Bikesrepublic

Berita Terkini

Moto Morini sememangnya diambang kebangkitan setelah beberapa model baharu yang dilancarkan sebelum ini kembali mendapat tempat dipasaran Asia dan Eropah. 

Moto Morini Seiemmezzo dan X-Cape 650 merupakan dua model baharu yang semakin mendapat permintaan tinggi dipasaran dunia termasuk Malaysia. 

*Moto Morini X-Cape 650 X

Ini kerana jenama motosikal Itali itu berjaya menawarkan barisan motosikal dengan harga lebih mampu milik susulan dikilangkan di China setelah syarikat itu dibeli Zhongneng pada 2018. 

Bagaimanapun, Moto Morini masih lagi berpangkalan di Bologna, Itali sekaligus tidak hairan jenama itu cukup popular di sana. 

Dalam perkembangan terbaru, Moto Morini bakal memperluaskan tawaran model bagi tahun akan datang menerusi X-Cape 1200.

Moto Morini X-Cape 1200 mula tampil dalam satu lakaran CAD pada September lalu namun pendedahan terbaru menunjukan model tersebut telah pun siap sepenuhnya dan akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Berdasarkan imej dikongsikan, X-Cape 1200 tersebut jelas mengikut acuan rekaan X-Cape 650 namun dengan panel badan yang lebih lebar dan besar. 

Difahamkan, X-Cape 1200 ini dikuasakan enjin V-Twin V87 Bialbero Corsacorta yang sama terdapat pada model terdahulu, Corsaro 2005 dan Scrambler 1200 2020. 

Menariknya, meninjau lebih dekat gambar tersebut menunjukkan X-Cape 1200 itu didatangkan dengan beberapa ciri premium termasuk brek Brembo.

Pengenalan model baharu itu selaras dengan pendedahan yang dibuat Pengarah Urusan Moto Morini, Alberto Monni sebelum ini yang memaklumkan terdapat 11 model baharu yang akan diperkenalkan dalam tempoh dua tahun ini. 

MODENAS dengan rasminya memperkenalkan Ninja 250 Edisi Öhlins khas untuk pasaran tempatan dan dijual pada harga RM20,500.

Seperti namanya, Ninja 250 Edisi Öhlins ini didatangkan dengan suspensi belakang Öhlins jenis KA the 44, STX 36 Supersport dan hanya terhad kepada 180 unit sahaja. 

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa edisi Öhlins ini hanya ditawarkan pada model Ninja 250 tanpa ABS. 

Untuk rekod monoshock Öhlins tersebut adalah jenis boleh laras dan turut didatangkan dengan waranti penuh dari pengilang. 

Menurut MODENAS, monoshock Öhlins tersebut secara langsung meningkatkan tahap cengkaman dan kawalan jentera terutamanya ketika di selekoh. 

Bagaimanapun, tiada perubahan spesifikasi lain berlaku pada Ninja 250 Edisi Öhlins ini yang masih lagi dikuasakan enjin ‘parallel-twin’ 249cc DOHC, dengan penyejukan cecair yang menghasilkan 36hp pada 12,500rpm dan 23Nm pada 10,000rpm.

Piaggio Group telah membuka kilang pengeluaran dan pemasangan baharu Indonesia dalam usaha untuk mengukuhkan jenama itu di pasaran Asia. 

Kilang yang terletak di daerah Cikarang, Jawa Barat itu dibina atas tapak berkeluasan 55,000 meter persegi. 

Perasmian kilang baharu itu juga merupakan yang kelapan dibangunkan Piaggio selepas Itali, India, Amerika Syarikat, Vietnam dan China. 

Ini secara tidak langsung menjadikan pasaran Asia sebagai yang terpenting bagi jenama motosikal Itali itu. 

“Kilang baharu di Indonesia ini membawa Piaggio Group selangkah ke depan dalam program pembangunan strategik antarabangsa yang telah dimulakan sejak 10 tahun lalu.

“Piaggio Group catat peningkatan jualan lebih 61 peratus di Indonesia pada 2021 dan kami jangkakan angka itu akan terus meningkat pada masa akan datang,” jelas CEO dan Pengerusi Kumpulan Piaggio, Roberto Colannino.

Umum mengetahui bahawa Ogos lalu, pihak MForce Bike Holdings Sdh Bhd telah pun ke Vietnam bagi menghadiri majlis pra-pelancaran WMOTO XDV 250i. 

Majlis itu secara tidak langsung memberi bayangan bahawa skuter urban ‘adventure’ tersebut akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi. 

Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan bahawa WMOTO XDV 250i itu akan dilancarkan pada 9 Disember ini.

Untuk rekod, WMOTO XDV 250i adalah dijenamakan semula daripada Longjia XDV 250Si dan dipasang sepenuhnya MForce di Malaysia.

Berdasarkan spesifikasi Longjia XDV 250Si, skuter tersebut dikuasakan enjin satu silinder 244.3cc SOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 24.13hp pada 9,750rpm dan 22.5Nm pada 6,750rpm. 

Sistem suspensi pula hadir dengan fork depan Kayaba 37mm dan monoshock berkembar belakang juga dari Kayaba. Sistem brek pula dikawal fungsi ABS dwi-saluran dengan kaliper brek jenis radial J.Juan yang dipadankan bersama cakera brek 240mm depan dan 220mm belakang.

Ruang letak barang – dibawah tempat duduk – juga boleh memuatkan sebuah helmet ‘fullface’.

Selain itu, XDV 250i itu juga dilengkapi tangki 13.5L dengan berat sekitar 168kg, fungsi ‘smartkey’, slot pengecas USB dan port 12V, paparan skrin berwarna TFT serta penghadang angin boleh laras.

Menariknya, di pasaran China, skrin TFT tersebut boleh dihubungkan kepada telefon pintar namun belum dapat dipastikan sama ada fungsi tersebut akan dibawa pada WMOTO XDV 250i.

Apa pun kami akan bawakan info penuh dan terperinci pada hari pelancaran yang akan berlangsung 9 Disember ini. 

KTM memperkenalkan jentera khas untuk litar lumba, RC 8C pada tahun 2021 dan ketika itu, kesemua 100 unit telah habis dijual tidak sampai lima minit. 

Kegagalan mendapatkan motosikal tersebut membuatkan ramai pelanggan kecewa terutamanya peminat jenama Austria itu.

Bagaimanapun, KTM menaik taraf RC 8C bagi tahun 2023 dan menawarkan 200 unit lagi bagi pelanggannya, baru-baru ini.

Menariknya, meskipun 100 unit lebih banyak daripada model 2021 namun kesemua 200 unit habis dijual dalam tempoh dua minit sahaja. 

Lebih mengagumkan, KTM mencatat jualan GBP8 juta (RM44 juta) dalam tempoh singkat tersebut. 

Untuk rekod, KTM RC 8C 2023 merupakan versi yang telah dinaik taraf berbanding model 2021 dan dijual pada harga USD39,599 (RM162k).

Hasilnya, enjin parallel-twin LC8c 889cc itu kini menghasilkan 135hp berbanding 128hp pada model sebelum ini. 

Kenaikan kuasa itu disumbang kelengkapan baharu di bahagian enjin termasuk bahagian ‘throttle body’ yang lebih besar sekaligus menyumbang kepada nisbah mamptan lebih tinggi. 

Penggunaan ekzos Akrapovic baharu juga menyaksikan KTM RC 8C 2023 hanya seberat 142 kilogram. 

Umum mengetahui baru-baru ini Suzuki telah pun memperkenalkan dua model serba baharu sewaktu pameran motosikal EICMA di Milan. 

Suzuki GSX-8S dan 800DE merupakan dua model baharu yang bakal tiba tahun depan dengan kedua-duanya digerakkan platform parallel-twin 776cc serba baharu dibangunkan Suzuki. 

Enjin tersebut memuatkan unit 776cc dengan penyejukkan cecair dan turut datang dengan konfigurasi ‘270-degree crank’ sekaligus menghasilkan bunyi seakan V-Twin yang ikonik pada jentera Suzuki. 

Selain itu dengan bore 84mm dan stroke 70mm serta nisbah mampatan 12.8:1 memberi bayangan bahawa enjin tersebut menawarkan prestasi dan tahap praktikal yang baik. 

Pada masa sama, Suzuki juga menyuntik tahap kejuruteraan tertinggi pada enjin tersebut antaranya kotak udara berkapasiti 6L yang menyumbang kepada penghasilan tork yang baik manakala sistem Cross Balancer pula memastikan gegaran enjin kurang dirasai sekaligus menghasilkan tunggangan yang lebih lancar.

Tidak cukup dengan itu, Suzuki juga memastikan operasi enjin kekal lancar dan efisien dengan menyalut dinding silinder dengan proses Composite Electrochemical Material (SCEM). 

Salutan itu memastikan tahap geseran piston berada di tahap rendah sekaligus mengurangkan risiko kerosakan pada ‘piston ring’ di samping meningkatkan pelepasan haba. 

Bahagian penyejukan enjin pula dikawal dengan sistem Inlet Control Thermostat Valve yang dibangunkan Suzuki sendiri. Sistem tersebut bukan hanya mengurus beban haba pada enjin malah turut menstabilkan pembakaran dan mengurangkan emisi. 

Mengambil kira semua faktor di atas secara tidak langsung membuatkan kami teruja untuk merasai sendiri kemampuan Suzuki GSX-8S dan 800DE tahun depan. 

Diharapkan dengan suntikan enjin baharu dan kelengkapan baharu, kedua-dua model serba baharu itu akan terus memperkembangkan jenama Suzuki di pasaran global. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube