Bikesrepublic

Berita Terkini

Ducati Malaysia dengan rasminya melancarkan Ducati Panigale V4 2022 untuk pasaran tempatan.

Tampil dengan dua varian, Panigale V4 dan V4 S kedua-duanya ditawarkan pada harga RM148,900 dan RM188,900.

Bagi tahun 2022, terdapat beberapa penambahbaikan terbaru dilaksanakan terutamanya di bahagian enjin, chasis, panel badan dan pakej elektronik.

Pertamanya, bahagian panel badan kini telah dinaik taraf dengan pertambahan corong udara bagi memperbaiki tahap kepanasan enjin. Bukan itu sahaja, corong udara di bahawa sisi juga bertujuan menyejukkan quickshifter.

Sementara itu, Ducati juga menaik taraf nisbah gear juga telah diperkemas dengan gear 1, 2 dan 6 kini tampil dengan nisbah lebih panjang berbanding model 2021.

Nisbah gear yang lebih panjang itu bertujuan memastikan aliran kuasa enjin 1103cc V4 itu lebih terkawal terutamanya di RPM rendah.

Pada masa sama, enjin V4 itu kini menawarkan 215.5hp berbanding 214hp pada model terdahulu.

Namun jika mempunyai bajet lebih, pengguna boleh menaik taraf ke ekzos Akrapovic (full system) yang boleh meningkatkan kuasa kepada 225hp disamping 5kg lebih ringan berbanding ekzos standard.

Peningkatan kuasa itu berlaku disebabkan naik taraf yang dilakukan pada bahagian ‘underslung exhaust’ yang kini 18 peratus lebih besar di samping sistem penyejukan yang lebih efisien.

Sementara itu, bahagian tangki kini menawarkan kapasiti 17L naik 1L berbanding model sebelumnya. Ducati juga telah mereka semula bahagian tangki bagi memastikan ‘rider’ boleh meletakkan lengan di bahagian sisi tangki dengan lebih baik terutamanya ketika mengambil selekoh.

Bahagian kaki juga kini boleh mencengkam bahagian bawah tangki dengan lebih baik sewaktu melalukan brek mengejut bagi memastikan jentera masih berada dalam kawalan.

Ciri lain yang turut dipertingkat adalah rekaan winglet yang walaupun tampil lebih kecil namun masih lagi menghasilkan ‘downforce’ 37kg pada kelajuan 300km/j.

Ducati Panigale V4 S 2022 juga dinaik taraf dengan fork depan Ohlins NPX 25/30 boleh laras secara elektronik.

Fork depan itu juga menawarkan jarak pergerakan 5mm lebih panjang menjadi 125mm berbanding sebelum ini.

Pada masa sama, paparan skrin TFT juga telah direka semual dan kini hadir dengan dua lampu pertukaran gear LED di bahagian atas.

Bagi yang berminat untuk melihat Ducati Panigale V4 S dengan lebih dekat, diminta hadir ke pusat pameran Ducati Malaysia di Petaling Jaya.

Pemandu BMW 330E yang didakwa melarikan diri selepas mengakibatkan kemalangan membabitkan bayi empat bulan pada Isnin sudah tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Muallim Hasni Mohd Nasir berkata, pemandu berusia 30 tahun itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam dan diminta hadir ke IPD Muallim bagi membantu siasatan kes.

“Lelaki itu hadir ke IPD Muallim pada 10 malam tadi (Selasa) untuk direkod keterangan. Kes kini disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, menurut Sinar Harian.

Katanya, dalam kejadian di KM385.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Tanjung Malim pada kira-kira 7.30 malam itu, sepasang suami isteri yang menaiki Proton Inspira cedera, sementara bayi mereka parah.

Bagaimanapun, pemandu BMW terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Hasni berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila BMW tersebut secara tiba-tiba masuk di hadapan laluan Proton Inspira dari lorong tengah ke lorong kanan.

“Keadaan itu menyebabkan pemandu Proton Inspira hilang kawalan dan terlanggar bahagian sisi belakang kenderaan BMW sebelum terbabas sehingga merempuh besi pembahagi jalan,” katanya.

Pemandu Proton Inspira berusia 30 tahun itu mengalami luka di bahagian tangan kanan sementara isterinya retak pergelangan kaki kiri.

Bayi lelaki mereka berusia empat bulan pula patah tulang paha dan pinggul serta mengalami pendarahan di otak.

Seorang lagi penumpang, iaitu lelaki berusia 20 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu tular di media sosial sejak semalam setelah seorang wanita mendakwa pemandu BMW itu melarikan diri selepas menyebabkan kenderaan dinaikinya terbabas.

Wanita yang dikenali dengan nama Natasya Nadia itu memaklumkan bayinya, Aqasha Alhaq, tercampak ke tengah jalan akibat kemalangan tersebut.

Sebagai rutin tiap hari bekerja, seorang juruteknik kilang elektronik, Mohd Hairi Nizam Mohd Hussain, 39, mengayuh basikal di laluan berasingan pesisir pantai sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang menghubungkan kawasan tempat tinggalnya di Batu Maung terus ke tempat kerjanya di FIZ Fasa 3.

“Saya mula berbasikal ke tempat kerja sejak 2020, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mahu mengamalkan gaya hidup aktif.

“Awalnya rutin itu hanya tiga hingga empat kali seminggu. Tapi, masuk tahun kedua hampir setiap hari saya mengayuh basikal termasuk pada Ramadan hingga sekarang.

“Saya keluar rumah jam 7.15 pagi dan ambil masa 35 minit sampai ke tempat kerja sejauh lebih 10 kilometer (km) Saya berkayuh santai untuk mengelakkan badan berpeluh,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak ini berkata, laluan berbasikal di Pulau Pinang mudah diakses kerana mempunyai jaringan luas terutama di bahagian pulau.

“Jika berkereta, tempoh perjalanan mengambil masa 30 hingga 45 minit bergantung keadaan trafik. Dengan berbasikal jimat wang.

“Cabaran utama adalah cuaca tidak menentu seperti hujan lebat secara tiba-tiba dan tayar pancit, namun tidak mematahkan semangat saya meneruskan amalan berbasikal ke tempat kerja,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Lebih ceria apabila berbasikal

Anggota bomba, Noor Amin Nayan, 40, pula bermula mengayuh basikalnya dari rumahnya di Padang Serai, Kedah ke Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth sebanyak satu atau dua kali seminggu sejak Oktober tahun lalu.

Perjalanannya yang sejauh kira-kira 30km sehala mengambil masa sejam setengah.

“Saya hanya menunggang basikal ke tempat kerja ketika bertugas syif malam untuk memudahkan merancang perjalanan lebih awal. Biasanya saya membawa peralatan seperti tiub basikal, pam angin dan sebagainya sebagai persediaan kecemasan.

“Saya dan isteri meminati aktiviti berbasikal dan kami masing-masing ada basikal lipat sendiri. Namun, waktu bekerja mencecah 12 jam sehari membuatkan saya mempunyai kekangan masa untuk melakukan hobi itu,” katanya.

Dia berkata laluan basikal di Seberang Perai tidak sebanyak di kawasan pulau dan berharap ia dapat ditambah baik supaya masyarakat setempat lebih digalakkan menjadikan basikal sebagai pengangkutan seharian.

“Sebenarnya, jalan yang saya gunakan iaitu merentasi jalan utama seperti di Tasek Gelugor dan Sungai Dua sebelum tiba di Butterworth adalah laluan berkongsi dengan kenderaan lain.

“Kali pertama berbasikal ke tempat kerja saya pernah hampir berputus asa sewaktu di pertengahan jalan. Rasa letih dan menyesal hilang apabila menghampiri pintu pagar balai.

“Saya dapati aktiviti berbasikal ke tempat kerja sedikit sebanyak mengubah ‘mood’ saya menjadi lebih ceria dan bersemangat sebelum memulakan tugas,” katanya.

Seorang lelaki telah cuba untuk menyogok seorang anggota polis dengan wang tunai RM200 dan akibatnya telah diberkas di Kemaman.

Dia telah cuba memberi rasuah itu sebagai dorongan melepaskan diri daripada pemeriksaan.

Suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Pekan, Pahang tersebut didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 4.10 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, lelaki telah ditahan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di lokasi kejadian.

Beliau memberitahu, pemeriksaan itu dilakukan setelah suspek kelihatan dalam keadaan mencurigakan bersama sebuah motosikal Honda Dash 125.

“Dia gagal mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan motosikal tersebut apabila diminta anggota polis terbabit.

“Pemeriksaan menerusi dokumen pengenalan dirinya pula mendapati lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Hanyan berkata, sewaktu hendak dibawa untuk menjalani ujian urin, suspek telah menghulurkan wang tunai RM200 dipercayai sebagai rasuah untuk menyelesaikan kes.

Honda CBR150R kini tampil dengan edisi Repsol bagi tahun 2022 menyertai pilihan warna sedia ada yang ditawarkan di pasaran.

Livery Repsol ini secara tidak langsung menyerlahkan lagi rupa CBR150R secara menyeluruh terutamanya dengan penggunaan warna terang sama seperti yang terpampang pada jentera RC213V Honda di MotoGP.

Penggunaan warna oren juga diterapkan di bahagian rim, tangki dan di bahagian atas lampu depan.

Bagaimanapun, tiada perubahan lain dilakukan terhadap bahagian spesifikasi dan enjin yang masih lagi digerakan enjin satu silinder 150cc DOCH yang menawarkan 16hp pada 9,000rpm dan 13.7Nm @ 7,000rpm.

Kuasa disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan manakala sistem brek pula dikendalikan ABS dwi-saluran.

Menariknya, BSH mendedahkan bahawa CBR150R edisi Repsol ini hanya terhad kepada 800 unit sahaja dan ditawarkan pada harga RM13,499.

Pelumba berpengalaman, Andrea Dovizioso akan meninggalkan Kejuaraan Dunia MotoGP hujung musim ini.

Dovizioso mengesahkan perkara itu dengan mendedahkan bahawa dia tidak akan mencari slot bagi musim 2023 sebaliknya akan mencari alternatif lain atau bersara terus dari dunia perlumbaan.

“Saya tidak akan berlumba, itu pasti. Saya selalu berkata bahawa jika saya gagal beraksi secara kompetitif, saya tidak mahu berada di sini lagi.

“Saya tenang sahaja tentang perkara ini. Sebelum ini saya telah pun berehat dari perlumbaan selama enam bulan. Jadi saya tidak ada sebarang masalah,” jelasnya.

Pelumba Itali itu ketika ini memasuki musim ke-15 di MotoGP dan bersama-sama pasukan RNF Racing kendalian Datuk Razlan Razali yang disertainya di penghujung musim 2021.

Bagaimanapun, pelumba itu seakan bergelut sejak kembali ke MotoGP apabila hanya mampu mengutip empat mata selepas 11 pusingan.

Pada masa, peralihan RNF Racing dari Yamaha ke Aprilia musim depan juga menyaksikan kedudukannya di pasukan satelit Yamaha itu tergugat.

Apa pun, Dovizioso sendiri tidak bercadang untuk meneruskan kariernya di perlumbaan berprestij itu namun masih belum mengesahkan sama langkah seterusnya adalah bersaing di kejuaraan lain ataupun bersara.

Ini merupakan kali kedua Dovizioso tinggalkan MotoGP selepas meninggalkan Ducati pada penghujung musim 2020 ekoran masalah gaji. Dovizioso juga menolak tawaran dari Aprilia tahun lepas sebelum membuat keputusan sertai RNF.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube