Bikesrepublic

Berita Terkini

Aprilia mungkin menghentikan pengeluaran Shiver dan Dorsoduro susulan peraturan pengawalan emisi Euro5.

Meskipun Aprilia masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi namun dengan kedua-dua model hanya mencapai standard Euro4 ketika ini, senario itu hampir pasti akan berlaku.

*Aprilia Shiver 900

Melainkan pengeluar motosikal Itali bercadang untuk menghasilkan enjin baharu bagi Shiver dan Dorsoduro.

Bagaimanapun, ketiadaan ‘spyshot’ yang memaparkan Shiver atau Dorsoduro dengan enjin baharu di sekitar kilang di Noale, Itali seakan memberi gambaran bahawa Aprilia tidak bercadang meneruskan pengeluaran kedua-dua model terbabit.

*Aprilia Dorsoduro 900

Apatah lagi, Aprilia dilihat sibuk memberi fokus kepada RS660 yang baru dilancarkan, serta Tuono 660 di samping Tuareg 660 turut dilihat menjalani ujian ketika ini.

Atas faktor itu, kebarangkalian untuk Aprilia mengetepikan Shiver dan Dorsoduro adalah tinggi apatah lagi enjin 660 yang dibangunkan itu dilihat sebagai masa depan baharu Aprilia untuk beberapa tahun akan datang.

Sekiranya Aprilia masih berminat untuk meneruskan legasi Shiver dan Dorsoduro, mungkin mengguna pakai enjin 660 adalah langkah seterusnya bagi mereka.

Baru-baru ini, Hafizh Syahrin disahkan hilang tempat di Aspar Team Moto2 bagi musim 2021.

Aspar Team membuat keputusan untuk naikkan pangkat pelumba Moto3, Albert Arenas ke Moto2 susulan prestasi mengagumkan musim ini.

Arenas mendahului kejuaraan Moto3 ketika ini dengan 144 mata selepas 11 pusingan.

Sementara itu, Hafizh mendedahkan dia kini sedang berbincang dengan dua pasukan namun enggan mendedahkan maklumat terperinci tatkala fokusnya adalah baki empat pusingan di Moto2.

Bagaimanapun, Hafizh turut mengakui dia enggan meletakkan harapan tinggi terhadap kariernya musim depan.

*Hafizh Syahrin

“Sekarang tak letak harapan apa-apa. Kalau ada rezeki saya sambung, kalau tak ada, insya’Allah ada rezeki di tempat lain,” jelasnya kepada BH Online.

Sementara itu, timbul dakwaan mengatakan salah satu daripada pasukan itu adalah Idemitsu Honda Asia di Moto2.

Pasukan itu ketika ini beraksi menggunakan jentera Kalex berbanding Speed Up yang diguna pakai Aspar Team.

Pada masa sama, pasukan MV Agusta Forward Racing dan NTS RW Racing juga masih mempunyai satu slot kekosongan setelah hanya mengesahkan Lorenzo Baldassarri (MV) dan Barry Baltus (NTS) musim depan.

Aksi di GP Aragon pada Ahad menyaksikan Hafizh gagal mengutip sebarang mata apabila menamatkan aksi di kedudukan ke-19.

Pada 14 Oktober lalu, PROTON mengesahkan salah seorang daripada kakitangan di Shah Alam telah positif Covid-19.

Kini, pengeluar kereta nasional itu mengesahkan (dalam satu kenyataan media) susulan daripada satu kes itu, 49 kakitangan lagi telah disahkan positif Covid-19 dengan kesemuanya daripada Divisyen Kejuruteraan di Shah Alam.

Sehubungan itu, Proton telah pun mengarahkan kakitangan bahagian perkhidmatan bukan keperluan (non-essential) untuk melakukan kuarantin kendiri di rumah masing-masing dalam usaha mengekang penularan.

Sementara itu, Proton beri jaminan bahawa prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat kini dilaksanakan terhadap semua kakitangan dan pelanggan yang hadir ke Proton Centre of Excellence (COE) di Shah Alam.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan terdapat 865 kes positif Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 858 daripadanya membabitkan kes tempatan.

Setakat ini, 190 kematian telah pun dicatatkan dengan jumlah kes aktif mencecah 7, 456.

Berdasarkan informasi yang diterima daripada Mazda Corporation Japan, sejumlah 19,685 unit kereta di Malaysia telah dipanggil semula bagi menggantikan ‘fuel pump’.

Model yang terkesan adalah Mazda2, Mazda3, Mazda6, CX-3, CX-5, dan CX-9 yang dihasilkan di antara 2017 hingga 2019.

Selaku pengedar rasmi di Malaysia, Bermaz Motor bersama Mazda Corporation beri jaminan menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

Sementara itu, Bermaz memaklumkan bahawa panggilan semula ini tidak menjejaskan model keluaran tahun 2020.

Berikut senarai model yang terkesan:

Pada masa sama, pelanggan yang terkesan akan dimaklumkan menerusi surat dan SMS dan orang ramai digesa menghubungi pusat servis rasmi bermza untuk membuat janji temu.

Segala kos pertukaran ‘fuel pump’ adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya pihak Bermaz.

Proses pertukaran ini akan memakan masa sekitar 1.5 jam.

Untuk maklumat terperinci layari https://mazda.com.my/mazda-recall-information-centre.

Juara dunia tiga kali MotoGP, Jorge Lorenzo menyifatkan Alex Marquez layak berada di pasukan Repsol Honda selepas kejayaan di Aragon, semalam.

Marquez merekodkan tempat kedua berturut-turut seminggu selepas aksi mantap di Le Mans.

Kejayaan Marquez turut mendapat pujian tiga kali juara dunia MotoGP, Jorge Lorenzo yang memaklumkan bahawa adik Marc Marquez itu layak berada di Repsol Honda.

Apatah lagi selepas mempamerkan peningkatan mendadak jika dibandingkan dengan lapan pusingan sebelum itu.

Marquez bergelut sewaktu ujian pra-musim (Winter Test) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan di Losail, Qatar, Februari lalu.

Meskipun kalendar 2020 belum bermula, – ditangguh susulan pandemik Covid-19 – Repsol Honda telah pun membuat keputusan untuk menggantikan juara Moto2 2019 itu dengan pelumba Red Bull KTM, Pol Espargaro bagi musim 2021.

*Pol Espargaro, Red Bull KTM

Marquez disifatkan sebagai kurang berpengalaman di kelas premier dan belum bersedia untuk bersaing ditahap tertinggi apatah lagi belum serasi dengan jentera RC213V.

Keputusan itu menyaksikan Marquez akan menggantikan Cal Crutchlow di LCR Honda namun akan mendapat sokongan sepenuhnya dengan jentera RC213V terbaru musim depan.

*RC213V milik Alex Marquez

Marquez membuka tirai 2020 dengan permulaan kurang memberangsangkan di GP Sepanyol apabila merekodkan tempat ke-12.

Bagaimanapun, dia bangkit dengan aksi lebih baik di pusingan kedua apabila mendapat tempat ke-8 di Andalucia.

Namun, dia kembali bergelut sejurus selepas itu apabila gagal menempatkan dirinya dalam kelompok 10 terbaik empat pusingan berturut-turut di Brno (15), Red Bull Ring (14), Styria (16) dan Misano (17).

Persembahan di pusingan ketujuh sewaktu di GP Emilia Romagna merupakan pencapaian terbaiknya selepas itu apabila menduduki tempat k-7.

Hakikatnya, kejayaan di Le Mans dan Aragon membuktikan Marquez sudah semakin serasi dengan jenteranya.

Ini kerana tatkala jentera lain direka mengikut acuan pelumba, tuan punya badan perlu menyesuaikan diri dengan jentera di HRC.

Jika ini kemampuan Marquez dengan tahap keserasian bersama RC213V berada di antara 70 hingga 80 peratus, bayangkan kebarangkalian yang boleh berlaku jika dia mencapai tahap 100 peratus?

Alex Rins berjaya merekodkan kemenangan sulung di kelas premier, hari ini.

Wakil Suzuki Ecstar itu muncul pelumba kelapan yang merangkul kemenangan selepas 10 pusingan setakat ini.

Sementara rakan sepasukan, Joan Mir kini muncul pendahulu kejuaraan baharu selepas menamatkan aksi di tempat ketiga.

Dia kini didepan dengan 121 mata, 6 mata dihadapan Fabio Quartararo yang menamatkan aksi di luar kutipan mata.

*Joan Mir pendahulu kejuaraan MotoGP 2020

Pelumba Petronas Sepang Racing Team (SRT) itu sekadar menamatkan aksi di tempat ke-18 meskipun bermula di petak pertama selepas mengungguli sesi kelayakan semalam.

Sementara itu, Alex Marquez turut mencuri tumpuan apabila berjaya merekodkan podium kedua berturut-turut di tempat kedua selepas Le Mans, minggu lalu.

*Alex Marquez

Pelumba Repsol Honda itu sekali lagi menunjukkan keserasian dengan jentera RC213V meskipun bermula di petak ke-11.

Marquez cuba memberi saingan kepada Rins dengan perlumbaan berbaki 4 lap namun keadaan tayar yang mula hilang cengkaman sehingga dia hampir hilang kawalan mengekang hasrat itu.

Pada masa sama, pelumba LCR Honda, Takaaki Nakagami dan Cal Crutchlow turut mempamerkan aksi memberangsangkan dengan kedua-duanya menamatkan aksi dalam kelompok 10 terbaik.

Menariknya, selepas 10 perlumbaan, Nakagami tidak pernah gagal menduduki kelompok 10 terbaik setakat ini meskipun menunggang jentera RC213V 2019 yang membantu Marc Marquez menjulang kejuaraan musim lalu.

*Takaaki Nakagami sewaktu Winter Test di Sepang

Pelumba Jepun itu turut mengumpul 92 mata setakat ini di kedudukan kelima, 29 mata dibelakang pendahulu, Joan Mir.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube