Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) merekodkan pencapaian baharu di Malaysia apabila berjaya menghasilkan 5,000,000 motosikal di Malaysia sejak penubuhannya pada 1979.
Bagi meraikan pencapaian tersebut, HLYM memperkenalkan Yamaha 135LC 5MRO Edisi Malaysia yang menampilkan grafik bendera Malaysia bagi menandakan keluaran Malaysia.
Menurut HLYM, model tersebut hanya terhad pada 5,000 unit sahaja dan dijual pada harga RM9,198 bermula pertengahan Oktober ini.
Menariknya, kesemua 5,000 unit itu akan menampilkan nombor siri 5,000,001 hingga 5,005,000 disamping bakul Yamaha Premium dan sijil khas.
Selain itu, setiap pembelian juga akan disertakan dengan kunci cakera brek dan jaket ‘bomber’ 5MRO khas.
Kejuaraan GIVI Rimba Raid kembali bagi edisi 2022 yang menyaksikan Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang jadi medan pertarungan antara penggemar sukan perlumbaan ‘off-road’ dua roda.
Bagi tahun 2022, seramai 223 pelumba telah beraksi di Kuala Tahan namun hanya 99 pelumba sahaja yang berjaya tiba ke garisan penamat.
Ketika edisi terdahulu (2019) menampilkan pelumba negara, Gabit Salleh merekodkan catatan masa terpantas bagi Class A namun kejuaraan kali ini menyaksikan pelumba Thailand menyapu hampir kesemua kategori.
Berikut adalah keputusan perlumbaan yang berlangsung pada Sabtu:
Class C – Enduro Rally (jentera enduro satu silinder antara 250cc hingga 800cc)
Class C (Enduro Rally) merupakan satu-satunya kategori yang berjaya dimenangi pelumba tempatan menerusi Mohd Zulkarnain Tahir.
Mohd Zulkarnain menamatkan aksi dihadapan wakil Thailand Chaipuek Sangaroon dan wakil Singapura, Kelvin Chia.
Class C – DP Rally (jentera adventure satu silinder antara 250cc hingga 800cc)
Dua wakil Thailand menempah podium menerusi Traiphop Boonthang dan Manop Abdulkaree. Tempat ketiga jadi milik wakil Kanada, Dustin Richardson.
Class B (jentera adventure antara 250cc hingga 999cc)
Kategori Class B disapu bersih pelumba Thailand dengan Saphon Somroop muncul juara diikuti rakan senegara, Suradet Taweelap dan Charod Khumchat.
Menariknya, ketiga-tiga pelumba ini mengguna pakai jentera Yamaha Tenere 700. Sayangnya, model tersebut tidak didapati di Malaysia.
Pada masa sama, Samroop juga muncul pelumba terpantas dengan catatan masa 2 jam 51m 28.300s.
Class A (jentera adventure pelbagai silinder 1000cc keatas)
Class A merupakan kategori premier yang dipertandingkan di Rimba Raid dan merupakan kelas tumpuan.
Edisi 2022 kali ini menyaksikan wakil Thailand Theera Putthai muncul juara diikuti rakan senegara, Pisanu Chimma kedua.
Tempat ketiga jadi milik pelumba negara, Alan Ng yang beraksi dengan jentera Honda CRF1100L serba baharu.
Menariknya, edisi kali ini juga menyaksikan penyertaan sulung jentera dari Harley-Davidson, Pan America 1250.
Menyedari keputusan sapu bersih oleh pelumba Thailand, rata-rata wakil negara tekad untuk kembali merampas takhta dari pelumba Thailand pada edisi seterusnya.
Setelah Brixton Motorcycles mendedahkan Brixtom Cromwell 1200 pada satu pelancaran global pada November tahun lalu, model terbaru itu membuat penampilan mengejut di Malaysia.
Pengedar rasmi jenama Brixton Motorcycles di Malaysia, MForce mempertontonkan model tersebut sewaktu pelancaran MForce Smart Shop SH Bikers di Sri Kembangan.
Untuk rekod, jenama Brixton Motorcycles mungkin masih asing di Malaysia namun syarikat tersebut merupakan milik KSR Group yang berpangkalan di Austria dengan kilang pembuatan bertapak di China.
Bagaimanapun, motosikal terbaru dari Brixton Motorcycles ini pastinya akan membuatkan jenama itu lebih dikenali selepas ini.
Meskipun rekaan keseluruhan jelas diinspirasikan daripada jenama terkemuka Triumph Bonneville, Cromwell 1200 masih lagi didatangkan dengan ciri terkini antaranya lampu LED penuh, ABS dan paparan skrin TFT.
Brixton Cromwell 1200 ini juga menawarkan 80hp pada 8,500rpm dan 108Nm pada 3,500rpm sekaligus setaraf dengan Bonneville T120 yang menghasilkan 79.1hp dan 105Nm.
Sementara itu, sistem suspensi merangkumi penyerap hentakan KYB manakala aspek brek dikendalikan kaliper brek Nissin dengan cakera brek 310mm depan dan 260mm belakang yang dipadankan bersama tayar 18″ depan dan 17″ belakang.
Antara ciri menarik lain ditawarkan adalah:
fungsi ride-by-wire
dua mod tunggangan
tangki 16L
tinggi tempat duduk 800mm
berat bersih 235kg
Brixton juga mendakwa Cromwell 1200 ini mampu mencapai kelajuan sekitar 198km/j namun angka itu hanya boleh dipastikan menerusi ujian rasmi kelak.
Menurut MForce, Brixton Cromwell 1200 ini akan dijual pada harga sekitar RM50,000. Bagi kami, harga itu cukup menarik jika dibandingkan dengan pesaing lain dalam kelasnya.
Apa pun, kita nantikan pelancaran rasmi termasuk harga bagi Brixton Cromwell 1200 ini.
Meskipun ini adalah musim terakhir Jack Miller bersama Ducati, namun itu tidak menghalang pelumba Australia itu untuk mempamerkan aksi penuh dominasi untuk menang GP Jepun.
‘Thriller’ Miller berjaya melintasi garis penamat dengan kelebihan 4 saat dihadapan Brad Binder dan Jorge Martin.
Martin berpeluang cerah untuk menamatkan perlumbaan di belakang Miller namun masalah cengkaman tayar mula memberi ruang pada Binder untuk merampas kedudukan kedua di akhir perlumbaan.
Meskipun bermula di petak ketujuh namun permulaan baik ketika pelumba dilepaskan menyaksikan Miller terus berada didepan.
Namun, ketika Miller menghadirkan keputusan cemerlang bagi kem Ducati, rakan sepasukan dan pencabar kejuaraan, Francesco Bagnaia gagal mengutip sebarang mata.
Bagnaia melakukan kesilapan ketika cuba memintas Fabio Quartararo lalu menyebabkan jenteranya hilang kawalan dan terbabas.
Bagnaia juga kelihatan menepuk tangan sebaik kemalangan ekoran marah dengan kesilapannya sendiri.
Walaupun berada di tempat kelima di sepanjang perlumbaan namun pelumba Repsol Honda itu berjaya merapatkan jurang dengan Miguel Oliveira di penghujung perlumbaan.
Memasuki tiga lap terakhir, Marquez mula memintas Oliveira dan terus mengekalkan kedudukan sehingga garis penamat.
Kawasaki merupakan antara pengeluar motosikal yang ketika ini sedang giat membangunkan jentera dua roda dengan enjin alternatif.
Baru-baru ini, jenama motosikal Jepun telah membuat kejutan apabila mendedahkan jentera elektrik dan hibrid sewaktu perlumbaan Suzuki 8 Hours di Jepun.
Menariknya, kedua-dua model itu dijangka akan dilancarkan secara rasmi lewat tahun ini.
Bagaimanapun, selain daripada enjin hibrid dan elektrik, Kawasaki juga satu-satunya pengeluar motosikal yang sedang membangunkan enjin hidrogen.
Bagi mempercepatkan lagi proses pembangunan enjin terbabit, Kawasaki telah pun menandatangani kerjasama dengan pengeluar kereta terbesar dunia, Toyota.
Pemilihan Toyota sebagai rakan baru merupakan langkah proaktif bagi Kawasaki bagi memperhalusi projek enjin hidrogen yang sedang dibangunkan ketika ini.
Ini kerana Toyota juga telah pun melancarkan Toyota Mirai, kereta pertama dunia yang digerakan sel hidrogen.
Hidrogen dilihat sebagai salah satu alternatif ekoran kemampuannya menghasilkan tenaga tanpa membebaskan karbon, sekaligus bersih untuk alam sekitar.
Difahamkan, Kawasaki dan Toyota telah pun mencapai persetujuan bagi jalinan kerjasama tersebut awal bulan ini. Presiden Toyota, Akio Toyoda juga diberi kesempatan menaiki ATV Kawasaki yang digerakan enjin hidrogen di litar Motegi.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan pilihan warna baharu bagi Yamah YZF-R25 dan MT-25.
HLYM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Yamaha R25 tampil dengan warna ‘Orange Lynx’ dan ‘Racing Blue’ manakala MT-25 datang dengan dua warna baharu, ‘Cyan Storm’ dan ‘Icon Blue’.
Selain daripada pilihan warna baharu, Yamaha R25 2022 ini juga dinaik taraf dengan ciri ABS dwi-saluran dan lampu isyarat LED.
Menurut HLYM, kedua-dua model ini ditawarkan pada harga (baru) RM22,998 berbanding RM19,998 (R25) dan RM21,500 (MT-25) sebelum ini.
Untuk rekod, Yamaha R25 dan MT-25 digerakkan dengan enjin parallel-twin 249cc 8-valve DOHC yang menghasilkan 35.6hp pada 12,000rpm dan 22.6Nm pada 10,000rpm.