Bikesrepublic

Berita Terkini

Grid MotoGP bagi musim 2023 akhirnya lengkap dengan pasukan GASGAS mengumumkan Augusto Fernandez sebagai pelumba rasmi pasukan itu musim depan.

Fernandez, yang ketika ini mendahului kejuaraan dunia Moto2 mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo, akan digandingkan bersama Pol Espargaro, musim depan. 

Pelumba Sepanyol itu mempamerkan prestasi cemerlang di Moto2 musim ini selepas merekodkan empat kemenangan setakat ini.

“Ini adalah sesuatu yang mengagumkan, dapat melangkah ke kelas premier bersama GASGAS.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan sejak saya sertai Red Bull KTM Ajo tahun lalu.

“Ini adalah impian saya,” jelas pelumba berusia 25 tahun itu.

Bagaimanapun, Fernandez akan terus bertarung untuk mengekalkan status pendahulu kejuaraan dunia Moto2 di GP Aragon pada Ahad.

Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia yang ketika ini antara pesaing utama kejuaraan dunia MotoGP, akhirnya berjaya mendapatkan lesen motosikal A3 di Itali.

Lesen motosikal A3 membolehkan Bagnaia untuk menunggang pelbagai kapasiti motosikal dan tidak hanya terhad kepada motosikal bersesaran kecil.

Siapa sangka, pelumba utama Ducati itu masih ketiadaan lesen motosikal jalan raya sebelum ini meskipun beraksi cemerlang di pentas MotoGP.

Namun, senario itu bukan perkara baru, tahun lalu, enam kali juara dunia WorldSBK, Jonathan Rea juga baru sahaja melengkapkan lesen motosikalnya.

Ini kerana meskipun mereka adalah pelumba namun tak semua terlibat menunggang motosikal di jalan raya biasa.

Antara pelumba MotoGP yang terkenal dengan aktiviti menunggang motosikal adalah Johann Zarco, yang gemar menunggang motosikal klasik jenama Ducati miliknya. 

Yamaha dengan rasminya mengumumkan juara dunia Moto2 musim lalu, Remy Gardner akan sertai projek Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) bagi musim 2023.

Menurut Yamaha, Gardner akan menggantikan tempat Garret Gerloff di pasukan GRT Yamaha WorldSBK. 

Pengumuman tersebut turut menjelaskan bahawa Gardner telah menandatangani kontrak bersama Yamaha. 

Bagaimanapun, ekoran masih terikat dengan KTM di MotoGP musim ini, kenyataan rasmi tersebut tidak disertakan dengan komen daripada pelumba Australia itu.

Namun, Pengurus Yamaha Motor Europe Road Racing, Andrea Dosoli, berkongsi keterujaan atas kejayaan menambat bakat muda itu.

“Remy merupakan bakat muda yang mengujakan dan mempunyai karier cemerlang di perlumbaan GP. 

“Kami sangat berbesar hati kerana dapat memiliki pelumba yang berpengalaman beraksi di pentas tertinggi.

“Kami percaya dia calon sesuai untuk program WorldSBK Yamaha dan kami tidak sabar untuk melihat kemampuannya menunggang jentera R1 kami,” jelasnya.

Gardner sebelum ini dicanang akan menjadi rakan pasukan Pol Espargaro di Tech3 GASGAS sebelum KTM membuat pusingan ‘U’ dan memilih calon lain. 

KTM juga mendakwa Gardner sebagai tidak profesional meskipun belum sampai setahun pelumba itu bersama KTM di kelas premier. 

Ekoran ketiadaan tempat di MotoGP musim depan, keputusan berhijrah ke WorldSBK merupakan satu-satunya peluang untuk dia terus beraksi di pentas tertinggi. 

QJMotor semakin dikenali ekoran kejayaannya memasarkan motosikal pelbagai kapasiti dengan harga yang lebih mampu milik.

Anak syarikat QJMotor, Benelli merupakan bukti kukuh kejayaan pengeluar motosikal China itu apabila jenama tersebut semakin mendapat tempat di Eropah menerusi TRK 502. 

Setakat ini, QJMotor mempunyai pelbagai model baharu yang merangkumi dari model 50cc hinggalah 800cc.

Tidak lupa juga, beberapa nama besar turut menjalin kerjasama erat denga QJMotor antaranya Harley-Davidson dan MV Agusta.

Terbaru, QJMotor memperkenalkan GS550 di China.

Menampilkan reka bentuk jentera ‘sportsbike’, GS550 dikuasakan enjin parallel-twin 554cc DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 57.2hp dan 51Nm.

Menariknya, platform tersebut merupakan enjin sama yang akan menggerakan MV Agusta Lucky Explorer 5.5. 

Meskipun tampil sebagai ‘sportsbike’ untuk penunggang baru namun GS550 menawarkan pelbagai ciri menarik antaranya ‘swingarm’ jenis ‘single-sided’. Menariknya, model ini juga dilengkapi dengan ‘winglet’ di sebelah kiri dan kanan panel badan.

Bukan itu sahaja, QJMotor turut memasang komponen premium seperti sistem suspensi Kayaba (KYB) dan kaliper brek Brembo.

Antara ciri menarik lain ditawarkan termasuk paparan skrin TFT berwarna dan sistem hidup tanpa kunci. 

CFMoto akan memperkenalkan 10 model baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang ketika di Autumn Strategy Conference 2022. 

Pengumuman tersebut dibuat serentak dengan previu jentera konsep NK-C22 yang akan menjadi pengganti kepada siri NK sedia ada.

Sepertimana SR-C21 menjadi konsep kepada terhasilnya 450SR, NK-C22 pula akan menjadi asas kepada model NK akan datang.

Meskipun NK-C22 menjadi tumpuan pada acara tersebut namun pengumuman pelancaran 10 model pada 2023 menjadi fokus utama. 

Menurut CFMoto, daripada 10 model terbabit, empat daripadanya merupakan motosikal elektrik.

Pada masa sama, CFMoto turut melancarkan sistem C-LINK, yang membolehkan kesemua model berkomunikasi antara satu sama lain.

Sementara itu, NK-C22 menampilkan reka bentuk lebih agresif dan unik sekaligus membuktikan usaha CFMoto untuk tampil berbeza berbanding meniru reka bentuk jenama lain.

Rekaan lampu depan berbentuk ‘Y’ dengan lampu projektor seakan berlian menyerlahkan lagi rupa NK-C22 tersebut.

Bahagian sisi pula tampak dinamik dan kompak dengan kehadiran ekzos berkembar SC Project membuatkan profil sisi kelihatan seperti MV Agusta Brutale.

Meskipun spesifikasi enjin tidak dinyatakan namun NK-C22 ini dijangka model NK generasi baharu nanti akan mengguna pakai enjin parallel-twin 450cc yang sama terdapat pada 450SR. 

Ada juga kemungkinan NK-C22 ini akan turut mencetuskan varian NK yang lebih besar dengan dikuasakan enjin 700cc daripada model CL-X atau 800MT. 

Honda telah pun mengumumkan projek motosikal elektrik besar-besaran yang akan menyaksikan sebanyak 10 motosikal elektrik akan dilancarkan menjelang 2025.

Honda Motorcycle: Carbon Neutrality through Electrification

Sebahagian daripada usaha itu termasuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

Meskipun akan memperkenalkan motosikal elektrik namun Honda dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa pembangunan enjin pembakaran dalaman akan tetap diteruskan namun akan memastikan kadar karbon dioksida dihasilkan berada pada tahap rendah.

Selain itu, Honda juga akan membangunkan motosikal yang boleh mengguna pakai minyak neutral karbon seperti etanol-petrol.

Honda Motorcycle: Carbon Neutrality through Electrification

Sementara itu, antara 10 motosikal elektrik yang akan diperkenalkan, tiga daripadanya dirujuk sebagai ‘Fun EV’ dan menampilkan kuasa dan ciri seperti motosikal berkuasa tinggi. 

Menurut Honda, motosikal tersebut akan diperkenalkan di pasaran Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.

Untuk pasaran Asia, China, Eropah dan Jepun pula, Honda akan memperkenalkan lima model jenis skuter elektrik menjelang 2024.

Pada masa sama, terdapat dua jenis bateri yang akan diguna pakai, bateri padu dan bateri mudah alih.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube