Bikesrepublic

Berita Terkini

Seramai 15 marshal perlumbaan dari Malaysia bakal berangkat ke Indonesia eso bagi membantu menjayakan pusingan Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) yang akan berlangsung di Litar Mandalika, hujung minggu ini.

Litar serba baharu yang turut dirasmikan Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini terpalit dengan pelbagai masalah antaranya terbaru, pusingan ketiga Asian Talent Cup (ATC) terpaksa dibatalkan minggu lalu ekoran tidak cukup marshal perlumbaan.

Kehadiran 15 marshal dari Malaysia itu bertujuan memastikan kelancaran pusingan WorldSBK dii litar tersebut.

Ini bukan kali pertama marshal tempatan terlibat dalam perlumbaan antarabangsa selepas pernah membantu Thailand dan Singapura bagi aksi MotoGP dan Formula 1.

Sementara itu, Litar Mandalika baru-baru ini turut terpalit dengan satu lagi kontroversi apabila seorang petugas telah memuka kotak jentera Aruba.it Ducati meskipun tidak mempunyai kebenaran melakukannya – TwoWheels

PT Astra Honda Motor membuat kejutan apabila melancarkan Honda CB150X di Gaikindo Indonesia International Auto Show 2021 (GIIAS), baru-baru ini.

Honda CB150X itu sertai CB200X yang telah pun dilancarkan di pasaran India beberapa bulan lalu

Menariknya, CB150X mendapat sentuhan rekaan dan gaya yang sama seperti CB200X antaranya penghadang angin tinggi, handlebar yang lebar serta tempat duduk jenis ‘single-piece’.

Sementara itu, bahagian nadi utama menempatkan enjin 149cc satu silinder dengan penyejukan cecair yang berkemampuan menjana 16.5hp pada 9,000rpm dan 13.8Nm pada 7,000rpm serta dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Pada masa sama, ketinggian tempat duduk CB150X diletakkan pada 805mm dengan jarak kelegaan tanah (ground clearance) berada pada 181mm.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • lampu LED penuh
  • bash plate
  • panel meter digital
  • fork depan USD Showa 37mm
  • suspensi tunggal belakang pro-link

Timbalan Menteri Pengangkutan , Datuk Henry Sum Agong memaklumkan bahawa kerajaan tidak merancang untuk benarkan perkhidmatan e-hailing motosikal beroperasi.

Menurut Datuk Henry, e-hailing motosikal (atau teksi motosikal) tidak boleh beroperasi selepas mengambil kira faktor keselamatan dan risiko nahas jalan raya.

Sebaliknya, Henry menyifatkan perkhidmatan e-hailing sedia ada berpotensi besar untuk dinaik taraf terutamanya dari segi kualiti perkhidmatan.

“Oleh yang demikian, pada masa ini, Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing atau teksi motosikal mengambil kira pelbagai aspek terutamanya isu keselamatan dan kebajikan penumpang.

“Hal ini mengambil kira bahawa risiko nahas jalan raya termasuk kematian atau kecederaan adalah amat tinggi melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di Malaysia.

“Selain itu, isu-isu melibatkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan jalan juga menjadi satu perkara yang perlu diberi perhatian serius dalam kalangan pengguna motosikal sedia ada,” jelasnya.

Sebelum ini, terdapat beberapa gesaan untuk membenarkan perkhidmatan e-hailing motosikal dijalankan di Malaysia namun cadangan tersebut mendapat pelbagai reaksi. – UTUSAN

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah pun menjalankan operasi khas Ops Motosikal yang diadakan di sekitar Daerah Seberang Perai dan Barat Daya, Pulau Pinang, Jumaat lalu.

Sepanjang operasi dijalankan, pihak JPJ Pulau Pinang telah mengesan beberapa penunggang motosikal yang didapati tidak mengenakan brek depan atau belakang.

JPJ Pulau Pinang memandang serius perkara tersebut yang kini dilihat sebagai trend yang semakin menjadi-jadi dikalangan pengguna motosikal.

“Brek kenderaan amat penting pada kenderaan terutama semasa hendak memperlahan atau berhenti sesuatu kenderaan atau kegunaan semasa kecemasan,” jelas JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

Ops Motosikal itu juga turut mengesan pelbagai kesalahan lain antarnaya tiada lesen memandu, guna nombor pendaftaran fancy, ubah suai ekzos dan tiada cermin sisi.

Difahamkan, Unit Keselamatan Jalan Raya ( UKJR ) JPJ Negeri Pulau Pinang turut mengadakan advokasi keselamatan sepanjang operasi tersebut.

Edisi pertama ‘Dominar Rides’ Anjuran Modenas menyaksikan seramai 16 penunggang motosikal menempuh perjalan lebih 400 kilometer ke Ipoh, Perak.

Konvoi tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Modenas untuk menggalakkan pemilik Dominar D400 generasi lama dan baharu untuk merasai kemampuan sebenar jentera ‘sport-tourer’ itu.

Konvoi berkumpul di Circle Cafe untuk sesi sarapan pagi sekitar jam 8 pagi sebelum diberi taklimat berkenaan dengan program tersebut dan laluan yang akan digunakan.

Tumpuan turut diberikan terhadap aspek keselamatan yang menjadi keutamaan sepanjang perjalanan.

Konvoi kemudiannya bertolak dengan pengawasan dua marshal melalui Lebuhraya Utara-Selatan.

Konvoi kemudian membuat hentian pertama di R&R Tapah bagi tujuan mengisi minyak dan membenarkan penunggang berehat sementara sebelum menyambung perjalanan ke Ipoh.

Destinasi Dominar Rides edisi pertama ini adalah Meru Valley Golf & Country Club di mana para peserta disajikan makanan tempatan dan pencuci mulut.

Selepas selesai, peserta konvoi terutamanya pemilik generasi pertama Dominar D400 diberikan peluang menunggang uji Dominar D400 UG di sekitar kawasan Meru Valley Golf & Country Club.

Menariknya, rata-rata yang merasai kemampuan D400 UG itu meluahkan rasa kagum dan puas hati dengan apa ditawarkan model tersebut.

Peringkat seterusnya Dominar Rides akan bersambung dari Circle Cafe, Kelana Jaya ke Rimba Valley MotoCamp terletak di Janda Baik, Pahang.

Bekas Ketua Bahagian Perancangan dan Polisi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan, mencadangkan agar jualan motosikal kapcai dihentikan secara berperingkat.

Cadangan itu dikemukakan sewaktu program bual bicara di Astro Awani selepas menyifatkan kapcai sebagai ‘jentera pembunuh’ berdasarkan angka kematian penunggang motosikal setakat ini.

“Di Malaysia, ‘kapcai’ adalah jentera pembunuh yang mengakibatkan banyak kematian – secara purata 4,100 kematian setahun dalam tempoh 12 tahun – dan ini adalah kehilangan produktiviti bagi negara.

“Ini adalah kerugian besar buat negara. Adakah kita masih mahu motosikal sebegini di atas jalan?” katanya.

Tambah Wan Agyl, langkah sedemikian wajar apatah lagi statistik terkini menunjukkan Malaysia semakin menghampiri Thailand sebagai negara paling bahaya bagi penunggang motosikal.

“Motosikal jenis ini ringan dan mudah dikendalikan, jadi kanak-kanak menggunakannya di kawasan luar bandar untuk pergi ke sekolah atau membeli barangan runcit.

“Kita perlu fikir sama ada kita mahu mengekalkan atau tidak motosikal jenis ini atau perlahan-perlahan menghentikannya secara berperingkat,” tambah Wan Agyl lagi.

Untuk rekod, seramai 79,916 penunggang dan pembonceng motosikal terbunuh dalam nahas jalan raya dari 2001 hingga Ogos 2021 sementara 70.2 peratus kematian jalan raya hingga Ogos tahun ini babitkan pengguna motosikal.

Setakat ini, 90 peratus daripada 15.2 juta motosikal berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPH) adalah motosikal ‘kapcai’. – FMT

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube