Bikesrepublic

Berita Terkini

Pemilik sebuah kedai aksesori kereta terletak di Dataran Mentari, Bandar Sunway kini berdepan tindakan undang-undang gara-gara membuat laporan polis palsu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Memetik laporan Berita Harian, pihak polis menerima laporan daripada pemilik berusia 39 tahun itu pada jam 1.09 tengah hari (Sabtu) mendakwa kedainya telah dipecah masuk dan mengalami kerugian sekitar RM600,000. 

Mohamad Fakhrudin kemudan mengarahkan anggotanya untuk melakukan siasatan di tapak kejadian bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. 

Bagaimanapun, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati tiada sebarang pecah masuk direkodkan. 

“Hasil soal siasat, pengadu mengaku kejadian pecah kedai tidak berlaku dan tujuan laporan polis dibuat adalah untuk tuntutan insurans,” jelas Fakhrudin. 

Dalam pada itu, pemilik kedai aksesori kereta itu kini berdepan tindakan susulan ekoran membuat laporan palsu. 

Tambah Fakhrudin, kes tersebut kin disiasat mengikut Sekseyn 182 Kanun Keseksaan dan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. – Berita Harian

SHOEI merupakan antara jenama helmet motosikal terkemuka dunia seangkatan pesaing lain antaranya Arai dan AGV. 

Maka tidak hairanlah, SHOEI turut menjadi pilihan beberapa pelumba motosikal berstatus juara dunia seperti Marc Marquez.  Sehingga kini, Marquez beraksi di Kejuaraan Dunia MotoGP dengan menyarung helmet SHOEI. 

Musim lalu, Marquez turut memakai helmet SHOEI X-SPR Pro yang merupakan helmet serba baharu menggantikan X-Spirit III. 

Bagaimanapun, bagi tahun 2023, SHOEI memperkembangkan lagi kerjasama dengan Marquez dengan memperkenalkan SHOEI Neotec II edisi MM93. 

SHOEI Neotec II merupakan helmet jenis ‘sport-touring’ premium yang ditawarkan jenama itu dan diminat oleh semua penunggang motosikal kerana menawarkan ciri praktikal. 

Selain kekal menawarkan fungsi yang versatil, SHOEI Neotec II siri MM93 ini juga tampil dengan pilihan warna yang lebih garang dengan gabungan warna kelabu dan perak serta kemasan hitam. 

Logo MM93 juga termpampang dibahagian belakang helmet dengan warna merah. 

Selain itu, SHOEI Neotec II Edisi MM93 ini masih lagi mengekalkan ciri sama seperti model Neotec II lain antaranya ‘padding’ boleh ditanggalkan, sunvisor dan mekanisme modular yang boleh dibuka dan tutup dengan hanya sebelah tangan. 

Untuk rekod, SHOEI Neotec II ini juga mudah dipadankan bersama sistem komunikasi motosikal seperti Cardo dan Sena.

Menurut laporan di Jepun, SHOEI Neotec II Edisi MM93 ini akan dipasarkan pada harga JPY82,500 (RM2.6k). 

Beberapa minggu lalu, Aveta telah pun melancarkan model kelapan untuk pasaran tempatan menerusi VZR250. 

Aveta VZR250 merupakan motosikal segmen sportsbike 250cc sulung diperkenalkan jenama itu. 

Dalam pada itu, Aveta turut mengorak langkah dengan mengemas kini model kapcai V13R bagi tahun 2023.

Meskipun baru setahun lebih berada dalam pasaran namun Aveta telah menaik taraf model 124cc itu dengan rekaan lampu depan yang lebih moden. 

Menariknya, reka bentuk lampu depan itu tampak mirip dengan Yamaha Y15ZR. 

Bagaimanapun, pengesahan daripada pihak Aveta sendiri memaklumkan bahawa spesifikasi V13R 2023 kekal sama seperti model 2021. 

Hasilnya, enjin satu silinder 124cc dengan sistem karburator itu terus menawarkan 7.8hp pada 7,500rpm dan 8.5Nm pada 5,500rpm. Kuasa enjin pula disalurkan menerusi transmisi 4-kelajuan. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • tangki 4.5L
  • lampu depan LED dengan DRL
  • cakera brek (depan)
  • port pengecas USB

Menurut Aveta, V13R 2023 ini ditawarkan pada harga (baharu) RM7,259

Dani Pedrosa akan kembali ke kejuaraan dunia MotoGP menerusi entri ‘wild-card’ bagi pusingan GP Sepanyol di Jerez, tahun ini, 

Berita tersebut disampaikan pengurus pasukan Red Bull KTM, Francesco Guidotti pada Khamis. 

“Saya telah pun dimaklumkan bahawa Dani (Pedrosa) akan beraksi di Jerez. Ini sudah cukup membuktikan betapa pentingnya dia pada kami.

“Sumbangannya cukup besar jadi kami berinya peluang untuk menunjukkan potensinya sewaktu ujian dan seterusnya sebagai entri ‘wild-card’, ujar Guidotti kepada media antarabangsa, Crash.net.

Untuk rekod, Pedrosa mencatatkan 31 kemenagan Grand Prix antara 2006 hingga 2008 lantas menjadikannya pelumba kelas premier paling berjaya yang tidak pernah merangkul kejuaraan dunia. 

Sebaik bersara, Pedrosa berkhidmat sebagai pelumba uji KTM dan didakwa menjadi tunjang utama pembangunan jentera RC16. 

Dalam pada itu, selain Pedrosa, Guidotti juga mendedahkan bahawa bekas pelumba MotoGP, Jonas Folger akan terlibat dengan sesi ujian KTM di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan depan. 

Suzuki merupakan antara pengeluar motosikal dunia yang komited dalam pembangunan teknologi hijau apabila sanggup menghentikan projek permotoran di Kejuaraan Dunia MotoGP dan EWC. 

Penarikan diri daripada sebarang kejuaraan dunia permotoran itu adalah bagi mengalihkan perbelanjaan kepada pembangunan karbon neutral termasuk penghasilan jentera elektrik.

Suzuki sebelum ini telah pun mendedahkan perancangan untuk memperkenalan lapan motosikal elektrik menjelang tahun 2030. 

Dalam perkembangan terbaru, kilang Hamamatsu itu mengesahkan akan memperkenalkan motosikal elektrik sulung pada 2024.

Pendedahan itu dibuat dalam pelan strategi pembangunan bagi tahun kewangan 2030 yang diterbitkan baru-baru ini. 

Pelan tersebut memaklumkan bahawa pengeluar motosikal Jepun itu akan memperkenalkan motosikal elektrik (kelas kecil sehingga pertengahan) pada tahun 2024. 

Bagaimanapun, Suzuki dalam kenyataan menjelaskan bahawa pembangunan motosikal elektrik hanyalah melibatkan model kegunaan harian manakala motosikal berkapasiti tinggi akan mengguna pakai teknologi bahan api karbon neutral. 

Ini bermakna, barisan model sedia ada terutamanya motosikal berprestasi tinggi akan terus hidup dalam portfolio Suzuki. 

Untuk rekod, Suzuki telah pun meningkatkan kapasiti penjana kuasa solar di kilang Hamamatsu dalam usaha mencapai karbon neutral pada 2027. Pelan tersebut juga mendedahkan Suzuki merancang membelanjakan RM129 billion dalam projek elektrik dan seangkatan dengannya. 

Benda merupakan antara pengeluar motosikal China yang mempunyai visi yang besar dalam memasarkan jenama itu di pasaran global.

Tahun lalu, Benda mencuri tumpuan dengan pelancaran beberapa model terutamanya berkonsepkan cruiser seperti LFC700, LFS700 dan VTC300. 

Bagaimanapun, Benda mempunyai perancangan untuk memperkenalkan model ‘sportsbike’ apabila memfailkan paten nama VTR300 Turbo, tahun lalu. 

Ketika LFS700 dan VTC300 dilancarkan penghujung tahun lalu, VTR300 Turbo masih belum kelihatan. 

Projek VTR300 Turbo itu sememangnya mencuri tumpuan kerana perkataan ‘Turbo’ itu sendiri. 

Namun, perkembangan terbaru berdasarkan paten terkini difailkan mendedahkan enjin V-Twin 300cc itu tidak akan menampilkan teknologi turbo seperti namanya sebaliknya akan menerapkan sistem ‘supercharger’ yang digerakkan secara mekanikal.

Menurut laporan, sebuah enjin V-Twin 300cc mampu menghasilkan sekitar 30hp namun dengan kehadiran ‘supercharger’ enjin terbabit dengan mudah boleh mengeluarkan 50hp. 

Berdasarkan paten yang dikongikan, jelas sistem ‘supercharger’ Benda bukanlah konvensional, kerana kuasa bukanlah terhasil di crankshaft sebaliknya sistem ‘blower’ dipasang pada satu daripada ‘cylinder head’ dan menyalurkan pergerakan pada ‘camshaft’. 

Rekaan sistem ‘supercharger’ dihasilkan Benda juga berbentuk ‘centrifugal’ sama seperti sistem ‘supercharger’ pada Kawasaki H2. 

Bagaimanapun berbanding Kawasaki, sistem pemanduan rekaan Benda ini tampil lebih kompak kerana perlu berpaut pada ‘camshaft’ enjin berbanding ‘crankshaft’. Pada masa sama, mengambil kira ‘camshaft’ berpusing pada separuh kelajuan ‘crankshaft’ bermakna sistem ‘supercharger’ itu perlu ditala lebih tinggi untuk mencapai kelajuan putaran yang lebih baik. 

Walaupun perkembangan enjin ini cukup menarik perhatian namun Benda belum lagi membuat sebarang pengumuman rasmi. 

Ini bermakna, kita mungkin hanya akan berpeluang menyaksikan model VTR 300 Turbo dalam beberapa tahun lagi. Apa yang pasti, tiada khabar angin sama ada model Benda akan dipasarkan di Malaysia. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube