Bikesrepublic

Berita Terkini

Buell Motorcycles telah pun mendedahkan dua jentera baharu untuk pasaran global, SuperTouring 1190 dan DR Baja, baru-baru ini.

Ketika DR Baja menampilkan rekaan konvensional bercirikan ‘dirt bike’, reka bentuk SuperTouring 1190 paling mencuri tumpuan.

Ini kerana ketika gambar teaser yang ditayangkan setahun yang lalu membuatkan ramai berasa teruja, model sebenar yang dipamerkan secara rasmi di Daytona Bike Week 2022 baru-baru ini ternyata menimbulkan persoalan.

Didakwa sebagai motosikal touring paling berkuasa oleh Buell Motorcycles (pada pendapat kami dakwaan itu mudah disangkal oleh Kawasaki H2 SX), SuperTouring 1190 ini dikuasakan enjin V-Twin 1190cc yang sama diambil dari model sportsbike, The Hammerhead.

Enjin tersebut berupaya menghasilkan 185hp dan 137Nm.

Walaupun angka dihasilkan mengagumkan namun cerita sama tidak dapat dikatakan tentang rekaan jentera tersebut.

Ini kerana rupa keseluruhan model cukup pelik dan luar biasa.

Ruang depan menempatkan lampu LED berbentuk bulat berkembar yang diinspirasikan dari model Buell XB12 dan dimuatkan dalam panel serba hitam yang besar.

Sementara bahagian atas pula diletakkan penghadang angin menegak dengan profil sisi memaparkan rekaan berkonsepkan ‘fuel-in-frame’.

Sejujurnya, rupa SuperTouring 1190 seakan gabungan cebisan pelbagai jenis motosikal Buell Motorcycles lain.

Selain dari rupa yang pelik, Buell SuperTouring 1190 juga didatangkan dengan tanda harga yang luar biasa, USD21,995 (RM92k).

Sementara itu, DR Baja pula menandakan langkah baharu Buell Motorcycles dalam segmen ‘dirt bike’.

Turut dikuasakan enjin V-Twin 72-darjah 1190cc, DR Baja ini juga merupakan motosikal paling berkuasa dalam segmennya, dengan 175hp.

Wuyang Honda telah pun memperkenalkan CG125 edisi khas sempena sambutan ulang tahun ke-30 motosikal tersebut di pasaran China.

Pertama kali diperkenalkan Honda Jepun pada 1976, CG125 bingkas menjadi pilihan pengguna untuk kegunaan harian.

Ekoran pembinaan yang kukuh dan tahan lasak, Honda CG125 cukup popular dikalangan orang ramai yang mahukan jentera yang praktikal dan sesuai digunakan setiap hari.

Sejak 1976, Honda CG125 telah pun dipasarkan di beberapa pasaran dunia lain.

Meskipun pegeluaran CG125 telah dihentikan di Jepun sejak 2008, negara lain seperti Pakistan, motosikal itu masih lagi ditawarkan sejak 1992.

Kini, legasi Honda CG125 diteruskan di pasaran China oleh Wuyang Honda, yang merupakan rakan niaga Honda di negara itu.

Bagi tahun 2022, Wuyang Honda memperkenalkan edisi Ulang Tahun ke-30 yang tampil dengan beberapa sentuhan premium dan warna baharu.

Honda CG125 Special itu didatangkan dengan gabungan warna biru dan putih serta memaparkan logo kepak ikonik Honda dan lencana Wuyang Honda.

Namun, Honda CG125 Special itu masih lagi dikuasakan enjin satu-silinder 125cc dengan penyejukan udara yang menawarkan 9.8hp. Enjin tersebut juga jimat minyak dengan Wuyang Honda mendakwa CG125 Special itu mampu pergi lebih 200km dengan setiap isian penuh tangki 9.2L.

Model itu juga didatangkan dengan tempat duduk baharu dengan kemasan ‘faux leather’, ‘fork gaiters’, serta fender, enjin dan gear berwarna hitam.

Ciri lain turut diperkenalkan adalah meter analog, lampu depan, belakang dan lampu isyarat berbentuk segi empat.

Lebih menarik, CG125 Special itu ditawarkan pada harga CNY7,480 (RM4.9k) sahaja.

Juara Petronas Malaysian Cub Prix kategori CP150, Azroy Hakeem Anuar akan kembali bagi musim 2022 dengan misi mempertahankan kejuaraan dimenanginya musim lalu.

Bagaimanapun, musim baharu yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini menyaksikan Azroy akan turut bertemankan jentera baharu, Honda RSX 2021.

Pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu itu akan menggunakan Honda RSX 150 yang telah dilancarkan pada hujung tahun lalu. Ini merupakan kali pertama model terbaru dari Honda itu akan beraksi di litar.

“Matlamat saya untuk tahun ini adalah untuk mempertahankan gelaran juara.

“Jentera Honda RSX-150 akan menggantikan motosikal Honda RS150 yang digunakan sebelumnya.

“Kami begitu yakin dengan kebolehan motosikal baharu ini dan kami berharap bukan sahaja akan berjaya mempertahankan gelaran Juara CP150 tetapi turut memenangi gelaran Juara Pasukan CP150 musim 2022,” jelasnya.

Pada masa sama, Azroy akan menggunakan nombor #1 pada musim kali ini yang sememangnya angka khas untuk juara bertahan.

“Nombor ini sememangnya jarang digunakan dalam perlumbaan.

“Kali terakhir nombor ini diperlagakan di atas litar perlumbaan adalah dalam musim 2014 apabila ianya digunakan oleh Zaqhwan Zaidi,” tambah Azroy.

Aksi pembukaan tirai Petronas Malaysia Cub Prix akan berlangsung di Litar Utara SIC pada 12 dan 13 Mac ini.

Remy Gardner menyifatkan aksi pelumba WithU Yamaha RNF Racing, Darryn Binder sewaktu pusingan pertama di Litar Lusai, Qatar sebagai membahayakan.

Seperti Binder, Gardner juga membuat penampilan sulung di kelas premier musim ini bersama Tech3 KTM.

Meskipun berjaya mengutip satu mata selepas menamatkan aksi di kedudukan ke-15, pelumba KTM itu berasakan dia mampu mencapai posisi yang lebih baik dengan mengejar Andrea Dovizioso dan Maverick Vinales jika bukan sebab Binder.

“Pada satu ketika, saya rasa seperti mampu kejar Vinales dan Dovizioso tetapi Binder berada di depan saya ketika itu dan saya tidak dapat memintasnya.

“Dia datang dari kelas Moto3, jadi tunggangannya bersepah, termasuk memasuki garisan pelumbaan tanpa menoleh walaupun ketika itu dia tersasar jauh.

“Situasi ini sangat membahayakan dan saya juga tertinggal dari kelompok depan.

“Saya mahu bersemuka dengannya (Binder) bagi membincangkan perkara ini,” jelas Gardner.

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan rasminya melancarkan model moped terbaru, Yamaha 135LC EFi 2022.

Bagi tahun 2022, 135LC ini menerima kemas kini yang besar bermula dengan bahagian enjin yang kini dihidupakan dengan platform silinder tunggal 135cc SOCH dengan penyejukan cecair yang menjana 12.5hp pada 8,000rpm dan 12.2Nm pada 6,000rpm. Kuasa enjin kemudiannya disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 4-kelajuan.

Sistem pembakaran juga lebih efisien dengan bantuan suntikan bahan api (fuel injection) berbanding karburetor sebelum ini.

Sementara itu, sistem suspensi dikendalikan fork depan jenis teleskopik manakala komponen brek pula hadir dengan cakera brek tunggal depan dan belakang.

Antara naikt taraf lain yang turut diperkenalkan adalah seperti berikut:

  • lampu LED penuh depan dan belakang
  • paparan digital baharu
  • bakul depan dengan ruang simpanan premium
  • slot pengecas USB tertutup
  • tangki 4.6L (naik 0.6L berbanding model terdahulu)

Pada masa sama, rekaan 135LC Fi juga telah diperbaharui dengan HLYM mendakwa menghasilkan kadar geseran angin yang lebih rendah sekaligus meningkatkan tahap aerodinamik keseluruhan motosikal.

Model 135LC Fi 2022 ini ditawarkan dengan tiga pilihan warna menarik; Ruby Red, Crystal Cyan dan Midnight Star serta Desert Storm (SE).

Menurut HLYM, Yamaha 135LC Fi ini ditawarkan pada harga RM7,798 bagi varian standard dan RM8,198 bagi varian SE.

Pakatan Harapan (PH) telah menawarkan bayaran deposit 10 peratus pembelian motosikal baharu bagi golongan B40 di Johor.

Usaha itu merupakan antara inisiatif untuk memikat pengundi di samping membantu golongan B40 sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung di negeri itu pada 12 Mac ini.

Namun, antara syarat dikenakan hanya individu B40 yang mahu menggunakan motosikal untuk tujuan pekerjaan layak memohon.

Bagaimanapun, setakat ini tiada info lanjut didedahkan mengenai insentif tersebut termasuk jenis motosikal dan harga yang dilayakkan untuk pembelian. PH juga tidak memaklumkan jumlah deposit 10 peratus yang dibenarkan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube