Penaja Utama SAG Team, Onexox TKKR, membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan Moto2 musim depan.
Pengumuman itu dibuat pengelola Onexox TKKR sendiri, Datuk Bobie Farid Shamsudin menerusi strim langsung di Facebook Onexox TKKR SAG Team, hari ini.
Menerusi video tersebut, keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira pelbagai aspek terutamanya perbuatan pasukan Indonesia, Mandalika Racing Team (MRT) yang mendakwa mereka telah memeterai kerjasama dengan SAG Team sebelum ini.
Bagaimanapun, Datuk Bobie menjelaskan pengunduran pihak Onexox tiada kaitan dengan isu ‘bankrap’ seperti didakwa MRT sebelum ini sebaliknya enggan terpalit dengan kontroversi ini.
“Kami tiada masalah apa-apa dan SAG Team juga tidak membuat salah apa-apa cumanya dalam keadaan tersepit begini masing-masing akan mencari jalan terbaik untuk ke hadapan.
“Saya mengambil keputusan ini atas nasihat beberapa individu rapat supaya kita dapat kembali ke meja perancangan dan buat strategi baharu untuk kembali satu hari nanti.
“Saya harap benda ini jelas,” jelasnya.
Sementara itu, Datuk Bobie turut menjelaskan tentang status pelumba tempatan, Kasma Daniel Kasyamudin yang masih berbaki kontrak dua tahun bersama pasukan itu setelah menandatangani kontrak tiga tahun sebelum ini.
“Kasma telah menandatangani kontrak dengan SAG Team jadi keputusan itu terletak di tangan mereka.
“Tapi jika kita lihat pengumuman rasmi dari pasukan MRT, pasukan itu akan dikemudi oleh Thomas Luthi dan Kasma Daniel.
“Walaupun tiada pengesahan dari pihak SAG Team sendiri tetapi perbincangan ada berlaku di antara MRT dan SAG Team jadi kami enggan berada di tengah-tengah dalam perkara ini,” tambahnya.
Kasma juga telah dimaklumkan dengan perkara ini dan pelumba itu juga jelas dengan apa yang berlaku.
Sebelum ini, timbul laporan bahawa Kasma bakal digantikan dengan pelumba Indonesia, Dimas Ekky Pratama.
Pada masa sama, Datuk Bobie menafikan dakwaan bahawa pihaknya berdepan masalah kewangan seperti yang diwarwarkan.
“Kami perlu realistik dalam menangani perkara ini, kerana isu ini menjatuhkan reputasi kami sehingga mendakwa kami bankrap dan sebagainya.
“Untuk pengetahuan, tahun ini jumlah yang dipersetujui untuk SAG Team adalah EUR1.2 juta (RM5.8 juta) tetapi bila Covid-19 melanda dengan perlumbaan tidak seperti dijadualkan jadi pihak kami membuat pengurangan daripada jumlah yang dipersetujui,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, Onexox TKKR akan terus beraksi di pentas Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).