Bikesrepublic

Berita Terkini

Masa depan sukan permotoran dua roda negara kekal cerah selepas Qabil Irfan Azlan berjaya menjulang nama Malaysia di FIM MiniGP 2022 yang berlangsung di Valencia, baru-baru ini.

Pelumba cilik yang baru berusia 10 tahun itu cipta kejutan apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan Super Final di Litar Ricardo Tormo. 

Anak kelahiran Kuala Terengganu itu turut berjaya menamatkan Perlumbaan 1 dan 2 sebelum itu di tempat kelima sekaligus mengumpul 54 mata keseluruhan. 

Keputusan itu turut meletakkan Qabil di tempat keseluruhan kejuaraan. 

“Saya bersyukur kerana akhirnya dapat mencatat kemenangan podium pada Super Final Race selepas dua kali mendapat tempat kelima di Perlumbaan 1 dan 2,” kata Qabil.

“Ini adalah pengalaman yang hebat dan saya harap akan mendapat peluang untuk kembali berlumba di sini pada musim depan.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong saya khususnya kedua ibubapa saya, ZK Racing dan semua yang mendoakan saya,” jelas Qabil. 

Dalam perkembangan sama, wakil itali, Gabriel Fabio Vuono muncul juara FIM MiniGP 2022 selepas mengutip 91 mata manakala Fyn Kratochwil mendapat tempat kedua diikuti Seiry Ikegami ketiga.

Seminggu selepas pelancaran global Yamaha XMAX Tech Max di pasaran Eropah, PT Yamaha Indonesia telah pun melancarkan skuter maxi itu untuk pasaran Indonesia pada hari pembukaan Indonesia Motor Show (IMOS) 2022, pada Rabu.

Tampil dengan spesifikasi sama dengan model Eropah – kecuali sesaran enjin yang kekal 250cc di Indonesia – Yamaha XMAX 250 2023 (dikenali sebagai XMAX 250 Connected di Indonesia)  itu turut dinaik taraf dengan paparan skrin TFT 4.2-inci yang menawarkan fungsi navigasi Garmin selain boleh dihubungkan dengan peranti pintar.

Yamaha XMAX 250 2023 itu juga tampil dengan panel depan baharu yang diketengahkan dengan susunan lampu dan hidung depan berbentuk ‘X’. Bentuk ‘X’ itu juga ditayangkan ketika lampu belakang dinyalakan.

Yamaha turut mengemas kini panel sisi agar melindungi penunggang dengan lebih baik di jalan raya manakala penghadang angin kini boleh diselaraskan. Yamaha XMAX baharu ini juga dilengkapi dengan pencahayaan LED sepenuhnya termasuk di bahagian lampu isyarat.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk sistem Smart Key (penghidup tanpa kunci) dan sistem Answer Back yang membantu memudahkan pencarian motosikal.

Bagaimanapun, menurut laporan rakan media di Indonesia, Iwanbanaran, hanya satu varian sahaja ditawarkan di negara itu dan tidak termasuk varian XMAX Tech Max seperti yang dijual di Eropah. 

Varian Tech Max datang dengan ciri tambahan seperti ‘heated grip’, ‘heated seat’ dan panel letak kaki aluminium.

Sementara itu, Yamaha XMAX 250 2023 ini masih lagi dikuasakan enjin 250cc Blue Core yang menawarkan 22.5hp dan 24.3Nm. 

Yamaha XMAX 250 2023 ini tampil dengan empat pilihan warna di Indonesia; Dark Petrol, Luxury Red, Premium Black dan Prestige Grey dan dijual pada harga IDR66 juta (RM19.9k). 

Untuk rekod, Yamaha XMAX 250 (2022) yang dipasarkan di Malaysia ketika ini dijual pada harga RM22,298. Kami jangkakan akan berlaku kenaikan harga ekoran daripada fungsi yang dinaik taraf pada model 2023 ini.

Sebuah syarikat Jepun, Arase Aizawa Aerospace telah memperkenalkan sebuah prototaip dron baharu dengan nama AZ1000.

Menariknya, dron tersebut bukanlah sebuah dron biasa sebaliknya dihidupkan enjin Suzuki GSX-R1000. Ekoran dikuasakan enjin ‘superbike’ Suzuki itu, Arase Aizwa melabelkan prototaip tersebut sebagai sebuah ‘super dron’. 

Menurut Aizawa, enjin GSX-R1000 itu dipilih ekoran lebih ringan berbanding enjin lain yang ada dalam pasaran. Difahamkan, fasiliti Aizawa terletak bersebalahan dengan kilang Suzuki di Hamamatsui.

Untuk rekod, ‘Super Dron’ itu berketinggian satu meter dan selebar tiga meter. Namun dimensi dron itu menjadi lebih kecil apabila bilah kipas dilipat atau disimpan.

Bagi menghidupkan enjin tersebut, ‘Super Dron’ ini dilengkapi dengan tangki minyak sebesar 55 liter – 25L lebih besar dari BMW R 1250 GS Adventure. 

Disebabkan tangki yang besar itu, ‘Super Dron’ terbabit boleh terbang untuk tempoh enam jam dan mampu mengangkat beban seberat 150 kilogram.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan ujian paras bunyi bising ekzos motosikal terhadap 50 motosikal yang telah disita Operasi Mingguan oleh Cawangan Penguatkuasaan dan Operasi JSPT KL baru-baru ini.

Pihak JSPT turut memanggil pemilik bagi kesemua motosikal yang disita ke JSPT Kuala Lumpur.

Daripada jumlah tersebut, pihak JAS juga telah mengeluarkan kompaun kepada 36 pemilik yang gagal ujian paras bunyi bising tersebut.

Pada masa sama, pemilik yang didapato mengubah suai ekzos juga diarahkan menukar semula kepada ekzos standard sebelum dibenarkan bawa pulang motosikal masing-masing.

Menurut YDH ACP Sarifudin Bin Mohd Salleh, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, mengubah suai ekzos tanpa kebenaran boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan. – JSPT

Motosikal ‘adventure’ kelas pertengahan Yamaha, Tenere 700 dan Tenere 700 Rally Edition telah dinaik taraf bagi tahun 2023 yang merangkumi paparan skrin dan pakej elektronik baharu.

*Yamaha Tenere 700 2023

Tenere 700 sememangnya popular dikalangan peminat ADV ekoran kemampuannya meredah permukaan ‘off-road’ di samping didatangkan dengan harga mampu milik berbanding pesaing lain dalam segmennya.

Meskipun belum dipasarkan di Malaysia buat masa ini namun tidak dinafikan terdapat permintaan besar terhadap model itu di negara lain.

Apa yang baharu?

Bagi tahun 2023, Yamaha Tenere 700 telah diberi peningkatan baharu dengan penggunaan skrin TFT 5-inci menggantikan skrin digital LCD sebelum ini.

Skrin TFT tersebut juga boleh dihubungkan kepada telefon pintar bagi memberi akses kepada emel, mesej teks dan maklumat panggilan. Bukan itu sahaja, skrin TFT itu juga boleh diasmbungkan kepada aplikasi My Ride Yamaha. 

Menariknya, skrin TFT itu juga datang dengan dua tema, Street dan Explore. 

Naik taraf lain termasuk wayar tersedia jika mahu mengaktifkan sistem QS (quickshifter), lever brake depan baharu dan lampu isyarat LED.

Bagaimanapun, pakej elektronik terbesar diberikan pada Tenere 700 2023 ini adalah tiga tetapan ABS baharu yang boleh ditetapkan sama ada ‘OFF’, ‘ON’ dan ‘REAR OFF’. 

*Yamaha Tenere 700 Rally Edition

Antara ciri lain yang terdapat pada Yamaha Tenere 700 termasuk:

  • kerangka double-cradle tubular steel
  • fork depan jenis upside/down 43mm boleh laras
  • suspensi belakang boleh laras
  • rim 21-inci depan dan 18-inci belakang
  • tangki 16L

Selain itu, Yamaha turut membawa naik taraf baharu itu pada varian Tenere 700 Rally Edition yang dibezakan dengan beberapa ciri tambahan antaranya livery dan grafik, tempat duduk rali, pelindung radiator dan ekzos Akrapovic. 

Untuk rekod, Yamaha Tenere 700 dan Tenere 700 Rally Edition 2023 ini masih lagi dikuasakan enjin dengan tork tinggi 690cc CP2 yang menjana 72.3hp pada 8,750rpm dan 67Nm pada 6,500rpm. 

GALERI: YAMAHA TENERE 700 DAN TENERE 700 RALLY EDITION

Jika anda memiliki jentera Kawasaki anda kini layak menikmati bantuan Kawasaki Roadside Assistance.

Menurut pihak Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) bantuan tepi jalan tersebut adalah servis yang ditawarkan khas kepada pemilik motosikal Kawasaki dan Modenas (dijenamakan semula).

Khidmat bantuan tepi jalan tersebut adalah percuma kepada motosikal Kawasaki yang dikilangkan pada tahun 2022 dan didaftarkan selepas 1 Ogos 2022. 

Antara servis yang boleh dinikmati adalah khidmat tunda percuma sehingga 100km (pergi balik) seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, khidmat tunda melebihi 100km (pergi balik) akan dikenakan bayaran RM2.00 bagi setiap kilometer.

Sementara itu, khidmat tunda tidak hanya terhad pada kemalangan sahaja malah merangkumi kerosakan enjin/motosikal.

Lebih menarik, pelanggan boleh menikmati servis tunda percuma sebanyak empat kali dalam setahun. 

Namun, perkhidmatan ini hanya sah dalam tempoh setahun sahaja selepas pendaftaran.

Pemilik Kawasaki di Malaysia boleh menghubungi Kawasaki Roadside Assistance di talian (bebas tol) 1-800-88-0008. Perkhidmatan ini beroperasi 24 jam 7 hari seminggu. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube