Bikesrepublic

Berita Terkini

Baru-baru ini viral perkongsian video yang memaparkan sebuah motosikal berkuasa tinggi  telah terlibat kemalangan dengan sebuah kereta.

Video berdurasi 1 minit itu menunjukkan motosikal jenis Honda CBR1000RR sedang bergerak dengan beberapa jentera lain di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Kuala Lumpur.

Meskipun tidak pasti apakah punca kejadian tersebut namun rata-rata netizen mendakwa penunggang terbabit brek mengejut ekoran menyedari rakannya yang lain mengambil simpang kiri menghala ke Subang Jaya/Klang. 

Ekoran daripada brek mengejut itu, motosikal tersebut mula ‘dikunyah’ Nissan Almera yang berada di belakang susulan tidak sempat membrek. 

Penunggang CBR1000RR itu juga sangat bernasib baik kerana tidak tercampak daripada jenteranya dan masih duduk elok di atas pelana sewaktu kejadian berlaku. 

Sementara itu, orang ramai terutamanya penunggang motosikal diminta untuk lebih berhati-hati terutamanya jika berada di lorong kanan. 

Sebelum ini kami pernah melaporkan bahawa Suzuki Malaysia bakal memperkenalkan Suzuki V-Strom 250 SX untuk pasaran Malaysia.

Pendedahan tersebut dibuat ekoran model tersebut telah dilihat menjalani ujian di Malaysia.

*Suzuki V-Strom 250

Bagaimanapun, perkembangan terbaru mendapati motosikal ‘adventure’ 250cc dari Suzuki itu mungkin bukan varian V-Strom 250 SX seperti dilaporkan sebelum ini. Sebaliknya, model yang akan dilancarkan itu berkemungkinan Suzuki V-Strom 250.

Selain reka bentuk berbeza, perbezaan utama antara V-Strom 250 SX dan V-Strom 250 adalah dibahagian enjin.

*Suzuki V-Strom 250 SX

Ini kerana V-Strom 250 SX bernadikan enjin satu silinder SOCH manakala V-Strom 250 dijana enjin parallel-twin SOCH. 

Suzuki V-Strom 250 juga merupakan model yang pernah diperkenalkan di pasaran United Kingdom pada tahun 2017 manakala V-Strom 250 SX merupakan model serba baharu yang baru dilancarkan April tahun ini. 

Sementara itu, sebuah lagi model yang dijangka akan diperkenalkan untuk pasaran tempatan adalah Suzuki GSX-250R.

Ini berdasarkan beberapa imej dikongsikan pengedar tempatan di Facebook yang hadir bagi latihan produk oleh Suzuki Malaysia.

Perkongsian tersebut jelas menampakkan GSX-250R termasuk lampiran spesifikasi jentera terbabit.

Untuk rekod, Suzuki GSX-250R dikuasakan enjin dua silinder 248cc SOHC dengan penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 24.7hp pada 8,000rpm dan 23.3Nm pada 6,500rpm. 

Angka tersebut ternyata meletakkan GSX-250R jauh ketinggalan di belakang Yamaha R25 (35.5hp) dan Honda CBR250RR (41hp). 

Meskipun perkembangan ini bakal merancakan pasaran motosikal tempatan namun apa yang pasti, sebarang pengesahan mengenai kedua-dua model ini hanya boleh dibuat pihak Suzuki Malaysia. 

Miguel Oliveira sekali lagi mengesahkan statusnya sebagai ‘Rain Master’ apabila mendominasi perlumbaan di Litar Buriram, Thailand, pada Ahad.

Pelumba Red Bull KTM itu mempamerkan tunggangan meyakinkan sebaik perlumbaan bermula meskipun Litar Buriram bergenang dengan air ekoran hujan lebat.

Meskipun bermula di petak kesebelas namun keadaan litar yang basah dan hujan memberi kelebihan kepada pelumba Portugal itu ekoran keparakannya beraksi dalam senario demikian.

Untuk rekod, Oliveira turut muncul juara GP Indonesia yang turut berlangsung dalam keadaan hujan lebat.

Ketika perlumbaan bermula, Oliveira berada di belakang tiga jentera Ducati namun ketika di pertengahan pelumbaan, pelumba KTM itu mula memintas seorang demi seorang untuk berada di depan.

Tempat kedua jadi milik Jack Miller yang meneruskan kecemerlangannya untuk menaiki podium selepas memenangni GP Jepun, minggu lalu.

Sementara itu, tempat ketiga turut jadi milik Ducati menerusi Francesco Bagnaia. Keputusan ini menyaksikan Bagnaia kini mengutip 217 mata, hanya dua mata dibelakang pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo.

Quartararo pastinya kecewa apabila hanya mampu menamatkan aksi di tempat ke-17. 

Sementara itu, Marc Marquez meneruskan usahanya untuk kembali mencapai prestasi sebenar dengan menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Berikut kutipan mata semasa MotoGP:

  1. Fabio Quartararo – 219 mata
  2. Francesco Bagnaia – 217 mata
  3. Aleix Espargaro – 199 mata
  4. Enea Bastianini – 180 mata

Kawasaki Indonesia telah pun melancarkan Ninja ZX-25RR 2023 untuk pasaran negara itu, baru-baru ini.

Ketika ramai menjangkakan ketibaan Ninja ZX-4R, jangkaan itu nyata meleset apabila Kawasaki Indonesia memperkenalkan generasi baharu Ninja ZX-25R.

Menariknya bagi model 2023, Kawasaki memperkenalkan ZX-25RR, varian ‘flagship’ terbaru bagi model 250cc 4-silinder itu.

Untuk rekod, Kawasaki Indonesia memperkenalkan tiga varian kesemuanya, termasuk Ninja ZX-25R (Standard), Ninja ZX-25R ABS SE dan Ninja ZX-25RR. 

Bagaimanapun, tumpuan harus diberikan kepada varian tertinggi yang tampil dengan beberapa ciri baharu bagi tahun 2023. 

Pertamanya, Kawasaki Ninja ZX-25RR menampilkan skrin TFT serba baharu menggantikan paparan analog dan digital pada model sebelumnya.

Menariknya, kehadiran skrin TFT itu juga menyaksikan Ninja ZX-25RR menawarkan fungsi ‘lap timer’ seperti yang terdapat pada ZX-10R. 

Skrin TFT tersebut juga boleh dihubung kepada telefon pintar menerusi aplikasi Kawasaki Rideology. 

Selain itu, Kawasaki Ninja ZX-25RR juga didatangkan dengan fork depan Showa Separate Function Fork-Big Piston 37mm dan monoshock belakang  BFRC boleh laras yang turut diilhamkan dari ZX-10R. Namun ciri tersebut tidak terdapat pada varian Standard dan ABS SE yang masih lagi dilengkapi sistem suspensi sama seperti model sebelum ini.

Pada masa sama, ketiga-tiga varian juga telah dinaik taraf dengan lampu isyarat jenis LED. 

Ciri ‘quickshifter’ juga dikekalkan bagi varian ABS SE dan kini dibawa pada varian ZX-25RR. Namun begitu, fungsi tersebut tidak terdapat pada varian Standard.

Tidak cukup dengan itu, sistem ekzos juga telah dipertingkat dan kini mencapai standard Euro 4. 

Namun begitu, Kawasaki Ninja ZX-25RR masih lagi dikuasakan enjin 249.8cc empat silinder DOHC 16-valve dengan penyejukan cecair yang berkemampuan menghasilkan 51hp pada 15,500rpm dan 22.9Nm pada 14,500rpm.

Menurut Kawasaki Indonesia, versi Standard didapati dalam warna hitam sahaja manakala varian ABS SE tampil dengan dua warna, Candy Persimmon Red dan Metallic Matt Graphite Steel Grey. 

Sementara itu, varian tertinggi, Kawasaki Ninja ZX-25RR tampil dengan warna Lime Green yang menawarkan livery Kawasaki Racing Team (KRT). 

Memandangkan Kawasaki Malaysia menerusi pengedar baharu, MODENAS, memaklumkan bahawa ZX-25R akan memasuki pasaran negara pada tahun 2023, kami berharap model tersebut akan turut disertakan varian ZX-25RR terbaru ini.

Ketika berlangsungnya GIVI Rimba Raid 2022 di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang, baru-baru ini, pelbagai jenama motosikal mengambil bahagian antaranya BMW, KTM, Honda dan Yamaha.

Turut membuat penampilan sulung adalah Harley-Davidson Pan America 1250, Moto Morini X-Cape 650 X dan WMOTO SX2 300.

Bagaimanapun, diantara beratus jentera yang terlibat terdapat sebuah jentera yang mencuri perhatian menerusi Fantic Caballero Rally 500. 

*Fantic Caballero 500 Rally

Bagi yang tidak kenal, Fantic Caballero Rally 500 merupakan motosikal jenis scrambler yang dikeluarkan jenama motosikal Itali, Fantic Motor. 

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, penyertaan Fantic Caballero Rally 500 yang ditunggang pelumba Hazim Hayazi itu bukanlah semata-mata untuk tujuan berlumba. 

Sebaliknya,  Rimba Raid 2022 menjadi medan ujian jentera tersebut yang dijangka akan dipasarkan di Malaysia menerusi Fantic Motor Malaysia. 

Kemampuan Fantic Caballero 500 sememangnya mengagumkan apabila Hazim berjaya mendapat tempat ke-4 bagi Class C – DP Rally.

Menurut Hazim, dia berasa kagum dengan kemampuan jentera terbabit meskipun pertama kali menunggangnya.

“Ini adalah kali pertama saya menunggang motosikal ini. Saya terkejut motosikal ini menawarkan kawalan terbaik dan ringan.

“Kuasa dihasilkan juga cukup untuk menawan cabaran Rimba Raid 2022 sejauh 150km di Taman Negara,” jelas Hazim di akaun Facebook miliknya.

Tambah Hazim lagi, dia juga kagum dengan tahap efisien penggunaan bahan api jentera terbabit.

“Saya langsung tak risau tentang minyak kerana motosikal ini datang dengan tangki 12L jadi cukup untuk perlumbaan seperti ini,” tambahnya.

Untuk rekod, Fantic Motor mempunyai model dari 125cc hingga 500cc dengan model Caballero 500 tampil dengan beberapa varian termasuk Explorer, Flat dan Scrambler dan Rally.

Difahamkan, Fantic Motor Malaysia adalah anak syarikat AFY Mobility Industries Sdn Bhd yang turut akan memasarkan dan memasang motosikal jenama MV Agusta di Malaysia. 

Meskipun perkembangan ini cukup menarik, namun segala pengesahan hanya boleh dilakukan pihak berwajib dan kami jangkakan pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi. 

Pelumba Moto2, Aron Canet, mencetuskan perdebatan di pentas kejuaraan dunia MotoGP apabila mendakwa dirinya berdepan diskriminasi oleh pasukan di kelas premier.

Tidak dinafikan, Canet dianggap sebagai bintang baharu sukan permotoran sejak membuat penampilan pada 2016.

Canet telah pun merekdokan enam kemenangan di Mtoo3 dan 17 podium keseluruhan di Moto2 dan Moto3 setakat ini.

Meskipun mempunyai pencapaian memberangsangkan di usia 23 tahun, namun dia lebih dikenali dengan tatu dibadannya. 

Namun, Canet dalam satu temu bual bersama penerbitan Sepanyol, memberi penjelasan mengapa dia sering memakai ‘bow tie’ setiap kali menaiki podium.

Jelasnya, pemakaian ‘bow tie’ adalah sebagai tanda protes terhadap pihak yang mendiskriminasi dirinya gara-gara bertatu.

“Ada yang menganggap saya sebagai pembunuh kerana bertatu meskipun saya masih lagi orang yang sama ketika saya berusia 16 tahun dan tidak mempunyai tatu.

“Saya masih lagi individu yang sama. Mempunyai tatu tidak menentukan kebaikan dan keburukan seseorang itu.

“Saya dapati terdapat beberapa pasukan yang menolak saya kerana saya bertatu dan itu tidak masuk akal,” dakwa Canet.

Meskipun Canet tidak menyebut pasukan mana yang menolak khidmatnya namun beberapa media antarabangsa mendakwa Canet antara calon sertai RNF Racing Aprilia bagi musim 2023 sebelum pasukan kendalian Datuk Razlan Razali itu memilih Miguel Oliveira dan Raul Fernandez.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube