Bikesrepublic

Berita Terkini

Yamaha bakal meraikan ulang tahun ke-25 bagi model sportsbike popular, Yamaha YZF-R1 tahun depan.

Sempena meraikan ulang tahun tersebut, pengeluar motosikal Jepun itu dijangka akan memperkenalkan generasi baharu Yamaha R1.

Tidak dinafikan, meskipun kali terakhir dikemas kini adalah pada tahun 2019 namun Yamaha R1 berjaya mendominasi pentas kejuaraan dunia WorldSBK menerusi Toprak Razgatlioglu, tahun lalu.

Ini secara tidak langsung meletakkan Yamaha R1 sebagai jentera lebih baik berbanding Kawasaki ZX-10RR dan Honda CBR1000RR-R Fireblade.

Meskipun Yamaha tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan naik taraf besar pada model ’superbike’ tersebut namun dengan BMW dan Ducati masing-masing memperkenalkan M 1000 RR dan Panigale V4 R yang menawarkan lebih 200hp, kedatangan Yamaha R1 baharu amat diperlukan.

Oleh sebab itu, media Jepun, Young-Machine, mendakwa Yamaha akan memperkenalkan R1 serba baharu menjelang ulang tahun model itu pada 2023.

Bukan itu sahaja, berdasarkan imej render dikongsikan, Young-Machine mendakwa model 2023 itu bukan sahaja akan didatangkan dengan enjin bi-crossplane 998cc lebih berkuasa (atas 200hp) malah akan turut dilengkapi winglet aerodinamik yang diilhamkan dari jentera YZR-M1.

Meskipun belum ada pengumuman rasmi ketika ini namun Young-Machine tidak pernah salah membuat laporan mengenai kedatangan model baharu setakat ini. 

Ini bermakna, ketibaan generasi baharu Yamaha R1 akan berlaku tidak lama lagi. 

Pasangan suami isteri disahkan meninggal dunia selepas terbabit kemalangan dalam satu kejadian di KM32.3 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, Lenggong, dekat Kota Tampan, Lenggong, semalam.

Mangsa, Azranawi Radzi, 42 bersama isteri Rosnah Damha, 44, sedang menunggang motosikal jenis skuter maxi jenama Kymco semasa kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, kemalangan maut itu berlaku selepas motosikal ditunggang mangsa tidak sempat mengelak kereta jenis Proton Iswara yang keluar mengejut dari stesen minyak menuju ke jalan utama. 

“Oleh kerana jarak terlalu dekat, motosikal suami-isteri itu yang berada di laluan sah tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi belakang sebelah kiri kereta,” jelas Zulkfili Mahmood kepada Berita Harian.

Susulan kejadian tersebut Azrawawi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara Rosnah meninggal sewaktu dalam rawatan di Klinik Kesihatan Lenggong.

Lebih menyedihkan, pemergian pasangan suami isteri itu turut menyebabkan empat anak mereka kini menjadi yatim piatu dengan anak sulung baru berusia 16 tahun. – Berita Harian

Kawasaki Malaysia mula mengorak langkah memasarkan beberapa model CBU dipasaran negara ini bermula dengan Kawasaki Z900RS yang dijual pada harga RM63,800. 

Motosikal dengan gaya retro klasik itu sertai Kawasaki Ninja ZX-10R dan Ninja 1000SX yang turut dibuka untuk tempahan dengan masing-masing dijual pada harga RM112,600 dan RM71,400. 

Meskipun berciri retro namun Z900RS  dilengkapi dengan spesifikasi moden termasuk enjin empat silinder 848cc yang sama terdapat pada Z900. 

Hasilnya, enjin tersebut menawarkan 111hp pada 8,500rpm dan 98.5Nm pada 6,500. Kuasa enjin pula disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan bantuan klac assist/slipper.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk sistem suspensi boleh laras, cakera brek berkembar 300mm, kaliper brek 4-pot depan serta tangki 17L.

Menurut pihak MODENAS, Kawasaki Z900RS ini akan mula dipasarkan bermula November.

Bagi yang hadir ke Litar Antarabangsa Sepang bagi menyaksikan MotoGP Malaysia tempoh hari, pastinya menyedari kelibatan Honda Vario 160 yang dipamerkan di tapak pameran Honda.

Previu tersebut secara tidak langsung memberi bayangan bahawa model itu akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi.

Boon Siew Honda dalam perkongsian terbaru di media sosial juga mengesahkan bahawa skuter kompak Honda Vario 160 itu akan dipasarkan tidak lama lagi.

Untuk rekod, Honda Vario 160 telah pun dilancarkan di Indonesia oleh Astra Honda Motor pada Februari lalu.

Naik taraf terbesar adalah di bahagian enjin dengan model 2022 itu digerakkan platform 160cc menggantikan 150cc sebelum ini. Enjin tersebut menjana 15.2hp pada 8,500rpm dan 13.8Nm pada 7,000rpm berbanding 13hp dan 12.9Nm sebelum ini.

Ini secara langsung meletakkan Vario 160 setanding kuasa yang ditawarkan pesaing utama, Yamaha NVX 155 yang menawarkan 15hp dan 13.9Nm.

Menariknya, Vario 160 juga dilengkapi beberapa ciri baharu antaranya daytime running light (DRL), ciri sama yang sebelum ini terdapat pada ADV 150. Kehadirann lampu DRL juga menyaksikan Honda melaksanakan kemas kini di bahagian depan yang tampak lebih agresif dan sporty.

Malah, keseluruhan rupa Vario 160 ini juga tampak lebih lebar berbanding generasi 150.

Untuk pasaran Indonesia, Vario 160 tampil dengan dua varian, ABS dan CBS namun model yang dipamerkan di Sepang baru-baru ini adalah varian tertinggi lengkap dengan ABS. 

Model terbaru ini juga menyaksikan terdapatnya slot pengecas USB berbanding Vario 150 sebelum ini.

Difahamkan, BSH akan melancarkan Vario 160 secara rasmi pada November ini. 

Selepas dua tahun menyepi, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kembali meriah dengan penganjuran MotoGP Malaysia yang berlangsung semalam.

SIC menjadi saksi kepada perebutan kejuaraan di antara pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia dan wakil Yamaha, Fabio Quartararo.

Perlumbaan pada Ahad itu menyaksikan Bagnaia muncul pemenang diikuti Enea Bastianini kedua dan Quartararo ketiga.

Susulan Quartararo berjaya menaiki podium, perebutan kejuaraan dunia MotoGP akan dibawa ke pusingan akhir di Valencia yang akan berlangsung dua minggu lagi. 

Namun, dengan jarak 23 mata, ini bermakna peluang Bagnaia lebih cerah untuk muncul juara dunia musim 2022 kerana hanya perlu menamatkan aksi di Valencia pada kelompok 13 terbaik. 

Berdasarkan kiraan itu, Bagnaia secara tak langsung sudah pun memegang trofi MotoGP sebelah tangan.

Bagaimanapun, keputusan pada Ahad sudah tentunya disumbangkan permulaan terbaik yang pernah dilakukannya sepanjang musim ini.

“Ketika sesi ujian kami melakukan penambahbaikan pada ‘launch system’ jadi hari ini (Ahad) adalah yang terbaik pernah dilakukan. 

“Tetapi brek pertama (pada Turn 1) agak berisiko tetapi kami berjaya melakukannya,” ujar Bagnaia.

Pada masa sama, Bagnaia mendedahkan keengganan mengikut kelajuan Jorge Martin yang pada awalnya mendahului perlumbaan membuahkan hasil apabila pelumba Pramac itu kemalangan di Turn 5.

“Ketika saya melepasi dua selekoh pertama, saya sudah mula bertenang. 

“Tetapi Jorge (Martin) sudah terlalu laju dan pada waktu itu saya berasakan kelajuannya agak melampau jadi saya memilih untuk bertenang dan mengekalkan kelajuan saya.

“Jorge tidak bernasib baik kerana terbabas tetapi kelajuan pada waktu itu juga agak menyukarkan kerana saya yang sedang cuba menjaga keadaan tayar.

“Sejurus selepas itu saya dipintas Enea (Bastianini) tetapi menyedari kelajuan saya lebih baik jadi saya cuba brek dengan lebih agresif untuk membuat pintasan,” tambah Bagnaia.

Meskipun begitu, sifat enggan menyerah kalah dipamerkan Quartararo harus dipuji. 

Ini kerana dia berlumba dalam keadaan kesakitan setelah tangan kirinya disahkan alami keretakan tulang di bahagian jari ketiga dari kiri.

Dia kini hanya ada satu objektif di Valencia, memenangi perlumbaan itu sambil mengharapkan Bagnaia menduduki tempat ke-14 dan ke bawah.

“Objektif saya cuma satu, untuk menang di Valencia. Walaupun terdapat banyak pesaing yang akan cuba menang namun saya akan cuba menikmati perlumbaan itu dan lihat apa yang berlaku,” ujarnya.

Walaupun saingan di Valencia 6 November ini dijangka sengit namun kiraan matematik meletakkan Bagnaia sebagai calon utama muncul juara dunia MotoGP kali pertama dalam kariernya.

Pada masa sama, mengambil kira kejayaan merekodkan tujuh kemenangan, 10 podium dan 5 petak pertama (pole position) musim ini, Bagnaia sememangnya calon paling layak mendapat status juara dunia bagi musim 2022.

Melainkan nasib malang menimpa dengan  Bagnaia gagal menamatkan perlumbaan (DNF) buat kali keenam musim ini di Valencia. Sekiranya itu berlaku, kejuaraan musim ini pastinya berjaya dipertahankan Quartararo. 

Francesco Bagnaia dan Fabio Quartararo akan membawa penentuan kejuaraan dunia MotoGP ke pusingan terakhir di Valencia selepas kedua-duanya berjaya menaiki podium di Litar Antarabangsa Sepang.

Meskipun bermula di petak kesembilan namun Bagnaia bermula baik untuk terus berada di kelompok depan dibelakang Jorge Martin. 

Namun Martin gagal mengekalkan status pendahulu perlumbaan apabila kemalangan di Turn 5 sekaligus membuka ruang pada Bagnaia di depan sambil diekori rapat pelumba Gresini Racing, Enea Bastianini. 

Ketika perlumbaan memasuki lap keenam, Bagnaia yang satu ketika dipintas Bastianini kembali didepan di Turn 15 dan terus mengekalkan kedudukan hingga garisan penamat.

Sementara itu, Quartararo memastikan dirinya terus mencabar kejuaraan sehingga ke pusingan terakhir apabila menduduki tempat ketiga.

Walaupun diberi tentangan hebat daripada pelumba Mooney VR46, Marco Bezzecchi namun Quartararo berjaya menjarakkan diri untuk melepasi garis penamat di tempat ketiga.

Keputusan perlumbaan ini menyaksikan Bagnaia mengutip 258 mata, 23 mata dihadapan Quartararo sementara Aleix Espargaro kekal di kedudukan ketiga dengan jarak 46 mata. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube