Bikesrepublic

Berita Terkini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan bercadang untuk menambah lima lagi dron dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan di negeri itu.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, penggunaan dron ternyata efektif sewaktu Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA)  2022 yang berjalan sejak 29 April lalu.

Jelas Hanif, ini merupakan kali pertama dron tersebut diguna pakai secara meluas pada Ops HRA 2022 kali ini.

“Sebanyak dua dron telah digunakan di kawasan lebuh raya yang tertumpu kepada kesalahan penggunaan lorong kecemasan manakala di jalan utama bagi mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan memotong barisan.

“Sepanjang operasi kali ini, dua orang pegawai JPJ telah ditempatkan bagi mengawal dron dengan 30 notis saman telah dikeluarkan (pemantauan dron) bagi kesalahan utama tersebut,” jelas Hanif.

Tambah Hanif lagi, pihaknya juga bercadang untuk menghantar pegawai menjalani latihan agar dapat mengendalikan dron dengan lebih baik.

Penggunaan dron ternyata berkesan dalam menangani pesalah trafik terutamanya merakam aksi pemandu yang menggunakan lorong kecemasan, langgar lampu merah dan potong barisan. – UTUSAN

Sempena World Ducati Week 2022 yang akan berlangsung secara besar-besaran di Misano World Circuit Marco Simoncelli pada Julai nanti, Ducati Malaysia bersama-sama Ducatisti telah bersatu di bawah motto ‘Let’s Ride As One’.

Program ‘We Are Ducati, We Ride As One’ menyaksikan pemilik motosikal Ducati seluruh negara berkumpul di Ducati Petaling Jaya, Ducati Welly dan Ducati Penang bagi bersama-sama meraikan WDW 2022.

Kami turut diberi peluang menyertai acara kali ini berbekalkan jentera Ducati Multistrada 950S yang merupakan antara model ditawarkan Ducati Malaysia sebelum ini.

Berkumpul di Ducati Petaling untuk sesi sarapan pagi, konvoi kemudiannya bergerak ke Ducati Welly untuk menghadiri rumah terbuka.

Konvoi kemudiannya bergerak ke pusat pameran terbaru Ducati Welly yang dijangka akan dibuka hujung tahun ini.

Sebagai pelengkap, konvoi kemudiannya bergerak ke Dataran Merdeka untuk sesi bergambar dengan jentera masing-masing sambil berlatar belakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Menariknya, pemilik Ducati di negara Asia lain termasuk Korea Selatan, India, Singapura, Filipina, Thailand dan Myanmar turut menghangatkan ‘We Ride As One’ dengan mengadakan acara konvoi masing-masing sempena WDW 2022.

WDW 2022 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 Julai ini merupakan edisi yang ke-11 dianjurkan.

Berbeza kali ini, WDW 2022 akan memberi tumpuan kepada acara ‘The Race of Champions’ di mana pelumba MotoGP, Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) dan World Supersport Ducati bersaing antara satu sama lain di Litar Misano.

Pengeluar motosikal Jepun, Honda dilaporkan telah memfaikan permohonan nama NX dan NX500 di Kesatuan Eropah, baru-baru ini.

Nama baharu itu secara tidak langsung memberi bayangan bahawa Honda akan memperkenalkan model baharu tidak lama lagi.

Honda NX650 Dominator

Menariknya, kod nama NX500 itu mengembalikan nostalgia NX500 dan NX650 Dominator yang diperkenalkan Honda pada 1988 sehingga 2003.

Ini secara tidak langsung memberi bayangan bahawa NX500 akan datang itu merujuk pada sebuah motosikal ‘dual sport’ atau ‘adventure’ seperti generasi NX500 terdahulu.

Apatah lagi permintaan terhadap motosikal seumpama itu semakin meningkat naik di seluruh dunia, maka tidak hairanlah jika NX500 bakal menjadi antara tawaran baharu Honda untuk pasaran global.

Honda CRF1100L, CB500X dan CRF250L Rally serta (akan datang) Transalp 750 menjadi bukti fizikal bahawa peminat motosikal ‘dual sport’ dan ADV meningkat saban tahun ekoran menawarkan ketahanan tinggi di samping ciri praktikal.

Penggunaan nama NX juga lebih relevan bagi menghidupkan semula legasi NX500 dan NX650 apatah lagi nama Dominator itu kini menjadi hak milik Norton Motorcycles.

Selain itu, nama NX juga sinonim dengan sejarah Honda di Dakar tatkala jentera prototaip Honda NXR750V dan NXR800V berjaya merekodkan empat kemenangan berturut-turut dari 1986 hingga 1989.

Namun, berbeza seperti generasi NX500 sebelumnya yang menggunakan enjin satu silinder, NX500 terbaru ini pastinya digerakkan enjin parallel-twin 471cc yang sama terdapat pada CB500X.

Honda CB500X

Honda CB500X juga dijangka bakal menjadi asas utama pembangunan NX500 terutamanya bahagian kerangka dan swingarm namun digabungkan dengan rekaan yang lebih agresif dan lasak.

Honda juga telah memfailkan nama NX200 dan NX150 di beberapa negara Asia Tenggara yang secara langsung mencadangkan terdapat beberapa varian NX yang akan ditawarkan bersama NX500 tidak lama lagi.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 16,377 saman kesalahan jalan raya setakat semalam sempena Operasi Hari Raya Aidilfitri yang bermula sejak 29 April lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah JPJ, Zailani Hashim yang memaklumkan jumlah saman tersebut dikeluarkan setelah memeriksa lebih 89,490 kenderaan.

““JPJ juga telah mengeluarkan sejumlah 776 saman Notis P22 iaitu notis arah periksa melibatkan lima kesalahan utama iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong garisan berkembar dan memandu melebihi had laju,” jelasnya.

Sementara itu, lima kesalahan utama dalam tempoh Op HRA 2022 itu akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun.

Sebelum ini, JPJ turut melaporkan sebanyak 35,618 kenderaan telah dirakam kamera AWAS ekoran memandu melebihi had laju.

Jika disabitkan, pemandu kenderaan yang didapati melakukan lima kesalahan utama jalan raya boleh dikenakan denda sehingga RM2,000. – BERNAMA

Pelumba muda negara, Hakim Danish berjaya mencipta nama untuk dirinya di samping melakar sejarah baru sukan permotoran negara apabila berjaya menduduki tempat kedua dalam Race 2 European Talent Cup yang berlangsung pada Ahad.

Kejayaan di Litar Estoril, Portugal itu turut menyaksikan Hakim muncul pelumba Malaysia pertama yang berjaya menaiki podium di ETC.

Walaupun ketinggalan lebih 7 saat di belakang juara Joel Estaban namu Hakim mempamerkan tunggangan cemerlang untuk mengekang asakan enam pelumba lain untuk memastikan kedudukan kedua jadi miliknya sekaligus perbaiki kedudukan kelima di Race 1.

Bagaimanapun, kejayaan menduduki P5 di Race 1 dan P2 di Race 2 telah meletakkan Hakim di tangga kedua kejuaraan ETC musim ini.

Pusingan seterusnya akan berlangsung di Litar Ricardo Tormo pada 22 Mei ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah menahan seorang pemandu kereta jenis BMW selepas enggan memberhentikan kereta.

Pemandu tersebut diarahkan berhenti selepas dikesan menggunakan lorong kecemasan di Kilometer (KM) 434 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.

Bagaimanapun, lelaki berusia 35 tahun itu terus memecut ke lorong kanan dan cuba melarikan diri.

Walaupun polis beberapa kali mengarahkan berhenti namun suspek terus memandu dalam keadaan melulu dan membuat zig zag sebelum berjaya ditahan di KM22.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).

Menurut Pegawai Turus Lebuhraya Tengah Zon A JSPT Bukit Aman, Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Abd Razak, suspek cuba memberi alasan konon ibunya sakit dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Namun, pemeriksaan lanjut dengan menghubungi hospital dan doktor bertugas mengesahkan alasan diberikan hanyalah satu helah semata-mata.

Pada masa sama, polis juga mendapati cukai jalan kereta BMW yang dipandu juga telah tamat tempoh pada 6 Mei 2020.

Suspek yang ditahan bersama tiga wanita lain akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube