Anda mungkin sudah sedia maklum bahawa peralatan motosikal yang berjenama seperti jaket, seluar dan sut perlumbaan mempunyai “padding” yang diluluskan atau diperakui oleh CE. Terdapat juga piawaian CE untuk kasut motosikal.
Jawatankuasa piawaian Eropah sangat serius dalam soal keselamatan; sehinggakan piawaian mereka telah diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tanda CE bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, kerana syarikat insurans di beberapa negara Eropah akan menafikan tuntutan untuk penunggang motosikal yang didapati tidak memakai peralatan yang tidak ada perakuan piawaian CE.
Piawaian CE untuk kasut motosikal
Standard CE semasa untuk kasut motosikal ialah EN 13634:2017. Ini adalah semakan ketiga dan terbaharu selepas piawaian itu ditubuhkan pada tahun 2002. Semakan berkenaan dengan cara kasut itu diuji selain kriteria keselamatan lain.
- Label ini menunjukkan bahawa ia adalah alat pelindung diri (PPE) untuk kegunaan bermotosikal.
- Piawaian CE untuk kasut motosikal, EN 13634:20XX. Tahun pada penghujung menyatakan tahun standard EN 13634 telah disemak, dalam kes ini, 2017. Ia TIDAK menunjukkan tahun kasut itu dibuat.
- Ketinggian kasut. “1” adalah untuk ketinggian buku lali, manakala “2” adalah untuk but tinggi yang menutup betis. Sesetengah pengeluar tidak memaparkan digit ini.
- Tahap rintangan terhadap geseran. Kasut dibahagikan kepada dua bahagian: Bahagian A termasuk tapak kaki, depan dan belakang. Bahagian B pula termasuk semua kawasan selain Bahagian A. Tiga sampel dipotong dari setiap bahagian dan ia digeselkan pada tali sawat bergerak. Oleh itu, tahap rintangan geseran ditentukan dari berapa lama bahan itu membentuk lubang.
-
- Level 1 (Tahap 1) bermakna sampel Bahagian A bertahan sekurang-kurangnya 1.5 saat manakala sampel Bahagian B bertahan sekurang-kurangnya 5 saat sebelum terbentuknya lubang.
- Level 2 (Tahap 2) diperakui apabila sampel Bahagian A bertahan sekurang-kurangnya 2.5 saat, dan Bahagian B bertahan sekurang-kurangnya 12 saat sebelum berlubang.
- Rintangan daripada terpotong akibat hentaman pula menyatakan ketahanan kasut itu terhadap objek tajam. Bilah dipasang pada satu blok yang kemudiannya dijatuhkan pada kelajuan berbeza ke Bahagian A dan B kasut.
-
- Untuk Bahagian A, bilah dijatuhkan pada 2 m/s. Bilah tidak boleh menembusi lebih daripada 25mm untuk memperoleh penarafan Tahap 1 dan Tahap 2.
- Untuk Bahagian B, bilah dijatuhkan pada 2.8 m/s. Kelulusan Tahap 1 diberikan jika bilah tidak tembus lebih daripada 25mm. Kelulusan Tahap 2 diberikan jika bilah tidak tembus lebih daripada 15mm.
- Kekuatan melintang merupakan keupayaan kasut itu dalam menahan remuk, contohnya motosikal tumbang di atas kaki pemakai.
-
- Bahagian terluas kasut diletakkan di antara dua plat mampatan yang menekan bersama pada 30 mm/min. Satu penderia merekodkan daya yang diperlukan untuk memampatkan tapaknya. Mesin dihentikan apabila plat berhenti memampat atau daya kekal malar atau tapaknya telah dihancurkan sebanyak 20mm. Ujian ini diulang tiga kali.
- Jika daya kurang daripada 1kN memampatkan tapak kaki sebanyak 20mm, kasut itu gagal dalam ujian. Jika kasut itu tahan daya melebihi 1kN hingga 1.4kN, ia diperakui pada Tahap 1. Jika 1.5kN atau lebih tinggi diperlukan untuk memampatkan kasut sebanyak 20mm, ia diluluskan sebagai Tahap 2.
Ujian pilihan
Pengilang boleh memilih samada mereka hendak produk mereka menjalani ujian seterusnya kelulusan tambahan. Kriteria yang diluluskan akan dicetak pada label.
- IPS/IPS – Perlindungan hentaman (impact protection) untuk buku lali atau betis. Kasut dibuang tapaknya dan pelindung, dan diketuk dengan daya 10 joule. Pelindung tidak boleh melepaskan daya lebih daripada 5kN melaluinya. Sekiranya pelindung buku lali lulus ujian ini, IP akan dicetak pada label. Jika pelindung betis lulus, IPS akan ditunjukkan. (“S” bermaksud “shin” iaitu betis.)
- WR – Rintangan air (water resistance). Terdapat dua kaedah ujian untuk ini kriteria ini. Yang pertama ialah seseorang memakai kasut yang diuji dan berjalan sejauh 1km dalam air cetek. Kaedah lain ialah dengan memasang kasut pada mesin dengan bentuk jari kaki dan membuat simulasi 4,600 langkah di dalam lopak air. Kawasan kelembapan di dalam kasut mestilah tidak melebihi 3cm2.
- FO – Rintangan bahan api dan minyak (fuel and oil resistance) pada tapak kasut. Kasut sampel ditimbang terlebih dahulu sebelum direndam dalam bahan api selama 22 jam. Ia kemudian dikeluarkan dan ditimbang semula. Berat baru tidak boleh meningkat lebih daripada 12%.
- SRA/SRB/SRC – Rintangan gelinciran tapak kaki (sole slip resistance). Ujian dijalankan dengan tumit mekanikal diletakkan pada sudut 7 darjah. Jika label kasut menunjukkan “SRA”, ia melekap pada permukaan jubin seramik yang dilitupi dengan sabun cair. “SRB” bermaksud lantai keluli yang dirawat dengan gliserol. “SRC” bermaksud kasut lulus kedua-dua ujian SRA dan SRB.
- B – Kebolehnafasan bahagian atas (breathability of upper parts). Ia telah lulus ujian untuk pelepasan wap lembapan.
- WAD – Penyerapan air/penyahserapan (water absorption/desorption) bahagian dalam. Kasut diuji untuk melihat berapa banyak air yang diserap ke dalam dan berapa banyak yang dilepaskan.
Penutup
Kami berharap anda pertimbangkan pemakaian kasut yang diuji CE semasa anda menunggang motosikal kerana ia telah diuji secara menyeluruh sebelum diluluskan untuk dijual.
Ya, terdapat juga kasut motosikal di pasaran tanpa kelulusan CE tetapi kita tidak tahu sejauh manakah ia akan melindungi kaki kita dalam sebarang kemalangan.
Dan tidak, Nike Air Jordan tidak diperakui CE untuk kegunaan menunggang motosikal.