Bikesrepublic

Berita Terkini

Juara Kejuaraan SIC MiniGP Musim Pertama, Hakim Danish, bakal membuat penampilan di European Talent Cup (ETC) 2021 pada 13 Jun ini di litar Catalunya.

Hakim bakal mewakili Liqui Moly Intact SIC Racing Team bersama rakan sepasukan, Sharul Ezwan.

Pelumba berusia 14 tahun itu telah menampilkan prestasi membanggakan di Idemitsu Asia Talent Cup (IATC) di Qatar apabila berjaya merekodkan tiga podium dalam musim pertamanya.

Susulan kejayaan di IATC, Liqui Moly Intact SIC Racing Team telah menjemput Hakim untuk beraksi di ETC dalam usaha memberikan pendedahan perlumbaan di peringkat lebih tinggi dan kompetitif.

Penglibatan Hakim di ETC menyaksikan terdapat empat wakil negara yang bersaing di FIM CEV Repsol antaranya, Adam Norrodin di Kejuaraan Eropah Moto2, Syarifuddin Azman @ Damok di Kejuaraan Dunia Junior Moto3 dan Sharul Ezwan di ETC.

Hakim turut berkongsi keterujaanya untuk beraksi di ETC.

“Saya bersyukur dan teruja untuk berlumba di ETC dan berdepan saingan daripada pelumba Eropah bersama rakan sepasukan, Sharul Ezwan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penaja, terutamanya IntactGP dan SIC. Pastinya peluang ini akan memberikan pengalaman yang terbaik,” jelasnya.

Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, turut meluahkan rasa yakin terhadap Hakim.

“Saya bersyukur kerana Hakim Danish diberikan peluang ini. Terima kasih kepada IntactGP dan SIC.

“Dia seorang yang berbakat, dan ETC merupakan platform terbaik untuk untuk mengutip pengalaman berlumba bersama pelumba Eropah.

“Kami yakin dia mampu besaing dengan baik,” ujar Zulfahmi.

Aprilia Tuono 660 akhirnya dilancarkan di Malaysia selepas beberapa bulan jentera naked segmen pertengahan itu diperkenalkan secara global, Januari lalu.

Tuono 660 meneruskan penggunaan unit parallel-twin sama yang ditawarkan pada RS660 serta model akan datang, Tuareg 660.

Tuono 660 ini dilengkapi dengan sistem APRC yang merangkumi ‘IMU-assisted traction control’ dan ‘wheelie control’ seperti yang terdapat pada RS660.

Berikut antara ciri lain ditawarkan:

  • cornering ABS
  • cruise control
  • paparan TFT berwarna
  • lampu LED dengan DRL (daytime running light)
  • engine braking control
  • lima mod tunggangan

Bagaimanapun, ketika enjin 659cc parallel-twin DOHC yang terdapat pada RS660 menghasilkan 100hp pada 10,500rpm, Tuono 660 menawarkan 95hp.

Perbezaan paling ketara membabitkan ergonomik tempat duduk dengan Tuono 660 menawarkan kedudukan lebih menegak dengan penggunaan ‘handlebar’ yang lebih tinggi di samping tetapan fork berbeza.

Aprilia Tuono 660 ini tampil dengan pilihan warna Concept Black dan boleh didapati dengan harga RM77,900.

Skuter popular dari Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), Yamaha NMax 2021 tampil dengna dua pilihan warna baharu, Power Grey dan Icon Grey.

Meskipun kedua-duanya memfokuskan skema warna kelabu namun masing-masing tampak berbeza.

Bagaimanapun, aspek teknikal kekal sama dengan NMax 2021 ini dikuasakan enjin satu silinder 155cc yang menawarkan 15.4PS dan 13.9Nm.

Tiada perubahan harga diumumkan HLYM dengan kedua-dua warna baharu ini kekal dengan harga RM8,998.

Aksi MotoGP di Litar Mugello telah dibayangi dengan berita kematian pelumba Moto3, Jason Dupasquier.

Pelumba berusia 19 tahun itu disahkan meninggal dunia semalam susulan mengalami kecederaan serius ekoran kemalangan ketika sesi kelayakan pada Sabtu.

Bagaimanapun, saingan Moto2 dan MotoGP tetap dijalankan yang menyaksikan Fabio Quartararo merekodkan kemenangan ketiga musim ini.

Namun, terdapat beberapa pelumba antaranya Francesco Bagnaia yang menyuarakan kritikan kerana membenarkan perlumbaan diteruskan.

“Kita tidak sepatutnya berlumba hari ini.

“Selepas berita kematian Dupasquier diumumkan, saya memberitahu pasukan saya keengganan untuk berlumba hari ini (semalam).

“Walaupun saya cuba mengekalkan fokus namun aamat sukar. Bagi saya, kita tidak sepatutnya berlumba hari ini.

“Jika perkara sama menimpa seorang pelumba MotoGP, sudah tentu perlumbaan ini akan dibatalkan.

“Saya tidak berpuas hati kerana seseorang memutuskan kami perlu meneruskan perlumbaan hari ini selepas berita menyedihkan diumumkan,” jelas Bagnaia.

Nada sama turut disuarakan Danilo Petrucci dan Aleix Espargaro.

“Sukar untuk keluar berlumba hari ini. Saya rasa jijik memikirkan kami perlu keluar berlumba ketika seorang pelumba berusia 19 tahun telah meninggal dunia.

“Bagi saya perkara ini tidak normal,” kata Petrucci.

“Dia hanya berusia 19 tahun. Dia masih seorang kanak-kanak.

“Hari ini (semalam), dalam tempoh 10 minit, dari memberikan penghormatan kami terus menarik visor turun untuk meneruskan perlumbaan.

“Sukan permotoran ini kadang kala kejam, saya berasa cukup sedih,” ujar Petrucci.

Sementara itu, pelumba veteran dan tujuh kali juara dunia MotoGP, Valentino Rossi, turut berkongsi pendapatnya mengenai tragedi menimpa Dupasquier.

“Pertama sekali, saya mengucapkan takziah kepada keluarga, pasukan dan rakan kepada Dupasquier.

“Selepas berita pemergiannya, kita mula tertanya-tanya sama ada wajarkah meneruskan perlumbaan.

“Bagi saya meneruskan perlumbaan ini tidak masuk akal tetapi sama juga jika sebaliknya berlaku kerana tiada apa yang kita lakukan hari ini dapat mengubah apa yang telah berlaku.

“Kejadian seumpamanya membuatkan kita mula mempersoalkan sebab mengapa kita berlumba,” jelas Rossi.

Namun, bagi Rossi tiada unsur diskriminasi yang berlaku dalam keputusan meneruskan perlumbaan di Mugello.

“Pada 2011 sewaktu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kami tidak berlumba kerana (Marco) Simoncelli ditimpa kemalangan sewaktu perlumbaan.

“Tetapi ketika tragedi menimpa Luis Salom (sesi ujian) di Barcelona dan Shoya Tomizawa (perlumbaan) di Misano, perlumbaan tetap berjalan.

“Namun, secara peribadi, saya setuju jika perlumbaan hari ini tidak diteruskan,” tambah Rossi.

Saingan MotoGP pada Ahad menyaksikan Fabio Quartararo muncul juara diikuti Miguel Oliveira dan Joan Mir.

Pelumba Moto3, Jason Dupasquier, disahkan meninggal dunia susulan mengalami kecederaan serius ketika sesi kelayakan.

Pemergian pelumba berusia 19 tahun dari Switzerland itu diumumkan sebaik aksi Moto3 di Mugello berakhir, semalam.

Dupasquier – yang memasuki musim keduanya di Moto3 – mengalami kemalangan sewaktu di Turn 9 dengan Ayumu Sasaki dan Jeremy Alcoba turut terbabit.

Selepas rawatan oleh doktor sejurus selepas kejadian, Dupasquier telah digegaskan ke hospital menggunakan helikopter.

Bagaimanapun, doktor mengesahkan pelumba itu mengalami kecederaan parah.

“Susulan insiden kemalangan sewaktu sesi kelayakan Moto3 di GP Itali, dengan dukacita kami mengumumkan pemergian pelumba Moto3, Jason Dupasquier.

“Dupasquier terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa pelumba lain di Turn 9 dan 10. Kenderaan perubatan FIM telah tiba di tapak kejadian dan melakukan rawatan sebelum Dupasquier digegaskan ke hospital Careggi di Florence menggunakan helikopter.

“Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan Dupasquier telah meninggal dunia ekoran cedera parah,” jelas pihak MotoGP dalam satu kenyataan selepas berakhir perlumbaan Moto3 pada Ahad.

Sementara itu, semua pelumba MotoGP bertafakur selama seminit sebelum perlumbaan bermula sebagai tanda penghormatan terhadap pemergian Dupasquier.

Fabio Quartararo merekodkan kemenangan ketiga musim ini selepas berjaya mengungguli kelas premier di GP Itali.

Pelumba factory Yamaha itu yang bermula di petak pertama pada awalnya dipintas pelumba Ducati, Francesco Bagnaia.

Bagaimanapun, Bagnaia hilang kawalan lalu terbabas di awal perlumbaan lalu membuka ruang buat Quartararo untuk terus meratah selekoh di Mugello sehingga ke garisan penamat.

Walaupun pada satu ketika dipintas rakan senegara, Johann Zarco di garisan lurus namun kecekapan jentera YZR-M1 dan Quartararo di bahagian selekoh ternyata terlalu sukar ditangani.

Kejayaan ini sekaligus mengukuhkan kedudukan Quartararo selaku pendahulu kejuaraan dunia dengan 105 mata diikuti Zarco (81 mata) dan Bagnaia (79 mata).

Sementara itu, pelumba KTM, Miguel Oliveira, berjaya merekodkan podium pertama musim ini selepas disahkan menduduki tempat kedua ekoran Joan Mir melangkaui had litar di selekoh terakhir.

Dalam perkembangan sama, pelumba veteran, Valentino Rossi turut menghadiahkan kedudukan terbaik buat Petronas Sepang Racing Team (PSRT), musim ini apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.

Marc Marquez pula terus kempunan apabila terbabas di awal perlumbaan lalu membantutkan usaha untuk kembali meraih momentum musim ini.

Rakan sepasukan Mir di Suzuki Ecstar, Alex Rins turut kecundang di hujung perlumbaan meskipun berpeluang cerah menaiki podium kali ini.

Ini merupakan kejadian ketiga Rins gagal menamatkan perlumbaan musim ini.

Berikut keputusan penuh perlumbaan GP Itali:

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube