Bikesrepublic

Berita Terkini

Suzuki Malaysia dalam satu perkongsian di media sosial mengumumkan tempahan dibuka bagi dua model baharu yang akan dilancarkan dalam masa terdekat, Suzuki V-Strom 800DE dan GSX-8S 2023. 

Pengambilan tempahan itu secara langsung mengesahkan ketibaan model jenis adventure dan sports naked itu. Menariknya, berdasarkan info dikongsikan, mereka yang membuat tempahan juga akan menerima jemputan ke majlis pelancaran tersebut.

Selain itu, pelanggan juga akan menerima pakej ‘Adventure Ride’ dan hadiah ‘Ride Beyond Boundaries’ secara percuma.

Berdasarkan info yang kami perolehi, kedua-dua model tersebut akan dilancarkan di Kuala Lumpur pada 18 Jun ini. 

Untuk rekod, kedua-dua model ini mencuri tumpuan kerana dikuasakan enjin parallel-twin 800cc serba baharu yang dibangunkan Suzuki. Selain platform baharu, kedua-duanya juga mencerminkan langkah terbaru Suzuki dalam merangka motosikal yang lebih moden dan berteknologi tinggi untuk pasaran global. 

Nantikan laporan penuh mengenai pelancaran dua model ini pada 18 Jun nanti. 

Marc Marquez menegaskan sasaran utamanya adalah untuk kekal bersama Honda namun tidak menolak kemungkinan untuk berhijrah ke pasukan lain seperti Ducati. 

Marquez telah bersama Honda sepanjang kariernya dan walaupun Ducati sendiri telah menafikan khabar angin yang kaitkan pasukan Itali itu dengan Marquez, desas-desas tersebut masih lagi bertebaran. 

Antara yang buka mulut mengenai khabar angin itu adalah lima kali juara dunia, Jorge Lorenzo yang menjangkakan Marquez akan ke Ducati sama ada sertai pasukan ‘factory’ ataupun satelit. 

Bagaimanapun, Marquez tekad mahu kekal bersama Honda meskipun kontraknya tamat pada 2024. 

“Jorge (Lorenzo) seorang pelumba yang hebat tetapi kita lihiat jika dia juga hebat dalam membuat tekaan.

“Apa pun, saya masih mempunyai baki kontrak bersama Honda dan saya kekal komited kepada mereka.

“Mereka (Honda) akan tetap menjadi pelan A saya tetapi pada masa sama saya akan terus mencari projek yang boleh menyumbang kejuaraan. Saya tak kisah tetang warna, nama atau pasukan nama,” jelas enam kali juara dunia MotoGP itu. 

Walaupun beberapa tahun ini kurang memberangsangkan bagi Marquez namun mengambil kira kejayaan beberapa tahun sebelum ini Honda tetap keutamaan.

“Saya masih percaya pada Honda. Memang benar keadaan semasa agak sukar tetapi kami masih lagi mampu bersaing ketika di Le Mans. Saya tak tengok pada Honda sebaliknya pada diri sendiri,” tambahnya. 

Saingan MotoGP kembali bersambung hujung minggu ini di Mugello. 

Kawasaki mencuri tumpuan baru-baru ini dengan pelancaran Ninja ZX-6R generasi terbaru yang telah dikemas kini dengan enjin Euro 5.

Kemas kini itu menyaksikan ZX-6R akan terus dijual dipasaran global berbanding pesaing terdekat Yamaha R6 dan Honda CBR600RR. Ini kerana Yamaha telah pun menghentikan jualan R6 atas faktor emisi ketat sementara CBR600RR hanya dijual di pasaran lain yang tidak terikat dengan peraturan emisi semasa. 

Bagaimanapun, selain ZX-6R, Kawasaki turut memperkenalkan Ninja ZX-10RR baharu yang telah dikemas kini dengan ‘variable air intake system’ (VAI). 

Dengan adanya VAI, kotak udara di dalam ZX-10RR kini menempatkan corong udara boleh gerak yang boleh meningkatkan prestasi jentera mengikut RPM tertentu. Ketika corong berada pada kedudukan atas, udara yang masuk akan memintas sistem VAI dan terus masuk ke ruangan enjin bagi menghasilkan prestasi optimum. 

Ketik corong berada di kedudukan bawah, udara yang masuk akan melalui ruangan yang lebih tinggi lalu meningkatkan prestasi enjin pada rpm rendah. 

Namun, bagi mengaktifkan sistem VAI tersebut, jentera perlu dilengkapi dengan ECU perlumbaan. Jadi bila dalam konfigurasi untuk jalan raya, sistem VAI tersebut tidak akan diaktifkan dan corong udara akan kekal dalam kedudukan atas. 

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-10RR 2024 ini terus dikuasakan enjin empat silinder 998cc dan berupaya menghasilkan 200hp dan 114.9Nm. 

Ninja ZX-10RR ini juga dilengkapi dengan ‘connecting rods’ jenis titanium jenama Pankl dan piston yang lebih ringan berbanding model ZX-10R. Menariknya, ZX-10RR ini juga kurang satu ‘piston ring’ berbanding model standard sekaligus mengurangkan geseran di dalam enjin. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • rim ‘forged’ Marchesini 
  • tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP
  • traction control
  • ABS
  • cornering management
  • quickshifter
  • stereng damper Ohlins

Ketika ini Kawasaki Malaysia masih belum menawarkan Ninja ZX-10RR untuk pasaran tempatan kecuali ZX-10R. 

Triumph Motorcycles bakal melancarkan model berkapasiti kecil hasil kerjasama dengan pengeluar India, Bajaj Auto pada 5 Julai ini. 

Seperti laporan sebelum ini, kerjasama Triumph-Bajaj itu menyaksikan beberapa model akan diperkenalkan termasuk jenisc scrambler dan cafe racer. Meskipun sehingga ini belum dapat dipastikan enjin yang akan diguna pakai namun terdapat desas-desus model tersebut akan membabitkan enjin bawah 400cc. 

Apa yang pasti, model sulung itu akan digerakkan platform satu silinder dengan sistem penyejukan cecair. Antara ciri lain bakal ditawarkan termasuk cakera brek depan dan belakang serta sistem ABS. 

Apa pun, segala info terperinci akan didedahkan pada hari pelancaran nanti yang akan dijadualkan berlangsung pada 5 Julai 2023. Nantikan laporan penuh di MotoMalaya.net

Umum sedia maklum bahawa KTM bakal mengembangkan lagi portfolio sedia ada dengan memperkenalkan model skuter elektrik.  

KTM turut mendedahkan jentera konsep tiga tahun lalu yang memaparkan reka bentuk radikal dan futuristik. 

Selang ke masa kini, kita kini diberi peluang menyaksikan skuter KTM buat julung kalinya berdasarkan gambar ‘spy shot’ yang dikongsikan media antarabangsa, Motorradonline.de

Berdasarkan gambar tersebut, jelas menampakkan sebuah motosikal jenis skuter yang sedang menjalani ujian di Eropah.

Meskipun skuter ujian tersebut nampak hambar dengan dilitupi panel badan berwarna kelabu namun kami yakin KTM akan mewarnai skuter tersebut dengan kombinasi warna hitam dan oren sebaik dibawa ke peringkat pengeluaran kelak. 

Buat masa ini tiada maklumat terperinci didedahkan namun melihat kepada rupa skuter tersebut, terdapat beberapa ciri yang kami kenal pasti. Antaranya, gabungan lampu LED projektor di bahagian depan, penghadang angin kecil, serta panel meter TFT. 

Juga kelihatan penggunaan cakera brek depan dan belakang. 

Suzuki Malaysia dijangka melancarkan dua model baharu untuk pasaran Malaysia pada pertengahan bulan ini.

Perkara itu disahkan menerusi perkongsian terbaru di media sosial yang mendedahkan ketibaan dua model baharu. Meskipun perkongsian itu tidak merujuk kepada model spesifik namun difahamkan, Suzuki Malaysia akan memperkenalkan V-Strom 800DE dan GSX-8S. 

Laporan mengenai pelancaran dua model ini dalam masa terdekat juga pernah diterbitkan kami sebelum ini berdasarkan maklumat yang kami perolehi. 

Untuk rekod, Suzuki V-Strom 800DE dan GSX-8S merupakan motosikal segmen adventure dan naked yang dikuasakan enjin serba baharu dibangunkan Suzuki. 

Difahamkan, Suzuki Malaysia akan melancarkan kedua-dua model tersebut pada 18 Jun ini. Nantikan laporan penuh mengenai kedua-dua model ini nanti. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube