Bikesrepublic

Berita Terkini

Polis mempunyai kuasa untuk menyita kenderaan termasuk motosikal yang didapati melakukan pengubahsuaian melampau.

Peringatan itu disampaikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Ampang Jaya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Menerusi siaran tersebut, orang ramai diingatkan bahawa sebarang pengubahsuaian terhadap struktur kenderaan boleh disebabkan motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengikut akta tersebut, polis juga boleh menahan kenderaan berkenaan sehingga pemilik mengambil langkah tertentu agar kesalahan sama tidak lagi berulang. 

Oleh itu, polis mengingatkan orang ramai untuk tidak ubah suai kenderaan sehingga mengubah bentuk asal agar tidak berdepan tindakan disita. 

Kes babitkan mat rempit di Kelantan mencatatkan peningkatan mendadak 49 peratus bagi bulan Januari hingga Oktober berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun.

Memetik laporan Sinar Harian,  remaja berusia 17 tahun ke bawah menjadi penyumbang terbesar kepada aktiviti tidak bermoral itu. 

“Setakat ini, seramai 61 remaja berusia 17 tahun ke bawah yang ditahan bersabit kes tersebut berbanding hanya 18 orang sahaja tahun lalu.

“Manakala 57 tangkapan melibatkan mat rempit berusia 18 hingga 39 tahun dan hanya empat tangkapan (40 tahun ke atas),” katanya.

Susulan daripada angka membimbangkan itu, Muhamad Zaki mengharapkan semua pihak termasuk ketua polis daerah, pengarah dan pegawai pendidikan memantau perkara tersebut. 

Pada masa sama, ibu bapa juga digesa untuk memberi contoh baik kepada anak-anak terutamanya mengenai pemakaian topi keledar dan memiliki lesen memandu. 

Sementara itu, polis Kelantan juga merekodkan 114 peratus tangkapan berbanding 65 peratus tahun lalu. – Sinar Harian

Bagi memenuhi permintaan terhadap motosikal berkapasiti kecil yang serba boleh, jenama motosikal Thailand, Solar Moto telah melancarkan Groove Cross 125. 

Bakal dipamerkan di Thailand International Motor Expo yang akan berlangsung dari 1 hingga 12 Disember ini, Groove Cross 125 merupakan antara model baharu yang diperkenalkan Solar Moto untuk pasaran negara itu.

Menariknya, Groove Cross 125 ini seakan diinspirasikan model Honda Cub 110 namun dengan ciri yang lebih lasak seakan Cub 125 Trail. Untuk rekod, Solar Groove Cross 125 merupakan varian lasak yang dibangunkan dari Solar Groove.

Hasilnya, Groove Cross 125 ini tampil dengan mudguard tinggi yang dipadankan bersama fork depan teleskopik dan penyerap hentakan berkembar belakang. Bagi memastikan Groove Cross 125 ini sesuai ditunggang dalam pelbagai jenis keadaan, motosikal tersebut tampil dengan jarak kelegaan tanah 177mm. 

Bagaimanapun, ciri lain kekal konvensional bagi memastikan motosikal tersebut kekal mampu milik antaranya brek drum depan dan belakang, panel meter analog, lampu halogen dan sistem karburator. 

Selain itu beberapa ciri praktikal juga diperkenalkan termasuk tempat duduk pembonceng yang boleh ditanggalkan dan bertukar menjadi tempat letak barangan tambahan.

Untuk rekod, Solar Groove Cross 125 dikuasakan enjin silinder tunggal 123.7cc SOHC 2-valve dengan penyejukan udara yang berupaya menghasilkan 8hp pada 8,000rpm dan 8.8Nm pada 6,000rpm. 

Menurut Solar, Groove Cross 125 ini boleh mencapai kelajuan maksima sekitar 90km/j. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • tangki 3.5L
  • brek drum depan/belakang
  • berat 83kg

Difahamkan, harga bagi Groove Cross 125 ini akan diumumkan sewaktu pelancaran rasmi di Thai Motor Expo.

Pelakon dan selebriti tempatan, Zul Huzaimy mencuri tumpuan apabila sanggup membelanjakan RM43 ribu bagi membeli sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ.

Zul Huzaimy atau lebih dikenali sebagai ‘Spark’ telah membeli sebuah Yamaha RXZ daripada Pok Jack yang sememangnya terkenal sebagai pengumpul barangan klasik dan vintaj antaranya babitkan motosikal, kereta dan barangan lain. 

Urusan jual beli tersebut turut dirakam dan dimuat naik ke akaun sosial media milik Pok Jack. 

Menurut video tersebut, Spark membeli Yamaha RXZ itu dengan bayaran tunai RM43 ribu sambil disaksikan beberapa individu lain. 

Difahamkan, Pok Jack sanggup melepaskan motosikal kesayangannya itu dan bakal menggunakan duit jualan tersebut bagi projek kereta Volkswagen yang dimilikinya. 

Senario itu sekaligus menyaksikan RXZ masih lagi kekal sebagai motosikal yang mempunyai daya penarik tersendiri meskipun pengeluarannya telah pun dihentikan. 

Sebelum ini, terdapat beberapa motosikal sama turut terjual pada harga tinggi sehingga ada yang sanggup menukar dengan sebidang tanah bagi mendapatkan motosikal tersebut. 

Pengguna jalan raya yang bercadang menggunakan laluan Ipoh Utara-Ipoh Selatan (arah Selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan diminta untuk merancang semula perjalanan ekoran penutupan sementara laluan tersebut pada 30 November (Rabu).

PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penutupan sementara itu akan berlaku dari 10 pagi hingga 2.30 petang bagi tujuan latihan simulasi kecemasan.

Oleh yang demikian, pengguna jalan raya yang menghala ke Selatan daripada Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur akan dilencongkan ke Jalan Persekutuan (FT240) (Jelapang-Ampang). 

Bagaimanapun, pengguna jalan raya boleh kembali memasuki Lebuhraya Utara-Selatan menerusi Plaza Tol Ipoh Selatan. 

Sementara itu, latihan kecemasan tersebut adalah bertujuan menguji tahap kecekapan dan masa tindak baals sekiranya berlaku kecemasan sekaligus memastikan tahap prosedur keselamatan di lebuh raya berada di tahap terbaik.  

Ducati sememangnya jenama yang cukup gah dalam pasaran motosikal dunia. 

*Ducati Panigale V4 R

Kejayaan di pentas dunia termasuk MotoGP dan WorldSBK terus mengukuhkan lagi jenama motosikal Itali itu. 

Selain sibuk merangkul kejuaraan dunia, Ducati juga giat mengukuhkan portfolio bagi tahun 2023 dengan beberapa model baharu termasuk Panigale V4 R, Scrambler 800 dan Diavel V4. 

*Ducati Diavel V4

Rata-rata motosikal jenama Ducati datang dengan tanda harga yang tinggi terutamanya model berprestasi tinggi yang kebiasaannya berharga RM100,000 ke atas. 

Pengeluar lain, seperti Triumph dan MV Agusta sudah mula mengorak langkah dengan memperkenalkan model mampu milik hasil kerjasama dengan jenama lain.

*MV Agusta Lucky Explorer 5.5

Untuk rekod, Triumph telah berkerjasama dengan Bajaj bagi menghasilkan sebuah motosikal jenis scrambler dengan kapasiti bawah 500cc manakala MV Agusta pula jalin kerjasama dengan QJMotor bagi Lucky Explorer 5.5.

Usaha tersebut adalah memastikan jenama motosikal masing-masing bukan hanya menembusi pasaran premium malah turut menjadi sasaran pembeli yang mahukan motosikal mampu milik.

Bagaimanapun, temu bual bersama Ketua Pereka Ducati, Andrea Ferraresi, mengesahkan syarikat itu tidak berminat untuk menghasilkan model mampu milik dalam masa terdekat.

“Kami mahu terus meningkatkan jenama ini.

“Kami sudah pun sebuah jenama yang premium dan mahu kekal berada dalam segmen premium sebagai jenama teratas. 

“Bagi memastikan perkara ini, kami akan mengekalkan harga pada tahap tertentu. Jadi kami akan pastikan tiada harga yang lebih rendah dari Ducati Monster,” jelasnya. 

Ditanyakan apakah usaha Ducati untuk mendekatkan diri dengan penunggang muda dan baharu, ini jawapan Ferraresi. 

“Kami ada model Scrambler yang lebih “mampu milik”.

“Perlu diingatkan tiada model ‘entry-level’ bagi Ferrari dan Porshce jadi mereka perlu bermula dengan jenama lain sebelum membeli motosikal Ducati sebaik berkemampuan melakukannya,” tambah Ferraresi. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube