Bikesrepublic

Berita Terkini

Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa jenama motosikal mewah Itali, MV Agusta, bakal menembusi pasaran Malaysia menerusi pengedar baharu, AFY Mobility Sdn Bhd (AMI). 

Menariknya, bukan sekadar mengedar malah beberapa model akan turut dipasang sepenuhnya di Malaysia. 

Dalam perkembangan terbaru, Pengerusi Kumpulan Eksekutif AMI, Ahmad Faez Bin Tan Sri Yahaya telah berkongsi beberapa gambar di media sosial yang memaparkan dua buah jentera MV Agusta Brutale RR dengan salah satu daripadanya merupakan edisi Nurburgring. 

Perkongsian itu sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa pelancaran model MV Agusta untuk pasaran tempatan akan diumumkan tidak lama lagi. 

Untuk rekod, MV Agusta Brutale RR dikuasakan enjin empat inline 998cc yang berupaya menghasilkan 208hp pada 13,450rpm dan 116.5Nm. 

Sebelum ini, pihak AMI telah pun mempamerkan beberapa jentera ketika minggu MotoGP Malaysia antaranya MV Agusta Turismo Veloce. 

Pengeluar motosikal India, Bajaj Auto telah menaik taraf model popular Pulsar NS200 bagi tahun 2023. 

Pulsar NS200 merupakan model yang bukan sahaja dipasarkan di India malah di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Bagaimanapun, model itu dijenamakan semula sebagai Modenas disini. 

Bagi tahun 2023, Pulsar NS200 telah dinaik taraf dengan beberapa ciri baharu termasuk fork USD (upside/down) menggantikan fork teleskopik pada generasi terdahulu. Kehadiran fork USD itu secara langsung meningkatkan lagi daya tunggangan. 

Selain itu, ciri keselamatan turut dipertingkat dengan ABS dwi-saluran yang dinaik taraf daripada sistem ABS saluran tunggal sebelum ini. Ini menjadikan Pulsar NS200 2023 lebih selamat untuk kegunaan harian. 

Bagaimanapun, Pulsar NS200 2023 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 200cc dengan penyejukan cecair yang berupaya menjana 24.5hp dan 18.7Nm. Meskipun enjin sama, beberapa komponen telah direka semula sekaligus menyaksikan model baharu ini 1.5kg lebih ringan. 

Menurut Bajaj, Pulsar NS200 baharu ini juga dikemas kini dengan petunjuk gear baharu dan juga meter (minyak) jarak ke kosong. 

Bagi pasaran India, Bajaj Pulsar 200 2023 ini dijual pada harga INR147,000 (RM8k). 

Indonesia bakal melaksanakan beberapa peraturan baharu terhadap pelancong luar terutamanya mereka yang gemar ke Pulau Bali. 

Menurut Gabenor Bali, Wayan Koster dalam satu kenyataan menyebut kerajaan negara itu bakal menguatkuasakan beberapa peraturan baharu bagi menyekat pelancong luar yang bekerja secara haram di pulau tersebut.

Difahamkan, penduduk Bali juga kurang senang dengan lambakan pelancong asing terutamanya dari Russia dan Ukraine yang melarikan diri daripada perang yang sedang melanda.

Koster juga mendakwa mereka bukan melancong tetapi menggunakan peluang itu untuk bekerja di pulau terbabit meskipun tanpa dokumen dan permit sah.

Antara usaha yang bakal dilaksanakan termasuk mengharamkan perkhidmatan sewa motosikal terhadap pelancong. Ini kerana motosikal menjadi medium pengangkutan popular dikalangan pelancong di negara itu. 

Sebaliknya, pelancong hanya akan dibenarkan menyewa kereta sahaja bagi memastikan tujuan mereka disitu adalah untuk melancong sahaja.

Selain itu, keputusan itu dibuat setelah mendapati rata-rata pelancong luar menunggang motosikal tanpa dokumen sah di samping tidak memakai helmet dan menunggang secara berbahaya. – CNN Travel

Skuter popular, Yamaha NMAX telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu bagi tahun 2023. 

Menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), skuter itu kini datang dengan pilihan warna Merah dan Biru dan dijual pada harga (terbaru) RM9,798 bermula 16 Mac ini.

Seperti biasa, setiap pembelian Yamaha NMAX akan disertakan dengan ‘Yamaha safety disc lock’ benilai RM100. 

Yamaha NMAX dikuasakan enjin satu silinder 155cc Blue Core SOHC dengan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 14.9hp pada 8,000rpm dan 14.4Nm pada 6,000rpm. Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi automatik CVT. 

Antara ciri menarik pada NMAX sudah tentu keupayaan untuk berjalan jauh kerana memiliki tangki berkapasiti 7L sekaligus sesuai untuk kegunaan harian. 

MForce merupakan antara pengedar terbesar di Malaysia kerana mengendalikan beberapa jenama motosikal di sini termasuk Benelli, SYM, WMOTO, QJMotor dan terbaru CFMoto. 

Baru-baru ini, MForce turut memperkembangkan portfolio WMOTO di Malaysia menerusi pelancaran WMOTO Bobbie VII yang merupakan motosikal gaya retro moden dengan kapasiti enjin 700cc. 

*WMOTO Bobbie VII

Sewaktu pelancaran, MForce turut mendedahkan perancangan untuk memperkenalkan sebuah motosikal supermoped di bawah payung WMOTO. 

Memetik laporan rakan media, PanduLaju, pendedahan itu dibuat Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad. 

Jelasnya, supermoped itu akan dilancarkan sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan. Menariknya, model akan datang itu adalah jenis ‘high spec’ berbanding F-15 sedia ada yang merupakan model berspesifikasi rendah. 

*WMOTO F15

Tidak cukup dengan itu, supermoped tersebut juga boleh menggunakan komponen dan aksesori dari jenama Honda dan Yamaha di Malaysia sekaligus memberi kelebihan kepada pengguna.

Difahamkan, model tersebut masih dalam peringkat prototaip dan sedang dalam peringkat pembangunan di China. Meskipun begitu, rekaan model terbabit dihasilkan sepenuhnya pihak MForce sekaligus menjaminkan reka bentuk yang kena dengan cita rasa rakyat Malaysia. 

Lebih mencuri tumpuan, MForce bercadang untuk menyertai Kejuaraan Cub Prix pada tahun 2024 dengan model baharu itu. – PanduLaju

Ketika KTM memperkenalkan KTM 1290 Super Duke RR pada tahun 2021, kesemua 500 unit model edisi terhad itu habis terjual dalam masa kurang satu jam. 

Oleh sebab itu, kami tidak terkejut KTM membuat keputusan untuk memperkenalkan versi 2023 bagi memenuhi kehendak peminat yang terlepas peluang mendapatkan jentera itu dua tahun lalu. 

Seperti 1290 Duke RR 2021, versi 2023 ini juga mencapai nisbah kuasa kepada berat 1:1 dengan berat dikurangkan sebanyak 11kg daripada model standard. Apabila dipadankan dengan 180hp dan 140Nm, maka terhasillah sebuah jentera yang bukan hanya berkuasa malah agresif. 

Seperti generasi terdahulu, KTM 1290 Super Duke RR 2023 ini juga datang dengan ‘subframe’ gentian karbon di samping terdapat banyak lagi komponen ringan yang diguna pakai pada bahagian lain termasuk ‘mudguard’, penutup tangki dan pelindung enjin. 

Pakej suspensi pula terdiri daripa fork depan WP APEX PRO 7548 dan penyerap hentakan belakang WP APEX PRO 7746. Kedua-duanya boleh diselaraskan. 

Sebagai sebuah jentera yang memfokuskan prestasi di litar lumba, 1290 Super Duke RR ini juga dilengkapi dengan mod khas litar temrasuk Track dan Performance. Bagi yang mahukan lebih kuasa, boleh memilih untuk memasang sistem ekzos Akrapovic Evo yang akan meningkatkan lagi kuasa kuda jentera terbabit. 

Sementara itu, ciri yang membezakan model 2021 dan 2023 adalah dari aspek pengayaan dengan model terbaru itu datang dengan pilihan warna serba hitam yang dipadankan bersama kemasan berwarna oren di bahagian kerangka. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube