Pengeluar motosikal Itali, Ducati telah dilantik sebagai pembekal jentera elektrik bagi Piala Dunia MotoE bermula 2023.
Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali yang turut ditemani CEO Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta ketika sidang media khas yang berlangsung di Misano World Circuit Marco Simoncelli, semalam.
Ini merupakan langkah bersejarah buat kilang Borgo Panigale itu yang bakal mengorak langkah sulung dalam menghasilkan jentera elektrik.
MotoE juga dilihat sebagai platform ujian terbaik bagi Ducati membangunkan teknologi dan inovasi motosikal elektrik yang kemudian harinya membolehkan konsep sama dipindahkan ke peringkat pengeluaran.
Menurut Domenicali, perjanjian ini membuka lembaran baharu bagi Ducati.
“Kami amat berbangga dengan kerjasama ini apatah lagi cukup bersejarah buat syarikat kami.
“Ducati sentiasa pandang ke hadapan dan setiap kali kami memasuki era baharu, fokus kami adalah menghasilkan produk berprestasi tinggi yang terbaik.
“Kami akan berkerja keras bagi memastikan setiap pelumba yang bertanding di MotoE menerima jentera yang berprestasi tinggi dan ringan,” jelasnya.