Bikesrepublic

Berita Terkini

Sempena tayangan filem Remp-It 2 yang akan berada di pawagam 5 Mei nanti, jenama rantai motosikal popular RK menawarkan peluang memenangi sebuah Yamaha Y15ZR V2.

Bagi melayakkan diri memenangi sebuah Y15ZR V2 dan beberapa hadiah lain, orang ramai hanya perlu membeli rantai RK GB415HRU Edisi Khas RK x REMP-IT 2.

Setiap pembelian rantai edisi khas itu melayakkan pembeli menebus dua tiket filem Remp-It 2.

Pelanggan perlu imbas kod QR yang terdapat pada kotak rantai edisi khas tersebut dan ikut arahan disertakan.

Pihak RK kemudiannya akan menghubungi pembeli yang telah mendaftar bagi memaklumkan tarikh serta waktu tayangan filem Remp-it 2.

Antara hadiah menarik yang menanti selain hadiah utama berupa Y15ZR V2 adalah helmet Shoei J-Cruise II (edisi khas RK), Apinestars Air Jacket, sarung tangan Alpinestars, kemeja-t Alpinestars dan set hadiah RK.

Menurut RK, peraduan cabutan bertuah akan berjalan hingga 19 April ini dengan senarai pemenang akan diumumkan di Facebook dan Instagram rasmi RK Takasago Chain Malaysia.

Suzuki Malaysia dengan rasminya melancarkan GSX-R150 dan GSX-S150 untuk pasaran Malaysia.

Kedua-dua model tersebut kali pertama dipertontonkan kepada umum menerusi ‘teaser’  strim langsung Suzuki Malaysia sewaktu pelancaran Hayabusa, V-Strom 1050XT dan GSX-S1000, hujung tahun lalu.

Seperti dijanjikan Suzuki Malaysia menerusi perkongsian di media sosial sebelum ini, GSX-R150 dana GSX-S150 kini dilancarkan.

Suzuki GSX-R150 2022

Memeriahkan segmen 150cc di Malaysia adalah motosikal ‘full-fairing’ GSX-R150 2022 yang akan memberi saingan pada Yamaha R15 dan CBR150R.

Dikuasakan enjin satu silinder 147.3cc DOHC dengan penyejukan cecair, jentera ini berupaya menghasilakan 19hp pada 10,500rpm dan 14Nm @ 9,000rpm.

Segala kuasa itu kemudiannya disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan.

Antara ciri menarik ditawarkan:

  • tangki 11L
  • fork depan jenis teleskopik
  • cakera brek (petal) depan dan belakang
  • tayar 90/80-17 depan
  • tayar 130/70-17 belakang
  • lampu LED penuh
  • lampu kecemasan
  • paparan digital LCD
  • berat 131kg

Untuk pasaran tempatan, GSX-R150 ini ditawarkan pada harga RM11,329.

Suzuki GSX-S150 2022

Turut menemani Suzuki GSX-R150 adalah versi ‘naked’ GSX-S150  2022.

Turut dikuasakan dengan enjin satu silinder 147.3cc DOHC dengan penyejukan cecair, jentera ini menawarkan 19hp pada 10,500rpm dan 14Nm @ 9,000rpm dan dipacu dengan transmisi 6-kelajuan.

Bagaimanapun, ekoran kurang penggunaan fairing, GSX-S150 ini 1 kilogram lebih ringan (berat kering).

Ciri lain yang turut dibawa dari GSX-R150 adalah seperti berikut:

  • tangki 11L
  • fork depan jenis teleskopik
  • cakera brek jenis petal (depan dan belakang)
  • kaliper brek axial
  • tayar 90/80-17 depan
  • tayar 130/70-17 belakang
  • pencahayaan LED penuh
  • lampu kecemasan
  • paparan digital LCD

Untuk pasaran tempatan, Suzuki GSX-S150 ini didatangkan dengan harga RM10,289.

Selepas pelbagai khabar angin, perbincangan meja bulat dan gambar ‘teaser’ sana sini, akhirnya Suzuki Malaysia melancarkan Raider R150 Fi untuk pasaran tempatan.

Popular dengan nama Belang R150 sebelum ini, Suzuki Malaysia membuat keputusan pertukaran nama itu bagi menandakan permulaan baharu model tersebut di Malaysia.

Tampil dengan enjin Euro3 satu silinder 147.3cc DOCH dengan penyejukan cecair, Raider R150 Fi ini menawarkan 18hp pada 10,000rpm dan 13.8Nm pada 8,500rpm. Kuasa kemudiannya disalurkan menerusi kotak gear 6-kelajuan.

Ini menjadikan Raider R150 Fi ini lebih berkuasa dari Honda RSX 150 (15.8hp) dan Y15ZR (RM15.1hp).

Bagaimanapun, Suzuki Raider R150 Fi ini didatangkan dengan tangki lebih kecil, hanya 4L berbanding Y15ZR (4.2L) dan RSX (4.5L).

Antara spesifikasi ditawarkan:

  • fork depan teleskopik
  • tayar depan 70/90-17
  • tayar belakang 80/90-17
  • cakera brek depan dan belakang
  • berat 109kg
  • paparan digital LCD
  • lampu LED

Untuk makluman, Suzuki Raider R150 Fi ini ditawarkan pada harga RM8,173 dan tampil dengan dua warna menarik.

Kajian daripada Institut Neurosains dan Tingkah Laku Manusia di Universiti California Los Angeles (UCLA) mendapati penunggang motosikal berdepan tahap stres yang lebih rendah berbanding pemandu kereta.

Kajian tersebut dijalankan pada awalnya untuk mengkaji sama ada penunggang motosikal menunggang dengan perasaan takut berdepan kecelakaan jalan raya.

Bagaimanapun, eksperimen tersebut secara tidak langsung membuktikan penemuan yang sebaliknya.

Kajian tersebut memfokuskan terhadap hormon kortisol yang dirembes dalam otak ketika seseorang itu berasa gusar.

Namun, saintis mendapati penunggang motosikal menghasilkan tahap kortisol lebih rendah berbanding pemandu kereta.

Ini sekaligus membuktikan pemandu kereta berdepan tekanan yang lebih tinggi berbanding penunggang motosikal.

Ekseprimen terkawal oleh INHB itu babitkan 50 penunggang motosikal dan 50 pemandu kereta dengan masing-masing menunggang serta memandu dalam litar tertutup selama 20 minit.

Sewaktu kajian berjalan, INHB merekodkan kadar degupan jantung, tahap kortisol serta adrenalin.

Namun, aktiviti otak merupakan aspek yang menghadirkan keputusan yang paling mencuri tumpuan.

Ini kerana keputusan ujian mendapati sewaktu menunggang motosikal, subjek memaparkan fokus dan rangsangan yang lebih tinggi serta tidak terkesan dengan gangguan luar.

Bukan itu sahaja, tahap adrenalin dan degupan jantung juga menunjukkan peningkatan namun kadar penghasilan kortisol memaparkan penurunan, 28 peratus lebih rendah berbanding pemandu kereta.

Senario itu menyamai seseorang yang telah melakukan senaman ringan, yang sememangnya terbukti membantu menurunkan stres.

Ini sekaligus membuktikan aktiviti menunggang motosikal berkait rapat dengan kesihatan minda apatah lagi sudah terbukti bahawa menunggang motosikal selama satu jam juga boleh bantu bakar antara 170 hingga 600 kalori.

Buell Motorcycles telah pun mendedahkan dua jentera baharu untuk pasaran global, SuperTouring 1190 dan DR Baja, baru-baru ini.

Ketika DR Baja menampilkan rekaan konvensional bercirikan ‘dirt bike’, reka bentuk SuperTouring 1190 paling mencuri tumpuan.

Ini kerana ketika gambar teaser yang ditayangkan setahun yang lalu membuatkan ramai berasa teruja, model sebenar yang dipamerkan secara rasmi di Daytona Bike Week 2022 baru-baru ini ternyata menimbulkan persoalan.

Didakwa sebagai motosikal touring paling berkuasa oleh Buell Motorcycles (pada pendapat kami dakwaan itu mudah disangkal oleh Kawasaki H2 SX), SuperTouring 1190 ini dikuasakan enjin V-Twin 1190cc yang sama diambil dari model sportsbike, The Hammerhead.

Enjin tersebut berupaya menghasilkan 185hp dan 137Nm.

Walaupun angka dihasilkan mengagumkan namun cerita sama tidak dapat dikatakan tentang rekaan jentera tersebut.

Ini kerana rupa keseluruhan model cukup pelik dan luar biasa.

Ruang depan menempatkan lampu LED berbentuk bulat berkembar yang diinspirasikan dari model Buell XB12 dan dimuatkan dalam panel serba hitam yang besar.

Sementara bahagian atas pula diletakkan penghadang angin menegak dengan profil sisi memaparkan rekaan berkonsepkan ‘fuel-in-frame’.

Sejujurnya, rupa SuperTouring 1190 seakan gabungan cebisan pelbagai jenis motosikal Buell Motorcycles lain.

Selain dari rupa yang pelik, Buell SuperTouring 1190 juga didatangkan dengan tanda harga yang luar biasa, USD21,995 (RM92k).

Sementara itu, DR Baja pula menandakan langkah baharu Buell Motorcycles dalam segmen ‘dirt bike’.

Turut dikuasakan enjin V-Twin 72-darjah 1190cc, DR Baja ini juga merupakan motosikal paling berkuasa dalam segmennya, dengan 175hp.

Wuyang Honda telah pun memperkenalkan CG125 edisi khas sempena sambutan ulang tahun ke-30 motosikal tersebut di pasaran China.

Pertama kali diperkenalkan Honda Jepun pada 1976, CG125 bingkas menjadi pilihan pengguna untuk kegunaan harian.

Ekoran pembinaan yang kukuh dan tahan lasak, Honda CG125 cukup popular dikalangan orang ramai yang mahukan jentera yang praktikal dan sesuai digunakan setiap hari.

Sejak 1976, Honda CG125 telah pun dipasarkan di beberapa pasaran dunia lain.

Meskipun pegeluaran CG125 telah dihentikan di Jepun sejak 2008, negara lain seperti Pakistan, motosikal itu masih lagi ditawarkan sejak 1992.

Kini, legasi Honda CG125 diteruskan di pasaran China oleh Wuyang Honda, yang merupakan rakan niaga Honda di negara itu.

Bagi tahun 2022, Wuyang Honda memperkenalkan edisi Ulang Tahun ke-30 yang tampil dengan beberapa sentuhan premium dan warna baharu.

Honda CG125 Special itu didatangkan dengan gabungan warna biru dan putih serta memaparkan logo kepak ikonik Honda dan lencana Wuyang Honda.

Namun, Honda CG125 Special itu masih lagi dikuasakan enjin satu-silinder 125cc dengan penyejukan udara yang menawarkan 9.8hp. Enjin tersebut juga jimat minyak dengan Wuyang Honda mendakwa CG125 Special itu mampu pergi lebih 200km dengan setiap isian penuh tangki 9.2L.

Model itu juga didatangkan dengan tempat duduk baharu dengan kemasan ‘faux leather’, ‘fork gaiters’, serta fender, enjin dan gear berwarna hitam.

Ciri lain turut diperkenalkan adalah meter analog, lampu depan, belakang dan lampu isyarat berbentuk segi empat.

Lebih menarik, CG125 Special itu ditawarkan pada harga CNY7,480 (RM4.9k) sahaja.

Arkib

Ikuti Kami di Facebook

Ikuti Kami di YouTube