Bikesrepublic

Berita Terkini

Baru-baru ini tular video yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal jenis Ducati Hypermotard di jalan raya awam tanpa memakai helmet. 

Video berdurasi 11-saat itu jelas memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal berkuasa tinggi itu tanpa helmet di Lembah Klang. 

Sehubungan itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta agar lelaki dalam video viral itu untuk tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. 

Dalam pada itu, JSPT juga menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil membantu. 

Sementara itu, menunggang motosikal tanpa helmet adalah satu kesalahan mengikut Kaedah 4, Kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973. 

Yamaha GT150 Fazer telah diperkenalkan di pasaran China dengan harga jualan asas CNY13,390 (RM8,398). 

Tampil dengan reka bentuk retro, GT150 Fazer ini tidak dilengkapi spesifikasi moden seperti model Yamaha lain termasuk MT-15 dan XSR155. Namun, model ini menepati permintaan ramai yang mahukan motosikal yang tidak rumit, senang dijaga dan mampu milik.

Hasilnya, Yamaha GT150 Fazer ini dikuasakan enjin 149cc SOHC dengan penyejukan udara yang berupaya menghasilkan 12hp pada 7,500rpm dan 12.4Nm pada 6,000rpm.

Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 5-kelajuan. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk rim 18-inci dengan tayar 90/90 depan dan 100/80 belakang, fork teleskopik dan penyerap hentakan berkembar belakang serta tangki 12L.  Komponen brek pula hadir menerusi cakera brek tunggal depan dan belakang. 

Meskipun berupa retro, GT150 Fazer ini masih lagi dilengkapi panel meter LCD moden dan soket 12v. 

Baru-baru ini Polis Kuala Lumpur telah menasihati orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat sekatan jalan raya di aplikasi Waze. 

Nasihat itu mendapat pelbagai reaksi terutamanya daripada pengguna jalan raya. 

Memetik laporan Berita Harian,  Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menjelaskan tindakan berkongsi maklumat SJR di Waze menyukarkan tugas polis dalam mengesan pemandu yang ingkar. 

“Orang ramai berpendapat dengan memaparkan keberadaan pihak polis, pemandu akan lebih cenderung untuk memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Walaupun ia dilihat memberi manfaat kepada pemandu, namun dalam masa yang sama, ia menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu yang ingkar terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain,” jelasnya. 

Tambah Azmi lagi, pengguna jalan raya perlu sedar bahaya yang boleh disebabkan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk, lawan arus dan sebagainya.

“Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah diakibatkan oleh kecuaian dan kelalaian pesalah trafik ini, mereka tidak akan dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

“Oleh itu, besarlah harapan saya supaya orang ramai terutamanya pengguna jalan raya memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini,” tambahnya. – Berita Harian. 

KTM dengan rasminya melancarkan KTM 390 Adventure 2023 yang telah dikemas kini dengan beberapa ciri baharu. 

Naik taraf terbesar bagi tahun 2023 menyaksikan 390 Adventure kini dilengkapi dengan rim lidi (wire-spoked) secara standard menggantikan rim aloi sebelum ini. 

Rim lidi itu datang dengan diameter 19-inci depan dan 17-inci belakang. 

Meskipun naik taraf itu tidak signifikan namun kehadiran rim lidi sudah cukup meningkatkan rupa estetik secara keseluruhan motosikal ‘adventure’ tersebut. Pada masa sama, rim lidi juga secara tidak langsung meningkatkan kemampuan ‘off-road’ 390 Adventure. 

Dari segi enjin, KTM 390 Adventure 2023 mash mengekalkan platform satu silinder 373cc dengan DOHC yang menawrkan 44hp dan 37Nm. Bagaimanapun model itu kini datang dengan dua ‘catalytic converter’ untuk mencapai standard Euro5. 

Antara ciri lain dikekalkan termasuk:

  • sistem ‘ride-by-wire’
  • cornering ABS
  • traction control
  • mod ‘off-road’
  • panel meter TFT 5-inci

Kelengkapan lain yang masih diteruskan termasuk penggunaan kerana ‘steel trellis’ dan suspensi WP Apex boleh laras. Komponen brek pula hadir menerusi kaliper brek 4-pot ByBre dengan cakera brek 320mm depan dan 230mm belakang. 

Akhir sekali, KTM 390 Adventure 2023 ini datang dengan pilihan warna yang lebih segar diinspirasikan daripada penyertaan KTM di sukan permotoran antarabangsa. 

Umum sedia maklum QJMotor telah memeterai perjanjian dengan dua jenama besar termasuk Harley-Davidson dan MV Agusta. 

Kerjasama itu menyaksikan QJMotor bertanggungjawab menghasilkan Harley-Davidson X350 dan MV Agusta Lucky Explorer 5.5.

*MV Agusta Lucky Explorer 5.5 dikuasakan enjin sama dengan Benelli TRK502X.

Bagaimanapun kerjasama dengan MV Agusta juga berjalan dalam dua arah yang bermakna QJMotor juga akan memperoleh sumber daripada jenama motosikal Itali itu termasuk enjin. 

Terbaru, QJMotor telah pun mendedahkan jentera ‘superbike’ serba baharu yang dikenali sebagai SRK 1000 RR yang dikuasakan enjin MV Agusta Brutale 1000 RR. 

*MV Agusta Brutale 1000 RR

Hasilnya SRK 1000 RR dilengkapi enjin inline-empat 998cc yang menawarkan 208hp pada 13,000rpm dan 116.5Nm pada 11,000rpm. 

Selain daripada enjin, bahagian lain termasuk ‘single-sided swingarm’, tangki dan bahagian ekor turut bersumberkan daripada Brutale 1000 RR. 

Berdasarkan imej ‘spy shot’ yang dikongsikan, kami berasakan SRK 1000 RR ini juga turut berkongsi kerangka sama dengan Brutale 1000 RR. Namun, berbeza dengan motosikal Itali itu, SRK 1000 RR ini tidak dilengkapi suspensi Ohlins. 

Pada masa sama, model ini juga datang dengan pakej brek Brembo biasa berbanding Brembo Stylema. 

Namun, perbezaan terbesar pastinya bahagian rekaan keseluruhan dengan SRK 1000 RR tampil dengan ciri ‘full-fairing’ berbanding naked pada Brutale 1000 RR. Pada masa sama, SRK 1000 RR juga datang dengan winglet gentian karbon serta panel meter TFT.

Namun, tidak dapat dipastikan pakej elektronik yang akan disertakan pada model akan datang ini.

Pendedahan penuh akan dibuat sejurus selepas QJMotor melancarkan SRK 1000 RR ini secara rasmi yang dijangka akan diumumkan tahun ini. 

Perodua dengan rasminya membuka tempahan bagi generasi Perodua Axia untuk pasaran Malaysia. 

Perodua turut berkongsi risalah Axia D74A itu di ruangan media sosial dan mendedahkan beberapa ciri penting mengenai model akan datang itu.

Namun, laporan media tempatan sebelum ini yang mendakwa model generasi baharu itu akan datang dengan enjin turbo ternyata meleset apabila Perodua mengesahkan Axia akan datang itu akan dikuasakan enjin 1KR-VE 1.0L 3-silinder VVT-i. 

Atas kertas, platform tersebut berupaya menghasilkan 67hp dan 91Nm dan gabungan transmisi D-CVT menghadirkan kecekapan bahan api yang efisien antara 25.3km/l atau 27.4km/l. 

Bagaimanapun, ramai warga media sosial terutamanya di Facebook yang berasa kecewa Axia generasi baharu itu ketiadaan enjin turbo sepertimana abangnya, Ativa. 

Desas-desus mengenai Axia baharu itu akan dikuasakan enjin turbo mula tular sejak tahun lalu dengan ramai yang berasa teruja dengan perkembangan tersebut. Namun, Perodua telah pun mengesahkan sebaliknya. 

Dalam pada itu, rata-rata netizen juga kurang senang dengan tanda harga yang diperkenalkan Perodua bagi generasi baharu Axia itu.

Memetik laporan Careta, harga bagi Axia serba baharu itu dijangka bermula dari RM38.6k bagi varian G, RM40k bagi varian X, RM44k untuk varian SE dan model ‘full-spec’ (varian AV) akan dijual pada harga RM49.5k. 

Untuk rekod, model terdahulu (2019) bermula dari RM33,490 sehingga RM43,190. Ini sekaligus menandakan kenaikan harga sekitar RM5 ribu bagi setiap varian. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube