Bikesrepublic

Berita Terkini

Seorang pengawal keselamatan telah diberkas setelah didapati terlibat kes samun membabitkan rantai emas dianggarkan bernilai RM3,000 milik seorang pemandu peribadi dalam satu kejadian di Ampang Jaya, kelmarin. 

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, suspek, 30 tahun, telah menghimpit mangsa yang sedang memandu kereta jenis BMW menggunakan sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Memetik laporan Harian Metro, suspek telah menumbuk cermin kereta lalu memaksa mangsa menurunkan cermin kerana khuatir dipecahkan lelaki tersebut. 

“Suspek kemudian terus meludah ke arah pengadu dan menarik kolar baju serta rantai emas milik mangsa sebelum melarikan diri,” jelas Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan kurang 24 jam daripada tempoh kejadian.

“Siasatan dilakukan mendapati suspek menjual barang emas itu di sebuah kedai pajak di daerah ini dan membeli aksesori motosikal (cover set) menggunakan wang berkenaan,” tambah Mohamad Farouk. 

Kes sedang disiasat mengikut Sekseyn 392 Kanun Keseksaan. – Harian Metro

Tidak dinafikan, nama CFMoto semakin kerap memenuhi dada berita antarabangsa dan tempatan terutamanya menerusi model 450SR, 700CL-X, 800MT dan terbaru 800NK. 

Jenama motosikal dari China itu turut dilaporkan sedang giat membangunkan platform 1,000cc dengan konfigurasi V4 dalam usaha melahirkan jentera ‘sportsbike’ berkuasa tinggi. 

Meskipun begitu, CFMoto tidak mengetepikan segmen ‘mini-moto’ yang ketika ini popular dengan model Honda Monkey 125 dan MSX125 (Grom). 

Bagi merancakkan lagi segmen tersebut, CFMoto telah memperkenalkan Papio XO-1 di China. 

Menariknya, Papio XO-1 merupakan satu-satunya ‘mini-moto’ yang menerapkan imej ‘sportsbike’ retro. Menurut CFMoto, model ini dikuasakan enjin satu silinder 125cc dengan penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api yang berupaya menghasilkan 9.5hp pada 8,500rpm dan 8.3Nm pada 6,500rpm. 

Meskipun bukanlah motosikal yang berkuasa namun rupa bentuk Papio XO-1 merupakan ciri utama yang harus diberikan perhatian. Pertamanya, bahagian lampu bulat berkembar depan LED yang menampilkan rekaan ‘X’ dan ‘O’. 

Lampu LED belakang pula ditempatkan di atas ekzos dan tampil dengan garisan hitam yang menimbulkan lagi elemen retro. 

Proton terus memperkembangkan barisan model X untuk pasaran tempatan dengan memperkenalkan Proton X90. 

Proton X90 merupakan model ketiga selepas X70 dan X50 yang akan dipasarkan di Malaysia dengan imej premium. 

Bagi memastikan rangkaian pengedar juga bergerak seiring dengan imej Proton sebagai pengeluar kereta premium, rata-rata pusat pengedar berstatus 1S telah pun dinaik taraf kepada 3S dan 4S. 

Namun, bagi mereka yang enggan, Proton tidak mempunyai pilihan kecuali melepaskan pusat pengedar tersebut. 

Dalam perkembangan terbaru, Proton sahkan hanya beberapa pengedar terpilih sahaja yang dibenarkan menjual Proton X90. Menurut CEO Proton, Dr Li Chunrong, rangkaian pengedar sedia ada perlu memenuhi tiga syarat wajib bagi melayakkan mereka menjual Proton X90.

“Syarat pertama adalah memastikan servis selepas jualan yang lebih baik. Jika tidak mereka tidak boleh menjual X90. Kami akan mengenal pasti sama ada mereka boleh menjual atau tidak berdasarkan aspek tersebut. 

“Keduanya, ruang yang diperlukan. Sebagai contoh, pusat pameran perlu memuatkan lapan model kerana dihujung tahun nanti, kita akan ada lapan model kesemunya. Jadi kami tidak akan menerima pengedar yang tidak boleh mempamerkan kesemua lapan model,” jelasnya. 

Syarat ketiga pula bergantung kepada prestasi pengedar. Meskipun syarat ketiga itu tidak diperincikan namun kami menjangka syarat tersebut merujuk pada jualan dan alat ganti.

Sementara itu, Pengarah Selepas Jualan Proton, Wan Hazran turut mengesahkan langkah proaktif tersebut. 

“Kami telah pun mengenal pasti pengedar yang akan dibenarkan menjual X90. Kami telah menetapkan kriteria keta kerana kami mahu memastikan hanya pusat pameran yang terbaik sahaja boleh menjual SUV premium ini. 

“Kami masih memuktamadkan angka sebenar tetapi seperti yang disebut Dr Li, hanya pengedar terbaik sahaja akan dibenarkan menjual X90,” ujarnya. 

Tidak cukup dengan itu, Wan Hazran juga mendedahkan Proton kini meletak sasaran untuk mengurangkan tempoh menunggu di pusat servis kurang dari dua jam. 

Proton X90 merupakan model paling premium pernah ditawarkan pengeluar kereta nasional maka penting untuk rangkaian pengedar turut sama mempertingkatkan perkhidmatan sedia ada sebelum dibenarkan menjual model terbaru itu. 

Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa jenama motosikal mewah Itali, MV Agusta, bakal menembusi pasaran Malaysia menerusi pengedar baharu, AFY Mobility Sdn Bhd (AMI). 

Menariknya, bukan sekadar mengedar malah beberapa model akan turut dipasang sepenuhnya di Malaysia. 

Mac lalu, Pengerusi Kumpulan Eksekutif AMI, Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya telah pun berkongsi beberapa gambar di media sosial yang memaparkan kelibat dua jentera MV Agusta Brutale RR. 

Dalam perkongsian terbaru, Ahmad Faez memuat naik video berdurasi 32 saat yang memaparkan model sportsbike popular, MV Agusta F3. Menariknya, model tersebut bukan versi standard sebaliknya varian edisi terhad RC (Reparto Corse). 

Untuk rekod, MV Agusta F3 dikuasakan enjin 3-silinder 798cc 12-valve yang berupaya menjana 155hp pada 13,250rpm dan 88Nm pada 10,100rpm. Enjin tersebut juga mempunyai nisbah mampatan tinggi dengan 13.3:1.

Dengan hanya seberat 165kg, MV Agusta F3 RC ini mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 240km/j. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk fork depan USD 43mm jenama Marzocchi boleh laras, kaliper brek Brembo depan dan belakang, rim 17-inci dan tangki 16.5L. Model ini juga turut dilengkapi panel meter TFT 5.5”, fungsi ‘cruise control’ dan ‘launch control’. 

Buat masa ini, AMI masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pelancaran model MV Agusta untuk pasaran Malaysia namun kami jangkakan perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi. 

Pasukan CryptoData RNF Aprilia memulakan aksi pembukaan Kejuaraan Dunia MotoGP dengan langkah kiri selepas kedua-dua pelumba, Raul Fernandez dan Miguel Oliveira gagal menamatkan perlumbaan. 

Oliveira kemalangan ketika berada di kelompok depan setelah dirempuh Marc Marquez di Turn 3 sekaligus memaksanya bersara di awal perlumbaan. 

Pelumba Portugal itu juga disahkan akan terlepas aksi GP Argentina setelah mengalami kecederaan. Marquez juga turut diketepikan daripada aksi di pusingan kedua setelah Repsol Honda mengesahkan juara dunia lapan kali itu mengalami kecederaan tangan. 

Ketika perlumbaan di Portimao tamat, Race Direction juga telah mengenakan penalti ‘long-lap’ berganda terhadap Marquez di Argentina. Namun, hukuman itu telah dibawa ke pusingan ketiga di GP America susulan Marquez disahkan akan terlepas aksi pusingan kedua. 

Bagaimanapun, RNF Aprilia dalam satu kenyataan, menuntut agar Race Direction melaksanakan hukuman lebih berat dikenakan. 

“Susulan aksi tidak bertanggungjawab dipamerkan Marc Marquez (Repsol Honda) terhadap Miguel Oliveira, kami mahu hukuman lebih berat dikenakan. 

“Tunggangan agresif bukan sahaja boleh meninggalkan kesan buruk pada diri sendiri malah terhadap pelumba lain. 

“Insiden antara Marquez dan Oliveira wajar dijadikan pengajaran kepada pelumba lain di MotoGP.

“Oleh itu, kami menuntut Race Direction mengenakan penalti lebih berat terhadap pelaku.”

Kawasaki mendedahkan Ninja ZX-4RR secara rasmi di Amerika Syarikat pada Februari lalu sebelum motosikal tersebut mula buat penampilan di Thailand dan Indonesia. 

Indonesia merupakan pasaran paling meriah bagi Kawasaki terutamanya sejak memperkenalkan Ninja ZX-25R tiga tahun lalu. 

Bagi meraikan ketibaan Kawasaki Ninja ZX-4RR di pasaran negara itu, Kawasaki Indonesia telah memuat naik beberapa video promosi tentang motosikal tersebut.

Bagaimanapun, video paling mencuri tumpuan adalah ujian ‘top speed’ atas mesin dyno. Ini kerana, ujian tersebut menunjukkan bagaimana Ninja ZX-4RR mampu mencecah kelajuan 253km/j pada gear enam.

Meskipun kelajuan tersebut dicatat pada mesin dyno dan bukannya atas jalan raya, angka yang ditonjolkan masih mengagumkan. 

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-4RR dikuasakan enjin 399cc 4-inline yang berupaya menghasilkan 79hp (dengan Ram Air) pada 14,500rpm dan 35.9Nm pada 11,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan. 

Dalam perkembangan sama, tiada maklumat daripada pihak Kawasaki Malaysia sama ada Ninja ZX-4RR akan dipasarkan di Malaysia. Bagaimanapun, kami diberitahu sebelum ini bahawa Ninja ZX-25R akan diperkenalkan tahun ini dan akan dipasang sebagai model CKD. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube