Bikesrepublic

Berita Terkini

Pelumba Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK), Hafizh Syahrin mensasarkan kedudukan tinggi menjelang permulaan musim 2022.

Hafizh, yang bakal membuat penampilan sulung di WorldSBK bersama MIE Racing Honda Team, tekad menggunakan pengalamannya di pentas Kejuaraan Dunia MotoGP dan Moto2 untuk beraksi lebih baik di WorldSBK.

Meskipun masih belum berpeluang menguji jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade SP, Hafizh percaya naik taraf terbaru dilaksanakan Honda terhadap motosikal itu akan memberi kelebihan.

“Pertama sekali, saya masih belum mencuba jentera itu, tetapi saya percaya bermula daripada pertengahan musim yang lalu saya lihat jentera itu semakin baik.

“Saya mahu menamatkan saingan dalam kelompok 10 teratas bagi setiap perlumbaan dan cuba memberi cabaran kepada pelumba lain,” jelas pelumba berusia 27 tahun itu.

Pada masa sama, Hafizh mahu menggunakan kesempatan yang ada untuk mempelajari ilmu dari juara WorldSBK 2021, Toprak Razgatlioglu dan enam kali juara dunia WorldSBK, Jonathan Rea.

“Saya mahu belajar dari Toprak kerana dia masih muda dan pantas dan pelumba legenda seperti Rea.

“Walaupun cabaran ini cukup besar tetapi saya akan berikan segalanya dan gunakan pengalaman di MotoGP,” tambah Hafizh.

Pusingan pertama WorldSBK akan berlangsung di Litar Motorland Aragon pada 8 hingga 10 April ini.

Dalam perkembangan sama, saingan kejuaraan kali ini akan menyaksikan Hafizh turun sebagai seorang bapa, setelah isterinya selamat melahirkan anak sulung baru-baru ini.

Hafizh juga bakal bertanding dengan mengenakan helmet KYT menggantikan jenama SHOEI yang dipakainya untuk beberapa tahun di MotoGP.

Menghargai sokongan terhadap jenama Vespa di Selatan tanah air, Vespa Malaysia telah membuka pusat 3S serba lengkap di Johor Bahru.

Perkara itu disahkan pihak Didi Group, selaku pengedar rasmi skuter Vespa di Malaysia.

Pelancaran Vespa Skudai (Ng Brothers Motor) itu menandakan satu pencapaian baharu bagi jenama Itali itu di Malaysia kerana menjadi pusat 3S sulung seumpanya di Johor Bahru.

Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo, turut menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan tersebut.

“Saya ucap tahniah kepada Ng Brothers Motor (Vespa Skudai) kerana sudi membawa jenama Vespa di Johor yang sekaligus akan menguatkan lagi jenama kami di Malaysia,” jelasnya.

Pelancaran tersebut turut berjalan dengan meriah apabila disertai 150 pemilik Vespa hasil kerjasama dengan Modern Vespa Club Johor. Perasmian tersebut juga bertujuan meraikan komuniti Vespa di negeri Johor.

Menariknya, Vespa Skudai juga menawarkan pusat pameran yang mengikut identiti korporat Vespa yang menjaminkan kepelbagaian tawaran.

Orang ramai yang berminat untuk alami pengalaman Vespa boleh berkunjung ke Vespa Skudai yang terletak di 33, Jalan Pakis 1, Taman Sri Pulai, Johor Bahru.

Petronas Malaysian Cub Prix kembali menghangatkan sukan permotoran tempatan bagi tahun 2022 bermual dengan pusingan pertama di Litar Sepang (Utara), hujung minggu ini.

Saingan kali ini dijangka kembali lebih sengit apatah lagi ketidaktentuan musim lalu sedikit memberi kesan kepada persiapan pelumba dan pasukan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seperti kebiasaan, kategori CP150 akan kembali menjadi rebutan pelumba selepas edisi terdahulu menyaksikan Azroy Hakeem Anuar muncul juara.

Pelumba pasukan Honda Yuzy Idemitsu itu bagaimanapun akan turun mempertahankan kejuaraan menggunakan jentera Honda RSX 150 baharu. Ini merupakan kali pertama model itu akan beraksi di litar perlumbaan.

Turut mencuri tumpuan adalah kembalinya bekas pelumba Moto3, Khairul Idham Pawi ke saingan Cub Prix musim ini.

Bekas juara kategori Wira 2014 itu akan bersaing di bawah payung SCK Honda Racing Team dan bergandingan dengan bekas juara CP150 2020, Helmi Azman.

Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix 2022 akan membuka tirai pada 12 hingga 13 Mac ini di Litar Sepang (Utara). Bagi menyemarakkan lagi saingan kali ini, musim 2022 juga telah kembali membenarkan kehadiran penonton bagi menyaksikan perlumbaan secara langsung.

Thailand sememangnya antara negara yang terkenal melakukan modifikasi terhadap motosikal klasik.

Terdapat banyak versi Honda Cub yang telah dimodifikasi dan mendapat pengiktirafan dunia.

Berteraskan minat dalam melakukan modifikasi terhadap motosikal klasik dan retro merupakan antara pendorong utama pengeluar motosikal Thailand, GPX memperkenalkan PopZ 110.

Meskipun jenama itu dianggap asing di negara luar namun GPX merupakan antara pilihan utama pengguna di Thailand dan beberapa negara Asia lain termasuk Jepun.

Dalam perkembangan terbaru, GPX sedia mencabar pasaran motosikal Cub di Jepun menerusi GPX POPz 110.

Ketika Honda Cub menampilkan ciri retro, POPz 110 pula menggabungkan ciri moden dan klasik sekaligus mewujudkan aura yang berbeza.

Walaupun terdapat elemen Cub, namun POPz 110 ternyata berjaya membawa imej tersendiri dan tidak dituduh sebagai Cub tiruan.

GPX POPz 110 itu dikuasakan enjin satu silinder 109cc dengan penyejukan udara dan dipadankan bersama transmisi 5-kelajuan semi-automatik.

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • fork teleskopik depan
  • cakera brek 220mm depan dan brek drum belakang
  • rim aloi
  • lampu LED
  • meter separa digital LCD
  • rantai DID 428D
  • berat 100kg

GPX POPz 110 ini ditawarkan pada harga JPY264,000 (RM9.4k) di Jepun manakala di Malaysia , motosikal retro moden ini dijual pada harga RM5,200 sahaja.

Sudah beberapa bulan khabar angin bertiup bahawa Kawasaki bakal memperkenalkan sebuah lagi motosikal dengan enjin bernadikan empat silinder.

Desas-desus mengenai model ZX-4R telah dibangkitkan sejak Kawasaki memperkenalkan ZX-25R di pasaran Indonesia dua tahun lalu.

*Kawasaki ZX-25R

Pengeluar motosikal Jepun itu turut memfailkan tanda dagangan ZX-4R sekaligus memberi bayangan bahawa motosikal empat silinder 400cc itu bakal menjadi kenyataan.

Dalam perkembangan terbaru, media Jepun Young-Machine (YM) telah menjadikan imej ‘render’ ZX-4R sebagai muka depan majalah mereka bagi keluaran April.

Malah, tajuk utama juga mencadangkan Kawasaki sedang bersiap sedia untuk pelancaran global ZX-4R tidak lama lagi.

Rekaan pada imej ‘render’ tersebut juga menunjukkan bahawa ZX-4R akan meminjam rekaan ZX-10R generasi terkini terutamanya di bahagian panel depan termasuk lampu.

*Kawasaki ZX-10R

Sejujurnya, kami jarang bagi tumpuan pada imej render kerana kebanyakkannya hanyalah ‘syok’ sendiri tetapi setakat ini imej render yang dikongsikan YM lebih 90 peratus tepat, jadi sukar untuk menidakkan dakwaan mereka.

Sementara itu, Kawasaki ZX-4R itu juga dijangka akan menawarkan pelbagai ciri premium antaranya Kawasaki Traction Control (KTRC) dan fork USD.

Buat masa ini belum dapat dipastikan berapakah kuasa yang mampu dihasilkan enjin tersebut namun menilai pada kemampuan ZX-25R menjana 50hp, kemungkinan besar ZX-4R menawarkan 75hp ke atas.

Castrol Hari Mekanik Malaysia kembali lagi untuk edisi keempat yang akan berlangsung pada 18 Mac ini.

Hari Mekanik Malaysia merupakan inisiatif Castrol Malaysia untuk memberikan penghormatan kepada mekanik yang selama ini terus diberi kepercayaan oleh pengguna sekaligus menjadi tulang belakang Castrol.

Berbeza dengan sebelum ini, Castrol Hari Mekanik Malaysia 2022 akan berlangsung sepenuhnya secara virtual dengan pelbagai aktiviti telah pun dirancang antaranya peraduan sosial media, penyerahan jersi dan berjumpa dengan KOL.

Bertemakan ‘The Game Changers’, Hari Mekanik Malaysia kali ini lebih meriah hasil jalinan kerjasama dengan liga bola sepak terkemuka dunia, Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kerjasama ini akan mengintai persamaan antara mekanik dan pemain bola sepak terkemuka dunia yang berkongsi semangat dan kerja keras dalam mencapai impian dan matlamat.

Seperti orang lain, mekanik juga gilakan bola sepak yang sememangnya sudah menjadi sebati dengan rakyat Malaysia.

Castrol Malaysia berharap inisiatif terbaru ini akan semarakan lagi rasa hormat pengguna kereta dan motosikal di Malaysia terhadap mekanik yang dipercayai.

Sempena Hari Mekanik Malaysia 2022, Castrol menawarkan pelbagai barangan eksklusif Castrol X EPL yang merangkumi jersi, topi dan botol air yang juga merupakan sebahagian daripada hadiah pertandingan.

Untuk turut serta, orang ramai hanya perlu mengambil gambar ‘selfie’ sambil memakai jersi bola sepak kegemaran atau baju tee Castrol di hadapan bengkel rasmi Castrol dan memuat naik ke laman sosial Facebook dan Instagram dengan ‘hashtags’ #CastrolHariMekanik dan #CastrolEPL. Foto dengan jumlah ‘LIKE’  terbanyak berpeluang memenangi barangan eksklusif Castrol X EPL.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube