan tidak dibuka dengan orang ramai tidak dibenarkan hadir.

Perkara itu disahkan Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Ducati Asia Pacific, Marco Biondi, ketika ditemui pada Mei lalu.

Biondi turut meluahkan rasa kagum dengan kemampuan Ducati Malaysia dalam memastikan perniagaan berjalan walaupun pasaran Ducati di rantau lain terjejas.

“Ketika pandemik kami sangat gembira dengan Dennis (Michael) dan pasukannya kerana berjaya memastikan jualan motosikal Ducati berjalan.

“‘Lockdown’ memberi kesan besar pada kami semua tetapi Ducati Malaysia tetap pastikan perniagaan mereka berjalan terutamanya menerusi jualan atas talian.

“Mereka cukup fleksibel dalam memastikan permintaan pelanggan tetap dipenuhi termasuk motosikal dan aksesori jadi kami sangat gembira,” jelasnya.

Menariknya, kejayaan Ducati Malaysia dalam memastikan permintaan pelanggan dipenuhi juga telah menyaksikan Malaysia muncul sebagai pasaran paling pesat membangun bagi jenama motosikal Itali itu.

“Kini kami teruja kerana Malaysia kini merupakan pasaran yang paling berkembang dengan pesat di rantau ini.

“Malaysia setakat ini mencatatkan peningkatan 30 peratus sehingga bulan Mei, berbanding tempoh sama tahun lalu” tambah Biondi lagi.

Sementara itu, Dennis Michael juga menjelaskan walaupun pasaran motosikal ketika ini terpalit dengan masalah kekurangan cip semikonduktor namun, permintaan terhadap motosikal Ducati terus meningkat.

“Tahun lepas sahaja Ducati berjaya jual lebih 60,000 unit seluruh dunia walaupun dalam tempoh pandemik dan tahun ini sahaja angka itu sudah hampir untuk diatasi (walaupun baru 6 bulan).

“Di Malaysia, jualan meningkat 30 peratus berbanding tahun lalu jadi itu jelas membuktikan bahawa walaupun dengan isu semikonduktor, namun pelanggan tetap sanggup tunggu untuk mendapatkan motosikal mereka,” katanya.

Ducati Malaysia telah pun memulakan kalendar 2022 dengan pelancaran enam model baharu baru-baru ini antaranya Multistrada V2, Streetfighter V2, Streetfighter V4 SP, Panigale V2 Bayliss, Scrambler Urban Motard dan Scrambler 1100 Tribute Pro.

Ketibaan enam model baharu ini dijangka akan terus memacu permintaan motosikal Ducati di Malaysia sekaligus memberi impak positif terhadap pasaran jenama itu di rantau Asia.

Baru-baru ini, filem Minions: The Rise of Gru telah ditayangkan di pawagam.

Filem ini mempunyai peminat yang ramai disebabkan watak Minions kecil dan kuning yang comel itu.

Sehinggakan, terdapat juga yang sangat meminati filem itu sehingga keretanya digayakan sepenuhnya merupai watak Minions itu.

Baru-baru ini, tular satu video yang dimuat naik oleh @illegaliff di TikTok berkenaan sebuah kereta Perodua Kancil versi Minion telah menarik perhatian warganet.

Lihat video penuh itu di bawah:

Apa yang menarik perhatian warganet adalah kecomelan kereta kecil itu yang berwarna kuning dan biru. Kereta itu menyerupai siri kartun Minion.

Susulan tularnya video tersebut yang kini meraih sehingga 10.6M views, 2.5M likes dan 54.2K comments di TikTok, rata-rata warganet menunjukkan pelbagai reaksi terhadap video tersebut.

Ada juga yang komen mengatakan peminat tegar sebenar patut cat rumahnya kuning dan biru juga!

Agak-agak bagaimana ya rupa dalam kereta ini?

“SELAGI hayat ada saya akan keluar ride, kalau orang cakap suruh saya duduk rumah sajalah, dekat rumah pun saya tak duduk diam, saya bantu sapu dan kemas rumah.”

Demikian kata Kamarudin Wahid, 77 tahun, yang terkenal dan tular dalam media sosial dengan gelaran ‘Cik Din YP’ bersama jentera retro miliknya Yamaha RD YP 250.

Anak jati Selangor yang menetap di Petaling Jaya itu tidak pernah merasakan aktiviti konvoi atau ride bermotosikal yang sinonim dengan golongan muda penghalang buat dirinya yang sudah berusia.

Dia yang juga seorang atuk kepada lapan orang cucu dan dua cicit itu kekal bertenaga setiap kali berkonvoi bersama rakannya menjelajahi negeri-negeri di bawah nama YP RD Club Malaysia.

Menelusuri bibit-bibit permulaan minat terhadap kenderaan dua lejang itu, seakan tidak diduga menjadi sinonim terhadap gelaran dirinya yang kini disebut sebagai ‘Cik Din YP’.

Minat pada kenderaan motosikal ketika umur 18 tahun, bermula dengan Vespa dan diikuti dengan berapa siri model motosikal lain, dia akhirnya memilih Yamaha RD YP sekitar 1998 sebagai jentera terakhirnya.

“Sewaktu saya meniaga air tebu, ada sebuah kumpulan motosikal YP, jadi dari situ saya timbul minat dan beberapa minggu selepas itu saya pun dapatkan motor YP ini.

“Isteri saya tidak pernah menghalang saya untuk keluar berkonvoi, anak-anak juga kadang ikut. Contohnya baru baru ini pergi ke Terengganu untuk sokong minat saya,” katanya.

Dia yang dikategori sebagai ‘otai permotoran’, Cik Din YP menepis segala tohmahan yang ditujukan kepadanya di media sosial agar berehat di rumah sahaja atas faktor umur.

“Pada orang yang cakap begitu, saya tak boleh rehat, saya suka ride, saya tidak minta satu sen daripada mereka yang mengecam, jadi hormat semangat dan jiwa saya terhadap hobi ini,” katanya.

Bercakap mengenai situasi pendapatan untuk selalu keluar konvoi motosikal , Kamarudin menjelaskan sumber kewangan dirinya tidak banyak seperti disangka umum.

“Saya sudah lama bersara dari sebuah kilang di kawasan Petaling Jaya, jadi berbekalkan duit simpanan dan wang diberikan oleh anak-anak, itulah sumber kewangan saya.

“Sebulan saya juga dapat RM300 sahaja daripada Baitulmal, jadi bila orang kata perlu berduit nak keluar konvoi itu salah, hanya perlu minat dan sokongan daripada rakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Cik Din YP menasihati buat semua mat rempit untuk menjauhi dadah jika sayangkan diri serta tidak merosakkan pandangan orang awam terhadap aktiviti permotoran.

“Mat rempit dulu pandai menghormati orang tua dan juga ibu bapa, tapi sekarang tengok mereka terlibat dengan ragut dan bunuh, ini semua salah dadah. Jangan sesekali dekatkan diri dengan dadah,” katanya.

Sahabat seperjuangan

Individu yang berada di belakang kamera merakamkan setiap gerak-geri Cik Din YP ketika konvoi dan memuat naik dalam media sosial bukanlah pembantu peribadi tetapi rakannya.

Azhanyzam Zakaria, 47 tahun, sudah lebih 20 tahun mengenali Cik Din dan idea untuk memuat naik ke dalam sosial media adalah sekadar perkongsian kepada umum.

“Kenal Cik Din pada sekitar tahun 1998, masa tu saya selalu lepak di Bangsar berkumpul dengan geng motor YP.

“Cik Din pula nampak baru lepas beli motor model yang sama, jadi kita tegur dan ajak masuk jadi ahli kelab, lagipun Cik Din seorang yang mudah diajak kalau ada konvoi.

“Idea untuk menceritakan tentang Cik Din di sosial media datang secara spontan, tiada niat ambil kesempatan buat dia, niat hanya ingin berkongsi kepada semua bahawa minat terhadap motor tiada batasan umur,,” katanya.

Sedekad pelari marathon

Rahsia mempunyai kudrat dan tenaga seakan-akan orang muda adalah gaya hidup sihat diamalkan Cik Din suatu ketika dulu yang merupakan atlet lari jarak jauh atau maraton.

Aktiviti maraton mula disertainya ketika umur 35 tahun, sukan yang dianggap sebagai sebab penyakit lelah yang dihadapinya dahulu telah hilang.

Mempunyai lebih daripada 100 medal penyertaan maraton sepanjang usia 35 hingga 45, antara larian yang suka untuk Cik Din sertai adalah larian sepanjang 47 kilometer.

“Masa kecil dahulu saya ada masalah kesihatan iaitu asma, tapi dari kecil lagi saya sudah aktif dengan aktiviti lasak lagi.

“Saya dengan rakan dulu bina set jim bersebelah dengan rumah saya,sampai satu tahap arwah mak saya risau keadaan kesihatan saya semakin teruk jika bersukan.

“Tapi dengan aktiviti itu saya sudah hilang semput dan asma, sejak itu saya suka berpeluh, usia sekarang, waktu petang juga saya kemas keliling rumah untuk berpeluh,” katanya.

Pahit manis atas motor

Memori pahit dan manis masih segar di dalam ingatan Cik Din YP sepanjang menjalani sisa hidup di atas kenderaan retro miliknya itu.

Sepanjang 59 tahun menunggang motosikal menawan negeri-negeri, pengalaman manis baginya adalah saat bersama-sama dengan rakan yang membantu antara satu sama lain dalam apa jua keadaan.

Dan terburuk baginya apabila rekod ‘bersih’ tidak pernah menerima sebarang saman akhirnya terjejas pada 2019 disaman atas kesalahan nombor plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan. – UTUSAN

Kawasaki bakal memperkenalkan generasi baharu Ninja 1000SX untuk pasaran global bulan ini.

Generasi terbaru Ninja 1000SX itu merupakan jawapan Kawasaki bagi menandingi GSX-S1000GT yang diperkenalkan Suzuki hujung tahun lalu.

Selama ini, motosikal ‘sports tourer’ itu sering diposisikan di antara ZX-10R dan Versys 1000 kerana menawarkan ciri jentera touring namun dengan kuasa seperti sebuah superbike.

Bagaimanapun, menurut laporan di Jepun, rekaan Ninja 1000SX akan datang itu akan lebih mengikut acuan ZX-10R baharu namun masih lagi mengekalkan tempat duduk yang selesa dan ergonomik tempat duduk yang lebih menegak sesuai untuk kegunaan jarak jauh.

Sementara itu, Ninja 1000SX itu akan dikuasakan enjin empat-silinder 1043cc yang telah ditala bagi menghasilkan kuasa lebih lancar pada rev rendah dan pertengahan.

Meskipun info sahih belum dikongsikan ketika ini namun media Jepun, Bike News mendedahkan bahawa Kawasaki akan melancarkan Ninja 1000SX itu pada 15 Julai ini.

Persoalannya, adakah Ninja 1000SX baharu itu akan turut dipertimbang pihak MODENAS untuk pelancaran di pasaran tempatan sebagai model CBU? Apa pun, nantikan pelancaran global Ninja 1000SX di Jepun pada 15 Julai ini.

Seorang bapa di Jakarta telah dikecam teruk warganet selepas merakam anaknya yang berusia lima tahun menunggang motosikal.

Dalam video yang telah dimuat naik di Instagram itu, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan menunggang skuter di sebuah kawasan lapang.

Dikatakan, kanak-kanak itu sedang belajar menunggang motosikal bawah pengawasan bapanya, namun dilihat kanak-kanak itu sangat kecil sehingga kakinya tidak cukup panjang untuk jejak tanah.

“Kanak-kanak belajar menunggang motosikal di bawah pengawasan bapanya,” demikian menurut keterangan pada video tersebut.

Video itu telahpun tular dan menerima kecaman teruk kerana perbuatan bahaya itu.

“Mengapa mahu ajar anak sekecil itu menunggang motosikal? Mahu kelihatan hebatkah? Itu bukan sayangkan anak, itu membahayakan anak,” kata seorang warganet.

“Kalau terjadi apa-apa perkara buruk, barulah ibu bapa mahu menangis. Kalau sayangkan anak, jagalah baik-baik,” ujar seorang lagi pengguna media sosial. 

WMoto Xtreme 150i merukan skuter ‘urban adventure’ yang dipasarkan di Malaysia sekitar Julai 2021 menerusi pengedar rasmi MForce Bike Holdings.

Setelah tepat setahun motosikal itu dipasarkan di Malaysia, MForce kini memperkenalkan WMoto Xtreme 150i Special Edition (SE) yang menampilkan pilihan warna Vibrant Green.

Namun, selain daripada pilihan warna baharu untuk tahun 2022, tiada perubahan dari segi spesifikasi dengan WMoto Xtreme 150i SE ini masih lagi dikuasakan enjin silinder tunggal 149.3cc, SOHC dengan penyejukan cecair yang menghasilakn 12.1hp pada 8,500rpm dan 11.8Nm pada 5,000rpm.

Antara ciri menarik ditawarkan:

  • berat 143kg
  • kapasiti tangki 11L
  • fungsi start-stop
  • sistem ABS
  • fork USD
  • monoshock belakang boleh laras
  • port pengecas UBS
  • lampu LED penuh
  • penghadang angin boleh laras


Melihat kepada info dikongsikan penjual tempatan, WMoto Xtreme 150i SE ini dipasarkan pada harga RM10,688.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube