Bikesrepublic

Berita Terkini

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka sedang pertimbang untuk melantik ‘mat rempit’ sebagai ambulans motosikal agar kumpulan itu boleh membawa manfaat kepada masyarakat. 

Perkara itu disampaikan Pegawai Korporat Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDF) Melaka, Kol (PA) Mike Thein. Jelasnya, kertas kerja untuk merekrut kumpulan tersebut telah pun berjalan dan akan menjalani peringkat kajian. 

Tambah Mike Thein, selain daripada kumpulan tersebut boleh berada di lokasi kejadian lebih cepat, mereka juga akan membawa peralatan menyelamatkan nyawa.

“Saya berhasrat untuk memberi peluang kepada kumpulan itu untuk menjadikan mereka sukarelawan untuk tujuan murni dan mencadangkan butiran ini dalam kertas kerja saya,” jelasnya. 

Dalam pada itu, pihaknya juga merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan kecemasa dua roda melibatkan motosikal dan basikal di kawasan tumpuan pelancong. 

Difahamkan, cadangan itu dipertimbang setelah mendapat nasihat daripada jabatan berkaitan. – The Star

Pengedar rasmi jenama Kawasaki di Malaysia, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) dengan rasminya memperkenalkan Kawasaki Z900 2023 untuk pasaran tempatan.

Terdapat dua varian ditawarkan di Malaysia, Z900 dan Z900 SE dengan masing-masing dijual pada harga RM43,900 dan RM55,900

Menurut EMOS, versi standard datang dengan pilihan warna Metallic Spark Black dan  Metallic Matte Graphenesteel Gray manakala versi SE pula datang dengan warna Candy Lime Green yang merupakan warna ikonik Kawasaki. 

Menariknya, model Z900 dan Z900 SE ini dipasang sepenuhnya di Gurun, Kedah dan merupakan jentera dengan enjin paling besar pernah dipasang oleh Modenas. 

Kawasaki Z900 dan Z900 SE dikuasakan enjin 4-inline 948cc DOHC dengan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 123.6hp pada 9,500rpm dan 98.6Nm pada 7,700rpm. Menariknya, model 2023 ini telah pun mencapai standard Euro5. 

Selain itu, antara ciri baru lain diperkenalkan adalah kerangka yang diperkuat, tayar Dunlop Sportmax Roadsport 2 baharu, Kawasaki Traction Control (KTRC), reka bentuk Sugomi terbaru, pelindung tangki baharu, swingarm lebih kompak dan pelindung pivot. 

Pada masa sama, terdapat empat mod menunggang ditawarkan yang merangkumi; Sport, Road, Rain dan Rider. Model 2023 ini juga dilengkapi dengan panel meter TFT 4.3-inci. Panel tersebut juga boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi aplikasi Kawasaki Rideology. 

Sementara itu, varian SE pula lebih istimewa kerana disuntik dengan fork depan 41mm boleh laras dari Showa dan monoshock Ohlins S46. Kedua-dua unit ini menjaminkan kawalan yang lebih baik. Versi SE ini juga dilengkapi dengan kaliper brek Brembo M4.32 4-pot depan dan Nissin master-cylinder. 

Jenama akeseori motosikal Itali, GIVI dengan rasminya kembali ke Kejuaraan Petronas Malaysian CubPrix setelah diumumkan menjadi penaja utama pasukan GIVI Tekhne Yamaha AHM Motorsports bagi musim 2023. 

GIVI dalam satu kenyataan mendedahkan satu majlis sederhana telah diadakan di ibu pejabat AHM Motorsports bagi meraikan perkembangan terbaru itu. 

“Pengasas GIVI, Giuseppe Vicenzi sendiri merupakan seorang pelumba motosikal tahap dunia, justeru selaku penaja utama buat pasukan ini, kami sangat berbesar hati serta yakin dan percaya bahawa penajaan dan kolaborasi ini mampu meningkatkan lagi jenama GIVI itu sendiri khususnya buat peminat dunia sukan permotoran dan penunggang motosikal secara umumnya. 

“Pelbagai usaha dan masa yang banyak dilaburkan untuk menghasilkan jenama yang kukuh dan berbeza, sesuai dengan nilai dan visi kami. Kami percaya ianya mampu menyerlahkan identiti kami dengan berkesan kepada peminat dan pihak berkepentingan,” kata Pengarah Urusan GIVI Asia, On Hai Swee.

Dalam pada itu, Pengasas AHM Motorsports, Kenny Chua juga teruja dengan perkembangan tersebut. 

“Tahun 2023, merupakan detik sangat bermakna buat kami Tekhne Yamaha AHM Motorsports kerana dapat berkolaborasi bersama jenama antarabangsa GIVI. 

“Selaku penaja utama buat pasukan ini, kami berharap rancangan penjenamaan ini dapat menarik minat dan melatih lebih ramai anak muda dalam bidang sukan permotoran ini,” jelas Pengasas AHM Motorsports, Kenny Chua. 

GIVI Tekhne Yamaha AHM Motorsports mempertaruhkan Faiz Zekri #15, Iqbal Amri #21 dan Afizad Supaat #12 bagi kategori GP150 bersama jentera Yamaha Y15ZR. Ketika pusingan ketiga di Jasin, Melaka hujung minggu lalu, Faiz menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11, Iqbal di kedudukan ke-8 manalala Afizad di P12. 

Kejuaraan Malaysian Cub Prix 2023 telah pun membuka tirai pada Februari lalu dan akan menutup tirai di Batu Kawan, Pulau Pinang, November ini. 

Retro Havoc 2023 berlangsung meriah hujung minggu lalu yang menyaksikan kedatangan lebih 70,000 pengunjung. 

Bagaimanapun, disebalik kemeriahan tersebut, berlaku beberapa insiden yang tidak disenangi terutamanya melibatkan kereta pameran. Ini kerana walaupun pihak penganjur telah pun meletakkan notis bahawa tidak dibenarkan untuk menyentuh kereta pameran, insiden sedemikian tetap berlaku sehingga ada yang duduk di atas kereta peserta. 

Juga tular insiden dua individu yang berlari dan melanggar spoiler kereta peserta sehingga patah ekoran berlari ketika hendak merakamkan aksi ‘pop & bang’. 

Menyedari perkara itu, penganjur Retro Havoc dalam satu kenyataan telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang terjejas. 

Dalam pada itu, Retro Havoc juga menekankan bahawa tiada sesi ‘pop & bang’ diadakan sebaliknya merupakan tindakan beberapa pemilik kereta disitu. 

Pada masa sama, penganjur juga beri jaminan untuk meningkatkan tahap keselamatan dengan menempatkan lebih ramai pengawal dan individu bertugas agar insiden sama tidak berulang pada edisi seterusnya. 

BMW Malaysia akhirnya merasmikan BMW M 1000 R 2023 untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM158,500. 

Meskipun dibangunkan dengan platform S 1000 R namun M 1000 R ini mendapat enjin yang sama seperti M 1000 RR. Hasilnya, model M baharu ini menawarkan 205hp  pada 13,000rpm dan 112Nm pada 11,000rpm. 

Naik taraf pada sistem ShiftCam juga menyaksikan tork meningkat dari 10,000rpm kepada 

12,000rpm dengan ‘redline’ diletakkan pada 14,600rpm berbanding 12,000rpm pada S 1000 R. Berdasarkan angka tersebut, ini bermakna M 1000 R juga jentera yang boleh beraksi cemerlang di litar lumba. 

Selain itu, M 1000 R 2023 ini juga datang dengan sproket lebih pendek, 47 berbanding 45 pada S 1000 R.

Gear 4, 5 dan 6 juga lebih pendek agar M 1000 R ini lebih mesra ketika tunggangan dalam bandar. Bagi pengalaman yang lebih mengujakan, BMW M 1000 R ini juga dilengkapi Shift Assistant Pro (quickshifter) secara standard. Menariknya operasi sistem ini boleh diselaraskan sama ada mengikut tukaran gear konvensional atau gear GP.

Pakej elektronik pula terdiri daripada empat mod menunggang; Rain, Road, Dynamic dan Race manakala tiga mod lagi boleh diaktifkan ketika dalam litar; Race Pro 1, Race Pro 2 dan Race Pro 3.

Ciri lain termasuk Dynamic Traction Control (DTC) yang merangkumi wheelie-limitation, pit-lane limiter, launch control dan hill-start control (HSC). 

Bagaimanapun, tumpuan utama sudah tentu terarah pada bahagian panel badan yang dilengkapi winglet aerodinamik.  Menurut BMW, selain daripada menonjolkan rupa agresif M 1000 R ini, winglet tersebut juga berfungsi menghasilkan ‘downforce’ sehingga 10kg pada kelajuan 218km/j. 

Brek pula dikendalikan cakera brek berkembar 320mm yang dipadankan bersama kaliper brek 4-pot di depand an cakera brek 220mm dengan kaliper 1-pot dibelakang. Brek juga diselia dengan ABS Pro dan Brake Slide Assist.

Akhir sekali, segala informasi jentera boleh diakses menerusi skrin TFT berwarna 6.4-inci. 

Peruntukan RM1.7bilion telah diluluskan bagi melebarkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dalam usaha menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya terutamanya ketika musim perayaan. 

Perkara itu disampaikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang turut memaklumkan projek pelebaran itu akan melibatkan pembinaan sebuah lagi terowong. 

“Kita baru lulus RM1.7 bilion nak melebarkan semula highway (lebuhraya) Karak daripada lorong yang ada,” jelasnya. 

Memetik laporan Astro Awani, projek berkenaan akan bermula pada Julai ini dan akan memakan masa tiga tahun. – Astro Awani

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube