Bikesrepublic

Berita Terkini

Seorang lelaki telah cuba untuk menyogok seorang anggota polis dengan wang tunai RM200 dan akibatnya telah diberkas di Kemaman.

Dia telah cuba memberi rasuah itu sebagai dorongan melepaskan diri daripada pemeriksaan.

Suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Pekan, Pahang tersebut didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 4.10 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, lelaki telah ditahan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di lokasi kejadian.

Beliau memberitahu, pemeriksaan itu dilakukan setelah suspek kelihatan dalam keadaan mencurigakan bersama sebuah motosikal Honda Dash 125.

“Dia gagal mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan motosikal tersebut apabila diminta anggota polis terbabit.

“Pemeriksaan menerusi dokumen pengenalan dirinya pula mendapati lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Hanyan berkata, sewaktu hendak dibawa untuk menjalani ujian urin, suspek telah menghulurkan wang tunai RM200 dipercayai sebagai rasuah untuk menyelesaikan kes.

Honda CBR150R kini tampil dengan edisi Repsol bagi tahun 2022 menyertai pilihan warna sedia ada yang ditawarkan di pasaran.

Livery Repsol ini secara tidak langsung menyerlahkan lagi rupa CBR150R secara menyeluruh terutamanya dengan penggunaan warna terang sama seperti yang terpampang pada jentera RC213V Honda di MotoGP.

Penggunaan warna oren juga diterapkan di bahagian rim, tangki dan di bahagian atas lampu depan.

Bagaimanapun, tiada perubahan lain dilakukan terhadap bahagian spesifikasi dan enjin yang masih lagi digerakan enjin satu silinder 150cc DOCH yang menawarkan 16hp pada 9,000rpm dan 13.7Nm @ 7,000rpm.

Kuasa disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan manakala sistem brek pula dikendalikan ABS dwi-saluran.

Menariknya, BSH mendedahkan bahawa CBR150R edisi Repsol ini hanya terhad kepada 800 unit sahaja dan ditawarkan pada harga RM13,499.

Pelumba berpengalaman, Andrea Dovizioso akan meninggalkan Kejuaraan Dunia MotoGP hujung musim ini.

Dovizioso mengesahkan perkara itu dengan mendedahkan bahawa dia tidak akan mencari slot bagi musim 2023 sebaliknya akan mencari alternatif lain atau bersara terus dari dunia perlumbaan.

“Saya tidak akan berlumba, itu pasti. Saya selalu berkata bahawa jika saya gagal beraksi secara kompetitif, saya tidak mahu berada di sini lagi.

“Saya tenang sahaja tentang perkara ini. Sebelum ini saya telah pun berehat dari perlumbaan selama enam bulan. Jadi saya tidak ada sebarang masalah,” jelasnya.

Pelumba Itali itu ketika ini memasuki musim ke-15 di MotoGP dan bersama-sama pasukan RNF Racing kendalian Datuk Razlan Razali yang disertainya di penghujung musim 2021.

Bagaimanapun, pelumba itu seakan bergelut sejak kembali ke MotoGP apabila hanya mampu mengutip empat mata selepas 11 pusingan.

Pada masa, peralihan RNF Racing dari Yamaha ke Aprilia musim depan juga menyaksikan kedudukannya di pasukan satelit Yamaha itu tergugat.

Apa pun, Dovizioso sendiri tidak bercadang untuk meneruskan kariernya di perlumbaan berprestij itu namun masih belum mengesahkan sama langkah seterusnya adalah bersaing di kejuaraan lain ataupun bersara.

Ini merupakan kali kedua Dovizioso tinggalkan MotoGP selepas meninggalkan Ducati pada penghujung musim 2020 ekoran masalah gaji. Dovizioso juga menolak tawaran dari Aprilia tahun lepas sebelum membuat keputusan sertai RNF.

Jenama motosikal Itali, Aprilia, telah pun memperkenalkan skuter maxi SR MAX 250 HPE di China.

HPE merujuk pada High Perfomance Edition yang sekaligus memberi tumpuan kepada naik taraf prestasi enjin.

Berdasarkan info dikongsikan, SR MAX 250 HPE ini dikuasakan enjin satu silinder 244cc 4-lejang dengan penyejukan cecair yang menjana 25hp dan 21.6Nm.

Skuter maxi ini juga mengekalkan beberapa elemen daripada model lebih besar, SR MAX 300 yang pernah dilancarkan beberapa tahun lalu.

Antara ciri menarik lain ditawarkan adalah penggunaan lampu LED depan dan belakang, penghadang angin yang lebar dan tinggi, tempat duduk yang lebar serta skrin TFT 7-inci.

Menariknya, skuter ini juga menawarkan fungsi traction control dan dua mod menunggang; Eco dan Sport.

Kawalan brek pula dikendaliakn cakera brek 260mm depan dan 240mm belakang dengan bantuan ABS dwi-saluran.

Menurut laporan di China, jualan Aprilia SR MAX 250 HPE buat masa ini hanyalah khas untuk pasaran China namun kemungkinan akan turut pasarkan di negara Asia pada masa akan datang seperti mana yang berlaku pada skuter SR GT 125 dan SR GT 200.

Motosikal yang ditunggang seorang peniaga telah merempuh sebuah Perodua Myvi yang membuat pusingan U di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Melekek, menyebabkan peniaga itu maut. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa Mazlan Mohamed, 57, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Simpang Ampat. 

“Hasil siasatan, kemalangan dipercayai berlaku ketika Myvi tersebut yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun sedang membuat pusingan U ke Simpang Ampat. 

“Mangsa yang menuju arah sama bagaimanapun gagal mengelak kereta berkenaan dan telah merempuh bahagian kiri pintu belakang kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, akibat rempuhan itu mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan. 

Mengulas lanjut beliau memberitahu, pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi bagaimanapun mendapati kawasan itu adalah dibenarkan untuk membuat pusingan U.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi kembali menyertai saingan Suzuka 8 Hours selepas dua tahun ia tidak dianjurkan disebabkan wabak COVID-19 yang melanda dunia.

Zaqhwan yang baru selesai menjalani ujian dua hari di Litar Suzuka, Jepun berkata, dia berpuas hati dengan keputusannya, lagi-lagi ini merupakan kali pertama pasukan Honda Asia-Dream Racing with SHOWA menguji jentera.

“Selesai dua hari ujian Suzuka 8 Hours,” kata Zaqhwan. “Gembira dapat kembali ke sini selepas dua tahun tidak berlumba di Suzuka. Terima kasih Honda Asia-Dream Racing with SHOWA kerana usaha gigih dilakukan.

“Ia bukan mudah buat kami kerana ini adalah motosikal baharu yang belum pernah kami uji sebelum ini tetapi saya percaya kami boleh menjadi lebih kuat pada minggu perlumbaan 8 jam nanti.”

Perlumbaan Suzuka 8 Hours 2022 kembali berada dalam kaledar FIM EWC dari 5 hingga 7 Ogos ini.

Pertandingan ini pernah menyaksikan nama besar sukan permotoran dua roda memenanginya seperti Wayne Rainey pada 1988, Eddie Lawson (1990), Mick Doohan (1991) dan Valentino Rossi (2001).

Dalam sesi ujian, Honda Asia-Dream Racing with SHOWA yang disertai Zaqhwan dan Gerry Salim menamatkan sesi ketiga dengan berada di kedudukan ke-14 sebelum ke-18 terpantas pada sebelah malam.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube