Bikesrepublic

Berita Terkini

Santai Anak Utara (SAU) mensasarkan kehadiran lebih 100,000 peserta dalam karnival yang bakal berlangsung pada bulan depan.

Angka tersebut sekaligus akan mengatasi rekod SAU 5.0 pada 2017 apabila 80,000 peserta membanjiri Amanjaya Mall, Sungai Petani.

Bagi memastikan terdapat ruang mencukupi untuk menampung ketibaan himpunan motosikal yang besar, SAU 2022 akan berlangsung di MAEPS, Serdang, pada 3 September ini. 

Ini juga kali pertam SAU akan diadakan di luar wilayah utara.

SAU 2022 akan berlangsung dengan pelbagai aktviti termasuk kaedah menungang dengan selamat, pameran kerjaya, sembang bersama ikon permotoran dan banyak lagi.

Menurut pengasas SAU, Mohd Safiuddin Elias (Acai) dan Mohd Syauqi Ismail, objektif SAU kali ini bukan setakat menjadi tapak pertemuan kelab permotoran tempatan tetapi juga meningkatkan tahap kesedaran tentang keselamatan jalan raya.

“Dari segi usia, berdasar karnival sebelum ini, sebahagian besar peserta yang hadir adalah mereka berumur antara 15 hingga 30 tahun. 

“Malah, kami pernah menerima kehadiran peserta semuda 12 tahun yang datang dari Kuala Lumpur, meskipun ketika itu acara diadakan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Di sini saya ingin menasihatkan, tungganglah dengan selamat. 

“Jika mereka ingin hadir dengan menunggang motosikal mahupun kereta, maka perlulah ada lesen dan cukai jalan serta mematuhi peraturan dan undang-undang. 

“Bagi mereka yang muda dan belum layak mengambil lesen, maka tumpanglah dengan rakan yang mempunyai lesen. 

“Kami ingin menerapkan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat kepada pengunjung pada kali ini,” jelasnya. – BH

Polis Pulau Pinang mengesahkan tiada aktiviti lumba haram membabitkan pelesit rempit terutama pada malam hujung minggu di kawasan panas yang dikenalpasti di seluruh negeri susulan pemantauan berterusan agensi terbabit.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, sejak tiga minggu lalu pihak polis mendapati peratusan aktiviti membabitkan lumba haram oleh kumpulan bermotosikal telah menurun dengan mendadak.

”Polis telah mengambil langkah yang proaktif dalam menangani isu membabitkan mat rempit, pemantauan berterusan dijalankan bagi membanteras kegiatan ini selepas berlaku kemalangan maut membabitkan lumba haram.

”Hasil pemantauan yang dijalankan mendapati aktiviti mat rempit di 13 kawasan panas seperti di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) dan lain-lain telah berkurangan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini hari ini.

Pada 17 Julai lalu, lima penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Susulan kejadian itu, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda dengan hukuman lebih berat bagi membanteras kegiatan lumba haram terutama melibatkan mat rempit yang membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan raya lain.

Sebuah kereta dengan cukai jalan tamat tempoh sejak tahun 1999 atau hampir 23 tahun lalu antara dua kenderaan yang disita dalam Ops Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Jalan Tanjung Lumpur di Kuantan.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 325 kenderaan dalam operasi selama tiga jam itu.

Menurutnya, daripada keseluruhan kenderaan diperiksa, pihaknya berjaya mengesan dan mengambil tindakan terhadap 85 kenderaan atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 131 notis dan 162 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan 40 saman melibatkan kesalahan tiada lesen memandu.

“Sasaran operasi kali ini lebih kepada kesalahan berkaitan teknikal nombor pendaftaran dan lampu ‘strobe light’ bagaimanapun kesalahan-kesalahan biasa termasuk tiada lesen memandu terus dikesan dan diambil tindakan,” katanya.

Kamarul Iskandar berkata, masih ramai penunggang motosikal di negeri ini tidak memiliki lesen memandu.

Menurutnya rata-rata penunggang yang ditahan atas kesalahan itu memberikan pelbagai alasan antaranya masalah kewangan sedangkan mereka mampu memiliki motosikal yang harganya berkali ganda berbanding kos mendapatkan lesen memandu.

“Golongan ini dinasihatkan agar segera mendapatkan lesen memandu dan tidak mengambil mudah kesalahan menunggang tanpa lesen,” katanya.

Sementara itu katanya, JPJ Pahang turut melakukan Ops Khas Modifikasi Teknikal di tempat yang sama.

Beliau berkata, operasi itu memberi fokus kepada motosikal diubah suai tanpa kebenaran.

“Dalam operasi itu 310 kenderaan diperiksa, dan 70 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Sebuah motosikal ditahan selepas dikesan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan dan penunggangnya dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tambah beliau, seorang pemandu disaman di bawah Seksyen 15(4) Akta Pengangkutan 1987 kerana menggunakan kenderaan yang diisytiharkan telah tidak digunakan.

“Kedua-dua kenderaan tersebut telah disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Umum mengetahui bahawa RNF Racing kendalian Datuk Razlan Razali akan beralih kepada jentera Aprilia bagi musim 2023.

Ini kerana pasukan itu akan bergerak sebagai skuad satelit Aprilia musim depan setelah mempersetujui kerjasama jangka panjang bersama jenama motosikal Itali itu.

Bagaimanapun, setakat ini Razlan Razali dan pasukan RNF Racing masih belum mengumumkan barisan pelumba bagi musim depan.

Bagi menjawab persoalan tersebut kami berpeluang untuk berbicara bersama Razlan Razali pada Sabtu ketika pasukan Withu Yamaha RNF MotoGP selesai menjalani sesi Kelayakan 2 (Q2) di Austria.

Apabila ditanya adakah kemungkinan pasukan RNF Aprilia akan dibarisi pelumba Itali susulan ditaja WithU (syarikat Itali) dan Aprilia selaku jenama pengeluar dari negara itu, ini jawapan Razlan.

“Dalam kelas MotoGP ketika ini tiada pelumba Itali. Pada masa sama, kami tidak akan mengambil khidmat pelumba dari Moto2.

“Kedua-dua pelumba pasukan akan hadir dari kelas (premier) MotoGP,” jelasnya. 

Mendengar penjelasan itu, kami memetik nama pelumba KTM Tech3 ketika ini,Raul Fernandez yang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke RNF Racing sebelum ini dan reaksi Razlan yang tertawa dengan persoalan itu sedikit sebanyak memberi bayangan pelumba Sepanyol itu dilihat sebagai calon utama. 

Sewaktu temu bual tersebut, Razlan turut mendedahkan pelumba berusia 21 tahun itu sememangnya pertama dalam senarai ‘wishlist’ nya musim depan. 

Sementara itu, Miguel Oliveira turut disebut akan sertai pasukan RNF Aprilia musim depan.

Apa pun, segalanya akan terjawab pada 1 September ini apabila Datuk Razlan mendedahkan pengumuman rasmi akan dibuat di GP Misano, sehari sebelum bermulanya sesi ujian bebas. 

Francesco Bagnaia berjaya merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut yang pertama dalam kariernya selepas memenangi GP Austria, sebentar tadi.

Pelumba Ducati itu bermula baik sebaik perlumbaan dilepaskan dan terus mendahului aksi di Red Bull Ring.

Walaupun pada satu ketika dipintas rakan sepasukan, Jack Miller namun Bagnaia mudah mengambil semula kedudukan pertama sejurus selepas itu.

Kemenangan di GP Austria menyaksikan Bagnaia kini mengutip 156 mata, 44 mata dibelakang pendahulu, Fabio Quartararo. 

Quartararo turut menampilkan aksi cemerlang untuk terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan apabila menamatkan aksi di tempat kedua.

Meskipun berada di kedudukan keempat pada sebahagian besar perlumbaan namun pelumba Monster Energy Yamaha itu berjaya memintas Jorge Martin (Pramac) dan mula mengejar kelompak depan yang diterajui Bagnaia-Miller.

Quartararo kemudiannya menghasilkan aksi yang cukup mengagumkan apabila memintas Jack Miller di Turn 2(a) dan Turn 2(b) sekaligus mengutip mata penting untuk terus mendahului kejuaraan.

Walaupun bermula di petak kelima dan sedikit bergelut di awal perlumbaan, pelumba Perancis itu bingkas menemui rentak untuk terus beri asakan.

Sementara itu, tempat ketiga jadi milik Jack Miller yang merekodkan podium ketiganya musim ini.

Dalam perkembangan sama, Aleix Espargaro juga kutip mata penting selepas menamatkan saingan di tempat keenam. Pelumba Aprilia itu terus ekori rapat Quartararo dengan perbezaan 32 mata.

Saingan MotoGP akan bersambung di Misano pada 3-5 September ini. 

Kami berpeluang menyaksikan motosikal elektrik pertama dari Yamaha, Yamaha E01 sewaktu acara Karnival Yamaha GenBlu di Teluk Batik, Perak, pada Sabtu.

Dipertonton secara global pada Januari lalu, skuter elektrik itu akhirnya membuat penampilan di Malaysia menerusi Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).

Penampilan motosikal itu sudah pun dijangka apabila Yamaha Jepun mengumumkan Malaysia antara negara terpilih menguji kemampuan skuter itu disini.

Ujian tersebut memfokuskan jarak perjalanan, kaedah pengecasan dan masa yang akan diambil sewaktu mengecas yang sememangnya menjadi cabaran utama bagi mobiliti elektrik.

Menariknya, Yamaha E01 tampil dengan dimensi hampir sama dengan model sedia ada Yamaha Nmax namun akan digerakan bateri lithium-ion 4.9kWh yang mampu menjana 8.1kW (10.8hp) pada 5,000rpm dan 30.2Nm pada 1,950rpm.

Sebagai skuter urban, Yamaha E01 menawarkan boleh mencapai jarak perjalanan hingga 100km dan mampu mencapai kelajuan 100km/j.

Terdapat tiga pilihan pengecas bagi Yamaha E01:

  • pengecas konvensional (rumah) – 6 jam hingga penuh
  • pengecas pantas (pengedar) – 1 jam hingga 80 peratus
  • pengecas mudah alih – 13 jam hingga penuh

Harga dan ketersediaan Yamaha E01 untuk pasaran Malaysia masih belum dimaklumkan namun kami diberitahu bahawa harga motosikal elektrik ini adalah sekitar harga Yamaha XMax 250. 

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube