Bikesrepublic

Berita Terkini

Tahun lalu, gergasi motosikal India, Bajaj Auto telah memperkenalkan Dominar UG 400 yang telah dikemas kini dengan ciri ‘touring’.

Motosikal yang dilabel sebagai jentera ‘sport tourer’ itu telah dinaik taraf dengan beberapa ciri baharu antaranya penghadang angin tinggi, handguard, slot pengecas UBS, pelindung enjin (bash plate) dan ‘carrier’ serta ‘back stopper’.

Dalam perkembangan terbaru, rakan media Paultan.org melaporkan bahawa Dominar baharu versi ‘touring’ itu akan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi oleh pengedar tempatan, Modenas yang turut bertanggungjawab menjenamakan semula motosikal Bajaj untuk pasaran negara.

Bagaimanapun, model baharu itu akan terus menawarkan spesifikasi sama seperti Dominar D400 UG termasuk enjin satu silinder 373.3cc DOHC dengan penyejukan cecair yang menawarkan 40hp pada 8,650rpm dan 35Nm pada 7,000rpm.

Dengan permintaan semasa terarah kepada motosikal jenis ‘touring’, ternyata kemasukan Dominar versi baharu ini akan menggembirakan ramai kaki ‘touring’ yang mahukan motosikal seumpamanya dengan harga mampu milik. – Paultan.org

Polis berjaya menahan sekumpuan remaja warga asing yang aktif dalam kegiatan mencuri motosikal jenis Honda EX5 di sekitar Kuala Lumpur.

Kumpulan remaja tersebut, yang berusia antara 14 dan 16 tahun mensasarkan Honda EX5 kerana mudah dicuri selain dijual untuk tujuan lerai bagi dijadikan alat ganti.

Penahan empat remaja warga asing itu disahkan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohammad Idzam Jaafar.

Difahamkan, kes kecurian motosikal EX5 milik pembantu stor telah membawa kepada penahan kumpuan tersebut.

“Pada Jumaat lalu kira-kira 9.30 pagi, seorang pembantu stor telah melaporkan kehilangan motosikal jenis Ex5 miliknya yang diparkir berdekatan Hotel Boutique, Cheras.

“Pada hari sama, polis telah menahan seorang remaja lelaki warga asing berusia 14 tahun yang menunggang motosikal di Jalan Bukit Bintang tanpa memakai topi keledar kira-kira pukul 9.49 malam.

“Remaja berkenaan juga tidak mempunyai lesen memandu dan pemeriksaan mendapati, motosikal tersebut merupakan motosikal yang baru dilaporkan hilang,” jelas Mohammad Idzam.

Polis kemudiannya menahan dua lagi remaja warga asing, berusia 14 dan 26 tahun di Taman Maluri, Cheras termasuk merampas sebuah motosikal EX5 berwarna ungu yang dipercayai turut dicuri.

Difahamkan, salah seorang suspek yang ditahan juga masih khayal akibat kesan menghisap gam. – Kosmo

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah menahan seramai 13 lelaki ekoran didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam satu operasi yang diadakan di ibu negara, pada Sabtu.

Perkara itu disahkan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh setelah pihaknya melakukan operasi di sekitar Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

“Seramai 13 lelaki tempatan berusia 21 hingga 44 tahun telah ditahan kerana melakukan kesalahan bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol dan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, Sarifudin turut mendedahkan tiga penunggang motosikal turut ditahan dalam operasi tersebut.

“Kita juga telah menahan tiga lelaki kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya. Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 16 hingga 26 tahun dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) AKta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.

Menurut Sarifudin lagi, operasi tersebut turut menyaksikan sebanyak 253 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manalala 12 motosikal dan empat kereta disita. – Kosmo

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberkas seorang remaja perempuan 16 tahun yang disyaki mengelar leher pemandu e-hailing warga emas.

Menurut laporan, mangsa, 63, telah mengambil suspek di Tangkak, Johor lalu membawa ke Sentul, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di destinasi, suspek enggan membayar tambang RM400 sekaligus memaksa mangsa memandu ke balai polis.

Namun, remaja perempuan tersebut telah bertindak mengelar leher mangsa menggunakan pisau lipat dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2.55 pagi.

Suspek kemudiannya melarikan diri namun meninggalkan pisau digunakan dalam kereta mangsa yang sempat memandu ke Balai Polis Sentul bagi dapatkan bantuan dan seterusnya digegaskan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Susulan itu, polis telah menahan suspek perempuan berusia 16 tahun terbabit dekat premis perniagaan di hadapan bank sekitar Jinjang, di sini hari,” jelas Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai. – Kosmo

Pengeluar ECU TuneBoss, FSR Technology memperkembangkan ciri keselamatan motosikal dengan melancarkan ATAS (Accidental Throttle Activation Safety) khas bagi Yamaha 135LC Fi terbaru.

ATAS berfungsi dengan mengelakkan daripada pecutan yang tidak disengajakan sewaktu enjin dihidupkan tatkala penunggang tidak sedar motosikal berada dalam gear.

Menurut FSR Technology, sistem ATAS disertakan dalam ECU TuneBoss bagi 135LC Fi ini juga akan menyekat enjin daripada dihidupkan sekiranya mengesan ‘throttle’ dibuka 10 peratus.

Lampu enjin akan menyala bagi memaklumkan ‘throttle’ telah dibuka dan motosikal hanya boleh dihidupkan selepas ‘throttle’ berada di bawah 10 peratus.

Sementara tiu, ECU TuneBoss juga disertakan dengan ciri ‘Engine Immobilizer’ yang boleh diaktifkan menggnakan aplikasi TuneBoss Manager Pro.

Bagi yang berminat, ECU Stage 1 bagi Yamaha 135LC Fi ditawarkan pada harga RM399 dan boleh dinaik taraf ke Stage 2 yang memberikan julat penalaan yang lebih terperinci bagi pemetaan bahan api.

Menariknya, fungsi ATAS ini juga akan diserapkan kepada semua ECU TuneBoss secara standard bagi model lain pada masa akan datang.

Ducati telah berkongsi imej terkini mengenai jentera prototaip elektrik sulung yang akan dibekalkan sebagai jentera lumba rasmi MotoE World Cup bermula 2023.

Pengeluar motosikal berprestasi tinggi dari Itali itu giat membangunkan jentera elektrik serba baharu sejak diumumkan sebagai pembekal utama MotoE bermula 2023 menggantikan Energica Ego yang diguna pakai sejak 2019.

Selepas didedahkan kepada umum menerusi sesi pra-ujian pada Disember lalu, Ducati akhirnya mendedahkan video dan gambar yang lebih terperinci mesin MotoE – kod nama V21L – menjalani sesi ujian di Litar Vallelunga, Itali.

Bekas pelumba MotoGP, Alex de Angelis dan pelumba uji Ducati, Michelle Pirro dipertanggungjawabkan untuk menguji jentera serba baharu itu.

Walaupun ini merupakan percubaan sulung Ducati dalam pembangunan jentera elektrik, Pengarah eMobility Ducati, Roberto Cane mendakwa syarikat itu tidak pernah berhenti dalam proses pembangunan.

“Sejak kami membawa prototaip Ducati MotoE untuk sesi ujian kali pertama, projek pembangunan tidak pernah berhenti walaupun untuk sektika.

“Usaha keras pasukan telah membuahkan hasil dan memberi kami kepuasan.

“Dalam tempoh empat bulan sahaja, prototaip kami telah berjaya mendominasi beberapa litar utama di Itali di samping memberikan respon yang positif. Walaupun masih banyak yang perlu dilakukan tapi kami berada di landasan betul,” jelasnya.

Sementara itu, musim 2022 MotoE – yang juga musim terakhir bersama mesin Energica – akan membuka tirai pada 30 April ini.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube