Bikesrepublic

Berita Terkini

Suzuki Malaysia dijangka melancarkan dua model baharu untuk pasaran Malaysia pada pertengahan bulan ini.

Perkara itu disahkan menerusi perkongsian terbaru di media sosial yang mendedahkan ketibaan dua model baharu. Meskipun perkongsian itu tidak merujuk kepada model spesifik namun difahamkan, Suzuki Malaysia akan memperkenalkan V-Strom 800DE dan GSX-8S. 

Laporan mengenai pelancaran dua model ini dalam masa terdekat juga pernah diterbitkan kami sebelum ini berdasarkan maklumat yang kami perolehi. 

Untuk rekod, Suzuki V-Strom 800DE dan GSX-8S merupakan motosikal segmen adventure dan naked yang dikuasakan enjin serba baharu dibangunkan Suzuki. 

Difahamkan, Suzuki Malaysia akan melancarkan kedua-dua model tersebut pada 18 Jun ini. Nantikan laporan penuh mengenai kedua-dua model ini nanti. 

Selepas beberapa tahun menyepi, Honda kembali menghidupkan nama Shadow bagi pasaran motosikal cruiser dengan memperkenalkan Honda Shadow Phantom 2024. 

Honda Shadow Phantom itu akhirnya dinaik taraf dengan fungsi ABS bagi tahun 2024, ciri yang wajib ada pada motosikal masa kini. Namun begitu, Honda masih lagi menawarkan model tanpa ABS bagi mereka yang “ol’skool”. 

Dalam pada itu, model Shadow Phantom ini juga dilengkapi dengan cakera brek dibelakang menggantikan brek drum yang ada pada generasi sebelum ini. 

Dari segi estetik, rupa keseluruhan Honda Shadow generasi terbaru ini nampak lebih segar dengan gabungan warna dan grafik baharu, pelindung lampu depan baharu dan penggunaan lampu isyarat LED depan dan belakang. 

Fender depan dan belakang juga telah direka semula dan kini lebih pendek. Namun, Honda telah mengetepikan tempat duduk pembonceng bagi edisi kali ini dan hanya memuatkan tempat duduk tunggal. Menurut Honda, tempat duduk baru itu lebih selesa dan lebih rendah pada 650mm. 

Model 2024 ini juga 2.7kg lebih ringan berbanding generasi terdahulu dengan 250kg bagi versi ABS dan 246kg bagi versi tanpa ABS. 

Walaupun terdapat pelbagai naik taraf, Honda Shadow Phantom 2024 ini masih lagi dilengkapi tangki 14L di samping terus dikuasakan enjin V-Twin 745cc dengan transmisi 5-kelajuan yang menawarkan 44.6hp dan 65Nm. 

Ketika Yamaha telah mematikan pengeluaran YZF-R6 ekoran peraturan emisi yang ketat diekori Honda yang tidak menaik taraf CBR600RR bagi mencapai standard Euro 5, lain pula ceritanya di kem Kawasaki. 

Ini kerana pengeluar motosikal dari Jepun itu tidak takut untuk mengemas kini jentera ‘supersport’ popular, Ninja ZX-6R agar model ikonik itu terus relevan untuk tahun akan datang. 

Bagi tahun 2024, Kawasaki melahirkan semula Ninja ZX-6R dengan kemas kini drastik, terutamanya memastikan enjin 4-inline 636cc 4-stroke, DOHC, 16-valve dengan sisstem penyejukan cecair itu mencapai status Euro 5. 

Naik taraf itu secara tidak langsung meletakkan ZX-6R sebagai jentera yang lebih efisien berbanding R6 dan CBR600RR ekoran menjalani ujian yang lebih ketat bagi mencapai peraturan emisi di Eropah. 

Meskipun begitu, Kawasaki berjaya memastikan Ninja ZX-6R kekal sebagai jentera ‘supersport’ berkuasa dengan 128hp. Angka kuasa tersebut berjaya dicapai dengan mengemas kini profil cam, corong udara, dan menaik taraf sistem ekzos. Menurut Kawasaki, sistem ekzos terbaru itu menjanjikan prestasi optimum pada RPM tinggi dan rendah. 

Selain itu, Kawasaki turut melengkapkan Ninja ZX-6R 2024 ini dengan pelbagai ciri moden termasuk fork Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston), quickshifter, serta sistem traction control tiga-mod. 

Segala tetapan tersebut boleh dilakukan menerusi panel meter TFT 4.3-inci yang boleh disambung kepada telefon pintar menerusi aplikasi Kawasaki Rideology. 

Tidak cukup dengan itu, Kawasaki turut menaik taraf panel badan ZX-6R 2024 ini yang diinspirasikan daripada jentera ZX-10R. Menurut Kawasaki, Ninja ZX-6R generasi terbaru ini akan mula dipasarkan di seluruh dunia bermula Oktober tahun ini. 

CFMoto membuat kejutan ketika mempersembahkan jentera konsep SR-C21 kepada umum pada 2021 sebelum model sebenar diperkenalkan setahun kemudian sebagai 450SR. 

Kami juga berpeluang ke Istanbul, Turki, Mac lalu bagi menguji kemampuan jentera bersesaran 450cc itu di Litar Inter City. 

Namun, selang beberapa bulan kemudian, CFMoto telah menaik taraf model ‘sportsbike’ itu baru-baru ini di China. 

Bagi tahun 2023, CFMoto 450SR dinaik taraf dengan beberapa ciri baru namun paling mencuri tumpuan adalah kehadiran ‘single-sided swingarm’ menggantikan ‘swingarm’ konvensional yang ditawarkan sebelum ini. Ciri baharu itu membuatkan rupa keseluruhan jentera itu tampak lebih agresif dan sporty. 

Turut dinaik taraf adalah panel badan yang sedikit berbeza berbanding sebelumnya. Namun, winglet masih lagi dikekalkan seperti model 2022. Selain itu, model 2023 ini juga datang ekzos yang lebih pendek sekaligus mendedahkan bahagian tayar belakang. 

Akhir sekali, CFMoto 450SR 2023 ini mendapat pilihan warna baharu yang terdiri daripada Zircon Black dan Starlight White. Model baharu ini dijangka akan diperkenalkan ke pasaran global tidak lama lagi. 

Untuk rekod, CFMoto 450SR dikuasakan enjin parallel-twin 450cc DOHC dengan 270-degree crank yang berupaya menghasilkan 50hp dan 39Nm.

Baru-baru ini kami telah diberikan peluang menyertai Ducati DRE Racetrack Academy 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). 

DRE Racetrack Academy merupakan program khas yang disediakan Ducati bagi membolehkan para Ducatisti untuk menimba ilmu teknik menunggang motosikal berkuasa tinggi (dalam kes ini Ducati Panigale V4 S) yang betul. 

Program ini diketuai Pengarah Teknikal Ducati, Dario Marchetti yang juga merupakan pelumba berpengalaman lebih 30 tahun. Dia pernah beraksi dalam perlumbaan GP dari tahun 1988 hingga 1992 dan pernah  pernah memenangi GP Itali pada 1990 bagi kategori 250cc. 

Menariknya, program di Sepang itu turut dihadiri beberapa nama besar sebagai tenaga pengajar termasuk Chaz Davies (WorldSBK), Karel Abraham (MotoGP), Alex De Angelis (MotoGP). 

Sementara, kami pula diberi tunjuk ajar khas daripada bekas pelumba Moto2 dari Indonesia, Doni Tata Pradita yang kini merupakan antara salah satu ‘instructor’ Ducati DRE Indonesia. 

Program tersebut terbahagi kepada empat kumpulan, Intro, Warm Up, Evo dan Master dengan setiap kumpulan memberi fokus pada teknik tunggangan yang betul di samping mengenal pasti ‘racing line’ yang tepat. Meskipun begitu, keutamaan tetap diberikan kepada aspek keselamatan kerana bukan mudah untuk menunggang jentera dengan 214hp. 

Terdapat empat sesi kesemuanya dengan sesi pertama beri fokus kepada mengenal pasti tahap pengalaman menunggang motosikal berkuasa tinggi. Sesi kedua pula membenarkan ‘instructor’ mengenal pasti fahaman peserta terhadap ‘racing line’ dan kedudukan badan ketika menunggang. 

Sesi ketiga pula menyaksikan pengajar akan mengekori peserta dari belakang dan merakam cara menunggang. Sesi ini paling menarik kerana peserta akan duduk bersama pengajar dan diberikan tunjuk ajar satu demi satu apa yang perlu dilakukan disetiap bahagian litar. 

Sesi keempat pula membolehkan peserta menggunakan segala informasi yang diturunkan dari barisan pengajar dan mempraktikan di litar. Sejujurnya, penulis berasa lebih pantas kerana dapat membaca ‘racing line’ dengan lebih baik. 

Secara keseluruhan, DRE Racetrack Academy bukanlah ‘sekolah’ yang mengajar cara mencecah lutut sebaliknya, memberi panduan teknik yang betul untuk menunggang di litar. Selain itu, program ini juga menumpukan aspek keselamatan di samping meningkatkan tahap keyakinan di litar lumba yang seterusnya boleh dipraktikan di jalan raya. 

Yamaha telah pun mengesahkan bahawa pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin akan kembali ke kejuaraan dunia MotoGP hujung minggu ini dan akan beraksi di saingan Moto2. 

Yamaha dalam satu perkongsian terbaru di media sosial memberitahu bahawa Kasma akan beraksi bersama pasukan Correos Prepago Yamaha VR46 Master Camp menggantikan Kohta Nozane yang masih lagi dalam proses pulih dari kecederaan. 

Ini bermakna Kasma akan kembali ke pentas Moto2 setelah meninggalkan pasukan ONEXOX TKKR SAG Team pada penghujung musim 2020 setelah pasukan tersebut berpindah tangan ke Pertamina yang memilih untuk menamatkan kontraknya dan menggantikan tempatnya dengan Bo Bendsneyder.

Susulan daripada penguman baharu itu, ini bermakna Kasma tidak akan terlibat dengan pusingan ke-4 Cub Prix Malaysia yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube