Aprilia akhirnya melaungkan misi kembali dalam segmen ‘ADV’ menerusi Tuareg 660.
Pengeluar motosikal Itali itu akhirnya mendedahkan Tuareg 660 setelah menayangkan ‘teaser’ sulung sewaktu di EICMA 2019.
Berdasarkan video berdurasi 1 minit 02 saat yang dimuat naik ke YouTube baru-baru ini, pelbagai maklumat dan spesifikasi penting mengenai motosikal ADV itu ditayangkan.
Seperti laporan sebelum ini, Tuareg 660 ini dihidupkan dengan enjin sama yang terdapat pada RS660 dan Tuono 660 namun telah ditala bagi menyesuaikan ciri sebagai motosikal ‘adventure’.
Hasilnya, enjin 660cc ini menawarkan 80hp dan 70Nm dan turut berfungsi sebagai ‘stressed member’ dengan bantuan kerangka jenis ‘tubular steel’.
Rupa keseluruhan juga meneruskan kesinambungan RS dan Tuono terutamanya dengan lampu LED penuh tiga bahagian di depan.
Sebagai sebuah jentera ADV, Tuareg 660 ini menampilkan penghadang angin tinggi, tempat duduk rata, skid-plate, ekzos jenis upswept, rim 21″ depan dan 18″ belakang.
Tuareg 660 ini juga tampil dengan beberapa ciri premium antaranya kaliper brek Brembo serta fork 43mm boleh laras dengan jarak kelegaan tanah 240mm (sama seperti Triumph Tiger 900 Rally dan KTM 890 Adventure).
Dengan berat (kering) didaftarkan pada 187 kilogram menjadikan Tuareg ini berada dalam kelas sama seperti Yamaha Tenere 700.
Aprilia Tuareg 660 ini juga didatangkan dengan pelbagai ciri elektronik terkini antaranya:
- traction control
- fuel map
- engine braking
- 4 mod tunggangan
- ABS boleh laras (depan dan belakang)
- cruise control
- paparan TFT berwarna 5″
- tangki 18L
Aprilia dijangka melancarkan Tuareg 660 secara rasmi sekitar suku keempat tahun ini.