Mengecapi tahap umur 50-an ini telah mengajar saya untuk menghargai perkara yang paling mudah dalam hidup. Saya pernah mengidamkan superbike terpantas sambil tidak memberi perhatian kepada motosikal berkuasa rendah. Tetapi motosikal superbike pula telah menjadi terlalu berkuasa dan kompleks… Jadi, adakah Suzuki Burgman Street 125EX (2024) ini muncul pada masa yang sesuai?
Apakah motosikal ini?
Rangkaian Burgman terdiri daripada model-model skuter mewah Suzuki, yang terdiri daripada varian 125cc, 400cc dan 650cc. Rangkaian Avenis pula terdiri daripada model yang lebih sporty.
Burgman Street 125EX menggunakan enjin Suzuki Eco Performance-Alpha (SEP-α) 125cc, dengan SOHC, dua injap, 4-lejang, dan penyejukan udara. Ia menghasilkan 8.6 hp pada 6,750 RPM dan tork 10 Nm pada 5,500 RPM. Ia juga dilengkapi dengan ciri Engine Auto Stop-Start (EASS) yang mematikan enjin ketika berhenti, dan Suzuki Silent Starter System.
Ciri-ciri tambahan sama seperti pada mana-mana skuter seperti papan pemijak kaki, ruang simpanan barang bawah tempat duduk, ruang-ruang penyimpanan barang di depan, cangkuk di depan, dan satu lagi di bawah bahagian depan pelana.
Perkara pertama yang menarik perhatian anda ialah betapa besarnya walaupun ia sebuah skuter 125cc. Panel depannya lebih lebar, dan panel sisi dibulatkan serupa untuk melengkapkan tema. Ia mengingatkan saya kepada Suzuki Gladius 650.
Pengalaman menunggang Suzuki Burgman Street 125EX (2024)
Hendalnya lebih lebar seperti motosikal yang lebih besar. Secara peribadi, saya lebih menggemari hendal yang lebih lebar kerana ia memberikan lebih kuasa pengendalian yang lebih efektif.
Anda hanya perlu menekan butang penghidup sekali dan melepaskannya kerana Sistem Pemula Senyap (Suzuki Silent Starter System) yang disebutkan di atas akan mengambil alih dan er… menghidupkan enjin.
Pusingkan pendikit dan… skuter ini mula bergerak dengan lancar. Ia tidak memberikan tujahan (pikap) yang pantas, walaupun apabila kami membuka pendikit sepenuhnya. Ia seperti motosikal dengan nisbah pacuan akhir yang sangat tinggi.
Walaubagaimanapun, kami mendapati bahawa Suzuki membinanya dengan cara ini untuk tunggangan di dalam bandar. Enjinnya sangat lancar dan agak tenang ketika di antara 60 – 80 km/j.
Motosikal Suzuki terkenal dengan ciri pengendaliannya yang mudah dan ini skuter ini tidak terkecuali. Ia stabil di atas jalan lurus, manakala hendal lebar memberikan banyak daya untuk mengemudi. Ia hanya memerlukan sedikit tekanan untuk menukar arah, dan membolehkan anda mencilok melalui trafik dengan mudah.
Yang menghairankan, skuter itu mempunyai banyak kelegaan tanah yang banyak walaupun ketinggian pelananya rendah. Saya cuba sedaya-upaya untuk sagat fairing bahagian bawah ataupun topang namun saya tidak pernah berjaya. (Shhh… Saya sagat silinder sebuah BMW R 1200 GS di selekoh sebelum ini.)
Kami memutuskan untuk menunggangnya sehingga ke Genting Highlands, seperti yang selalu kami lakukan dengan mana-mana motosikal ujian. Kami sudah mengenali laluan itu dan oleh itu menguji motosikal yang berbeza pada laluan yang sama membolehkan kami menguji motosikal, bukan laluan.
Kami memaksimumkan kuasa enjin Suzuki Burgman di lebuh raya, dan dapat mencecah 108 km/j di cerun menurun. Enjin terus lancar tanpa bunyi meraung. Hanya ada sedikit gegaran yang boleh dirasakan melalui hendal. Sekali lagi, penghargaan mestilah diberkan kepada Suzuki kerana membina enjin yang kuat.
Jarak roda yang panjang sekali lagi menunjukkan kelebihannya kerana skuter ini tidak bergoyang apabila memotong atau dipotong oleh kenderaan berat.
Tetapi perkara yang paling menyeronokkan bagi saya ialah apabila kami mendaki gunung itu. Dengan terotel yang di-lock (buka habis-habisan), motosikal itu menghasilkan kelajuan antara 60 – 70 km/j. Tidaklah laju, tetapi kami biarkan pendikit pada kedudukan terbuka sepenuhnya dan mengemudikan Burgman ini melalui semua selekoh. Motosikal ini tidak bergoyang langsung melainkan melanggar lubang atau permukaan yang tidak rata. Semua pemandu kereta mewah terbeliak mata apabila melihat sebuah skuter kecil ini memotong mereka di selekoh! Dan selekoh-selekoh “S” sebelum Gohtong Jaya itu sangat menyeronokkan. Ah, kepuasannya.
Kita juga harus menyatakan bahawa permukaan jalan ketika itu masih lembap akibat hujan semalaman. Beberapa skuter yang kami uji sebelum ini kegelinciran di selekoh, tetapi Burgman dapat bertahan. Hanya terdapat satu kejadian apabila tayar belakang mula menggelongsor tetapi ia serta-merta berhenti apabila motosikal diangkat sedikit basikal daripada sudut merengnya.
Tetapi, mesti ada beberapa keburukannya, kan? Ya, sudah tentu, setiap motosikal pun begitu.
Ketika menuruni Genting Highlands, kami mendapati brek depan memerlukan tekanan yang kuat pada tuilnya untuk memperlahankan motosikal dengan penunggang seberat 85 kg ini. Berita baiknya ialah brek dram belakang tidak pernah terkunci walaupun membrek kuat di atas jalur kuning. Jadi, berikan diri anda lebih banyak ruang untuk membrek dan berhenti.
Selain itu, sebagai skuter jalanan, suspensinya mempunyai jarak gerakan yang lebih pendek. Jalan Genting yang berlubang tidak membantu. Daya-daya daripada bonggol disalurkan melalui casis kepada penunggang. Walaubagaimanapun, kami ingin menyatakan bahawa penunggang sportbike akan merasakan perkara yang sama, jadi ia tidak bermakna Burgman 125 secara khusus adalah buruk di sudut ini.
Jadi, kembali ke Lebuhraya Karak, kami membuka pendikit sepenuhnya dari ketika memasukki lebuhraya dan melalui siri selekoh hingga yang akhir dan tajam sebelah kiri, selepas selekoh kanan yang panjang. Casis Burgman memberikan begitu banyak keyakinan walaupun rodanya kecil(!). Kami sebenarnya memintas beberapa motosikal yang lebih besar (150cc, 155cc, dan 200cc) dalam selekoh.
Kembali pada bahagian yang lebih lurus, sudah tiba masanya untuk berehat dan saya memperlahankan motosikal kepada 90 km/j, sambil menikmati kelancaran enjin itu. Suspensinya juga kembali selesa. Pelananya berlapik tebal dan tiada rasa lenguh atau sakit di penghujung perjalanan.
Jadi Suzuki Burgman Street 125EX (2024) ini sesuai untuk siapa?
Dalam pendapat kami, ia adalah motosikal yang sesuai untuk mereka yang berulang-alik setiap hari tanpa drama. Ia adalah motosikal yang anda naiki, hidupkan enjin, putar pendikit, dan jalan. Begitu mudah.
Ia juga merupakan pilihan yang bagus untuk Ibu (dan beberapa Ayah) yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Saya melakukan perkara itu untuk anak saya, dan sekaligus memotong ibu bapa yang sayu dan jengkel yang terpaksa bangun begitu awal dan akhirnya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Ada sebabnya breknya tidak terlalu kuat kerana ia mengelakkan penunggang daripada mengunci tayar depan dalam situasi panik. Tambah lagi, julat kuasa yang lancar dan mesra pengguna, serta pelana yang selesa dan yang luas akan meningkatkan keyakinan kanak-kanak. Anak saya kecewa apabila saya mengembalikannya. Ini boleh dikatakan amat penting kerana saya telah membawanya dengan pelbagai jenis motosikal.
Akhir sekali, enjin itu benar-benar jimat bahan api, dengan penunjuk penggunaan bahan api berlegar sekitar 46 hingga 52 km/liter ketika menunggang saban hari di dalam bandar. Itu memberikan jarak lebih daripada 250 km daripada tangki 5.5 liter itu. Kegilaan di Lebuhraya Karak dan Genting Highlands menggunakan lebih banyak bahan api dan menurunkan jarak kepada kepada 36 km/l.
Sebagai penutup, kami mendapati Suzuki Burgman Street 125EX (2024) sesuai dengan namanya Street (jalan), dan memberikan makna menghargai perkara mudah dalam kehidupan.
Galeri gambar Suzuki Burgman Street 125EX (2024)