Bikesrepublic

Berita Terkini

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) panggil semula semua model Yamaha Tracer 900 GT untuk proses penggantian ‘front stop switch kit’.

Menurut HLYM dalam satu pengumuman rasmi, program ganti ‘front stop switch kit’ itu membabitkan unit dengan nombor chasis berikut:

  • PMYRN6110K0000101 hingga 0000620
  • PMYRN6110L0000621 hingga 0000900

HLYM akan menghantar notis kepada pemilik yang terkesan bermula hujung Mei 2021 dengan setiap pemilik diminta menghubungi pengedar rasmi Yamaha atau cawangan HLYM untuk menetapkan janji temu bagi proses menukar alat ganti tersebut.

Sementara itu, pihak HLYM turut menjelaskan pemilik untuk terus menggunakan jentera seperti biasa dan menyelenggara motosikal mengikut arahan dalam buku manual.

Pelumba pasukan Petronas Sepang Racing Team (PSRT), Valentino Rossi, mengharapkan prestasi yang lebih baik dapat dipamerkan di Le Mans, hujung minggu ini.

Rossi sekadar menamatkan aksi di Jerez pada kedudukan ke-17 dua minggu lalu, sekaligus menyaksikan pelumba berusia 42 tahun itu sekadar mengutip empat mata selepas empat pusingan setakat ini.

“Hujung minggu ini, saya mahu tampil dengan aksi lebih baik, perbaiki kedudukan dan lebih pantas berbanding pusingan sebelum ini di Jerez,” jelasnya.

Musim lalu di GP Perancis, Rossi memulakan aksi di petak ke-10 namun gagal menamatkan perlumbaan apabila terbabas di selekoh pertama sebaik perlumbaan dimulakan.

“Tahun lalu, aksi saya cukup baik di Le Mans tetapi sayangnya hujan turun sebelum perlumbaan bermula dan saya jatuh di selekoh pertama.

“Le Mans merupakan antara litar kegemaran saya kerana terdapat banyak ruang pecut, saya suka menunggang di litar ini,” tambahnya.

Persembahan Rossi musim ini mencetuskan pelbagai perdebatan dengan ada yang mempersoalkan kemampuan pelumba veteran itu yang telah pun melepasi usia empat dekad.

Ini merupakan permulaan terburuk dalam karier MotoGP Rossi apabila masih gagal menamatkan perlumbaan dalam kedudukan 10 terbaik selepas empat pusingan.

GP Perancis membuka tirai bermula dengan Ujian Bebas rasmi pada Jumaat. – GPOne

Jenama motosikal China, Benda telah pun mendedahkan LFC700 baru-baru di Shanghai Motor Show.

Dijadualkan untuk pelancaran pada Julai 2021, motosikal jenis cruiser ini akan dikuasakan dengan enjin 4-inline 680cc yang berupaya menghasilkan 97hp pada 12,000rpm dan dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan.

Selain menampilkan rekaan yang asli (tanpa perlu meniru model motosikal lain), Benda LFC700 ini turut tampil dengan ciri terkini antaranya, paparan TFT, klac slipper dan ABS.

Lebih menarik, motosikal ini juga dijangka menawarkan fungsi hill-hold assist bagi memudahkan kawalan sewaktu berada di kawasan berbukit.

Dalam perkembangan terbaru, Benda mendedahkan bahagian kerangka dan swingarm menggunakan bahan jenis aluminium sekaligus menyumbang kepada berat jentera 215 kilogram sahaja.

Antara aspek paling menonjol adalah penggunaan tayar 310/35-18 belakang yang lebih besar saiznya berbanding Harley-Davidson FXDR.

Bagi menjaminkan tahap membrek dan kawalan yang efisien, LFC700 tampil dengan kaliper radial berkembar dan fork jenis USD di bahagian depan.

Segala info lebih terperinci mengenai Benda LFC700 ini akan didedahkan pada Julai nanti.

Selepas mengambil kira kes harian Covid-19 dalam negara, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Pelaksanaan PKP itu dengan larangan baharu berkaitan aktiviti Aidilfitri akan berkuat kuasa bermula Rabu ini.

Selain daripada larangan rentas negeri dan daerah yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Sabtu, larangan baharu ini merangkumi perkara berikut:

aktiviti ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur TIDAK DIBENARKAN.
solat sunat Aidilfitri DIBENARKAN dengan kehadiran jemaah TAK LEBIH 50 ORANG bagi masjid dan surau boleh tampung 1,000 jemaah dan TAK LEBIH 20 ORANG bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang 1,000 jemaah.

Menurut kenyataan dikeluarkan pejabat Perdana Menteri hari ini, tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta aktiviti sosial, sukan dan pendidikan bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun sementara larangan dan arahan lain bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

Bagaimanapun, sektor ekonomi masih lagi dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan pematuhan SOP ketat dengan majikan wajib melaksana dasar Work From Home dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus di tempat kerja.

Setakat 10 Mei 2021, kes positif harian Covid-19 mencecah 3,807.

Zongshen telah pun mendedahkan model terbaru, Cyclone RX6 kepada umum di Shanghai Motor Show 2021, baru-baru ini.

Ini merupakan motosikal segmen touring yang dibangunkan dengan enjin parallel-twin 650cc oleh Norton hasil daripada kerjasama yang ditandatangani pada 2017.

Bagaimanapun, perjanjian tersebut terbatal dan Norton kini telah pun jadi milik syarikat motosikal India, TVS Motor.

Namun, Zongshen meneruskan projek pembangunan enjin tersebut lalu terhasilnya model RX6.

Menurut Zongshen, Cyclone RX6 ini digerakkan dengan enjin parallel-twin 650cc yang menawarkan 70hp dan 62Nm sekaligus meletakkan motosikal ini setanding dengan Yamaha Tracer 7 GT (72hp/67Nm) dan Suzuki V-Strom 650 (70hp/62Nm).

Meskipun menggunakan platform sama dari Norton, enjin ini menawarkan 14hp lebih rendah berbanding Norton Atlas Ranger dan Norton Nomad Scrambler.

Sebagai jentera adventure touring, RX6 ini turut menawarkan tangki berkapasiti 21L, penghadang angin boleh laras, tempat duduk luas, paparan TFT berwarna, keterhubungan Bluetooth, lampu LED penuh serta sistem tanpa kunci.

Sistem ‘suspension’ pula hadir menerusi fork upside/down dari Kayaba serta monoshock dengan kedudukan asimetri manakala ciri brek dikendalikan kaliper brek berkembar Nissin di depan dan tunggal di belakang sambil dibantu ABS dwi-saluran.

Zongshen mendedahkan Cyclone RX6 ini merekodkan berat sekitar 245 kilogram.

Difahamkan, Cyclone RX6 ini bakal tampil dengan dua varian:

  • Touring: rim aloi 17″ dengan tayar Pirelli
  • Adventure: tetapan ‘suspension’ yang lebih tinggi dan rim jenis spoke

Zongshen Cyclone RX6 ini akan mula dijual dipasaran China sebelum dipasarkan ke negara luar dalam masa terdekat. – CycleWorld

Pelumba Moto2 negara di Kejuaraan Motosikal Eropah CEV, Adam Norrodin, terus mengorak langkah cemerlang apabila menamatkan aksi di tempat ketiga di Litar Ricardo Tormo di Valencia, Sepanyol, pada Ahad.

Ini merupakan podium kedua berturut-turut bagi pelumba pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team itu selepas melakar kejayaan sama di Litar Estoril pada 25 April lalu.

Adam menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 14minit 43.890 saat sementara pasukan Boscoscuro Talent Team-ciatt merekodkan kemenangan satu dua menerui Fermin Aldeguer dan Alonso Lopez.

Sementara itu, Adam turut sempat mengucapkan Selamat Hari Ibu dan Selamat Hari Raya di samping pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin, sebelum aksi di Valencia dimulakan.

Kejayaan ini meletakkan Adam di kedudukan ketiga dalam perebutan kejuaraan Moto2 CEV dengan 45 mata, 30 mata di belakang pendahulu, Aldeguer.

Dalam perkembangan lain, pelumba negara di saingan Moto3 CEV, Syarifuddin Azman @ Damok, berjaya mengutip empat mata apabila menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-12 sebelum terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-19 pada Perlumbaan 2.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Sharul Ezwan Sharil di kelas European Talent Cup, menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-20 sebelum memperbaiki kedudukan di Perlumbaan 2 dengan tempat ke-16.

Kejuaraan Motosikal Eropah CEV akan kembali bersambung di Litar Catalunya bulan depan.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube