Bikesrepublic

Berita Terkini

Boon Siew Honda dengan rasminya memperkenalkan Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sport 2022 yang tampil dengan beberapa naik taraf terbaru.

Bagi tahun 2022, Honda telah mengemaskini sistem transmisi DCT (dual-clutch transmission)  yang menyaksikan gear 1 dan 2 kini lebih lancar sekaligus memudahkan kawalan pada kelajuan rendah.

Sistem operasi HSTC (Honda Selectable Torque Control) juga telah dinaik taraf bagi menawarkan penunggang memilih kawalan pergerakan tayar belakang sewaktu menunggang ‘off-road’.

Honda juga memperbaiki bahagian penghadang angin yang kini 110mm lebih pendek serta menawarkan lima peringkat pelarasan.

Tangki Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sport DCT kini juga menawarkan ruang pengisian 24.8L selain panel badan yang berbeza bertujuan melindungi penunggang dari rintangan angin dengan lebih baik.

Menariknya, model 2022 ini juga didatangkan dengan grip dengan fungsi pemanas (heated grip).

Ciri elektronik lain yang turut terdapat pada CRF1100L Africa Twin Adventure Sport DCT termasuk IMU 6-axis, Wheelie Control, Cornering ABS, Rear Lift Control, DCT Cornering Detection, dan empat mod menunggang; Urban, Tour, Gravel dan Off-Road.

Model 2022 ini juga didatangkan dengan Showa Electronically Equipped Ride Adjustment (suspensi elektronik separa aktif) yang boleh diselaraskan mengikut pilihan; Soft, Mid, Hard dan Off-Road.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • lampu LED dengan DRL (daytime running light)
  • Cornering Lights tiga peringkat
  • cruise control

Naik taraf terbesar juga menyaksikan Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sport DCT ini juga didatangkan dengan paparan meter TFT 6.5-inci dengan fungsi ‘touchscreen’. Menariknya, paparan tersebut juga menawarkan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto bagi memudahkan disambung kepada telefon pintar.

Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sport DCT ini kekal dikuasakan enjin parallel-twin 1,084cc yang menjana 101hp pada 7,500rpm dan 104Nm @ 6,250rpm. 

Menurut BSH, motosikal ini ditawarkan pada harga RM117,888 dan datang dengan satu pilihan warna sahaja; Pearl Glare White Tricolour. 

Seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya cedera parah apabila motosikal yang ditunggangi melanggar lampu isyarat merah sebelum dirempuh sebuah kereta di persimpangan Jalan Chain Ferry.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, dalam kejadian pada pukul 6.20 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun dilaporkan maut di tempat kejadian manakala pembonceng berusia 20 tahun cedera parah pada kepala.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang tidak berhenti di lampu isyarat merah menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak sebelum terbabas ke laluan bertentangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemandu kereta, seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun yang juga pelajar institusi pengajian tinggi itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Umum mengetahui bahawa MForce Bike Holdings tidak lama lagi akan memperkenalkan sebuah skuter urban ADV bernadikan enjin 250cc untuk pasaran tempatan.

Khabar angin untuk motosikal itu telah pun bertiup kencang dengan pihak MForce juga pernah mendedahkan ‘teaser’ skuter tersebut. Beberapa pengedar rasmi juga telah mula mengiklankan tempahan bagi skuter serba baharu itu.

Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan bahawa pra-pelancaran skuter ‘urban adventure’ 250cc itu telah pun berlangsung dan dipertontonkan kepada pengedar dan wakil MForce baru-baru ini.

Pra-pelancaran tersebut telah diadakan di Vietnam dan dihadiri pihak MForce serta wakil pengedar jenama itu di Malaysia.

Ini secara tidak langsung memberi bayangan bahawa skuter tersebut akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Berdasarkan info yang dikongsikan, model tersebut membawa nama WMOTO XDV 250i dan merupakan versi lebih besar berbanding WMOTO Xtreme 150i sedia ada.

Namun, ketika Xtreme 150i dijenamakan semula dari model Lifan KPV 150, model 250cc itu pula dijenamakan semula daripada Longjia XDV 250Si dan dipasang sepenuhnya di Malaysia. 

Berdasarkan spesifikasi Longjia XDV 250Si, skuter tersebut dikuasakan enjin satu silinder 244.3cc SOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 24.13hp pada 9,750rpm dan 22.5Nm pada 6,750rpm. 

Sistem suspensi pula hadir dengan fork depan Kayaba 37mm dan monoshock berkembar belakang juga dari Kayaba. Sistem brek pula dikawal fungsi ABS dwi-saluran dengan kaliper brek jenis radial J.Juan yang dipadankan bersama cakera brek 240mm depan dan 220mm belakang.

Ruang letak barang – dibawah tempat duduk – juga boleh memuatkan sebuah helmet ‘fullface’.

Selain itu, XDV 250i itu juga dilengkapi tangki 13.5L dengan berat sekitar 168kg, fungsi ‘smartkey’, slot pengecas USB dan port 12V, paparan skrin berwarna TFT serta penghadang angin boleh laras.

Menariknya, di pasaran China, skrin TFT tersebut boleh dihubungkan kepada telefon pintar namun belum dapat dipastikan sama ada fungsi tersebut akan dibawa pada WMOTO XDV 250i.

Benelli telah pun memfailkan tanda nama TRK 702 sekitar April lalu sekaligus mengesahkan kedatangan motosikal ‘adventure’ yang lebih besar selain TRK 502.

Memasuki bulan Ogos, jenama motosikal Itali-China itu dengan rasminya melancarkan Benelli TRK 702 di China. 

Seperti TRK 502 yang mencapai status selaku motosikal paling popular di Itali, Benelli mengharapkan TRK 702 juga mampu melakukan pencapaian sama. 

Oleh sebab itu, Benelli akan turut memperkenalkan TRK 702 di pasaran Eropah. Menariknya, model tersebut hanya akan membawa lencana Benelli dan tidak akan dijenamakan sebagai QJMotor di pasaran lain. 

Perbezaan ketara antara TRK 702 dan TRK 502 adalah di bahagian enjin, apabila model ADV lebih besar itu dihidupkan platform parallel-twin 693cc serba baharu yang dibangunkan Benelli. Enjin tersebut menghasilkan 75hp pada 8,500rpm dan 68.2Nm pada 6,250rpm. 

*Benelli TRK 702

Seperti kebiasaan, motosikal serba baharu itu juga tampil dalam dua varian, TRK 702 (standard) dan TRK 702 X yang menampilkan penggunaan rim spoke (lidi) dan saiz tayar berbeza. 

*Benelli TRK 702 X

Versi standard datang dengan rim 17-inci yang dipadankan dengan tayar 120/70 depan dan 160/70 belakang manakala versi ‘X’ pula dilengkapi tayar 19” depan dan 17” belakang di samping dilengkapi tayar ‘dual-purpose’. 

Antara ciri lain ditawarkan temasuk:

  • ABS dwi-saluran
  • paparan meter LCD digital
  • grip dengan fungsi pemanas
  • tempat duduk dengan fungsi pemanas

Menariknya, Benelli turut melengkapkan TRK 702 dengan kamera HD yang diletakkan di bahagian bawah lampu hadapan. Kamera tersebut bertindak seperti ‘dashcam’ yang bertujuan merakam perjalanan sewaktu menunggang.

Bagi yang mengikuti rapat perkembangan Honda kebelakanga ini, pastinya anda mengetahui bahawa pengeluar motosikal Jepun itu akan menghidupkan semula model Transalp.

Honda juga telah memfailkan nama Transalp di beberapa negara antaranya Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.

Kedatangan Transalp sudah pun dijangka dengan Honda ketandusan motosikal ‘adventure touring’ dengan kapasiti enjin pertengahan berbanding pengeluar lain dalam segmennya.

Dalam perkembangan terbaru, Honda Motor Corporation telah pun memfailkan permohonan tanda nama (trademark application) bertarikh 12 Ogos lalu.

Dalam dokumen tersebut telah mendedahkan kod nama penuh bagi model tersebut yang merujuk pada XL750 Transalp.

Meskipun info terperinci mengenai XL750 Transalp itu tidak dinyatakan namun berbanding CRF1100L Afric Twin, motosikal ADV 750cc itu dijangka lebih kearah kegunaan jalan raya berbanding ‘off-road’. 

Penggunaan kod nama XL berbanding CRF juga beri bayangan Transalp serba baharu itu berada dalam kategori ‘dual-sport’ berbanding ‘ADV’ yang ditawarkan Africa Twin. 

Namun, tidak mengejutkan jika XL750 Translap akan datang itu juga berkeupayaan menangani tunggangan ‘off-road’ ringan dengan penggunaan rim spoke (lidi) dan suspensi yang lebih tinggi.

Apa yang pasti, Honda XL750 Transalp itu akan digerakkan enjin parallel-twin 750cc yang sama terdapat pada Honda Hornet yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ketibaan XL750 Transalp dijangka tidak akan berlaku dalam masa terdekat sebaliknya Honda akan beri fokus pada pelancaran Hornet terlebih dahulu di EICMA. 

Motorcycle Action Group (MAG) UK telah meminta kerajaan membuktikan bahawa kenderaan pandu sendiri tidak akan membahayakan penunggang motosikal di jalan raya negara.

MAG percaya bahawa kenderaan pandu sendiri akan memberi risiko kepada penunggang motosikal apabila mereka dibenarkan di jalan raya UK.

Penyelidikan yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Kenderaan Belanda (RDW) pada 2016 mendapati bahawa dalam kes di mana motosikal menunggang berhampiran dengan tepi lorong mereka, teknologi autonomi dalam kereta (seperti kawalan pelayaran adaptif) bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kedudukan dan tindakan itu menyebabkan pemandu terpaksa mengambil tindakan untuk mengelak dari terlanggar motosikal.

Memandangkan kerajaan akhirnya berhasrat untuk menggunakan kenderaan pandu sendiri untuk mengangkut kanak-kanak ke sekolah, ini adalah sesuatu yang perlu dihapuskan daripada teknologi.

Mulai 2023, ujian baharu akan diperkenalkan untuk kenderaan pandu sendiri yang akan menguji dengan lebih ketat keupayaan teknologi autonomi untuk mengesan motosikal.

Pada masa yang sama, kerajaan UK merancang untuk membenarkan beberapa kenderaan – termasuk lori, kereta dan koc – dengan ciri pandu sendiri digunakan di jalan raya UK.

Ini diumumkan minggu lalu sebagai sebahagian daripada rancangan untuk pelancaran penuh kenderaan pandu sendiri di UK menjelang 2025.

“Ia adalah sumber kebimbangan besar bahawa – sekali lagi – kepentingan penunggang motosikal tidak difikirkan dengan terperinci,” kata Pengerusi MAG, Neil Liversidge.

“Bertahun-tahun pembangunan sistem ini tidak cukup menjaga kepentingan penunggang motosikal. Walaupun penghapusan ralat pemandu mungkin merupakan matlamat yang patut dipuji, tidak ada faedahnya jika ralat itu digantikan dengan ketidakcekapan automatik.

“Kami akan meminta Kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengambil kira dan menuntut untuk melihat bukti tulen bahawa kenderaan ini tidak akan meletakkan penunggang pada risiko yang lebih tinggi daripada pemandu manusia. Memandangkan ujian bebas masih belum dimulakan, saya merasa sukar untuk memahami bagaimana [Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps] boleh begitu yakin bahawa pelancaran itu wajar pada masa ini.”

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube