Bikesrepublic

Berita Terkini

Segmen motosikal pertengahan semakin rancak dengan beberapa model antaranya Honda CBR650R, Aprilia RS660 dan terbaru, Yamaha YZF-R7.

*Yamaha YZF-R7

R7 merupakan tawaran terbaru Yamaha yang merupakan motosikal jenis sportsbike bernadikan enjin CP2 689cc DOHC yang sama terdapat pada versi naked, MT-07. Hasilnya, R7 menawarkan 72hp dan dan 67Nm.

Suzuki pernah menjadi antara jenama pengeluar motosikal Jepun yang paling diminati bagi segmen pertengahan terutamanya menerusi SV650 sejak diperkenalkan pada 1999.

*Suzuki SV650

Bagaimanapun, model itu semakin ketinggalan tatkala pengeluar lain mula memperkenalkan model baharu yang lebih sporty dan agresif.

Menyedari perkara ini, pengeluar dari Hamamatsu itu dilaporkan bakal sertai segmen tersebut dengan model baharu.

Difahamkan, Suzuki bakal memperkenalkan SV650 dengan versi fairing penuh bagi memberi saingan terhadap R7.

Suzuki SV650 merupakan motosikal jenis naked yang dikuasakan enjin V-Twin 645cc dengan penyejukan cecair yang menawarkan 74hp dan 64Nm.

Laporan terbaru itu ada benarnya berdasarkan inisiatif Suzuki ketika ini yang semakin rancak memperkenalkan beberapa model baharu bagi tahun 2022.

Baru-baru ini, Suzuki telah pun melancarkan GSX-S1000 dan GSX-S950 2022 selain bakal memperkenalkan GSX-R1000 sekitar hujung tahun ini bersama-sama jentera ‘sport touring’ GSX-S1000T.

Bagi yang nak merasakan pengalaman melintas jalan seperti di Shibuya, Jepun, orang ramai boleh ke Bukit Bintang bagi melihat tempat pejalan kaki baharu disiapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut DBKL tempat pejalan kaki itu baharu itu membenarkan orang ramai melintas ke setiap arah secara serentak ketika lampu merah berbanding sebelum ini.

Pertambahan tempat pejalan kaki ini dilihat bakal mengoptimumkan waktu melintas dan aliran trafik di kawasan tersebut.

Tempat pejalan kaki ini terletak di persimpangan antara Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang berhadapan McDonald’s.

Honda Civic 2022 serba baharu telah pun mula dipasarkan di Amerika Syarikat, dua bulan selepas model itu dilancarkan secara global.

Terdapat empat varian ditawarkan untuk pasaran negara itu yang merangkumi varian LX, Sport, (turbocharged) EX dan Touring dengan harga bermula dari USD22,695 (RM94ribu) hingga USD29,295 (RM121ribu).

Menurut laporan, Honda Civic LX dan Sport didatangkan dengan enjin 2.0L i-VTEC empat silinder yang sama dari model sebelumnya namun menawarkan penjimatan bahan api yang lebih dengan 6.7L bagi setiap 100km berbanding 7.1L bagi setiap 100km sebelum ini.

Sementara itu, varian EX dan Touring dikuasakan dengan enjin 1.5L VTEC turbo yang telah ditala semula dan kini menghasilkan 180hp dan 240Nm berbanding generasi Civic sebelumnya.

Kedua-dua enjin ini juga didatangkan dengan transmisi CVT 6-kelajuan yang telah dikemaskini.

Honda Civic generasi kesebelas ini menampilkan elemen serba baharu dengan reka bentuk lebih matang dan kemas berbanding sebelum ini.

Ruang dalam juga dinaik taraf dengan papan pemuka yang lebih elegan dan moden yang kini lebih menonjol dengan sistem infotainmen bersaiz 7″ (dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto) yang kini diletakkan di ruang atas berbanding di tengah-tengah konsol.

Kesemua empat varian dilengkapi dengan sistem Hnda Sensing penuh dan dilengkapi dengan ciri Traffic Jam Assist (TJA) Level 2 yang menyumbang kepada ciri adaptive cruise control yang lebih lancar.

Pelumba Yamaha seakan berdepan nasib berbeza musim ini.

Ketika Fabio Quartararo memenangi tiga perlumbaan setakat ini di samping merekodkan lima petak pertama berturut-turut, lain kisahnya yang menimpa rakan sepasukan Maverick Vinales serta Valentino Rossi dan Franco Morbidelli di Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Pusingan GP Jerman semalam menyaksikan Quartararo menaiki podium di tempat ketiga manakala Vinales melintas garisan penamat di kedudukan terakhir (P19) di belakang Morbidelli (P18).

Rossi merupakan satu-satunya pelumba Yamaha selain Quartararo yang berjaya mengutip mata apabila menamatkan aksi di kedudukan ke-14.

Menurut Vinales, dia sering bertanyakan kepada Yamaha apakah yang berlaku namun sehingga kini masih tiada sebarang jawapan diberikan.

Difahamkan, jentera YZR-M1 Vinales masih berdepan masalah sama, kekurangan cengkaman (traction) di litar.

“Sebaik saya membuka ‘throttle’, tayar belakang sering tergelincir dan saya sudah pun mengetengahkan perkara ini sejak di Portimao tetapi masih tiada sebarang penyelesaian.

“Enam pusingan sudah pun berlalu untuk cuba mencari solusi,” jelas Vinales.

Tambah Vinales lagi, dia kecewa kerana tugasnya saban minggu ketika ini hanyalah mengumpul data.

“Saya gagal memintas Marini dan Bastianini selepas 15 lap. Meskipun sudah melakukan persiapan dengan baik tetapi jentera mereka mempunyai lebih banyak kuasa dan cengkaman.

“Saya minta maaf tetapi tidak mungkin saya dapat melakukannya dengan jentera ini,” ujar Vinales lagi.

Aksi di Sachsenring menyaksikan Marc Marquez merekodkan kemenangan sulung musim ini sejak diketepikan dari saingan lebih sembilan bulan ekoran mengalami kecederaan tangan kanan.

Tempat kedua jadi milik Miguel Oliveira manakala Quartararo ketiga.

Saingan MotoGP akan kembali pada 25-27 Jun ini di Assen. – GPone

Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez, merekodkan kemenangan sulung bagi musim 2021 di GP Jerman selepas lebih 265 hari direhatkan sejak mengalami kemalangan di Jerez, musim lalu.

Enam kali juara dunia MotoGP itu mempamerkan tunggangan mantap sebaik perlumbaan bermula dengan memintas Aleix Espargaro (Aprilia) di peringkat awal dan terus mendominasi perlumbaan sehingga ke lap terakhir.

Tempat kedua jadi milik pelumba KTM, Miguel Oliveira diikuti pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo, ketiga.

Ini merupakan saat yang cukup beremosi buat Marquez yang sekian lama bergelut untuk kembali ke prestasi selepas 581 hari merekodkan kemenangan terakhirnya.

Meskipun pada satu ketika kedudukan Marquez dilihat agak tergugat tatkala Oliveira semakin rapat, pelumba Sepanyol itu kekal tenang dan berjaya mengekalkan jurang sehingga ke lap terakhir sekaligus mengekalkan status selaku “King of the Ring”.

Marquez kini pelumba kedua yang berjaya merekodkan lapan kemenangan di litar sama, satu dibelakang pelumba legenda, Giacomo Agostini dengan sembilan kemenangan.

Dalam perkembangan lain, saingan Moto3 menyaksikan pelumba berusia 17 tahun, Pedro Acosta merekodkan kemenangan keempat musim ini sekaligus menyaksikan dia selesa mendahului kejuaraan dengan 145 mata manakala tempat kedua dan ketiga diisi Kalto Toba dan Dennis Fogia.

Sementara itu, Remy Gardner mengungguli saingan Moto2 dikuti Aron Canet kedua dan Marco Bezzechi, ketiga. Gardner kini mendahului kejuaraan dengan 164 mata.

Pelumba Moto3, John McPhee meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Petronas Sprinta Racing, memindahkan ketua kru, Mark Woodage, kepada Jake Dixon di Moto2.

Perpindahan orang penting di belakang McPhee itu merupakan antara usaha Petronas Sprinta untuk membantu Dixon yang ketika ini bergelut di saingan Moto2.

Bagaimanapun, McPhee gagal menyembunyikan kekecewaannya terhadap keputusan mengejutkan itu.

“Senario ini mengecewakan dan saya sangat kecewa dengan pasukan ini terhadap apa yang mereka telah lakukan.

“Saya rasa ini merupakan kali kedua saya berasa kecewa dalam tempoh 10 bulan – yang pertama adalah tidak melunaskan kontrak Moto2 kepada saya musim lalu.

“Kali ini, seleas tujuh pusingan, mereka mengambil ketua kru saya dan meletakkannya di Moto2. Jadi saya berasa sangat kecewa,” jelas McPhee.

Difahamkan, Petronas Sprinta telah menugaskan juruteknik data, Daniel Bonmati untuk mengisi kekosongan tersebut buat sementara waktu.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Petronas Sprinta, Johan Stigefelt menjelaskan keputusan disebalik perpindahan ketua kru McPhee ke Moto2.

“Saya rasa keputusan ini akan memberi manfaat kepada semua empat individu yang terlibat.

“Saya setuju keputusan ini agak sukar ditelan tetapi untuk jangka masa panjang, ia akan membuahkan hasil,” jelasnya.

Saingan MotoGP berlangsung minggu ini di Sachsenring. – bikesportnews

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube