Bikesrepublic

Berita Terkini

Jumlah kenderaan di Malaysia telah mengatasi populasi penduduki susulan permintaan terhadap kenderaan bermotor meningkat lebih sejuta setiap tahun sejak 2019.

Perkara itu didedahkan pakar keselamatan jalan raya, Dr Kulanthayan K.C Mani dari Universiti Putra Malaysia.

Tahun lalu, terdapat 33.3 juta kenderaan berdaftar telah direkodkan sekaligus mengatasi populasi penduduk Malaysia yang berada pada 32.6 juta.

Daripada 33.3 juta yang didaftarkan, 47.3 peratus daripadanya adalah kereta, manakala 46.6 peratus adalah motosikal, diikuti 4.7 peratus bagi kenderaan barangan.

Angka tersebut sekaligus secara tidak langsung menjelaskan kesesakan trafik yang melanda negara ketika ini terutamanya di sekitar Lembah Klang.

Baru-baru ini, orang ramai juga mengeluh lebuh raya yang sebelum ini lengang, terutamanya Lebuhraya MEX kini bertukar sesak.

Sewaktu musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, rata-rata pengguna jalan raya turut mengadu sangkut lebih berjam-jam gara-gara kesesakan jalan menghala ke Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Jelas Dr Kulanthayan, pengamatan yang dibuat terhadap peningkatan pendaftaran kerenderaan baharu sejak beberapa tahun ini sehingga 2021 dipercayai menjadi antara penyumbang besar terhadap kesesakan jalan yang berlaku.

“Apa yang mengejutkan, jumlah kenderaan pada 2019 berada pada 31.2 juta namun meningkat sejuta setiap tahun dan mencapai 33.3 juta pada 2021.

“Buat pertama kali dalam sejarah, jumlah kenderaan di Malaysia telah mengatasi jumlah penduduk negara ini,” ujarnya. – NST

Kajian terbaru oleh Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) mendapati rata-rata pemilik kereta yang menggunakan nombor plat ‘fancy’ adalah mereka yang memandu kereta bernilai RM160,000 ke atas.

Menurut Cent-GPS, kajian tersebut telah dijalankan di beberapa lokasi dalam bandar dan membabitkan 1,256 kereta yang tidak menggunakan nombor plat mengikut piawaian ditetapkan.

“56 peratus kereta yang menggunakan nombor plat ‘fancy’ merupakan kereta bernilai RM160,000 ke atas manakala 13 peratus lagi adalah kereta bernilai antara RM80,000 hingga RM120,000.

“Baki 13 peratus lagi adalah kereta yang bernilai antar a RM120,000 hingga RM160,000 sementara hanya lapan peratus sahaja bagi kereta bernilai RM50,000 ke bawah,” jelas kajian tersebut.

Menariknya, kajian oleh Cent-GPS itu juga mendapati kumpulan T20 paling banyak menggunakan nombor plat ‘fancy’.

“Daripada jumlah kereta yang guna nombor plat ‘fancy’ di Lembah Klang, kami anggarkan 58.5 peratus adalah dari kumpulan T20, 25.6 peratus dari M40 dan hanya 15.9 peratus dari B40,” tambahnya.

Bagaimanapun, kajian tersebut tidak babitkan pengguna motosikal jadi keputusan kajian bahawa T20 lebih cenderung menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi sebagai kurang tepat.

Penggunaan nombor plat ‘fancy’ atau tidak mengikut standard ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah satu kesalahan dengan pemilik kereta boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM300 atau tidak lebih dari RM3,000 di bawah Seksyen 14 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malay Mail

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membatalkan lesen memandu kenderaan sekiranya pemegang lesen memandu tamat tempoh gagal perbaharui lesen memandu hujung bulan ini.

JPJ telah menyenaraikan empat kelas lesen yang akan dibatalkan sekiranya didapati telah tamat tempoh.

Menurut JPJ, orang ramai yang memiliki lesen tamat tempoh – antara satu hingga tiga tahun – diberikan masa hingga 30 Jun ini untuk tujuan perbaharuan.

Sekiranya gagal membuat pembaharuan lesen selepas tarikh tersebut, pemegang lesen yang dibatalkan perlu menjalani proses ujian memandu semula bagi mendapatkan lesen baharu.

JPJ menjelaskan pembatalan lesen ini membabitkan mereka yang tidak perbaharui lesen belajar memandu (LDL) lebih satu tahun, lesen memandu percubaan (PDL) lebih dua tahun, serta lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen vokasional (PSV/GDL) yang tamat tempoh melebihi tiga tahun. – The Sun Daily

Ducati Malaysia Premier 2022 menyenaraikan enam model baharu untuk pasaran tempatan.

Namun, daripada kesemua model yang dilancarkan, kehadiran Multistrada V2 S antara yang dinantikan.

Multistrada V2 S merupakan motosikal jenis ‘sport touring’ yang dibangunkan bagi menawarkan pengalaman menunggang yang premium di samping selesa di jalan raya.

Berbanding model Multistrada 950S sebelum ini, Multistrada V2 S menampilan tahap keselesaan yang lebih baik, ergonomik yang telah dipertingkat serta lebih ringan untuk kendalian penunggang.

Dikuasakan enjin L-Twin Testastretta 937cc baharu dan, platform ini menawarkan 113hp pada 9,000rpm dan 96Nm pada 6,750rpm. Menariknya, Multistrada V2 S ini juga 5 kilogram lebih ringan berbanding versi 950 sebelum ini.

Antara ciri ditawarkan:

  • Power Modes
  • Cornering ABS
  • Ducati Traction Control
  • Ducati Brake Light
  • Vehicle Hold Control

Menariknya, naik taraf terbesar adalah aspek elektronik dengan Multistrada V2 S ini dilengkapi dengan Ducati Skyhook Suspension Evo, Ducati Cornering Lights, Ducati Quick Shift (quickshifter), Cruise Control dan skrin TFT 5-inci.

Sementara itu, model ini juga didatangkan dengan fork depan 48mm (compression, rebound damping) dan monoshock boleh laras (compression, rebound damping, preload) boleh laras.

Menurut Ducati Malaysia, Multistrada V2 S ini boleh didapati dengan harga RM105,900.

Selepas membuat penampilan dalam episod 2 Ducati World Premier 2022 yang berlangsung pada Oktober tahun lalu, Ducati Scrambler Urban Motard dan Scrambler 1100 Tribute PRO kini dilancarkan untuk pasaran negara.

Ducati Scrambler 1100 Tribute PRO

Tampil dalam warna serba kuning ‘Giallo Ocra’, Tribute PRO ini turut menampilkan logo Ducati klasik rekaan Giugiaro di samping meraikan pengenalan enjin twin-cylinder pertama dijual Ducati pada 1971.

Tribute PRO digerakkan enjin L-Twin 1,079cc dengan Desmodromic Distribution dan penyejukan udara yang menawarkan 86hp @ 7,500rpm dan 88Nm @ 4,750rpm.

Model ini juga menawarkan mod tunggangan PRO serta Ducati Traction Control.

Menurut Ducati Malaysia, Ducati Scrambler 1100 Tribute PRO ini dipasarkan pada harga RM85,900.

Ducati Scrambler Urban Motard

Berbanding Tribute PRO yang menawarkan elemen klasik, Urban Motard pula mencerminkan imej yang lebih segar dan moden untuk golongan muda.

Tampil dengan warna putih dan merah, Urban Motard ini menggabungkan ciri Scrambler Nightshift dan Desert Sled dengan penggunaan ‘side plate’, tempat duduk rata dan ‘mudguard’ tinggi.

Scrambler Urban Motard ini juga dikuasakan enjin L-Twin 803cc sama yang terdapat pada varian Icon/Nightshift dan menawarkan 73hp pada 8,250rpm dan 66.2Nm pada 5,750rpm.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • kerangka tubular steel
  • fork USD 41mm Kayaba (depan)
  • monoshock Kayaba boleh laras (belakang)
  • rim spoke aluminium
  • cakera brek 330mm depan dengan kaliper brek 4-piston
  • cakera brek 245mm belakang dengan kaliper brek 1-piston
  • Cornering ABS BOSCH
  • paparan digital LCD


Ducati Scrambler Urban Motard ini dijual pada harga RM68,900 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Ducati Malaysia memulakan kempen separuh kedua 2022 dengan pelancaran enam model baharu di Ducati Malaysia Premier 2022 yang berlangsung di Bangsar Shopping Center (BSC) pada Rabu.

Daripada enam model tersebut, tumpuan terarah kepada motosikal jenis naked, Streetfighter V2 dan Streetfighter V4 SP.

Ducati Streetfighter V2

Seperti Streetfighter V4 yang merupakan versi ‘naked’ daripada Panigale V4, Streetfighter V2 juga lahir daripada Panigale V2 yang telah dibuang ‘fairing’.

Hasilnya, Ducati Streetfighter V2 kekal membawa enjin Superquadro 955cc yang menawarkan 153hp dan 102Nm.

Bagaimanapun, berbanding Panigale V2 yang menawarkan ergonomik lebih agresif, Streetfighter V2 lebih mesra untuk kegunaan di jalan raya dan sebagai jentera harian hasil bantuan tempat duduk yang lebih menegak.

Bagaimanapun, berbanding Panigale V2 yang menawarkan ergonomik lebih agresif, Streetfighter V2 lebih mesra untuk kegunaan di jalan raya dan sebagai jentera harian hasil bantuan tempat duduk yang lebih menegak.

Walaupun tampil sebagai versi lebih ‘jinak’ berbanding Streetfighter V4, varian V2 ini masih lagi didatangkan dengan pakej eletronik serba lengkap antaranya:

  • ABS Cornering EVO
  • Ducati Traction Control (DTC) EVO 2
  • Ducati Wheelie Control (DWC) EVP
  • Ducati Quick Shift (DQS) EVO 2
  • Engine Brake Control (EBC) EVO
  • tiga mod menunggang (Sport, Road, Wet)


Menurut Ducati Malaysia, Ducati Streetfighter V2 ini ditawarkan pada harga RM101,900.

Ducati Streetfighter V4 S

Ducati Streetfighter V4 SP merupakan jentera naked yang paling berkuasa pernah dihasilkan dalam sejarah Ducati.

Hasil penggunaan komponen yang lebih teknikal dan ringan antaranya rim karbon, Streetfighter V4 SP ini 3 kilogram lebih ringan berbanding V4 S.

Jentera baharu ini juga dilengkapi sistem Öhlins Smart EC 2.0 yang berkeupayaan mengubah tahap redaman mengikut gaya tunggangan penunggang.

Namun, aspek paling menarik perhatian adalah engine V4 1,103cc Desmosedici Stradele itu kini menghasilkan 208hp dan 123Nm pada 9,500rpm berbanding 205hp yang ditawarkan pada Streetfighter V4 standard.

Ducati Streetfighter V4 SP ini ditawarkan pada harga RM239,900 sebelum cukai jalan dan insurans.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube