Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman berjaya menemukan semula helmet Arai kesayangan selepas dua tahun hilang akibat dilarikan pencuri.
Azlan Shah berdasarkan perkongsian di media sosial, menceritakan bagaimana dia berjaya menemukan semula helmet Arai Azlan Shah hasil daripada pertolongan seorang individu bernama Amzar.
Difahamkan, Amzar telah menjumpai helmet tersebut dua tahun yang lalu di dalam tong sampah. Dia kemudiannya telah cuba menghubungi Azlan Shah menerusi “direct message” (DM) di Instagram namun tiada maklum balas sehinggalah Azlan Shah menyemak kembali DM baru-baru ini.
Menurut Azlan Shah, helmet berkenaan antara barang yang dilarikan pencuri yang telah memecah masuk ke rumahnya dalam satu insiden dua tahun lalu.
Pelumba pasukan TKKR Racing Team itu juga meluahkan rasa bersyukur terhadap penemuan semula helmet itu di samping turut mengucapkan terima kasih kepada Amzar kerana menyimpan helmet tersebut selama dua tahun.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu pihak penganjur Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 bertanggungjawab atas kematian salah seorang peserta yang terbabit kemalangan pada Ahad.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Setiausaha (KSU) KBS Dr K Nagulendran pihak penganjur harus bertanggungjawab ekoran mengadakan perlumbaan yang tidak mendapat kelulusan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).
“Perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan MAM, kami (KBS) sudah membuat semakan.
“Selepas ini pihak kami akan adakan perbincangan dan melakukan tindakan susulan dengan MAM. MAM sendiri juga perlu melakukan tindakan susulan dengan penganjur berhubung insiden berkenaan,” jelasnya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Dr K. Nagulendran juga mengingatkan semua pihak bahawa sebarang penganjuran perlumbaan perlu mendapatkan kebenarakan daripada pihak Suruhanjaya Sukan.
“Kami kesal insiden ini berlaku, penganjur harus bertanggungjawab, saya tidak rasa ia sesuatu yang betul mengadakan perlumbaan tanpa kelulusan dan langkah-langkah keselamatan,” tambahnya.
Mangsa, Hattem Rashdi, 22, pelumba pasukan ESR Motor terbabit kemalangan pada Ahad sebelum disahkan meninggal dunia pada petang Isnin ketika sedang menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang. – Harian Metro
Beberapa minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Modenas, Roslan Roskan, telah pun mengesahkan bahawa Modenas Versys-X 250 akan dilancarkan tahun ini.
Berdasarkan tinjauan di beberapa pengedar rasmi Modenas, sudah ada yang menerima tempahan bagi motosikal ‘adventure’ 250cc itu. Menariknya, ada yang memberi anggaran harga Versys-X 250 sekitar RM26k. Namun, kami jangkakan harga sebenar jauh lebih rendah dari itu ekoran model tersebut adalah pemasangan tempatan (CKD).
Jika dibandingkan dengan model yang diperkenalkan pada tahun 2017 – dibawah pengurusan lama – waktu itu Versys-X 250 dijual dengan harga RM23.7k sahaja.
Untuk rekod, Versys X 250 ini menawarkan ciri yang menarik antaranya ‘panniers’ berkapasiti 17 liter, crash guard, penghadang angin tinggi, serta ‘handguard’.
Versys X 250 itu akan dikuasakan enjin parallel-twin 249cc yang menawarkan 32.5hp pada 11,500rpm dan 21Nm pada 10,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan dengan bantuan klac assist & slipper.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
rim jenis spoked (lidi) 19-inci depan, 17-inci belakang
suspensi fork teleskopik 41mm depan, monoshock belakang
Perlumbaan drag tempatan kembali menjadi topik hangat selepas peserta Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 disahkan meninggal dunia susulan kemalangan.
Memetik laporan Harian Metro, Hattem Rashdi, 22, terbabit kemalangan pada hari pertama acara yang berlangsung di Pekan, Pahang. Mangsa kemudiannya bertarung nyawa lebih 12 jam sebelum disahkan meninggal dunia.
Pelumba ESR Motor itu disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang semalam.
“Allahyarham adalah pelumba litar drag yang berbakat dan menjadi penunggang kepada ESR Motor sejak dua tahun lalu.
“Difahamkan, jentera yang ditunggangi Allahyarham berhadapan masalah teknikal sebelum terbabas,” jelas pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad. – Harian Metro
CFMOTO membuat kejutan apabila memperkenalkan 1250TR-G untuk pasaran global sekitar Mac tahun lalu. Ini kerana motosikal ‘grand-tourer’ itu pada awalnya hanya dibangunkan sebagai kegunaan pihak polis di China sebelum membuat keputusan untuk membuka jualan kepada orang ramai.
Pelancaran 1250TR-G itu sekaligus menyaksikan CFMOTO akan bersaing dengan beberapa model terkemuka termasuk BMW R 1250 RT, Yamaha FJR1300, Suzuki GSX-S1000GT serta Honda GL1800 Gold Wing.
Dalam perkembangan terbaru, kami dimaklumkan bahawa rakyat Malaysia juga akan berpeluang memiliki 1250TR-G ini tidak lama lagi.
Berdasarkan maklumat yang kami perolehi, CFMOTO Malaysia akan membawa masuk 1250TR-G sekitar Oktober tahun ini bagi tujuan Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Pelancaran model itu juga dijadualkan berlangsung tahun ini dengan kumpulan pertama melibatkan 50 unit sahaja.
Seperti pesaing lain dalam segmennya, 1250TR-G juga dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan premium termasuk suspensi Marzocchi boleh laras dan kaliper brek Brembo Stylema 4-pot depan yang dipadankan bersama cakera brek 320mm dan Brembo 2-pot belakang dengan cakera brek 270mm. Model ini juga dilengkapi dengan Cornering ABS dan ‘steering damper’ secara standard.
Ciri lain pula terdiri daripada pencahayaan LED penuh, penghadang angin boleh laras secara elektronik serta panel meter 12.5-inci MMI. Penunggang juga disajikan dengan pembesar suara jenama JBL sekiranya mahu menikmati muzik sewaktu pengembaraan.
Juga tidak ketinggalan sistem keyless, TPMS (tire pressure monitoring system) serta ‘heated grip’. Melengkapkan lagi pengalaman menunggang, CFMOTO 1250TR-G juga menawarkan ciri ‘quickshifter’ (atas/bawah).
Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
cruise control
RDS electronic radar
HHC hill start assist
tangki 23L
berat 304kg
Untuk rekod, CFMOTO 1250TR-G dikuasakan enjin V-Twin 1,279cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 140hp pada 8,500rpm dan 120Nm pada 7,000rpm. Menariknya, enjin V-Twin itu dibangunkan daripada platform LC8 milik KTM yang menggerakan 1290 Super Duke R dan 1290 Super Adventure.
Buat masa ini kami masih belum mendapat maklumat mengenai harga penjualan namun segalanya pasti akan diumumkan pada hari pelancaran nanti yang dijadualkan berlangsung tahun ini. Untuk rekod, beberapa pengedar CFMOTO di Malaysia juga telah ke China bagi menghadiri CFMOTO Day yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuzhou. Mereka juga berpeluang menyaksikan 1250TR-G dengan lebih dekat.
Seramai 1,500 pengunjung telah hadir memeriahkan CFMOTO Day yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuzhou, China, hujung minggu lalu.
Mereka yang hadir telah disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk didedahkan dengan projek akan datang oleh CFMOTO.
Menariknya, mereka yang mengisi tempat duduk Litar Antarabangsa Zhuzhou juga telah disajikan dengan penampilan sulung jentera prototaip CFMOTO 675SR yang akan dipasarkn di pasaran global tidak lama lagi.
Seperti namanya, 675SR dikuaskan platform tiga-silinder serba baharu dibangunkan syarikat motosikal China itu. Menurut CFMOTO, 675SR in bakal menjadi model paling berkuasa dalam keluarga “SR” selepas 250SR, 450SR serta prototaip 500SR.
Apa yang mencuri tumpuan, CFMOTO mendedahkan 675SR itu akan menawarkan 100hp dan 100Nm.
Dalam pada itu, kami juga tertarik dengan pembangunan jentera baharu tersebut kerana ini bukan kali pertama enjin tiga silinder bersesaran 675cc dibangunkan. Sebelum ini, Triumph Motorcycles juga terkenal dengan enjin yang sama dan menggerakan beberapa model popular termasuk Street Triple 675 dan Daytona 675.
Bagaimanapun, Triumph telah pun menghentikan pembangunan model 675 sekitar 2016.
Apa yang pasti, CFMOTO cukup berani membangunkan pelbagai jentera supersport untuk pasaran global tatkala Honda, Yamaha dan Suzuki sudah mula kibarkan bendera putih ekoran peraturan emisi ketat di Eropah.