Bikesrepublic

Berita Terkini

Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memperuntukkan RM90 juta bagi tempoh dua tahun dalam pembinaan stesen pengecas arus terus (DC) bagi kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. 

Perkara itu disampaikan pengarah program pengurusan projek untuk kenderaan elektrik, Mohd Junaizee Mohd Noor. Jelasnya, TNB telah pun mengorak langkah sulung dengan membina tiga stesen pengecas EV di kawasan R&R Ayer Keroh (Melaka), Tapah (Perak) dan Paka (Terengganu). 

“Kami sasar untuk bina tujuh lagi stesen pengecas EV di Malaysia menjelang hujung tahun ini di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). 

“Insya’allah TNB akan memiliki sejumlah 10 stesen pengecas DC EV di sepanjang lebuh raya menjelang hujung tahun,” jelasnya. 

Jelas Junaizee, inisiatif tersebut adalah bagi memudahkan orang ramai untuk mengecas kenderaan EV masing-masing dan tidak perlu lagi berasa gentar akan kehabisan bateri. 

Dalam pada itu, Junaizee menjelaskan bahawa antara cabaran utama pemasangan stesen pengecas EV adalah proses kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). 

Ini kerana setiap PBT mempunyai peraturan dan terma berbeza sekaligus mewujudkan kekangan terhadap pembinaan stesen pengecas. – BERNAMA

“Kami akan menilai perkara ini dalam tempoh enam hingga 12 bulan dan dari situ barulah kami akan membuat keputusan sama ada akan beralih ke digital sepenuhnya,” demikian kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkenaan dengan cadangan memansuhkan lesen memandu fizikal dan digantikan dengan lesen digital. 

Jelas Loke, kerajaan tidak boleh memaksa orang ramai untuk serta-merta beralih ke digital sebaliknya perlu melakukan pendekatan secara berperingkat. 

Pada masa sama, Loke juga sedar bahawa peralihan ke lesen digital bukan senario mudah terutamanya bagi mereka yang duduk di kawasan kampung dan pedalaman. 

“Kami faham bahawa akses internet adalah satu kekangan. Kami tidak akan memaksa orang ramai beralih ke digital,” tambahnya.

Minggu lalu, kerajaan telah pun mengumumkan bahawa cukai jalan kenderaan persendirian sudah tidak perlu dipamerkan lagi sebaliknya boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (eLKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui aplikasi MyJPJ. – FMT

‘Chin curtain’ merupakan antara ciri yang standard pada sebuah helmet motosikal jenis ‘full-face’.

Ini kerana fungsi utama ‘chin curtain’ adalah melindungi pemakai daripada aliran angin yang kuat daripada memasuki ruang helmet di samping turut meningkatkan aspek aerodinamik helmet. 

Bagaimanapun, pendedahan oleh FortNine yang dikongsikan menerusi satu video di YouTube menjelaskan bagaimana ‘chin curtain’ sebenarnya membahayakan si pemakai. 

Menurut video berdurasi 4minit 14 saat itu, terdapat beberapa kajian berjaya membuktikan bahawa ‘chin curtain’ membawa kesan yang buruk. 

Ini kerana kehadiran ‘chin curtain’ menyebabkan karbon dioksida (CO2) boleh terperangkap di dalam helmet lalu menyebabkan fungsi otak si pemakai menurun sehingga 50 peratus. 

Akibat daripada senario itu, reaksi penunggang motosikal ketika berada di jalan raya juga boleh terjejas lantas boleh membahayakan nyawa terutamanya sewaktu menunggang dalam trafik tinggi atau perlu membuat gerakan mengelak secara mengejut. 

FortNine juga membuktikan bagaimana kandungan CO2 di dalam helmet meningkat daripada 450ppm (bahagian per sejuta) sehingga 1370ppm sewaktu memberhentikan motosikal. 

Dalam pada itu, menurut laporan yang pernah diterbitkan NASA, skil membuat keputusan pilot sewaktu simulasi terjejas sewaktu CO2 berada di tahap 1200ppm. 

Lebih mengejutkan, kadar gas CO2 juga tidak menurun meskipun ‘visor’ helmet dibuka. 

Oleh yang demikian, cara paling efektif dalam mengurangkan gas CO2 dalam helmet adalah dengan menanggalkan ‘chin curtain’ tersebut bagi  memastikan fungsi kognitif kekal di tahap terbaik. 

Jenama motosikal Thailand, GPX semakin mendapat tempat di pasaran Asia Tenggara selepas memperkenalkan beberapa siri motosikal. 

Terbaru, GPX terus memperkembangkan portfolio mereka dengan pelancaran GPX Tuscany 150, sebuah skuter gaya retro yang kelihatan diinspirasikan daripada jenama popular, Vespa. 

Menariknya, Tuscany 150 merupakan hasil usahama antara GPX dan pengeluar skuter Taiwan, SYM. Kedua-duanya pernah berkerjasama sebelum ini menerusi skuter GPX Drone yang dilancarkan pada hujung tahun 2020. 

Bagi pasaran Thailand, GPX Tuscany 150 tampil dengan dua varian namun kedua-duanya hanya dibezakan dengan sistem kunci dengan varian tertinggi datang dengan fungsi ‘keyless’. 

Dalam pada itu, Tuscany 150 dikuasakan enjin satu silinder 149.6cc SOHC, 2-valve dengan penyejukan udara dan menawarkan transmisi automatik jenis CVT. 

Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk:

  • fork teleskopik depan
  • penyerap hentakan belakang (berkembar)
  • cakera brek depan 
  • sistem brek CBS (combine braking system)
  • tayar 110/70-12 depan
  • tayar 120/70-12 belakang

Meskipun tampak retro, Tuscany 150 ini masih lagi datang dengan ciri moden seperti panel meter digital LCD, lampu LED dan pengecas USB. 

Pada masa sama, skuter ini juga dilengkapi tangki bahan api 5.7L dan ruang letak barang (bawah tempat duduk) 27L. 

Menurut GPX, Tuscany 150 ini dijual pada harga THB63,700 (RM8.1k). 

GALERI: GPX Tuscany 150

Ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah pun menutup tirai pada Ahad dengan rata-rata pasukan berpuas hati dengan prestasi semasa jentera masing-masing. 

Sesi yang berlangsung sejak Jumaat itu menyaksikan para pelumba menggunakan peluang yang ada untuk menguji jentera dan beberapa pelumba turut mempamerkan kejutan. 

Pada hari terakhir pada Ahad, pelumba Mooney VR46 Ducati, Luca Marini merekodkan catatan masa terpantas bagi sepanjang tiga hari dengan 1 minit 57.889 saat diikuti Francesco Bagnaia (Ducati) (+0.080s) dan Maverick Vinales (Aprilia) (+0.147s). 

Keputusan pada Ahad juga pastinya menggembirakan kem Ducati apabila tujuh jentera – termasuk GP23 dan GP22 – menghuni kelompok 10 terbaik sementara baki tiga lagi diisi dua jentera Aprilia RS-GP dan sebuah lagi Honda RC213V yang ditunggang Marc Marquez.

Namun, aspek yang paling ketara kesemua jentera yang mengisi kelompok 10 terbaik mengguna pakai enjin dengan konfigurasi V4. Sementara pasukan Monster Energy Yamaha, satu-satunya pasukan yang masih memberi kepercayaan pada enjin 4-inline, sekadar ke-19 terpantas menerusi Fabio Quartararo diikuti Franco Morbidelli di kedudukan ke-20. 

Meskipun jentera Yamaha M1 itu merekodkan kelajuan maksima yang lebih baik kali ini bermula di Sepang Shakedown menerusi pelumba uji Cal Crutchlow namun catatan masa sewaktu Ujian Rasmi ternyata membimbangkan. 

Hari kedua ujian merupakan satu-satunya catatan masa baik yang berjaya dilakar Quartararo apabila muncul pelumba ke-4 terpantas di samping merekodkan ‘top speed’ 335.4km/j. 

Namun, aksi tidak konsisten pada hari pertama dan ketiga tidak dapat menyembunyikan senario bahawa terdapat jurang besar antara jentera Yamaha M1 dengan jentera Ducati, Aprilia dan Honda. 

Sebaik hari ketiga berakhir, Quartararo mengakui perasaannya bercampur aduk ketika ini. 

“Saya gembira dengan ‘top speed’ dan kelajuan tetapi tayar baharu ini satu malapetaka. Kami tidak pasti kenapa kami mempunyai jarang besar (dari segi catatan masa) dengan pelumba lain. 

“Jadi kami perlu menetapkan jentera semula di Portimao. 

“Kami akan lihat jika sesuatu berjaya dilakukan,” ujar juara dunia musim 2020 itu. 

Sekiranya Yamaha gagal mencari solusi dalam mengurangkan jurang antara jentera mereka dengan pengeluar lain, pastinya Quartararo bakal berdepan cabaran lebih sukar musim ini berbanding tahun lalu. 

Ini kerana jentera berusia setahun seperti Ducati GP22 yang ditunggang Luca Marini dan Marco Bezzecchi bagi pasukan VR46 masih mampu melakar masa yang jauh lebih baik. 

Tidak lupa juga, Yamaha perlu menghadapi saingan sengit dari Aprilia yang kini menurunkan empat pelumba hasil penyertaan pasukan satelit RNF Racing. 

Sebagai satu-satunya pasukan dengan enjin 4-inline dan tanpa sokongan pasukan satelit – setelah RNF Racing kendalian Datuk Razlan Razali berpindah ke Aprilia – Yamaha mungkin berdepan masalah besar musim ini.

Namun, pasukan dibawah penyeliaan Lin Jarvis itu masih mempunyai peluang di Portimao, Portugal bagi memcari penyelesaian yang dinamik.

Bajaj Auto dan Triumph Motorcycles telah pun memulakan beberapa sesi ujian terhadap motosikal berkapasiti kecil hasil kerjasama kedua-dua pihak sejak setahun lalu. 

Setakat ini, kami difahamkan bahawa terdapat dua model yang akan ditawarkan hasil daripada kerjasama itu membabitkan model 250cc dan 400cc dengan kedua-duanya dikuasakan enjin satu silinder.

Pada masa sama, laporan terkini mendakwa terdapat empat varian akan ditawarkan termasuk, scrambler, roadster dan cafe racer. 

Perkembangan itu sudah pun dijangka dengan Bajaj menawarkan Dominar 250 dan Dominar 400 ketika ini. Sekaligus memberi bayangan model Triumph itu juga akan digerakan platform sama. 

Hasilnya, kami jangkakan model 250cc itu akan menawarkan sekitar 27hp manakala varian 400cc pula sekitar 40hp, angka kuasa sama yang dihasilkan Dominar 250 dan Dominar 400 ketik ini. 

Dalam pada itu, ciri lain seperti sistem ABS dwi-saluran, klac slipper/assist, panel meter digital, fork USD, rim 17-inci dan lampu LED dijangka didatangkan secara standard. Beberapa gambar ‘spy shot’ yang dkongsikan sebelum ini juga mengesahkan perkara itu. 

Bagaimanapun, terdapat beberapa ciri yang dijangka membezakan antara keempat-empat varian itu seperti gambar yang disiarkan sebelum ini. Antaranya ekzos berkembar pada model scrambler dan ekzos tunggal pada varian roadster. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube