Sepang Racing Team (SRT) yang dijenamakan semula sebagai RNF MotoGP Team, telah pun menandatangani perjanjian bersama WithU selaku penaja utama pasukan itu bagi menghadapi saingan MotoGP musim 2022.
RNF Racing turut memeterai kerjasama dengan Yamaha Motor Co. sekaligus sah menjadi pasukan satelit rasmi Yamaha bagi kejuaraan dunia MotoGP 2022.
Pada masa sama, RNF Racing turut mengumumkan pelumba Moto3, Darryn Binder, yang ketika ini bersaing bersama Petronas Sprinta Racing, akan sertai Andrea Dovizioso di kelas premier musim depan.
Berita itu sekaligus menyaksikan Binder mengikut jejak Jack Miller yang sebelum ini turut diangkat terus ke MotoGP dari kategori Moto3 pada 2015.
Sementara itu, perjanjian antara RNF Racing dan Yamaha Motor Co turut menyaksikan pasukan kendalian Razlan Razali itu akan beraksi dengan jentera YZR-M1 dengan kerjasama itu akan dilanjutkan hingga musim 2023 dan 2024.
Honda dengan rasminya melancarkan NT1100 2022 serba baharu untuk pasaran global.
Mengguna pakai platform sedia ada daripada CRF1100L Africa Twin, NT1100 terus mengisi segmen motosikal ‘touring’ dengan ciri dan spesifikasi terkini.
Berbanding Africa Twin yang merupakan motosikal adventure, NT1100 menawarkan pengalaman menunggang yang lebih eksekutif dan selesa dan tampil dengan dua kotak gear, manual dan ‘dual-clutch transmission’ (DCT).
Rekaan panel depan juga jelas mengambil inspirasi daripada Honda X-ADV 750 2021.
Enjin parallel-twin 1084cc dengan penyejukan cecair itu menawarkan 100hp pada 7,500rpm dan 104Nm pada 6,250rpm.
NT1100 ini juga menerapkan crank 270-darjah sekaligus menjaminkan prestasi dan kuasa sama seperti Africa Twin.
Ciri elektronik juga serba lengkap dengan sistem ride-by-wire yang menawarkan tiga mod tunggangan standard dan dua mod boleh laras mengikut kesesuaian.
Penunggang juga boleh memilih tiga mod daripada Honda Selectable Torque Control (traction control) serta tiga tahap wheelie control.
Sementara itu sistem suspensi dikendaliakn fork depan Showa Separate Function Big Piston (SFF-BP) 43mm dengan jarak pergerakan 150mm dan penyerap hentakan belakang Showa boleh laras (preload).
Ketinggian tempat duduk pula berada pada 820mm jauh lebih rendah berbanding 850mm hingga 870mm pada Africa Twin sekaligus meletakkan NT1100 dalam segmen ‘sport-touring’.
Honda mendakwa, NT1100 ini adalah seberat 238 kilogram bagi model transmisi manual manakala varian DCT adalah 10kg lebih berat.
Sistem membrek pula dikendalikan kaliper brek 4-piston Nissin depan dan dipadankan bersama cakera brek 310mm manakala brek belakang dikendalikan kaliper satu piston dengan cakera brek 256mm.
Ciri menarik lain ditawarkan:
tangki 20.4L
rim multi-spoke aluminium 120/70R-17 depan
rim multi-spoke aluminium 180/55/R17 belakang
ABS dwi-saluran
paparan 6.5″ TFT berwarna
lampu LED penuh dengan DRL (daytime running light)
Harley-Davidson dengan rasminya mengumumkan ketibaan Sportster S di Malaysia dan ditawarkan pada harga RM92,900.
Selepas tiga tahun sejak memperkenalkan model konsep menerusi 1250 Custom, Harley-Davidson akhirnya merasmikan Sportser S, sebagai penyambung legasi model Sporster jenama itu.
Sportster S ini juga dilihat bakal sertai Pan America sebagai penyelamat jenama syarikat dari Milwaukee itu, ekoran saban tahun merekodkan penjualan yang kurang memberangsangkan.
Bernadikan 1250 Revolution Max, enjin 1,252cc V-Twin DOHC dengan penyejukan cecair itu menawarkan 121hp dan 127Nm sekaligus menjadikan model ini antara yang paling berkuasa dikalangan model Harley-Davidson.
Bagi meningkatkan lagi pengalaman menunggang, Sportster S turut dilengkapi ciri variable valve timing (VVT) dan ‘self-adjusting lifters, fungsi sama yang terdapat pada model ADV, Pan America.
Dalam usaha menghasilkan jentera yang ringan, bahagian enjin kini juga berfungsi sebagai bahagian yang menyerap tekanan (stressed member engine) yang bertindak sebagai elemen struktur aktif sekaligus mengetepikan fungsi kerangka konvensional.
Hasilnya, Sportster S ini hanya seberat 227 kilogram lantas meningkatkan kawalan tunggangan.
Antara ciri lain ditawarkan adalah penyerap hentakan belakang (jenis piggyback) Showa boleh laras dan fork USD 43mm juga dari Showa, paparan TFT 4″ dengan Bluetooth connectivity, lampu LED penuh dan tiga mod tunggangan dengan dua mod custom, port USB-C , tangki 11.8L dan cruise control.
Sistem membrek dikendalikan kaliper Brembo jenis radial yang dipadankan bersama cakera brek (tunggal) 320mm depan dan 260mm belakang. Namun, kami berasakan dengan tayar depan berukuran 160/70-17, Sportser S ini wajar diberikan cakera brek berkembar dengan dua kaliper monoblock Brembo.
Sportster S ini juga dilengkapi dengan fungsi moden antaranya 6-axis IMU yang menawarkan cornering ABS, traction control, Drag-Torque Slip Control dan tekanan angin tayar.
Sementara itu, orang ramai yang berminat untuk melihat Sportster S dengan lebih dekat, pengedar rasmi Harley-Davidson seluruh negara mengadakan Hari Terbuka khas bagi model baharu itu dari 30 hingga 31 Oktober ini.
Ketika Honda mempersembahkan sebuah skuter konsep dengan pengayaan adventure pada 2015, ramai yang mempersoalkan tindakan tersebut namun sebaik model sebenar diperkenalkan menerusi X-ADV 750, segala persoalan bertukar menjadi pujian.
X-ADV 750 telah pun memasuki generasi kedua dan motosikal skuter ala adventure itu terus mencuri tumpuan sehingga kini.
Sebelum itu, pengeluar motosikal Jepun itu turut memperkenalkan ADV 150, skuter 150cc yang diinspirasikan daripada X-ADV 750.
ADV 150 juga mencapai populariti terutamanya di Asia termasuk di Malaysia kerana selain tampil dengan rekaan menarik, spesifikasi berkualiti antaranya suspensi Showa turut mencuri perhatian.
Honda sebelum ini telah pun memfailkan paten nama ADV 350 pada awal 2021 namun dalam perkembangan terbaru, paten sama juga telah difailkan di Eropah sekaligus mengesahkan kehadiran model itu tidak lama lagi.
Berdasarkan dokumen paten tersebut Honda ADV 350 itu bakal dikuasakan enjin sama dari Forza 350 dan menawarkan 29hp pada 7,500rpm.
Menurut laporan media antarabangsa, model baharu itu juga besar kemungkinan mengguna pakai kerangka sama seperti Forza 350 berdasarkan ukuran dimensi yang dinyatakan.
Buat masa ini tiada info lebih terperinci termasuk tarikh pelancaran model baharu itu. Bagaimanapun, mungkin ADV 350 antara kejutan bakal disajikan Honda di EICMA 2021 nanti.