Bikesrepublic

Berita Terkini

CFMoto merupakan antara jenama motosikal dari China yang cukup serius dalam membangunkan jentera berkualiti dan berprestasi tinggi. 

Kerjasama dengan KTM termasuk di Kejuaraan Dunia Moto3 menjadi bukti komitmen yang ditonjolkan CFMoto dalam mengukuhkan jenama itu di pentas antarabangsa. 

Menariknya, beberapa model yang diperkenalkan antaranya 250SR, 700CL-X, 650MT, 800MT dan terbaru 450SR bingkas mencuri tumpuan di pasaran global.

Bagaimanapun, terdapat perkembangan menarik yang timbul mengenai CFMoto apabila jenama itu dilaporkan bakal memperkenalkan jentera ‘superbike’ dengan enjin 1000cc tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan menerusi paten enjin yang telah difailkan pada Jun tahun lalu dan hanya baru-baru ini akses kepada maklumat tersebut dibuka kepada orang ramai. 

Paten tersebut mendedahkan  jentera ‘superbike’ itu akan bernadikan enjin 4-silinder dengan konfigurasi V4.  Lebih menarik, dokumen terbabit menyebut enjin V4 itu akan menawarkan 204hp. 

Ada yang mendakwa enjin tersebut dibangunkan daripada jentera prototaip KTM RC16 di MotoGP. Bagaimanapun, penilaian kami selepas melihat paten tersebut, ternyata platform itu langsung tidak menyerupai enjin yang dihasilkan KTM sebelum ini. Malah, paten tersebut difailkan di bawah nama CFMoto semata-mata bukan nama rasmi hasil kerjasama dua belah pihak.

Oleh itu, kami dijangkakan enjin 1000cc dengan konfigurasi V4 ini adalah hasil kerja tangan CFMoto sendiri tanpa sebarang bantuan luar.

Buat masa ini kami difahamkan, enijn V4 itu akan diguna pakai pada dua jenis model, sportbike dan naked. 

Difahamkan, model naked itu juga akan membuat penampilan sulung sekurang-kurangnya lewat tahun ini namun, belum ada sebarang perkembangan mengenai model ‘sportbike’ tersebut. 

Apa yang pasti, kemunculan jentera ‘full-fairing’ dengan enjin 1000cc V4 dari CFMoto itu akan berlaku tidak lama lagi sekaligus memberi saingan kepada jenama motosikal Jepun dan Eropah. 

*QJMotor SRK 1000 RR

Selain CFMoto, satu lagi pengeluar motosikal dari China, QJMotor sedang membangunkan jentera sportbike 1000cc hasil kerjasama dengan MV Agusta. Mengguna pakai enjin dan chasis daripada MV Agusta Brutale 1000 RR, model itu juga dijangka akan dilancarkan sebagai model 2024.

KTM dan syarikat ‘tuning’ Jerman, BRABUS meneruskan kolaborasi buat kali kedua dengan pelancaran BRABUS 1300 R Edition 23. 

Dipamerkan di Hanoi, Vietnam, BRABUS 1300 R Edition 23 merupakan evolusi daripada 1300 R yang diperkenalkan tahun lalu. 

Terhad kepada 145 unit bagi versi Superblack dan 145 unit lagi bagi warna Stealth Grey, BRABUS 1300 R Edition 23 ini juga dibangunkan daripada platform KTM 1290 Super Duke R EVO. 

Untuk itu, 1300 R Edition 23 ini juga didatangkan dengan beberapa komponen khas BRABUS yang mengguna pakai bahan jenis gentian karbon dan CNC.

Oleh itu, tidak hairanlah BRABUS 1300 R Edition 23 ini tampak sama seperti versi original kecuali beberapa penambahbaikan antaranya pertambahan komponen gentian karbon. 

Sebagai pelengkap kepada motosikal hypernaked ini adalah rim BRABUS Monoblock Z dengan kemasan serba hitam. 

Seperti model tahun lalu, BRABUS 1300 R Edition 23 ini dikuasakan enjin LC8 V-Twin 1,301cc yang berupaya menghasilkan 180hp pada 9,500rpm dan 140Nm pada 8,000rpm.

Menurut BRABUS, motosikal ini akan dijual menerusi laman sesawang khas dengan harga EUR42,500 (RM198 ribu) pada 16 Februari ini. 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memperuntukkan RM90 juta bagi tempoh dua tahun dalam pembinaan stesen pengecas arus terus (DC) bagi kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. 

Perkara itu disampaikan pengarah program pengurusan projek untuk kenderaan elektrik, Mohd Junaizee Mohd Noor. Jelasnya, TNB telah pun mengorak langkah sulung dengan membina tiga stesen pengecas EV di kawasan R&R Ayer Keroh (Melaka), Tapah (Perak) dan Paka (Terengganu). 

“Kami sasar untuk bina tujuh lagi stesen pengecas EV di Malaysia menjelang hujung tahun ini di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS). 

“Insya’allah TNB akan memiliki sejumlah 10 stesen pengecas DC EV di sepanjang lebuh raya menjelang hujung tahun,” jelasnya. 

Jelas Junaizee, inisiatif tersebut adalah bagi memudahkan orang ramai untuk mengecas kenderaan EV masing-masing dan tidak perlu lagi berasa gentar akan kehabisan bateri. 

Dalam pada itu, Junaizee menjelaskan bahawa antara cabaran utama pemasangan stesen pengecas EV adalah proses kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). 

Ini kerana setiap PBT mempunyai peraturan dan terma berbeza sekaligus mewujudkan kekangan terhadap pembinaan stesen pengecas. – BERNAMA

“Kami akan menilai perkara ini dalam tempoh enam hingga 12 bulan dan dari situ barulah kami akan membuat keputusan sama ada akan beralih ke digital sepenuhnya,” demikian kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkenaan dengan cadangan memansuhkan lesen memandu fizikal dan digantikan dengan lesen digital. 

Jelas Loke, kerajaan tidak boleh memaksa orang ramai untuk serta-merta beralih ke digital sebaliknya perlu melakukan pendekatan secara berperingkat. 

Pada masa sama, Loke juga sedar bahawa peralihan ke lesen digital bukan senario mudah terutamanya bagi mereka yang duduk di kawasan kampung dan pedalaman. 

“Kami faham bahawa akses internet adalah satu kekangan. Kami tidak akan memaksa orang ramai beralih ke digital,” tambahnya.

Minggu lalu, kerajaan telah pun mengumumkan bahawa cukai jalan kenderaan persendirian sudah tidak perlu dipamerkan lagi sebaliknya boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (eLKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui aplikasi MyJPJ. – FMT

‘Chin curtain’ merupakan antara ciri yang standard pada sebuah helmet motosikal jenis ‘full-face’.

Ini kerana fungsi utama ‘chin curtain’ adalah melindungi pemakai daripada aliran angin yang kuat daripada memasuki ruang helmet di samping turut meningkatkan aspek aerodinamik helmet. 

Bagaimanapun, pendedahan oleh FortNine yang dikongsikan menerusi satu video di YouTube menjelaskan bagaimana ‘chin curtain’ sebenarnya membahayakan si pemakai. 

Menurut video berdurasi 4minit 14 saat itu, terdapat beberapa kajian berjaya membuktikan bahawa ‘chin curtain’ membawa kesan yang buruk. 

Ini kerana kehadiran ‘chin curtain’ menyebabkan karbon dioksida (CO2) boleh terperangkap di dalam helmet lalu menyebabkan fungsi otak si pemakai menurun sehingga 50 peratus. 

Akibat daripada senario itu, reaksi penunggang motosikal ketika berada di jalan raya juga boleh terjejas lantas boleh membahayakan nyawa terutamanya sewaktu menunggang dalam trafik tinggi atau perlu membuat gerakan mengelak secara mengejut. 

FortNine juga membuktikan bagaimana kandungan CO2 di dalam helmet meningkat daripada 450ppm (bahagian per sejuta) sehingga 1370ppm sewaktu memberhentikan motosikal. 

Dalam pada itu, menurut laporan yang pernah diterbitkan NASA, skil membuat keputusan pilot sewaktu simulasi terjejas sewaktu CO2 berada di tahap 1200ppm. 

Lebih mengejutkan, kadar gas CO2 juga tidak menurun meskipun ‘visor’ helmet dibuka. 

Oleh yang demikian, cara paling efektif dalam mengurangkan gas CO2 dalam helmet adalah dengan menanggalkan ‘chin curtain’ tersebut bagi  memastikan fungsi kognitif kekal di tahap terbaik. 

Jenama motosikal Thailand, GPX semakin mendapat tempat di pasaran Asia Tenggara selepas memperkenalkan beberapa siri motosikal. 

Terbaru, GPX terus memperkembangkan portfolio mereka dengan pelancaran GPX Tuscany 150, sebuah skuter gaya retro yang kelihatan diinspirasikan daripada jenama popular, Vespa. 

Menariknya, Tuscany 150 merupakan hasil usahama antara GPX dan pengeluar skuter Taiwan, SYM. Kedua-duanya pernah berkerjasama sebelum ini menerusi skuter GPX Drone yang dilancarkan pada hujung tahun 2020. 

Bagi pasaran Thailand, GPX Tuscany 150 tampil dengan dua varian namun kedua-duanya hanya dibezakan dengan sistem kunci dengan varian tertinggi datang dengan fungsi ‘keyless’. 

Dalam pada itu, Tuscany 150 dikuasakan enjin satu silinder 149.6cc SOHC, 2-valve dengan penyejukan udara dan menawarkan transmisi automatik jenis CVT. 

Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk:

  • fork teleskopik depan
  • penyerap hentakan belakang (berkembar)
  • cakera brek depan 
  • sistem brek CBS (combine braking system)
  • tayar 110/70-12 depan
  • tayar 120/70-12 belakang

Meskipun tampak retro, Tuscany 150 ini masih lagi datang dengan ciri moden seperti panel meter digital LCD, lampu LED dan pengecas USB. 

Pada masa sama, skuter ini juga dilengkapi tangki bahan api 5.7L dan ruang letak barang (bawah tempat duduk) 27L. 

Menurut GPX, Tuscany 150 ini dijual pada harga THB63,700 (RM8.1k). 

GALERI: GPX Tuscany 150

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube